Wednesday, August 18, 2010

Kuasai Ilmu, Nilai dan Kemahiran


Pelajar merupakan entiti penting dalam keluarga besar sesebuah universiti, selain ahli akademik atau pensyarah, pentadbir dan kakitangan sokongan. Memandangkan pelajar adalah kumpulan terbesar dan majoriti, mereka dianggap sebagai unit of analysis yang menjadi penentu kepada kejayaan sesebuah menara gading itu.

~KPI Pengajian Tinggi~

Tidak dinafikan bahawa kewibawaan universiti seringkali dikaitkan dengan mutu dan kualiti para graduan yang dihasilkannya. Oleh kerana itu juga, universiti dikehendaki mempertingkatkan kebolehpasaran graduan masing-masing.

Malah, elemen kebolehpasaran graduan merupakan petunjuk prestasi utama atau KPI paling baru untuk Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seperti mana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu pembentangan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), Jun lalu.

~Melahirkan Modal Insan Berkualiti~

Kepentingan melahirkan graduan yang berkualiti tidak semestinya sekadar memenuhi tuntutan pekerjaan semata-mata, sebaliknya dalam konteks yang lebih besar, graduan berkualiti akan menyumbang kepada kekuatan modal insan atau bakat yang diperlukan negara.

Kekuatan modal insan inilah yang akan dapat melestarikan pembangunan negara pada masa hadapan. Dalam hal ini, kita mesti menerima hakikat bahawa kekuatan sesebuah negara tidak lagi boleh bergantung kepada sumber bumi semata-mata, sebaliknya ia mesti bersandarkan kepada kekuatan modal insan yang unggul.

Ini kerana sumber bumi yang digunakan tidak akan kekal lama. Kita tidak pasti, sampai bilakah hasil kekayaan bumi ini boleh digunakan. Pendek kata, kekayaan hasil bumi bukanlah penentu kepada kejayaan sesebuah negara. Buktinya, rata-rata kumpulan negara maju di dunia adalah negara yang tidak memiliki hasil bumi yang mewah.

Lihat sahaja Jepun yang disenaraikan sebagai antara negara maju di dunia yang hakikatnya pembangunan mereka berasaskan kepada kehebatan modal insan atau lebih khususnya kepakaran anak tempatan atau indigenous.

Pelajar yang berkualiti akan menyumbang kepada penjanaan modal insan yang berkualiti. Justeru, kita percaya bahawa mereka perlu dibekalkan dengan kekuatan dan kelebihan-kelebihan tertentu supaya menjadi aset dan sumber kehebatan bagi negara.

~Ilmu Dalam Mencari Kebenaran~

Dalam hal ini, terdapat tiga elemen penting yang perlu dikuasai oleh golongan pelajar di universiti iaitu ilmu, nilai dan kemahiran. Seiring dengan tujuan pelajar datang ke universiti, pencarian ilmu adalah perkara pokok.

Penguasaan ilmu oleh pelajar amat penting kerana ilmu umpama senjata masa kini yang dapat menghasilkan kekuatan dan kelebihan. Bukan itu sahaja, ilmu yang dikuasai ibarat cahaya yang dapat menyuluh kehidupan dan 'pelita' kepada orang lain.

Melalui ilmu juga, mereka dapat mencari ketentuan dan kebenaran sekali gus menyumbang kepada pemikiran yang tepat terutama dalam membezakan sesuatu kebaikan dan keburukan. Bersesuaian dengan hakikat ilmu itu bersifat benar dan tepat, ilmu akan memandu mereka menentukan sikap dan pendirian sesuatu perkara dengan adil.

Ilmu tanpa penghayatan tidak membawa sebarang makna. Umpama pepatah mengatakan bahawa ilmu tanpa amal seperti pokok yang tidak berbuah. Maka di sinilah letaknya kepentingan nilai dan pengamalannya yang bertunjangkan kepada ketinggian ilmu.

~Mendaulatkan Nilai dan Keluhuran Budi~

Nilai-nilai seperti etika dan kerohanian amat penting untuk dijiwai oleh para pelajar kerana nilai-nilai inilah akan menyerlahkan kewibawaan mereka sebagai seorang manusia yang berperibadian tinggi.

