Saturday, May 29, 2010

Mahasiswa UKM berdepan AUKU: Saya perlu campur tangan?

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor telah berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional.

Dalam PRK ini, satu insiden melibatkan penahanan mahasiswa UKM oleh pihak polis dalam dua sekatan jalanraya. Fakta kes ini saya dapatkan melalui laman referendum.com yang mana menyatakan bantahan tindakan AUKU ke atas 4 orang mahasiswa tersebut.

Walaubagaimanapun, saya tidak pasti jika HEP UKM ada mengeluarkan kenyataan untuk mengambil tindakan AUKU ke atas 4 orang pelajar tersebut. Yang pasti mereka perlu melalui proses siasatan dan perbicaraan mahkamah universiti sebelum dikenakan sebarang tindakan.

Fakta kes (www.referendum.com)

Empat orang mahasiswa jurusan Sains Politik yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi Kelab Sains Politik UKM; Sdr Hilman Idham (Presiden), Sdr Ismail Aminuddin (Naib Presiden), Sdri Azlin Shafina Adzha (Setiausaha Agung) dan Sdr Woon King Chai (Exco) telah ditahan oleh pihak polis pada 22 April 2010, di Pekan Rasa dan Ampang Pecah semasa berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Perlimen Hulu Selangor. Turut ditahan bersama mereka adalah 3 orang aktivis parti yang turut menaiki kenderaan yang sama (sebuah kereta dan van). Dalam penahanan itu, polis telah merampas beberapa bungkusan risalah kempen Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga CD kempen. Kemudian pada 23hb April 2010, sekitar jam 10 malam, Sdr Hilman Idham telah ditahan sekali lagi oleh pihak polis dalam sekatan jalan raya. Bersama-sama beliau adalah 4 orang aktivis yang lain. Dalam penahanan ini, polis hanya menjumpai sekeping VCD ceramah parti politik.

Pandangan Saya


AUKU Seksyen 15(5) menyatakan :

Tiada seorang pun pelajar Universiti dan tiada pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut Perlembagaan, boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan atau bangkangan terhadap :

(a) mana-mana parti politik, sama ada di dalam atau di luar Malaysia;

(b) mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahi undang-undang, sama ada di dalam atau di luar Malaysia; atau

(c) mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang ditetapkan oleh Menteri di bawah
perenggan (1)(c) dan (2)(c) sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau Universiti itu.

Jika dilihat berdasarkan fakta kes, mahasiswa terbabit berada bersama-sama aktivis parti dalam kenderaan beserta bahan kempen dua kali berturut-turut. Bagi mahasiswa intelek yang berpendidikan tinggi dan terlibat dalam pengajian politik, AUKU terlebih dahulu sepatutnya beliau fahami dan amati.

Jika kemahasiswaan dan pembelajaran di universiti mesti melibatkan pelanggaran undang-undang dan peraturan, maka jangan mahasiswa salahkan pihak kerajaan, perasuah, penjenayah, peragut, perompak, perogol dan segala jenis manusia yang membelakangkan undang-undang jika mereka sendiri tidak mempunyai integriti terhadap perundangan negara.

Nasihat saya; Jangan salahkan sejarah 70-an dalam perkara ini.

Proses pendidikan di universiti tidak menghalang untuk mahasiswa mempraktikalkan pembelajaran mereka, yang penting mahasiswa perlu berada dalam kelompok neutral iaitu non-partisan. Golongan intelektual sepatutnya merupakan golongan pemikiran yang tidak terkongkong dengan mana-mana doktrin kerana ia dikhuatiri akan menyempitkan ruang lingkup pemikiran dan keterbukaan.

Saya fikir pandangan saya ini cukup memadai untuk menyatakan saya tidak perlu campurtangan atau terlibat membuat bantahan. Pembicaraan mahkamah universiti yang mungkin 4 orang mahasiswa UKM tersebut hadapi juga merupakan proses pembelajaran kepada mereka.

Hilman, Ismail, Azlin dan Woong perlu menggunakan segala kebijaksanaan yang ada, mendapatkan sokongan dan bantuan rakan-rakan daripada jurusan perundangan untuk membantu mereka menjawab segala pertuduhan dan membuktikan mereka tidak bersalah. Bukan sekadar membuat referendum, bantahan terhadap UKM dan KPT serta memohon dibebaskan daripada pertuduhan menggunakan 'laluan politik'.

