Sunday, September 19, 2010

Sudut Pidato: Mahasiswa masih belum bersedia?

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan 1Malaysia..

Sudut pidato telah dibenarkan semula sejak hampir setahun lalu dan ramai berpendapat bahawa kerajaan makin terbuka untuk melihat aktivis mahasiswa kembali segar berpencak kata dan minda secara aktif dalam kelompok masayarakat.

Saya dapat melihat dan mengesan sedikit perubahan dalam luahan rasa rata-rata masyarakat dan para graduan yang telah bergraduasi sejak 20 tahun lepas. Di mana nada suara mereka menampakkan sedikit kelegaan dan rasa puas apabila hak mahasiswa untuk bersuara dibuka satu 'anak tangga' lagi.

Sejak berlakunya gerakan mahasiswa pada tahun 70-an, suara gerakan mahasiswa yang terlalu aktif menimbulkan sedikit 'kegerunan' pihak kerajaan terhadap mereka. Isu kemiskinan di Baling antara yang menjadi titik tolak kebangkitan mahasiswa. Gerakan mereka dihadkan dan berlaku penangkapan dan pemenjaraan aktivis mahasiswa apabila kestabilan sosial, keselamatan, aktiviti ekonomi dan kestabilan pentadbiran negara menjadi perkiraan.

Akan tetapi kontra turut berlaku di sesetengah universiti apabila pencapaian akademik sesetengah mahasiswa merudum teruk dan aktivisme mereka dalam bersuara bagi pihak masyarakat dikaitkan. Malah ada juga suara yang mempersoalkan kenapa hanya pencapaian akademik mahasiswa bumiputera merudum teruk dan mahasiswa bukan bumiputera kekal dengan kecemerlangan mereka? Adakah pensyarah bukan bumiputera melakukan sabotaj terhadap mahasiswa bumiputera?

Saya mengetahui sedikit sebanyak persoalan yang berlegar dalam perkara di atas. Akan tetapi, oleh kerana belum menemui sumber rujukan yang sahih maka saya tidak bercadang menulis panjang dan hanya menganggap itu semua telah menjadi lipatan sejarah. Tapi kita masih perlu belajar daripada sejarah agar pisang tidak berbuah 2 kali. Seorang Muslim juga tidak wajar dipatuk ular 2 kali dalam lubang yang sama.

Kenapa mahasiswa masih belum sepenuhnya menggunakan sudut pidato? Apa yang membuatkan mereka tidak merasa mahu berdiri di khalayak ramai dan memberikan pidato mereka terhadap masyarakat intelek di kampus? Adakah mereka takut dikritik? Atau mereka tiada sesuatu apa pun untuk disampaikan kepada warga kampus? Prosedur menjadi halangan?

Saya berpeluang untuk duduk semeja bersama Dato Saifuddin Abdullah ketika makan tengahari selepas tamat sesi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan 2010 (MPPK 2010). Isu sebuah universiti yang menetapkan berbagai pra-syarat untuk mahasiswa berpidato dibangkitkan oleh seorang pegawai KPT. Dato Saifuddin yang berportfolio Timb. Menteri 2 (Hal Ehwal Pelajar) secara spontan meminta Prof. Azali, Pengarah HEP KPT agar menegur IPTA tersebut supaya mengurangkan karenah birokrasi dan memudahkan proses mahasiswa berpidato.

Tidak perlu teks awal dan tidak perlu menetapkan samada dwi bahasa ataupun tidak. Terpulang kepada mahasiswa yang mahu berpidato. Jika terlalu banyak birokrasi terlibat, mahasiswa yang berminat pasti akan hilang mood untuk berpidato dan akhirnya pentas yang dibina akan terbengkalai begitu sahaja.

Suka untuk saya ingatkan kepada mahasiswa bahawa sudut pidato bertujuan untuk memberi peluang kepada mahasiswa untuk bersuara kepada masyarakat kampus. Jika mahu bersuara kepada masyarakat Malaysia, kolum-kolum akhbar banyak tersedia seperti Varsiti Berita Harian, Helo Kampus Utusan Malaysia, Suara Siswa Harian Metro dan lain-lain. Dunia maya juga tidak terhad dengan ruang untuk bersuara dalam blog, facebook, twitter, myspace dan banyak lagi. Oleh itu saya ingin menafikan bahawa mahasiswa tidak diberi peluang untuk bersuara.

