Saturday, August 29, 2009

Tahun Ke-52 Kita Merdeka



Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..
Salam Kemerdekaan..

Sukacita saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Kali Ke-52 kepada semua warga UTM.

Dalam tempoh 52 tahun ini, telah banyak nikmat dan anugerah Ilahi yang 'wajib' kita syukuri sebagai seorang hamba Allah. Sama-sama kita syukuri nikmat Iman dan Islam, mensyukuri nikmat bebas dan merdeka, nikmat kesenangan dan kebahagiaan, nikmat keamanan dan kedamaian.

Saidina Umar R.A pernah terdengar doa daripada seorang lelaki ketika sedang bertawaf di kaabah. Suatu doa yang meminta sesuatu yang sangat berlainan daripada kebiasaan yang beliau dengari. Iaitu, "Ya Allah, masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit".

Saidina Umar menunggu sehingga lelaki tersebut selesai beribadat dan segera bertanya akan doa yang dipanjatkan tadi. Saidina Umar r.a ditanya kembali, "Adakah tuan mengkaji Al-Quran?". "Ya, bahkan". "Oleh itu tuan patut mengetahui bahawa Al-Quran ada menyatakan bahawa betapa sedikit golongan yang bersyukur. Maka aku berdoa agar dimasukkan dalam golongan tersebut."

Sebagai perkongsian kita, sejauhmanakah kita mensyukuri nikmat hidup merdeka selama ini dan sambutan ulang tahunnya juga berada dalam bulan Ramadan yang mulia. Adakah kita bersyukur dilahirkan dalam keluarga Islam? Bersyukur serta meredhai Islam sebagai agama dan pegangan kita..?

Sempena beradanya kita dalam bulan Ramadan yang mulia, marilah kita bermuhasabah kembali isi hati, iman serta ketakwaan kita kepada Allah S.W.T. Jadikan Islam sebagai panduan hidup yang sebenar. Kekalkan momentum Iman dan keinsafan diri yang kita perolehi sepanjang Ramadan ini. Sama-sama kita beristiqamah dengan transformasi Iman yang dicapai untuk menggapai mardhatillah (keredhaan Allah).


Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..
Salam Kemerdekaan..

Thursday, August 27, 2009

Sunday, August 16, 2009

Evolusi Kepimpinan Mahasiswa UTM


Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Ketika saya mengambil keputusan menyertai MPP dalam pilihanraya yang lepas, saya telah berazam untuk cuba membantu sahabat-sahabat yang berada di atas landasan ilmu dengan sebaik mungkin. Saya telah berjanji kepada mahasiswa UTM untuk berusaha sedaya yang termampu untuk menunaikan amanah kepimpinan ini.

Akan tetapi sejauhmana ianya telah ditunaikan, hanya mahasiswa UTM yang berhak menilainya. Malah mahasiswa di luar UTM juga berhak menilainya.

MPPUTM telah berjaya meyakinkan HEP dan pentadbiran UTM untuk menggunakan perkataan 'MAHASISWA' bagi menggantikan perkataan 'PELAJAR' yang telah digunakan sekian lama. Transformasi nama ini bukan perkara yang remeh kerana ungkapan MAHASISWA sebenarnya berat untuk dipikul. Besar tanggungjawab dan peranannya.

Pelajar hanya merujuk kepada golongan yang belajar dan menuntut ilmu (bukan definisi sebenar) akan tetapi mahasiswa memerlukan kepada penekunan dan pendalaman ilmu serta menterjemahkannya untuk kebaikan manusia sejagat.

Kepimpinan mahasiswa di UTM dilihat dengan penuh hormat dan kagum oleh kepimpinan mahasiswa lain-lain universiti di Malaysia kerana kami tidak rigid dengan kumpulan 'politik' yang dibentuk. Kumpulan 'politik' ini perlu wujud untuk mengukuhkan struktur kepimpinan, meramaikan pelapis, mengembangkan ideologi kemahasiswaan dan BUKAN untuk mencambahkan permusuhan.