Nilai-nilai etika seperti bertanggungjawab, berintegriti dan amanah mesti dijadikan 'pakaian' oleh para pelajar supaya di akhir nanti, mereka berupaya menjadi ikon dan ikutan golongan muda yang lain.

Pelajar yang beretika akan peduli terhadap persoalan-persoalan seperti pahala dan dosa, betul dan salah, benar dan palsu, tepat dan silap serta baik dan buruk.

Biarpun ia dianggap remeh oleh sesetengah pihak, tetapi persoalan-persoalan itulah yang banyak mempengaruhi kehidupan mereka sebagai golongan muda yang sentiasa berhadapan dengan dugaan dan persimpangan.

Nilai-nilai kerohanian yang menuntut golongan pelajar mendaulatkan sifat kemanusiaan yang tinggi juga penting. Sifat kemanusiaan ini termasuklah pemaaf, sabar, berkasih sayang, tolong menolong, toleransi dan prihatin. Pelajar yang kaya dengan nilai-nilai ini akan melahirkan manusia yang berjiwa besar yang bukan sahaja berilmu tetapi tinggi dengan keluhuran budi.

~Kemahiran Sebagai Aset~

Selain ilmu dan nilai, mereka juga perlu menguasai kemahiran selaras dengan tuntutan dan cabaran semasa. Kemahiran insaniah atau soft skills yang cukup ditekankan di universiti sememangnya bermatlamat melahirkan graduan yang kompeten dan mampu mendepani masa depan dengan baik.

Kemahiran-kemahiran tersebut seperti pemikiran kritis, kerja berpasukan, berkemahiran kepimpinan, etika dan moral profesional, keusahawanan dan pembelajaran sepanjang hayat sememangnya memberi bekalan yang ampuh untuk mereka menjadi aset kepada sesiapa sahaja.

Kita percaya, seseorang pelajar yang menguasai ketiga-tiga perkara iaitu ilmu, nilai dan kemahiran itu akan menjadikan mereka seorang yang bijaksana dan memiliki kebolehan berfikir dan bertindak.

Kelebihan ini pastinya amat penting terutama bagi mereka memahami isu-isu penting dan ini termasuklah pemahaman terhadap negaranya sendiri.

~Memahami Masyarakat Malaysia~

Sebagai golongan muda dan terpelajar, mereka perlu bersedia untuk memahami negaranya dengan penuh minat dengan cara mengetahui, menyiasat dan meneroka termasuk persoalan yang kritikal dan tiada jawapan yang tepat atau jelas.

Hal ini penting terutama bagi kita yang tinggal dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia. Universiti mesti menjadi tempat yang terbaik untuk menimba pengalaman dan melakukan percubaan serta kajian khususnya berkaitan gagasan 1Malaysia.

Ini kerana agak sukar untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran kepelbagaian atau menganjurkan masyarakat untuk menerima kepelbagaian, melainkan golongan pelajar itu sendiri mengamalkan kepelbagaian dalam persekitaran mereka.

Universiti sebagai sebahagian daripada persekitaran masyarakat dan dalam masa yang sama mempunyai masyarakatnya yang sendiri, perlu dipersiapkan dengan hakikat kepelbagaian Malaysia dan kaedah terbaik menguruskan perbezaan dengan penuh bijaksana.

Kita percaya dengan peranan yang boleh dimainkan oleh golongan pelajar dalam hal ini yang bertunjangkan ilmu, nilai dan kemahiran, ia akan meletakkan mereka bukan sahaja sekadar penerima nikmat sebaliknya pemain dan penyumbang utama kepada kesejahteraan rakyat dan negara.

~Politik Sebagai Wasilah Untuk Berbakti~

Sesungguhnya, tempoh tiga atau empat tahun dalam konteks pengajian ijazah pertama misalnya amat pendek. Justeru, dalam tempoh sesingkat itu, golongan pelajar perlu membina keupayaan yang tinggi sebelum melangkah ke pangkuan masyarakatnya. Hanya melalui ilmu, nilai dan kemahiran, mereka mampu mendepani masa hadapan dengan pertimbangan dan keputusan yang tepat.

