Friday, October 22, 2010

Islamic Fashion Festival: Kecuaian Datin Rosmah Amat Dikesali

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam 1Malaysia..

Pada 9 Ogos 2010, satu acara yang dinamakan Islamic Fashion Festival (IFF) Gala Dinner and Fashion Show telah dianjurkan di Monaco Sporting Club di Monte Carlo, Las Vegas. IFF ini dirasmikan oleh Datin Rosmah yang merupakan isteri kepada YAB Perdana Menteri.

Dalam acara ini, pertunjukan fesyen yang kononnya mencerminkan fesyen Islam telah ditonjolkan dengan harapan untuk mengkomersialkan fesyen busana muslimah.

Akan tetapi amat dikesalkan kerana pihak penganjur seakan-akan amat tidak berhati-hati dengan fesyen yang dipamerkan dan menimbulkan fitnah terhadap amalan berpakaian dalam Islam itu sendiri.

Saya fikir dalam festival ini, Datin Rosmah hanyalah seorang perasmi sahaja dan keseluruhan acara festival ini dikendalikan pihak lain seperti Dubai French Fashion daripada University Esmod dan lain-lain yang terlibat.

Sebagai pihak yang prihatin untuk memperkembangkan bidang perniagaan berkaitan busana muslim, Datin Rosmah sepatutnya lebih berhati-hati dan cakna dengan fesyen 'Islamic' yang cuba beliau tonjolkan. Lebih-lebih lagi beliau merupakan wanita pertama Malaysia yang beragama Islam.

Persoalan tatacara berpakaian dalam Islam mempunyai disiplinnya yang tersendiri, tidak sekadar mengenakan kain ke tubuh badan sahaja. Disiplin dan pendefinisian aurat dalam bentuk tampak kulit, bentuk badan dan bertudung menutup rambut merupakan perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam mengembangkan fesyen 'Islamic'.

Kecuaian dalam persoalan aurat boleh menimbulkan fitnah terhadap fesyen dan tatacara berpakaian dalam Islam.

Oleh itu, saya Muhammad Zaki bin Omar, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM, mewakili Mahasiswa UTM menyatakan kekesalan di atas pencemaran fesyen berpakaian atas nama Islam yang berlaku dalam Islamic Fashion Festival yang baru sahaja berlangsung di Monte Carlo.

Datin Seri Rosmah Mansor sebagai perasmi majlis IFF perlulah tampil ke media untuk memberi penjelasan kepada umat Islam di Malaysia, mengenai pencemaran imej berpakaian wanita Islam dalam IFF. Penjelasan ini amat wajar kerana beliau membawa imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam dalam acara tersebut.

Sekali lagi saya menyatakan kekesalan dan kekecewaan kami di atas tindakan pemimpin kami yang tidak berhati-hati dalam melakukan sesuatu atas nama agama Islam, yang juga merupakan agama rasmi di Malaysia.



Friday, October 15, 2010

Bajet 2011: Kenyataan Akhbar Presiden MPMUTM




Bajet 2011 Meningkatkan Kebolehpasaran Mahasiswa

SKUDAI, 15 Oktober - Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyambut baik pembentangan Bajet 2011 oleh YAB Perdana Menteri hari ini yang memperlihatkan keprihatinan pihak kerajaan untuk membangunkan graduan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan pasaran negara.

Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPMUTM) Muhammad Zaki Omar berkata, sebagai aset negara pada masa akan datang modal insan yang dilahirkan diharap dapat membantu menjayakan Model Baru Ekonomi yang berasaskan kekuatan ilmu dan penciptaan harta intelek melalui hasil penyelidikan.

Kejayaan melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi membolehkan mereka berdikari dan membolehkan mereka mencari pekerjaan di peringkat global tanpa bergantung kepada kerajaan.

Rancangan kerajaan untuk melahirkan graduan seperti ini boleh dicapai menerusi usaha meningkatkan bilangan pensyarah yang berkelulusan ijazah Doktor Falsafah kepada 75% di universiti penyelidikan dan sebanyak 60% di IPTA.


####

Oleh:

Muhammad Zaki Omar

Presiden,

Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM

013-7011828

Thursday, October 14, 2010

Saya Menantikan Bajet 2011

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Hari ini tepat jam 4 petang, YAB Perdana Menteri akan membentangkan Bajet 2011. Jika dilihat dalam akhbar hari ini, telah banyak penulisan yang mewar-warkan pembentangan ini.