Kepada mereka, saya mengucapkan selamat menjalani dunia 'praktikal' anda dan selamat menghadapi dunia baru pembelajaran. Undang-undang bukan untuk dikesampingkan..^_^

Hanya Malaysia Bermasalah Potongan Bajet?


Satu usaha berjimat cermat telah melanda seluruh Eropah di mana kebanyakan negara sedang berusaha keras membuat potongan bajet untuk mengurangkan bajet defisit (lebihan belanja melebihi pendapatan) dan 16 negara Eropah tersebut turut berusaha menghapuskan pandangan skeptism dalam pasaran.

Bantahan terbesar dilihat berlaku di Greece tetapi mogok masih lagi menjadi berita utama di lain-lain tempat juga. Apakah tindakan yang akan digunakan oleh negara-negara Eropah dalam menghadapi perkara yang mencengkam ini?

Mungkin sedikit sorotan di bawah boleh kita perhati dan nilaikan untuk kita buat perbandingan dengan situasi di Malaysia yang mana sektor kerajaan dan perkhidmatan awam menghadapi potongan bajet 25%-30%.

GREECE

Kerajaan Greek telah berjanji melaksanakan potongan bajet yang drastik dan meningkatkan penghasilan cukai sebagai usaha untuk mendapat kepercayaan bail-out sebanyak 110 billion Euro daripada Kesatuan EU dan Dana Kewangan Antarabangsa.

* Bail-Out adalah bantuan untuk mengelakkan sesebuah organisasi jatuh bangkrup

Greece telah mula mendapatkan wang bail-out tersebut berikutan pemotongan mendadak peratus faedah pinjaman untuk menggalakkan pasaran akan tetapi akan menjadikan kos pinjaman meningkat.

*Sistem ekonomi Eropah menjadikan proses hutang sebagai kaedah untuk mendapatkan keuntungan. Ini diharamkan oleh Islam.

Sasaran mereka untuk mengurangkan bajet defisit sebanyak 13.6% daripada Pendapatan Kasar Negara (GDP) kepada bawah 3% menjelang 2014. Dalam Pakatan Kesatuan EU, mereka menetapkan 3% adalah kadar maksimum untuk bajet defisit di kalangan mereka.

Greece juga telah mula melaksanakan operasi kutipan cukai kepada mereka yang mengelak membayarnya, menghapuskan rasuah dalan pengurusan cukai dan dalam perkhidmatan awam. Ia juga turut mengurangkan skim saraan awal yang mana diwar-warkan sebelum ini. Kadar purata umur bersara ditingkatkan kepada 61.4 kepada 63.5 tahun agar kurang pengambilan pekerja baru.

Dalam pelan memotong bajet defisit sehingga 30 Billion Euro bersamaan £26 Billion (Pound) dalam tempoh sasaran tiga tahun; Greece mensasarkan untuk mengurangkan bonus kepada pekerja sektor awam, membekukan kenaikan gaji dan skim saraan sektor awam sekurang-kurangnya untuk 3 tahun, meningkatkan cukai jualan daripada 19% kepada 23%, meningkatkan cukai petrol dan diesel, alkohol dan rokok sebanyak 10%.

Langkah keras kerajaan Greece ini telah menimbulkan gelombang bantahan dalam sektor awam dan keganasan jalanan di Athens.

ITALY

Kerajaan Itali telah meluluskan potongan bajet bersederhana bernilai 34 Billion Euro untuk tahun 2011-2012. Potongan ini melibatkan 1.6% daripada GDP Itali dan mensasarkan defisit kurang 3% seperti yang digariskan Eropah.

Kerajaan Itali mensasarkan untuk memotong gaji sektor awam dan membekukan pengambilan pekerja baru. Skim saraan sektor awam dan perbelanjaan kerajaan tempatan turut menjadi sasaran. Rancangan untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang mengelak cukai turut menjadi pilihan.

Dana untuk perbandaran dan daerah dijangka akan menghadapi potongan lebih daripada 13 Billion Euro.

Untuk 3 tahun akan datang, kenaikan gaji sektor awam akan menghadapi pembekuan dan pengambilan pekerja baru akan dihentikan buat sementara waktu. Bagi 5 orang pekerja yang berhenti, hanya seorang akan diambil bekerja untuk menggantikan mereka.

