Saturday, October 24, 2009

Bajet 2010 dan Mahasiswa


Assalamualaikum wbt..
Selamat sejahtera..
Salam Perpaduan..

Sepanjang malam tadi saya mengambil peluang untuk meneliti ucapan Bajet 2010 yang dibentangkan oleh Y.A.B Perdana Menteri. Sepanjang penelitian saya, ada beberapa isi penting yang saya temui dan berkaitan dengan kebaikan yang diterima institusi pengajian tinggi dan mahasiswa secara amnya.




Maaf saya hulurkan jika anda menjangka ada ulasan panjang daripada saya. Meneliti ucapan saja sudah mengambil banyak 1 jam daripada masa saya. Walaubagaimanapun saya ada sertakan potongan daripada ucapan beliau yang saya rasakan bagus untuk diberi perhatian.

Walaupun ucapan itu turut melibatkan pertanian, sektor pembinaan, analisis ekonomi semasa, penguatkuasaan undang, kehakiman yang sememangnya menarik perhatian saya, terpaksa saya tangguhkan dahulu ulasannya.

Cuma sebagai bakal guru, perubahan di sektor pendidikan dengan peruntukan besar sebanyak RM30 billion pasti membawa banyak kebaikan kepada 5.5 juta pelajar di Malaysia. Cuma saya mengharapkan peruntukan yang besar ini dipantau sebaiknya kerana akan ada banyak 'jerung' kelaparan sedia membaham jumlah ini.

Saya telah hidup dengan dikelilingi insan-insan yang sering mengejar projek pembangunan sebagai sumber kehidupan dan saya tahu luar dan dalamnya. Mendapatkan projek, men'cilok' untuk untung lebih, duit bawah meja, kronisme dan rasuah yang berleluasa. Oleh itu, untuk jumlah yang besar ini jika tiada pengurusan yang sebaiknya, maka tiada manfaat untuk rakyat terbanyak.

Begitu juga dengan RM6 billion bagi sektor pertanian yang setiap tahun diperuntukkan bajet yang besar akan tetapi nasib para petani masih tidak berubah. Ini kerana pegawai yang diamanahkan untuk menyampaikan kepada yang berhak, secara 'tak sengaja terbocorkan' kantung yang dibawa dalam perjalanan menunaikan amanahnya.

Cukup celoteh saya.

Di sini ada keratan ucapan yang saya rasa sesuai untuk ditatap bersama.



MEMPERGIAT PENYELIDIKAN, PEMBANGUNAN DAN PENGKOMERSIALAN

34. Pada masa kini, perbelanjaan ke atas aktiviti R&D adalah jauh lebih rendah, sebanyak 0.6 peratus daripada KDNK berbanding 3 peratus di Amerika Syarikat, 3.5 peratus di Republik Korea dan 2.4 peratus di Taiwan. Justeru, untuk melonjak menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, kita memerlukan asas aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan atau R&D&C yang kukuh dengan mengambil langkah-langkah berikut:

Pertama: Merasionalisasikan semua dana juga geran penyelidikan supaya lebih efektif dan mencapai sasaran yang ditetapkan;

Kedua: Menubuhkan sebuah Pusat Inovasi Negara yang dilengkapi dengan satu rangkaian Pusat Kecemerlangan Inovasi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, diselaraskan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi;

Ketiga: Mengintegrasi aktiviti R&D dengan pendaftaran paten, hak cipta dan cap dagangan supaya proses R&D&C dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Kerjasama antara agensi paten dan institusi penyelidikan dapat mempercepatkan pengkomersialan hasil penyelidikan; dan

Keempat: Memberi galakan potongan cukai ke atas perbelanjaan bagi pendaftaran paten dan cap dagangan dalam negara kepada perusahaan kecil dan sederhana.