Ini termasuklah dalam soal berpolitik. Politik memerlukan kepada kekuatan ilmu, nilai dan kemahiran. Politik tanpa ilmu, nilai dan kemahiran akan menjadikan politik itu sekadar komoditi atau bahan dagangan semata-mata untuk kepentingan tertentu.

Sebaliknya, politik wajar menjadi wasilah dan pegangan kepada kita untuk berbakti dan menyumbang. Bukan untuk kepentingan peribadi tetapi untuk kepentingan rakyat dan kesejahteraan agama dan juga negara.

Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin ialah Menteri Pengajian Tinggi. Beliau boleh dihubungi melalui e-mel mkhaled.mohe@gmail.com

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0818&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm&arc=hive

Monday, August 2, 2010

Mahasiswa Perlu Berpolitik?

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Mahasiswa adalah kelompok yang sedang diusahakan pembentukannya untuk menjadi golongan intelektual yang juga merupakan pelapis kepimpinan negara. Mahasiswa inilah yang kita harapkan untuk menjadi ahli politik, jurutera, teknokrat serta lain-lain bidang profesional yang memerlukan kepada modal insan yang tinggi kualiti dan sahsiahnya.

Baru-baru ini kita dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara bahawa mulai 1 Ogos 2010, guru DG41 dan DG48 sudah mula dibenarkan berpolitik dan wujud pula saranan supaya AUKU dipinda bagi membolehkan pensyarah serta mahasiswa turut dibenarkan untuk berpolitik. Walaupun wujud pelbagai pendapat bahawa politik tidak semestinya politik kepartian akan tetapi saya masih berpendapat bahawa keadaan masih belum sesuai untuk pindaan AUKU sebegini dibuat.

Saya bukan bermaksud untuk menentang arus dan hasrat sesetengah pihak lebih-lebih lagi hasrat YB Dato Saifuddin Abdullah untuk meningkatkan kematangan berpolitik masyarakat.

Politik bagaimana kita harapkan untuk golongan akademik ini terlibat? Menjadi calon pilihanraya, memegang jawatan dalam parti atau satu usaha untuk menggalakkan golongan akademik memberikan pendapat mereka?

Saya telah berpengalaman dalam dua kali pilihanraya kampus UTM dan turut berinteraksi dengan ramai rakan di kampus-kampus IPTA di seluruh Malaysia. Pilihanraya kampus masih menunjukkan kematangan dan kesedaran rendah di kalangan mahasiswa yang terlibat untuk memenangkan calon dan kumpulan yang disokong; samada aspirasi, bukan aspirasi serta bebas. Sekalipun dalam pilihanraya berskop kecil ini, masih berlaku provokasi, surat layang, gunting poster, bakar poster, spray pintu, rapat umum yang tegang dan kata mengata antara dua pihak. Sesetengahnya menganggap ini adalah strategi dalam memenangi pilihanraya. Semua ini berlaku di kalangan mahasiswa yang dikatakan matang dan mempunyai daya intelektual yang tinggi.

Unsur-unsur fanatik dengan kumpulan tidak dapat dielakkan sekalipun pilihanraya telah tamat hinggakan di sesetengah kampus; kabinet mahasiswa mengambil masa lebih daripada 3 bulan untuk dibentuk kerana melibatkan masalah dalaman dan ketidaksepakatan antara calon yang menang. Sedangkan mereka bukanlah kepimpinan yang akan menguruskan RM1-2billion dana apabila telah menang.

Saya bersetuju mahasiswa dan pensyarah tiada halangan untuk mengundi pihak yang mereka rasakan sesuai. Dan mereka boleh memberikan pendapat dan pandangan mereka tentang politik negara secara bebas tanpa sebarang kekangan atas dasar hak mereka dalam negara yang mengamalkan demokrasi berperlembagaan. Akan tetapi jika melibatkan politik kepartian, saya fikir ia bukanlah masa yang sesuai untuk dilaksanakan.

Saya lebih suka mahasiswa dan pensyarah berada dalam kelompok yang boleh menegur kedua-dua pihak; kerajaan mahupun pembangkang secara bebas; dalam platform mereka sebagai golongan akademik dan intelektual negara. Mereka boleh berbicara dalam seminar, forum, dialog, wacana, konferens, konvensyen dan simposium anjuran mana-mana pihak ataupun yang dianjurkan mereka sendiri di universiti masing-masing.