Disebabkan pendirian politik yang begini, MPPUTM tidak menghadapi masalah dalaman untuk diselesaikan berbanding sesetengah kampus lain. Hinggakan untuk menetapkan kabinet dan portfolio MPP yang memenangi PRK sudah cukup membebankan.

MPPUTM sedang berevolusi ke arah politik yang lebih matang dan telah mengorak langkah untuk keluar daripada kepompong yang menyempitkan peranannya selama ini. Dan evolusi ini menginspirasikan sesetengah kampus lain untuk turut sama melakukan perubahan.



Kekangan AUKU yang mencengkam telah disuarakan MPPUTM dengan jelas supaya ianya diberi perhatian oleh pak menteri. Dan AUKU juga sedang berevolusi untuk kebaikan mahasiswa berikutan dengan beberapa pindaan telah dan sedang dibuat.

Nasib mahasiswa yang terhalang menduduki bilik kuliah kerana masih dalam perbicaraan juga diutarakan. Perbicaraan yang memakan masa 7-8 tahun tanpa keputusan menghalang aktiviti keilmuan mahasiswa (walaupun ilmu sebenarnya tidak terhad di bilik kuliah).

Ilmu adalah milik semua dan mahasiswa tidak boleh dihalang mendapatkannya di bilik-bilik kuliah dan kampus universiti. Gesaan yang diutarakan kepada Dato' Saifuddin Abdullah dalam Konvensyen Kebangsaan MPP IPTA Mei 2009 menampakkan hasil apabila perbicaraan Mahkamah Majistret pada 21 Jun 2009 telah membuahkan keputusan terhadap kes mahasiswa Jun 2001.

Saya amat gembira dengan apa yang berlaku walaupun saya tidak mengenali mereka. Apa yang saya tahu, salah seorang daripada mereka adalah dari UTM. Jika perkara ini diuruskan dengan baik, saya rasa tidak perlu tunggu hingga 8 tahun. 8 tahun terhalang untuk ke bilik kuliah sedangkan hukuman yang diputuskan adalah denda RM 3,900 atau tiga(3) bulan penjara. Saya tidak mempertikaikan proses perbicaraan mahkamah cuma mungkin ada yang perlu diperbaiki sama ada prosiding perbicaraan atau peruntukan AUKU itu sendiri.

Nyatalah bahawa kepimpinan negara juga sedang berevolusi dengan tuntutan mahasiswa. Inilah kebajikan yang kami maksudkan. Bukan hanya dalam ruang lingkup pagar kampus, bilik kediaman kolej dan fakulti malahan mengakar ke sanubari masyarakat Malaysia.

Pada kami, politik kampus mahasiswa UTM telah mencapai tahap kematangan yang agak tinggi. Oleh itu kami berani untuk mengutarakan kepada Menteri KPT, Dato' Mohamed Khalid Nordin supaya kumpulan mahasiswa yang bertanding diisytiharkan sebagai 'Parti' (atau nama lain yang bersesuaian). Contohnya, Parti Evolusi Mahasiswa. Malah kami juga memohon dibenarkan lambang atau bendera digunakan dalam kertas undi supaya mahasiswa mengenali kumpulan mahasiswa yang bertanding.

Kami sempat mengenalpasti pola pengundian mahasiswa yang hanya bergantung kepada wajah dan penampilan yang diminati. Ini menyebabkan calon yang benar-benar berkualiti tidak terpilih. Dengan pengenalan parti dan lambang, mahasiswa diharapkan dapat menilai calon yang benar-benar berkaliber dan menilai parti mempunyai manifesto yang relevan serta kukuh sahaja untuk diundi.

Pemilihan calon yang kurang berkualiti merupakan satu kerugian kepada MPPUTM dan mahasiswa. Disebabkan pengundian yang kurang berkesan, peranan MPP tidak dapat dioptimumkan dan hasrat mahasiswa tidak dapat dicapai sepenuhnya.

Evolusi dalam kepimpinan mahasiswa yang digagaskan adalah sesuai dengan tahap kematangan mahasiswa sekarang ini. Jika tidak, kami sendiri pun tidak sanggup mencadangkan perubahan sebegini kepada kepimpinan negara. Mewujudkan parti (kumpulan mahasiswa berdaftar untuk pilihanraya kampus) diharap tidak melahirkan mahasiswa yang singkat akal dan berpuak-puak dengan partinya sendiri.