Memantapkan Industri ICT

39. Dalam memantapkan bidang ICT, Kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan High Speed Broadband dengan jumlah kos sebanyak 11.3 bilion ringgit. Sejumlah 2.4 bilion ringgit datangnya daripada pihak Kerajaan dan 8.9 bilion ringgit lagi daripada Telekom Malaysia. Sebagai permulaan, perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan 10 megabit sesaat akan disediakan di kawasan terpilih di Kuala Lumpur dan Selangor menjelang akhir bulan Mac 2010. Seterusnya, perkhidmatan ini akan diperluaskan ke kawasan terpilih di seluruh negara dalam tempoh 2010 hingga 2012.

40. Untuk pengetahuan ramai, kadar penembusan jalur lebar terkini hanyalah 25 peratus. Ia jauh lebih rendah berbanding 95 peratus di Republik Korea, 88 peratus di Singapura, 64 peratus di Jepun dan 60 peratus di Amerika Syarikat. Melihat situasi ini, pada hemah saya, dalam era menuju negara maju, mahu tidak mahu kadar pemilikan komputer dan penembusan jalur lebar harus ditingkatkan. Barulah nanti masyarakat negara ini celik IT, setanding dengan rakyat di negara maju yang lain. Sebagai tanda galakan kepada rakyat dan komitmen yang bersungguh, Kerajaan dengan ini mencadangkan agar pembayar cukai individu diberi pelepasan cukai ke atas yuran langganan jalur lebar sehingga 500 ringgit setahun mulai tahun 2010 sehingga 2012.

** Sekumpulan 10 orang jurutera Elektrik negara telah berjaya menghasilkan teknologi komunikasi melalui talian eletrik yang dinamakan PLC 'Power Line Communication' pada 2003. Teknologi ini mampu mengalirkan data internet pada kadar 3Gbps dan mampu menembusi perkampungan yang tiada talian telefon asalkan ada talian elektrik. Bagaimanapun masih tidak dimanfaatkan oleh Malaysia.

**Boleh google '10 jurutera kita cipta alat layari internet guna litar elektrik '


Menjaga Kebajikan Golongan Pelajar

67. Selain itu sebagai galakan, Kerajaan berhasrat memberi ganjaran kepada pelajar yang cemerlang dalam pendidikan. Untuk ini, Kerajaan akan:

Pertama: Menganugerahkan Biasiswa Nasional kepada 30 pelajar terbaik di kalangan yang terbaik atau crème de la crème berasaskan kepada merit sepenuhnya. Penyandang Biasiswa Nasional ini akan melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia;

Kedua: Menukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa bagi pelajar yang berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama atau setaraf dengannya bermula tahun 2010;

Ketiga: Kerajaan prihatin terhadap kebajikan golongan pelajar terutamanya mereka yang datang daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah. Untuk itu kita akan memberi diskaun tambang 50 peratus bagi perkhidmatan kereta api KTMB jarak jauh kepada pelajar berumur 13 tahun sehingga mereka masih bertaraf pelajar. Kad diskaun pelajar 1Malaysia percuma boleh diperoleh dari KTMB.

Diskaun tambang ini bermula 1 Januari 2010; dan

Keempat: Menawarkan pakej netbook, termasuk perkhidmatan broadband percuma, kepada pelajar universiti dengan bayaran 50 ringgit sebulan untuk tempoh 2 tahun. Pakej ini adalah jauh lebih murah daripada harga semasa di pasaran dengan prioriti diberikan kepada pelajar tahun pertama dan dari keluarga berpendapatan rendah.

Sebagai permulaan, pakej ini akan ditawar oleh Telekom Malaysia kepada 100 ribu pelajar di semua universiti tempatan bermula 1 Januari 2010.

**Saya cadangkan tiap-tiap MPP IPTA ditaja satu netbook dan talian broadband oleh Telekom untuk kegunaan rasmi mereka selama 1 tahun bertugas.



Memperkasa Institusi Pengajian Tinggi Awam

71. Dalam usaha Kerajaan memperkasakan IPTA supaya lebih berdaya saing dan dapat meningkatkan ranking mereka berbanding universiti lain di dunia, maka Kerajaan akan menimbangkan untuk memberi lebih autonomi dalam pengurusan kewangan, sumber manusia, pentadbiran, kemasukan pelajar dan penjanaan pendapatan. Dengan autonomi yang bertambah ini, IPTA, misalnya akan dibenarkan untuk menjana hasil pendapatan melalui penubuhan anak syarikat.