*Tindakan ini saya lihat akan meningkatkan beban kerja dalam keadaan gaji tidak bertambah.

Potongan gaji akan ditingkatkan sehingga 10% dirancang untuk sektor awam yang melibatkan pembayaran yang tinggi dan potongan ini turut melibatkan Menteri dan Ahli Parlimen.

Saraan pekerja sektor awam akan ditangguhkan sehingga 6 bulan kepada sesiapa yang akan bersara dalam 2011.

Kerajaan wilayah yang menguruskan penduduk yang kurang daripada 220,000 orang akan dirombak dan distrukturkan semula dengan pembentukan badan profesional awam.

SEPANYOL

Bajet sederhana Sepanyol akan memasukkkan 5% potongan pembayaran gaji sektor awam bermula Jun ini. Kenaikan gaji akan mengalami pembekuan sehingga 2011.

Lebih daripada 6 Billion Euro akan dipotong daripada pelaburan awam dan Skim Saraan akan turut dibekukan. Secara keseluruhan, potongan perbelanjaan akan mencapai jumlah 15 Billion Euro dalam 2010-2011.

Tabungan sebanyak 2,500 Euro tunai yang dibayarkan kepada ibu muda yang dikenali 'Cek Bayi' akan ditamatkan.

Kemelesetan ekonomi yang panjang telah meningkat bajet defisit, lebih daripada 11% dan mengatasi had 3% yang ditetapkan EU.

Sektor kewangan Sepanyol telah menghadapi kawalan ketat sejak Greek mendapat Bail-Out, menimbulkan kerisauan bahawa Sepanyol akan menjadi 'garis lemah' yang seterusnya selepas Greek dalam Zon Eropah.

UK

Kerajaan campuran baru UK telah mengumumkan £6.2bn (7.2bn euros) sasaran 'simpanan' dalam tahun 2010-2011, menjadikan situasi cukup jelas bahawa ini adalah tindakan pertama dalam potongan besar bajet defisit sebanyak £156bn, iaitu 11% daripada GDP.

Potongan tertinggi daripada Kementerian adalah melibatkan Kementerian Perniagaan, Inovasi dan Kemahiran mencapai jumlah £836m.

Kerajaan baru David Cameron ini berharap untuk menbuat penjimatan yang besar dengan menangguhkan atau menghentikan kontrak dan projek melalui pemotongan kos konsultansi dan kos perjalanan dan menyerapkannya di bawah agensi sektor awam yang dikenali sebagai quangos

REPUBLIK IRELAND

Kerajaan Irish atau Republik Ireland telah membentangkan 3 bajet sederhana sejak setahun yang lepas.

Pada Disember yang lepas, bajet 2010 menunjukkan potongan perbelanjaan sebanyak 4 Billion Euro, dan pemotongan gaji semua pegawai awam sebanyak 5% dan pengurangan perbelanjaan Kebajikan Sosial. Tindakan ini meliputi potongan 760 juta Euro dalam peruntukan Kebajikan Sosial dan 960 juta Euro dalam projek pelaburan.

Faedah untuk kanak-kanak dipotong 16 Euro sebulan menjadikan kadarnya turun kepada 150 Euro sebulan dan kadar tertinggi 187 Euro sebulan.*Perbezaan nilai ini mungkin mengambilkira peringkat umur.

Cukai pelepasan karbon telah ditingkatkan kepada 15 Euro satu tan CO2.

Defisit Republik Ireland sekarang ini berada pada 12% daripada GDP dan kerajaannya mensasarkan untuk mengurangkan sehingga 2.9% menjelang 2014.

PORTUGIS

Negara Sosialis Portugis/Portugal yang dipimpin Jose Socrates telah mengumumkan bajet sederhana yang mensasarkan potongan bajet defisit sehingga 7.3% pada 2010 dan 4.6% pada 2011.

Penerimaan pembayaran gaji terbanyak di sektor awam, turut melibatkan ahli politik akan menghadapi potongan gaji 5%.

Cukai jualan akan ditingkatkan kepada 1% dan kenaikan cukai pendapatan akan melibatkan rakyat berpendapatan melebihi 150,000 Euro. Menjelang 2013 rakyat berpendapatan tinggi akan menghadapi kadar cukai sehingga 45%.