Perkataan Evolusi bermaksud perubahan secara beransur-ansur dari satu generasi ke satu generasi atau dari satu bentuk ke satu bentuk yang lebih kompleks. Dan perubahan yang kami gagaskan bukan sesuatu yang drastik kerana kebiasaannya tidak semua mampu mengadaptasi perubahan yang mengejut.

Apabila akal semakin matang, apabila pendekatan semakin bijak dan berhemah, apabila keupayaan menyelesaikan masalah semakin mantap, maka kita akan mengalami evolusi samada sedar atau tidak, supaya harapan yang diinginkan dapat dicapai dengan sebaik mungkin.

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Tuesday, August 11, 2009

Edaran Mask Keselamatan Diluluskan TNC HEP

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Dalam kami mewakili MPP ke Majlis Penutup SUKAM ke-17, kesempatan ini kami gunakan untuk menyampaikan kertas kerja permohonan peruntukan edaran Mask Keselamatan H1N1.

TNC HEP, Prof. Dr. Mohd Tajudin bin Hj. Ninggal amat gembira dengan keprihatinan MPP terhadap isu ini. Beliau tidak berlengah untuk menurunkan tandatangan bagi meluluskan kertas kerja yang dibuat.

Di sini saya lampirkan gambar yang sempat dirakam ketika beliau memberikan kelulusan selepas Majlis Penutup SUKAM berakhir.


Prof. Dr. TNC meneliti dan mengisi bahagian maklumat yang berkaitan.


TNC HEP menurunkan tandatangan meluluskan kertas kerja yang disampaikan.

Terima kasih diucapkan kepada mahasiswa yang prihatin terhadap isu ini. InsyaAllah kebajikan anda akan kami usahakan kerana ia amanah pada bahu kami.

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Majlis Penutupan SUKAM ke-17

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Pada ahad, 9 Ogos yang lepas, satu majlis makan malam Penutup SUKAM (Sukan Antara Kolej Mahasiswa) diadakan bagi merasmikan penutupan sukam dan menyampaikan anugerah kepada kolej yang memenangi acara-acara yang dipertandingkan.

Tahniah diucapkan kepada Kolej Rahman Putra (KRP) atas kemenangan keseluruhan SUKAM kali ini. Mengekalkan kemenangan tahun lepas.

Pada majlis ini saya, Hadi dan Hafizul dijemput sebagai wakil MPP. Di sini saya sertakan gambar yang sempat saya rakamkan.


Ucapan aluan daripada Pengetua KRP, Dr. Mohad Anizu sebagai penganjur SUKAM


Meja VIP yang terdiri daripada barisan pengetua dan TNC


Tetamu yang hadir terdiri daripada ajk SUKAM dan kontijen daripada setiap kolej


Ucapan perasmian penutup daripada TNC HEP. Beliau mengharapkan SUKAM akan menjadi platform mengasah bakat mahasiswa.


Majlis diadakan di Good Hope Hotel, Sri Puteri


Dr. Samsudin dari Kolej Dato Onn Jaafar atau nama lamanya K16/17 diberi penghormatan menyampaikan trofi kepada pemenang acara yang dipertandingkan.


Dr. Mohd Khalid, pengerusi Majlis Pengetua turut dijemput menyampaikan trofi kepada pemenang, diiringi Presiden MPPUTM.


KDOJ dan KTF diundi sebagai penganjur bersama SUKAM ke-18. Pasti meriah (^_^)..
Dr. Khairulzilah pengetua KTF (kiri), TNC HEP (tengah), Dr. Samsudin pengetua KDOJ (kanan).


Jawatankuasa Eksekutif SUKAM bergambar bersama barisan pengetua-pengetua kolej.


KRP bersama trofi yang dimenangi.


JKM KTF bergambar bersama trofi mereka.