72. Bagi mencapai objektif ini, Kerajaan sedia mempertimbangkan kelonggaran peraturan dan syarat yang menyekat IPTA menjana pendapatannya sendiri.

Langkah ini akan mengurangkan kebergantungan kewangan IPTA kepada Kerajaan. Walau bagaimanapun, Kerajaan akan memastikan bahawa usaha menjana pendapatan sendiri tidak akan menjejaskan fungsi teras IPTA sebagai gedung ilmu untuk melahirkan modal insan yang berkualiti demi pembangunan ekonomi negara.

Assalamualaikum wbt..
Selamat sejahtera..
Salam Perpaduan..

Thursday, October 22, 2009

Kepimpinan Bukan Warisan


Kepimpinan bukan warisan.
Kita perlu mengetahui teori-teori kepimpinan jika mahu menjadi seorang
yang pandai dalam kepimpinan. Teori memberi penjelasan dan panduan
kepada kita. tanpa teori kita teraba-raba dalam gelita mencari jalan,
makna dan penjelasan. Teori ialah konstruk manusia yang boleh berubah
dan bukannya mutlak.

- Intisari Kuliah John MacAuley, 1991 -

Menurut John, seorang Profesor Pembangunan Organisasi dari Sheffield Business School, United Kingdom, bahawa kemodenan yang berpaksikan teori Newton sudah tercabar. Fizik baharu sudah jauh meneroka teori kompleksiti. Kepastian kelmarin mungkin sahaja diragui pada hari ini. Pada abad ini, idea bahawa para pemimpin mengetahui segala realiti sudah menjadi kolot.

Geram..!


Assalamualaikum wbt..

Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Geram!

Itu yang dapat saya ungkapkan apabila terbaca akhbar Berita Harian semalam (Rabu, 21 Oktober 2009) tentang laporan audit negara berkaitan dengan perbelanjaan sekolah dalam mengindahkan lamannya. Satu keputusan perbelanjaan yang melampau, di luar pertimbangan moral dan sangat tidak beretika bagi pihak yang bertanggungjawab ke atas peruntukan yang diberikan.


Gari mereka! Perasuah dan Pemecah Amanah!

Puluhan ribu dihabiskan semata-mata untuk pokok hiasan berbanding membangunkan generasi yang akan datang. Jumlah RM57,493 bukan sedikit bagi sebuah sekolah sekalipun mereka mendapat jutaan ringgit bagi setiap tahun untuk perbelanjaan mengurus dan lain-lain.


Gambar hiasan - Jika untuk keselesaan pelajar tidak mengapa. Elakkan pembaziran dan penyelewengan.

Pihak yang bertanggungjawab semestinya pihak tertinggi pengurusan sekolah, melibatkan pengetua dan jawatankuasa yang dilantik. Adakah mereka tidak mempunyai anak di sekolah hingga tergamak mengabaikan sudut moral dalam pertimbangan mereka? Atau adakah kerana anak mereka telah tamat persekolahan, maka sikap tidak peduli menyerlah kembali?

Jumlah tersebut mampu membiayai beberapa seminar, kem motivasi dan bengkel teknik belajar matapelajaran jika diuruskan sebaiknya. Malah turut mampu membiayai tuisyen percuma kepada pelajar yang kurang kemampuan kewangan/miskin.


Gambar Hiasan - Laman sekolah yang ringkas tetapi cantik dan sesuai untuk persekitaran antara blok bangunan

Tidak mengapa mengindahkan kawasan sekolah untuk menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif kepada pelajar. Itu yang sebaik-baiknya dilakukan. Suasana yang tidak selesa , suram, kusam dan panas agak mengganggu proses pembelajaran. Cuma yang menjadi persoalannya, mengapa kos yang dikeluarkan melebihi 500% berbanding kos sebenar? Siapakah yang mendapat lebihan tersebut? Inilah alasan untuk saya berasa geram yang amat sangat.