Menjelang 2013 perbelanjaan untuk ketenteraan juga akan menyaksikan potongan sehingga 40% dan kerajaan menangguhkan pelancaran dua laluan keretapi laju di antara Lisbon-Porto and Porto-Vigo.

Komen Saya

Kekangan ekonomi yang berlaku bukan sahaja melibatkan Malaysia sahaja malah turut melibatkan gergasi ekonomi dan negara-negara Eropah yang berpendapatan besar. Pemotongan bajet, perbelanjaan berhemah, peningkatan kos sara hidup, pemotongan gaji, penangguhan skim saraan, pengurangan peruntukan, peningkatan kos bahan api berlaku di mana-mana.

Saya cukup pasti bahawa kemelesetan yang berlaku bukan semata-mata melibatkan kerajaan yang memerintah malah pergerakan ekonomi dunia turut perlu diambilkira.

Keamanan dunia perlu digagaskan di semua peringkat bagi mengelakkan krisis kemanusiaan akibat peperangan berlaku kerana ia akan mempengaruhi harga bahan api yang merupakan faktor kritikal dalam menjamin kestabilan ekonomi dunia seperti kesan daripada peperangan di Iraq dan Afghanistan. Fokus kerajaan Greece dalam membasmi rasuah dan ketirisan dalam pendapatan negara merupakan fokus yang tepat untuk mewujudkan kestabilan.

Saya melihat Malaysia masih berada dalam situasi tidak selamat dari sudut ekonomi dan beban terhadap rakyat. Saya percaya analisis yang dibuat Makmal Rasionaliti Subsidi adalah tepat dan bukan angka yang dibesar-besarkan akan tetapi pelaksanaannya tidak sesuai untuk 3 tahun akan datang.

Fokus Model Ekonomi Baru berasaskan inovasi dan kreativiti dilihat akan banyak memanfaatkan golongan berpendidikan tinggi semata-mata; melainkan produk cadangan daripada Intelektual Property itu dikomersialkan oleh sektor industri dan membuka banyak ruang dan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Friday, May 28, 2010

Teguhkan Pendirian, Mahasiswa Jauhi Perjudian

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Masyarakat Malaysia terutamanya yang beragama Islam telah memberikan pelbagai reaksi dengan keputusan di pihak Kementerian Kewangan yang meluluskan lesen perjudian sementara kepada Kumpulan Berjaya Corporation bagi tujuan mengekang perjudian tidak terkawal untuk Piala Dunia 2010 yang akan datang.

Keputusan ini saya percaya bukanlah dibuat oleh Kementerian Kewangan semata-mata, malah pastinya melibatkan ramai pihak pembuat dasar. Cuma ianya diputuskan melalui platform Kementerian Kewangan sebagai pihak pengeluar lesen.

Lesen perjudian ini mendapat reaksi berbagai pihak. Rata-ratanya bersifat tentangan, tidak setuju dan memohon pertimbangan semula. Dan saya berpendapat pihak kerajaan perlu menimbangkan semula pemberian lesen judi tersebut untuk mewujudkan struktur masyarakat yang lebih baik dan tidak bergantung kepada tuah nasib semata-mata untuk mendapatkan keuntungan.

Perjudian adalah tindakan untuk mendapatkan untung tanpa usaha yang jelas dan berdasarkan kepada nasib semata-mata. Malah nasib milik seseorang manusia tidak mampu dikawal oleh mereka sendiri. Perjudian mewujudkan sikap bergantung harap kepada sesuatu yang tidak pasti walaupun mereka berjudi berdasarkan prestasi sesebuah pasukan bola sepak sebelum perjudian dibuat.

"Brazil akan menang ke atas Argentina malam ini. Aku bertaruh RM1,000".

"China akan kalah malam ni. Kalau dia kalah lebih daripada 3 gol, kau kena bayar aku RM1,000 atau aku yang bayar kau RM1,000 kalau China kalah kurang 3 gol. Yang penting China kalah. Setuju?"

Di atas adalah beberapa dialog yang digunakan oleh beberapa manusia yang berjudi dalam keadaan lesen judi belum diluluskan. Bagaimana pula generasi anak remaja juga adik-adik saya jika mereka mendapat tahu bahawa "JUDI TELAH DIHALALKAN BUAT SEMENTARA WAKTU.."