TNC HEP bergambar bersama JawatanKuasa Penganjur SUKAM ke-17 dari Kolej Rahman Putra.

Tahniah kepada Kolej Rahman Putra..!

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Saturday, August 8, 2009

Khidmat Masyarakat : Membantu Yang Memerlukan..

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Hari ini saya menerima panggilan telefon daripada seorang penjawat awam. Beliau memaklumkan tentang aktiviti gotong royong yang akan dilakukan di sebuah sekolah kanak-kanak istimewa di Taman Tun Aminah.



Beliau ada menanyakan jika ada mahasiswa berminat untuk turun membantu melakukan aktiviti khidmat masyarakat. Iaitu membantu sekolah tersebut dalam aktiviti gotong-royongnya. Saya tidak dapat menjanjikan perkara tersebut melainkan akan menyampaikannya kepada mahasiswa.

Jika penglibatan MPP diperlukan, saya juga tidak dapat menjanjikan perkara tersebut. Lebih-lebih lagi MPP sedang berhadapan dengan 5 program utama yang perlu digerakkan.

Oleh itu, saya ingin memaklumkan kepada mahasiswa, persatuan dan kolej yang masih belum melakukan aktiviti khidmat masyarakat, tetapi berminat. Anda boleh menghubungi saya, Zaki 013-7011828 atau terus kepada Encik Nazri 012-7158610 jika berhasrat untuk menyumbang sedikit khidmat bakti kepada murid-murid sekolah di sana.

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Tawaran Untuk Anda..!

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Satu petang yang redup saya ter'terima' satu sms. 'Excuse Me Boss.. You Have A Text Message'. Owh..tq my henset.

Sms yang dihantar berbunyi..
Tawaran Menjadi Host di Astro Oasis di bawah kendalian Ust Zulkarnain.

Antara syaratnya ialah:
Lelaki
23 tahun ke atas
Ada pengetahuan agama
Pandai berbahasa Melayu dan Inggeris
Petah berbicara
Boleh guna peralatan IT
Ada 'rupa'
6 rancangan semuanya di dalam dan luar negara..


Macam mana anda sekalian? Berminat? Oleh kerana saya tidak dapat beri komitmen untuk program ini, maka saya buka tawaran kepada yang berminat.






















Boleh hubungi saya dan saya akan hubungkan anda dengan rakan saya tersebut. Saya tidak diberikan limit masa tapi jangan ambil masa yang panjang kepada yang berminat. Masa semakin mencemburui kita..

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Monday, August 3, 2009

Sahabatku Pergi Jua..


Saya baru mengalami peristiwa yang agak menyayat hati. Pada jumaat yang lepas, satu kemalangan melibatkan seorang pelajar tingkatan 5 berlaku selepas tamat waktu persekolahan. Mohd Shakir namanya. Dia menunggang motosikal sahabat karib beliau untuk pulang ke rumah buat sementara waktu bagi menukar pakaian sebelum ke sekolah semula untuk kelas tuisyen.






















Dalam selang waktu tersebut itulah beliau terlibat dengan kemalangan. Beliau terbabas ketika mengambil selekoh yang agak berpasir dan terjatuh di atas jalanraya. Menurut staf sekolah yang kebetulan lalu dan membantu beliau, kecederaan luaran tidaklah seteruk mana melainkan sedikit torehan dibahagian dagu.

Kemalangan yang hanya beberapa saat tersebut tidak tamat di situ. Kesannya dirasai beberapa jam kemudian. Rupanya beliau mengalami pendarahan dalaman di mana paru-paru dan perut beliau cedera dari dalam dan mengakibatkan takungan darah dalam badan.

Daripada dimasukkan ke bahagian rawatan luar, beliau dipindahkan ke ICU dan seterusnya bilik pembedahan untuk mengeluarkan darah yang terkumpul. Keadaan beliau semakin kritikal kerana sebelah paru-paru beliau tidak berfungsi dan darah yang terkumpul mengakibatkan keracunan. Pendarahan dalam perut beliau masih tidak berhenti.






















