Wednesday, April 17, 2013

Saya amat menyenangi calon ini

Assalamualaikum wbt,

PRU13 hampir menjadi kenyataan. Tinggal 2 minggu sahaja lagi untuk pertarungan terhebat antara dua kumpulan politik yang dominan di Malaysia. Iaitu Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Saya belajar di UTM Johor dan ketika menjawat jawatan Presiden MPMUTM saya sering menjadikan politik Johor sebagai bahan untuk diperhatikan.

Saya tidak merasakan Dato Ghani Othman akan membawa kemajuan yang significant dalam ekonomi dan pentadbiran Johor. Pada masa itu, saya berpeluang untuk bertemu dan berbicara mengenai politik semasa dengan Datuk Seri Khaled Nordin.

Ternyata beliau berpandangan jauh, strategis dan sentiasa memikirkan hal ehwal rakyat di Pasir Gudang. Alangkah baik jika beliaulah yang menjadi MB Johor.

Saya telah menjangkakan yang BN Johor akan diuji dengan situasi politik yang genting dan kuat arusnya. Kelemahan kerajaan negeri menyelesaikan masalah tanah setinggan, kenaikan kos hidup dan peningkatan kos pemilikan hartanah akan menghimpit pemimpin politik Johor.

Sekarang ini rata-rata rakyat berada dalam mood kecewa dengan prestasi pengurusan BN. Dan mereka mahukan kelainan dalam keputusan PRU13 akan datang.

Dengan percaturan sekarang ini, jelas DS Khaled adalah senior di kalangan calon BN untuk kerusi DUN dan jelas berpotensi menjadi MB jika BN diisytiharkan menang.

DS Khaled dengan kredibiliti dan pengalaman sebagai bekas Menteri KPT dan Menteri Koperasi & Usahawan, jelas tidak dapat dinafikan kemampuan beliau untuk menyelamatkan kancah politik Johor yang dirundung krisis keyakinan rakyat.

Saya suka dengan calon DUN PERMAS ini dan saya percaya beliau mampu mengubah keadaan Johor dalam 5 tahun pertama pemerintahannya jika diberikan mandat kelak.

Tulisan ini pendek untuk menceritakan segala-galanya berkaitan hal ehwal politik. Saya hanya mampu menyentuh secebis kisah pengalaman saya sepanjang mengenali DS Khaled dan saya yakin dengan prestasi beliau sebagai seorang calon untuk rakyat Johor.

All the best Datuk Seri!

Sunday, April 10, 2011

Saya Followers ke 58 (^_^)



Jam 4.50 pagi ini ketika saya sedang menyiapkan assignment Teknologi Kejuruteraan 2, hati tertarik untuk melihat blog MPMUTM.

Blog ini telah masuk tahun ke-2 dinaik taraf menjadi ".com". Semudah menggunakan kad debit Maybank dan buat payment online kepada www.blogger.com. Kena bayar 10 USD je setahun atau RM33 pada tahun lepas. Ikut pasaran semasa. Kalau sekarang ni pasti kena bayar RM31.50 je atau 10 USD juga. Pasaran matawang semasa la katakan.


Saya lihat blog ini makin cantik mengikut keadaan semasa. Ketika blog ini dalam era transformasi sejak 2 tahun lepas, MPMUTM sedang cuba untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baru dan juga dengan situasi dalaman yang pelbagai. Untuk mendapatkan bahan untuk diisi dalam blog ini tidak semudah hanya menulis dan kemudian di'post'kan sahaja.


Dengan header yang baru, isi kandungan yang pantas diupdate dan gambar-gmabar yang menarik, blog ini menjadi semakin interaktif dan bermaklumat. Tahniah kepada MPMUTM. Barisan kepimpinan baru semestinya datang dengan semangat yang baru serta idea dan kreativiti yang baru.

Saya cukup gembira dengan barisan kepimpinan 2011 yang ada ketika ini. Pada pendapat saya adalah very selected, talented dan visionary. Mereka jelas dengan peranan dan tanggungjawab serta bersedia untuk menjayakan agenda yang telah digarap sebelum ini dengan pelbagai idea-idea baru.

Saya berharap MPMUTM terus berinovasi dalam menjaga kebajikan mahasiswa di samping mempelbagaikan budaya ilmu dalam kampus UTM samada di Johor Bahru mahupun Kuala Lumpur. Kepada mahasiswa UTM, jadikanlah MPMUTM sebagai rakan akrab anda kerana anda yang memilih mereka dan mereka juga pasti bersedia mendengar suara anda.

Tahniah kepada semua yang telah terpilih untuk memikul amanah kepimpinan ini dan tahniah juga kepada mahasiswa yang memilih mereka.

Akhirnya saya telah menjadi followers ke 58 ^_^

Politik Bagaimana Yang Kita Mahu?



Assalamualaikum..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Politik dan kepimpinan merupakan sesuatu yang perlu ada dalam setiap kerajaan mahupun institusi pentadbiran. Tanpa politik, sesuatu urusan pentadbiran tidak dapat berjalan dengan lancar kerana politik itu sendiri bermaksud mentadbir.

Dalam mentadbir, keupayaan untuk memimpin amat perlu bagi seseorang pemimpin. Bagi seorang pemimpin yang baik; karismatik, gaya bercakap, daya intelektual, idea, halatuju kepimpinan, visi dan misi yang ingin digarap dan dicapai perlu dijelaskan kepada kumpulan yang ingin dipimpin.

Hari ini negara Malaysia menuju Hari Kemerdekaan Ke 54 pada 31 Ogos 2011 akan datang. Ini bermaksud Malaysia berdiri sebagai sebuah negara yang berdaulat hampir 54 tahun. Dan dalam tempoh 54 tahun inilah negara kita telah masak dengan pahit manis asam garam kepimpinan dan politik kepartian dalam sebuah negara berpelembagaan yang mendaulatkan Yang Dipertuan Agong sebagai Raja Berpelembagaan.