Jika ingin menyentuh isu-isu sensitif, saya menyarankan anda benar-benar mendalami isu dan tidak sekadar menulis dan bersuara atas dasar rasa mahupun agak-agakan semata-mata. Perkara sebegini perlu diperhalusi dan diolah sebaik mungkin untuk mengelakkan ketegangan yang tidak sepatutnya berlaku. Juga jika ingin menyentuh isu-isu melibatkan sesetengah pihak atau individu tertentu kerana anda perlu bertanggungjawab terhadap apa yang anda tulis atau suarakan. Saya bukan ingin menakut-nakutkan akan tetapi ini realiti dunia hari ini bahawa kita tidak boleh dengan mudah menghentam orang dan kemudian berjalan seperti orang yang tidak bersalah.

Kepada yang menyatakan mahasiswa disekat, ingin saya nyatakan bahawa anda perlu menyahbuangkan sekatan minda yang masih ada dalam kepala saudara mahupun saudari. Dunia telah berubah dan begitu juga sepatutnya anda. AUKU pindaan 2009 telah melibatkan banyak perubahan dan sesetengah perkataan diganti agar maksudnya lebih murni, jelas dan memberi banyak peluang kepada mahasiswa.

Hak-hak mahasiswa dalam AUKU dijamin oleh YAB Menteri KPT, Dato Seri Mohamed Khaled bin Nordin dan mahasiswa boleh menterjemah dan melaksanakan idealisme, aktivisme dan inteletualisme mereka dengan bebas dalam ruang yang telah disediakan. Tidak perlu untuk kita mencipta berbagai-bagai alasan bahawa mahasiswa masih disekat. Pertimbangkan juga bahawa MUNGKIN kita yang menyekat diri sendiri. Fikir-fikirkanlah..


Selamat Hari Raya Kepada Semua Sahabat ^_^



Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan 1Malaysia..

Di kesempatan ini ingin saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh warga UTM. Terutamanya kumpulan Pentadbiran UTM yang telah banyak menyumbang tenaga menguruskan UTM sebaik mungkin. Juga kepada staf-staf pejabat Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni (HEMA) yang banyak memberi kerjasama dalam menyediakan pengurusan kebajikan mahasiswa.

Penghargaan Aidilfitri ku yang tak terhingga kepada rakan-rakan MPMUTM dan mahasiswa UTM yang sentiasa menjadi tulang belakang dan menyokong perjuangan untuk kebajikan dan kepimpinan mahasiswa di peringkat UTM mahupun di peringkat kebangsaan.

Saya ingin mohon maaf Zahir dan Batin di atas segala kekurangan dan kelemahan sepanjang saya memegang amanah ini. Dan teguran serta tunjuk ajar amat saya harapkan agar aspirasi (harapan) mahasiswa UTM dalam kepimpinan ini tercapai dan terlaksana dengan sebaik mungkin.

Aidilfitri merupakan hari perayaan kemenangan bagi umat Islam dan sewajarnya perayaan ini dapat menambahkan tawadhuk kita kepada Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Tuhan Yang Berkuasa Menghidup dan Mematikan, Yang Menentukan Rezeki dan Umur kita, manusia yang lemah dan sentiasa perlukan pertolonganNya.

Semoga tarbiyyah Ramadhan dapat membantu memperbaiki diri kita agar lebih bersedia untuk menyambut Ramadhan yang akan datang. Semoga kita semua diperpanjangkan umur hendakNya agar masih berpeluang menggali nikmat Iman dan Islam dalam bulan yang penuh rahmat dan dalam malam yang lebih baik daripada 1000 bulan.

Semoga kita semua dapat bertemu dan beramah mesra dalam sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat UTM pada 21 Sept 2010 ini. Wal billahi taufik wal hidayah.

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan 1Malaysia