Tidak perlulah mereka ditarik untuk berbicara bagi pihak parti politik tertentu, atau menunjukkan mereka cenderung kepada sesetengah parti. Kita mungkin mengharapkan mereka matang berpolitik tapi adakah mereka akan lebih matang daripada jiran yang tidak bertegur sapa hanya kerana perbezaan ideologi dan parti? Yang bergaduh, bermasam muka, sindir menyindir antara satu sama lain hanya kerana perbezaan pegangan mazhab politik?

Menjadi seorang mahasiswa hanyalah 3-4 tahun sahaja dan tempoh inilah merupakan tempoh kritikal untuk mereka membina idealisme mereka sendiri, tempoh untuk mereka mengkritik parti kerajaan yang memerintah mahupun parti pembangkang tanpa perlu dikekang oleh peraturan parti. Yang paling dikesali adalah jika mereka dikekang oleh ideologi parti dan mengalami keterikatan minda tanpa mampu membantah walaupun ada perkara yang tidak mereka persetujui.

Bagaimana dengan situasi pilihanraya umum dan pilihanraya kampus akan datang apabila politik kepartian dibenarkan menjengah dan mengisi ruang-ruang kampus. Saya cuba untuk membayangkan bendera-bendera parti TIDAK akan memasuki kampus walaupun sedar bahawa ada pihak akan membuktikan dominasi politik mereka di kebanyakan kampus.

Suka untuk saya mengingatkan bahawa pilihanraya kampus tidak boleh dijadikan kayu ukur kepada perkembangan politik di luar. Sesiapa sahaja yang memenangi kerusi, daripada kumpulan mana sekalipun tidak boleh menjadi pengukur populariti sesuatu ideologi politik kerana sebahagian besar mahasiswa masih mengundi berdasarkan paras rupa, penampilan dan agenda kebajikan; bukan berdasarkan kewibawaan, idea dan buah fikiran. Walaupun ada pendapat menyatakan mahasiswa mengundi berdasarkan persepsi bahawa calon kumpulan Aspirasi adalah Pro-Kerajaan dan calon Pro-Mahasiswa adalah Pro-Pembangkang, akan tetapi masih ramai mahasiswa tidak mengenali calon-calon tersebut secara langsung.

Lihat sahaja 13 negeri di Malaysia; 9 negeri dilabel sebagai negeri BN dan 4 negeri PR. Berapa buah universiti akan diberi label selepas ini? Saya amat BERHARAP agar universiti-universiti tidak dilabel sebagai universiti UMNO, MCA, MIC, PAS, PKR, DAP mahupun BN atau PR jika idea berpolitik ini direalisasikan kerana ianya tidak akan mencambahkan keintelektualan melainkan sekadar melariskan jualan akhbar semata-mata.

Saya berpendapat adalah WAJAR jika mahasiswa dibenarkan untuk berdaftar sebagai ahli parti jika mereka telah berumur 21 tahun ke atas dan layak untuk mengundi. Akan tetapi adalah tidak wajar untuk mereka membawa pengaruh ideologi politik ke dalam kampus dalam apa saja cara sekalipun.

Penglibatan aktif pensyarah dalam politik sebagai ahli parti yang memegang jawatan dilihat wajar kerana mereka antara insan yang terlibat secara langsung dengan masyarakat; akan tetapi masih perlu kepada pemerincian yang mendalam dan kesannya kepada aktiviti akademik, aktiviti penyelidikan serta iklim politik dalam kampus. Namun saya percaya pensyarah adalah cukup matang dan profesional untuk tidak membawa politik kepartian dalam kampus kerana dikhuatiri hanya akan menimbulkan pertelagahan di kalangan pihak yang tidak sependapat.

Saya memohon kepada semua pihak; hormatilah universiti sebagai gedung ilmu dan jangan cemari kegemilangannya dengan kepentingan survival politik masing-masing bagi pihak kerajaan mahupun pembangkang. Walaubagaimanapun, AUKU tidak menghalang untuk perbincangan politik diadakan dalam bentuk ilmiah bagi tujuan akademik dan pengetahuan am.

Politik Untuk Kesejahteraan Agama, Bangsa dan Negara.