Bajet ini akan memperlihatkan sejauhmana usaha pihak kerajaan memperbaiki kesilapan-kesilapan lepas dan mengutamakan kepentingan rakyat selaras dengan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

Slogan ini pada saya cukup penting untuk mentransformasikan halatuju berfikir kakitangan kerajaan dalam berkhidmat. Pihak kerajaan Malaysia juga telah memperkenalkan KPI, NKRA NKEA dalam memperbaiki prestasi perkhidmatan mereka kepada rakyat.

Model Baru Ekonomi (MBE) juga diperkenalkan sebagai satu usaha transformasi ekonomi. Satu transformasi ekonomi yang kini berasaskan produktiviti industri, ke arah ekonomi berasaskan kekuatan ilmu dan kemahiran melalui harta intelek dan tenaga kerja mahir. Atas sebab itu, pelaburan dalam Research And Development (R&D), pemantapan institusi pengajian tinggi, penerapan kemahiran vokasional dan budaya keusahawanan di kalangan rakyat adalah satu keperluan mendesak.

Ekonomi tradisional berasaskan pertanian dan perindustrian bukan lagi menjadi kekuatan Malaysia. Pertanian telah mula diambilalih oleh Thailand, Indonesia, Kemboja. Pelaburan perindustrian telah beralih ke China, India dan Korea Selatan. Walaubagaimanapun, Malaysia masih diberi peluang dalam perindustrian berteknologi tinggi, akan tetapi ketidakmampuan memberi jaminan tenaga kerja mahir menyebabkan syarikat-syarikat sebegini terpaksa memilih negara lain.

Bajet ini juga akan menjadi penanda aras kepada kemampuan YAB PM yang juga Presiden UMNO dalam mengembalikan sokongan rakyat kepada parti pemerintah selepas isyarat getir yang disampaikan melalui PRU ke 12, tahun 2008. Jika UMNO masih belum berubah, jangan salahkan rakyat apabila tidak lagi ber'terima kasih' kepada mereka.

Apabila kita berada dalam keadaan terdesak, tertekan dan terancam barulah kita terfikir untuk berbuat sesuatu bagi mengekalkan situasi selesa yang diperolehi sebelum ni. Zon selesa juga merupakan satu 'silent threat' yang tidak boleh diabaikan. Apabila terlalu selesa, manusia akan kurang berjaga-jaga.

Keselesaan ini juga menjadi pengajaran kepada PAS apabila kalah di Terengganu dalam PRU ke 11, tahun 2003. Jika dibangkitkan akan penipuan dan penyelewengan dalam pilihanraya, mereka perlu pertimbangkan kenapa solat hajat sempena PRU 11 di stadium Kuala Terengganu tidak mendapat sambutan rakyat berbanding PRU 10, tahun 1999.

Situasi 9 negeri BN dan 4 negeri PR ada kebaikannya juga. Kita dapat melihat bahawa Barisan Nasional berpeluang untuk bermuhasabah serta memperbaiki diri; dan kita juga dapat melihat sejauhmana Pakatan Rakyat mampu mentadbir sesebuah kerajaan seperti yang dinyatakan.

Bajet 2011 sememangnya bajet politik. Kerana politik adalah 'mentadbir' dan 'pentadbiran. Di sini rakyat boleh melihat sejauhmana sesebuah kerajaan yang dipilih untuk memimpin, berfikir untuk kepentingan rakyat yang dipimpin.

Pembangkang pula sewajarnya menjadi pihak pencadang alternatif kepada kerajaan, jika tidak dalam semua perkara, memadai dengan sesetengah isu. Ini lebih baik berbanding berusaha keras ke Putrajaya dengan segala sumber yang ada. Jika rakyat telah memberikan mandat, silakan memimpin mereka dengan aspirasi yang baru dan tunaikan manifesto yang diwar-warkan.

Dalam membangunkan negara Malaysia yang makmur untuk rakyat, usaha semua pihak amat perlu. Segala tanggungjawab tidak boleh diletakkan kepada bahu pihak kerajaan sahaja. Malah rakyat terbanyak juga perlu memainkan peranan mereka. Kerana itu, saya sangat kecewa dengan sikap rakyat Malaysia yang cuba mempermain-mainkan pihak Polis apabila ditahan dalam kesalahan trafik. Jika begitu, jangan cari polis apabila rumah anda dipecah masuk perompak.

Saya Menantikan Bajet 2011