Jika terbukti terdapat penyelewengan, segerakan hadapkan mereka ke mahkamah. Pecat dari jawatan sedia ada, tiada gunanya untuk disimpan atau dipindahkan tempat kerja jika amanah dinodai. Sanggup memperjudikan pembangunan anak bangsa untuk sejumlah pulangan dunia yang tidak kekal selamanya.

Anti Rasuah!
Anti Pecah Amanah!

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..


Berita Harian

Sekolah beli pokok taman RM57,493

KUALA LUMPUR: Sebuah sekolah di Pasir Puteh, Kelantan membayar RM57,493 bagi membeli pokok dan tanaman seni taman secara pembelian terus daripada pembekal tempatan, termasuk bagi kerja menyelenggara, merawat dan menyiram tanaman berkenaan.

Laporan Ketua Audit Negara 2008 mendedahkan perbandingan harga dilakukan Audit dengan pembekal lain di Kota Bharu bagi perkhidmatan sama mendapati kos dikenakan itu lebih tinggi iaitu 470 peratus hingga 880 peratus, berbanding harga pasaran.

Sebagai contoh, pokok Pinang Raja setinggi enam kaki dijual dengan harga RM750 sebatang, sedangkan harga sebenarnya hanya RM85, bunga raya berharga RM350 (harga pasaran RM50) dan RM350 untuk sebatang pokok Kemboja berbanding harga pasaran RM45.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, penemuan itu adalah sebahagian hasil pengauditan dijalankan pihaknya bermula Ogos hingga Disember lalu membabitkan 80 sekolah di Sabah, Kelantan, Melaka, Kedah dan Selangor.

Beliau berkata, sebahagian besar sekolah yang diaudit juga gagal diselenggara dengan baik, menyebabkan bangunan sekolah atau infrastrukturnya tidak kondusif digunakan.

Katanya, keadaan itu berlaku akibat kurang pemantauan dan penyeliaan perunding daripada kementerian.

“Selain itu, peraturan kewangan berhubung perolehan kerja tidak dipatuhi sepenuhnya seperti bayaran dibuat bagi kerja yang gagal disiap atau tidak dibuat langsung, baucer bayaran tidak disokong dokumen berkaitan dan kos perolehan tinggi berbanding harga pasaran,” katanya.

Ambrin berkata, kementerian melantik 47 perunding swasta untuk menyedia skop kerja dan memantau kerja penyelenggaraan atau pembaikan dilakukan kontraktor sehingga Tamat Tempoh Tanggungan Kecacatan.

Katanya, perunding juga bertanggungjawab memperakukan kerja sebelum pembayaran dibuat kepada kontraktor bagi kerja diuruskan kementerian, manakala kerja penyelenggaraan dan pembaikan diuruskan sendiri Jabatan Pendidikan Negeri, daerah dan sekolah diperakukan pegawai pembangunan negeri, daerah, pengetua atau guru besar.

“Bagaimanapun, kita dapati kerja pembaikan atau penyelenggaraan di 14 sekolah bernilai RM940,000 tidak disiapkan sepenuhnya atau tidak berkualiti, tetapi semakan Audit menunjukkan bayaran sepenuhnya sudah dibuat berdasarkan perakuan perunding yang mengesahkan semua kerja disiapkan dengan sempurna.

“Selain itu, di 15 sekolah di Sabah, Kelantan, Melaka, Kedah dan Selangor, kerja bernilai RM111,533 tidak dilaksanakan langsung tetapi kontraktor sudah menerima bayaran penuh selepas perunding membuat perakuan kerja sudah disiapkan,” katanya.

Ambrin berkata, kementerian perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang memperakukan kerja yang belum disiapkan atau tidak berkualiti sebagai sudah disempurnakan kerana ia menyebabkan kerajaan terlebih membuat bayaran.

Beliau berkata, tindakan tatatertib perlu diambil jika perakuan dibuat pegawai awam, manakala syarikat perlu disenarai hitamkan jika kesalahan itu dilakukan perunding selain perlu dilapor kepada badan profesional yang mengawasinya.