Wad ICU Selatan

Petang jumaat, 31 Julai, saya dan Elias yang turut sama menjalani Latihan Mengajar di SMTJB diminta oleh pihak sekolah untuk mengiringi lawatan pelajar yang sekelas dengan beliau. Kami tiba di hospital Sultanah Aminah jam 5 petang dan terus ke wad ICU Selatan. Rupanya di sana sudah agak ramai sahabat beliau turut menanti untuk melawat. Saya dan Elias mendahulukan sahabat beliau.

Dalam waktu menunggu giliran, saya sempat mengenali ibu beliau. Si ibu tidak kering air mata mengenangkan nasib anak yang sedang bertarung dengan maut. Malah sanak saudara lain turut berkongsi kesedihan dengan genangan air mata yang mengalir.






















(Sahabat-sahabat arwah yang menanti peluang untuk melawat)

Mohd Shakir merupakan anak yang baik dan disenangi ahli keluarga walaupun agak pendiam. Minatnya terhadap fotografi dapat dilihat melalui kamera persendirian yang bukan murah harganya. Saya juga sempat mengajar Pendidikan Jasmani untuk kelas beliau dan turut sama bermain futsal. Beliau memang pemain yang baik.

Apabila tiba giliran, saya dan Elias masuk melawat. Beliau dalam keadaan koma pada waktu tersebut dan memerlukan pemerhatian 24 jam. Bapanya sedang mengusap lembut ubun-ubun anaknya sambil tidak putus-putus berdoa. Matanya merah. Saya tidak pasti samada si bapa baru lepas menangis atau menahan sebak yang amat sangat. Hati saya tersentuh dengan keadaan tersebut. Saya cuba untuk stabilkan emosi sendiri..






















(Sahabat-sahabat arwah yang menanti peluang untuk melawat)

Jururawat yang bertugas sedang sibuk menggantikan beg darah yang sudah penuh. Jururawat menjelaskan keadaan beliau stabil tapi masih kritikal berdasarkan pendarahan yang masih belum berhenti dan mesin sokongan pernafasan terpaksa disediakan memandangkan keadaan paru-paru yang separuh berfungsi.

Perlahan-lahan saya bergerak memperkenalkan diri dan berbual dengan si bapa untuk memberikan semangat dan menenangkan beliau. Ternyata si bapa dalam keadaan sangat sedih dan entah berapa kali airmata mengalir. Si bapa cuba mengawal suaranya tapi kesedihannya tidak mampu disembunyikan.

Kemudian saya beralih ke arah beliau yang sedang terbaring. Masih koma. Disedekahkan Fatihah dan perlahan-lahan dahinya saya kucupi seraya berdoa, 'as-syifa an biiznillah'. Barisan doa terakhir yang diajar ustaz jika mendoakan orang yang sedang sakit. Dahi beliau saya rasakan agak panas. Menurut jururawat, beliau dalam keadaan demam.

Saya beransur keluar dari billik ICU untuk memberikan peluang untuk ahli keluarga dan sahabat-sahabat beliau melawat. Si bapa meminta saya agar disampai hajat supaya doa rakan-rakan beliau dipanjatkan untuk memohon keselamatan dan kesembuhan beliau. InsyaAllah janji saya .

Lawatan saya tamatkan kerana sudah lewat petang. Keesokkannya tahlil dibuat oleh semua pelajar untuk memohon kesembuhan dan diperpanjangkan umur beliau.

Rupa perancangan Allah lebih besar. Umur beliau tidak panjang dan telah dipanggil Ilahi pada Ahad, waktu tengahari yang cerah. Saya dan Elias bersama 4 orang pelajar bergegas ke rumah mayat Hospital Sultanah Aminah kerana diberitakan mayat arwah masih di sana.






















Dua orang guru di hujung barisan. Ustaz Sofian dan Cikgu Mazlan (bersongkok), Elias disebelah ustaz dan saya. Kami sedang menantikan mayat dihantar untuk dimandikan.

Di sana hati saya tersentuh melihatkan seorang kanak-kanak dalam lingkungan 9-10 tahun tidak henti-henti menangis. Rupanya si adik tersebut merupakan adik si arwah dan mereka hanya dua beradik sahaja. Tidak dapat saya bayangkan kesedihan seorang adik yang kehilangan seorang abang untuk bermanja dan bergurau senda. Hati saya sebak dan mata mula bergenangan air..