Adakah kita telah kelabu mata dengan angka jumlah perjudian yang menjangkau RM6 billion? Berapakah sasaran cukai untuk pihak Kementerian Kewangan kutip... 12.5%? 25%? Atau berapa..? Jika kita ikhlas untuk mengekang perjudian, sewajarnya tidak kutipan cukai dikenakan. Dan tiap-tiap manusia yang beragama Islam yang membuat urusniaga perjudian diberikan artikel ringkas pengharaman judi supaya mereka sedar tindakan mereka tidak diredhai Allah SWT. Mungkin sebelum ini mereka tidak mendapat pendidikan Islam yang sempurna dan tidak mengetahui pengharaman judi secara jelas. Di sini unsur-unsur pendidikan perlu dimasukkan walaupun hampir mustahil untuk dilaksanakan melainkan kaedah lebih praktikal difikirkan.

Kita perlu berfikir...Sejauhmana hasil cukai ini dapat mengekang pergaduhan rumah tangga bagi pihak yang kalah? Sejauhmana hasil cukai ini dapat menampung belanja makan pelajar sekolah yang mana ayah mereka telah kalah berjudi?

Jika hasil cukai judi ini cukup menguntungkan, adakah ia akan disatukan dalam kantung negara untuk diagih-agihkan bagi tujuan pendidikan, pembangunan, ekonomi dan keselamatan negara? Malaysia akan dibangunkan dengan hasil perjudian 'HALAL'?

Saya membayangkan kesan berantai (Domino) hasil daripada pemberian lesen ini. Menyoroti kesan kenaikan harga minyak, harga barangan masih belum turun sekalipun harga petrol dan diesel telah diturunkan sejak lebih 6 bulan yang lepas. Bagaimana pula dengan kesan kepada struktur masyarakat dari segi sosial dan kerohanian jika perjudian diberi nafas baru dan diwar-warkan melalui media secara terbuka.. Adakah ini satu kaedah promosi secara tidak langsung?

Mahasiswa perlu bersuara dalam hal ini dan penjelasan serta fakta perlu dikongsikan dengan pemimpin mahasiswa oleh Kementerian Kewangan untuk kita sama-sama mencari jalan penyelesaian yang lebih konkrit, bukan bersifat keuntungan sementara tapi akhirnya terseksa dan merana.

Oleh itu, saya mewakili rakan-rakan mahasiswa UTM bertegas meminta Kementerian Kewangan agar menimbangkan untuk menarik semula pemberian lesen judi kepada mana-mana syarikat yang telah diluluskan atau mana-mana syarikat dalam proses diluluskan lesen judi bersempena Bolesepak Piala Dunia 2010 akan datang.

Diharapkan permainan sukan bolasepak yang bertujuan untuk perpaduan dan semangat kesukanan tidak dicemari oleh kempen-kempen perjudian dan pelanggaran syariat secara berlesen oleh mana-mana pihak.

Juga seruan saya kepada mahasiswa seluruh IPTA dan IPTS; Jauhilah perjudian!

Saturday, May 1, 2010

UTM : Jenama Yang Dipercayai

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

April pada saya merupakan bulan yang cukup cemerlang kepada UTM atas rezeki yang tidak putus-putus yang diterimanya. InsyaAllah ini semua merupakan tanda-tanda keredhaanNya atas usaha ilmuwan dan cendiakawan yang tidak mengenal penat lelah membangunkan gedung ilmu untuk agama, bangsa dan negara. Amat sesuai sekali cogan kata yang digunakan UTM, 'Kerana Tuhan, Untuk Manusia'.

Saya dengan berbesar hati ingin mengucapkan TAHNIAH kepada seluruh staf akademik, staf sokongan dan mahasiswa UTM yang telah banyak membantu membangun dan mengangkasakan nama UTM sehingga mendapat Anugerah Harta Intelek Negara 2010.

Juga saya dengan berbesar hati sekali lagi mengucapkan TAHNIAH kepada atas pencapaian UTM mendapat pengiktirafan Reader's Digest Trusted Brands 2010 (Gold Award). Anda boleh rujuk pada Reader's Digest keluaran Mei pada muka surat S78-S79.