Sambil menunggu, saya berlegar-legar di hadapan pintu bilik mayat untuk melihat kelibat mayat arwah Mohd Shakir. Seketika kemudian sebuah troli ditolak masuk dan tanpa membuang masa saya melangkah masuk ke bilik mayat tersebut. Memang tidak silap agakan saya, itu memang mayat arwah. Satu peluang saya dapat berada dalam bilik mayat tersebut kerana dapat membantu memindahkan mayat untuk dimandikan. Dapat mengangkat walaupun seketika tidak mengapa asalkan wajah arwah Mohd Shakir, salah seorang pelajar saya dapat saya tatapi. Tenang sekali wajahnya. Saya keluar seketika kerana mayat akan dimandikan.

Selesai proses mandi dan kafankan, kami bersama ahli keluarga dan sahabat arwah sama-sama melakukan solat jenazah sebelum di bawa pulang ke rumah. Si adik saya lihat memandang mayat si abang dan memalingkan muka, menangis lagi sambil memeluk si bapa saudara. Satu keadaan yang tidak sanggup saya lihat..






















Arwah sedang dibawa keluar dari bilik mayat. Si adik berbaju hitam sedang ditenangkan oleh bapa saudara



Mayat arwah sedang dimasukkan dalam van jenazah untuk dibawa pulang

Mayat kemudian dipindahkan ke dalam van jenazah untuk di bawa ke rumah dan kami semua mengekori ke rumah beliau. Tidak lama mayat dipindahkan ke dalam rumah, kumpulan lelaki terus ke surau kawasan perumahan beliau di Taman Sutera Biru 2, Bandar Baru Uda. Di rumah sudah ramai sanak saudara kaum wanita berkumpul.

Di surau sudah ramai sahabat arwah berkumpul, kebanyakan mereka memang pelajar SMTJB dan juga pelajar saya. Mereka saya perhatikan berbual tentang si arwah tak kurang juga yang berbual kosong. Untuk mengubah keadaan, dalam keadaan masih berwuduk dan memegang Al-Quran, saya memanggil kumpulan pelajar yang saya kenali untuk sama-sama membaca surah Yasin sambil menunggu mayat arwah untuk disolatkan disurau.

Ketika Yasin dibacakan hingga ayat ke 5, tiba-tiba datang perasaan menjadi sayu dan sebak yang amat sangat.. Air mata tidak dapat ditahan dan saya menangis ketika dalam bacaan Yasin. Saya cuba teruskan bacaan tapi penglihatan agak kabur dan suara tidak teratur. Pelajar saya di sebelah menyedari keadaan tersebut. Saya cuba menggagahkan diri untuk mengawal perasaan tetapi tetap tidak berjaya.. Akhirnya saya teruskan menangis dalam bacaan Yasin tersebut sambil memperlahankan suara yang memang tersekat-sekat..

Sesungguhnya pemergian arwah Mohd. Shakir membawa kesan pada diri saya. Walaupun pertemuan agak singkat, sempat bermain bersama-sama di padang futsal tapi saya merasakan kami sudah lama kenal. Panggilan cikgu daripada beliau masih saya ingat dan tidak dapat saya lupakan..

Tahniah Shakir..kamu berjaya membuatkan cikgu menangis untuk dirimu..

Sahabatku Munir, temanku ketika darjah dua. Pemergian mu aku tangisi..
Sahabatku Fazwan, temanku di tingkatan 5 Beta. Pemergian mu aku tangisi..
Sahabatku Aizal, temanku diploma UTMKL. Pemergian mu aku tangisi..
Sahabatku Shakir, pelajarku di SMTJB. Pemergian mu turut aku tangisi..

Sahabat-sahabatku yang telah pergi menemui Ilahi.. Ku doakan dikau bahagia di sana.. Doaku sentiasa untukmu.. Kerana daku akan menyusul jua..

Al-Fatihah..