Malaysia mempunyai 13 negeri yang mana 11 negeri di semenanjung dan 2 negeri di tanah borneo. 9 negeri diperintah oleh Barisan Nasional dan 4 negeri diperintah Pakatan Rakyat. Pilihan untuk memilih pemerintah-pemerintah negeri masing-masing adalah melalui proses-proses demokrasi pilihanraya. Dan diharapkan rakyat yang membuat pilihan berpuashati dengan pilihan masing-masing sekalipun parti pemerintah yang diundi tidak memenangi pilihanraya tersebut.

Kita rakyat Malaysia hidup dalam negara demokrasi, pemimpin dipilih melalui suara majoriti. Walaupun keputusan telah diperolehi, suara-suara sumbang yang tidak mengiktiraf kepimpinan yang terpilih tetap kedengaran kerana sememangnya hati manusia sukar untuk dipenuhi kehendak mereka. Tidak kira daripada penyokong mana-mana parti sekalipun.

Mungkin inilah hakikat yang perlu diterima oleh mana-mana bakal pemimpin Malaysia pada masa akan datang. Bahawa anda pasti sukar untuk memuaskan hati semua orang, tidak kira kawan atau lawan. Anda pasti disukai sesetengah orang dan anda pasti juga dibenci oleh sesetengah orang; walaupun disukai atau dibenci tanpa apa-apa sebab sekalipun.

Menjadi pemimpin dan terlibat dengan politik memerlukan persediaan mental yang kuat. Jalan tidak semestinya mudah hanya kerana kita mempunyai niat yang ikhlas untuk membantu rakyat, anak bangsa, saudara seagama semata-mata. Niat yang baik belum tentu disukai oleh orang-orang yang berkepentingan kerana ianya mungkin menutup peluang untuk meraih kepentingan peribadi mereka. Yang pasti, orang-orang yang ikhlas dan berniat baik pasti dibantu oleh Allah SWT.

Sekarang ini mungkin kita belum menjadi Good tapi suatu hari nanti insyaAllah kita akan menjadi Great! Ameen ^_^

Sunday, December 26, 2010

Tahniah Pasukan Harimau Malaya


Hari ini saya cukup gembira sepanjang berada di Kota Jakarta. Terutamanya dengan kemenangan pasukan Malaysia dalam perlawanan pertama dengan pasukan Indonesia.

3 gol berbalas 0 ke atas Indonesia menunjukkan kualiti bola sepak Malaysia bukan sembarangan. Moga diteruskan kecemerlangan dalam perlawanan kedua pada 29 Disember 2011.

Saya dan mahasiswa Malaysia di sini akan menyambut mereka di Airport Soekarno-Hatta jam 10 pagi, Isnin 27 Disember 2011. InsyaAllah akan mengambil kesempatan untuk bergambar dengan mereka.

Cuma akan sekali lagi menonton di Malaysia pula kerana akan pulang ke Malaysia jam 3 petang esok juga.

Moga pasukan Malaysia terus maju dan cemerlang.

Sunday, December 12, 2010

Ambil Peluang Tingkatkan Taraf Pendidikan


Dunia kemahasiswaan adalah berkisar tentang pembelajaran dan penguasaan ilmu sepanjang berada di menara gading. Selain itu mereka turut berusaha untuk meningkatkan kemampuan intelek, daya saing dan kebolehpasaran dalam persaingan untuk menempatkan diri dalam pasaran kerja tempatan mahupun antarabangsa.

Proses menjadi mahasiswa yang cemerlang tidak boleh bergantung kepada ilmu pengetahuan yang diperolehi dalam bilik kuliah semata-mata. Malah keterlibatan dalam aktiviti sosial dan kesukarelawanan di medan masyarakat merupakan salah satu pembelajaran tidak langsung dalam membina kekuatan sahsiah diri mahasiswa.

~Kerjaya~

Sejak 6 bulan yang lepas, telah ramai rakan-rakan saya bergraduasi mendapat kerjaya yang dicita-citakan. Dengan gaji serta pendapatan yang berpatutan, mereka terus melakar kehidupan sebagai ahli masyarakat dan memenuhi impian ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka berjaya sebagai seorang manusia. Akan tetapi tidak semua rakan saya memilih untuk terjun ke alam pekerjaan. Sesetengah daripada mereka memilih untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Dan kebanyakan mereka mengambil keputusan ini atas dasar minat dan keinginan untuk belajar yang tinggi.

~Pendidikan vs Pendapatan~

Selain daripada itu, tindakan mereka untuk menyambung pengajian juga atas dasar tidak yakin dengan peluang pekerjaan yang tidak menentu dan pembayaran upah yang tidak sepadan dengan kelulusan. Pembayaran upah yang lebih baik menuntut mahasiswa memiliki kelayakan akademik yang lebih tinggi termasuk penguasaan ilmu yang lebih mendalam dalam sesuatu bidang, terutamanya bidang kejuruteraan berteknologi tinggi.

Mahasiswa perlu menguasai kemahiran khusus dan mampu menjana ilmu pengetahuan dalam menghadapi suasana ekonomi konvensional yang tepu dan kurang menjanjikan peluang pekerjaan. Kita perlu secara bersama membina keupayaan menerokai ilmu baru melalui penyelidikan, mempatenkan penemuan ilmiah, menghasilkan idea kreatif dan melakukan inovasi pada idea yang sedia ada. Output ini boleh diterjemahkan dalam bentuk produktiviti berasaskan teknologi mahupun perkhidmatan, yang akhirnya mampu membuka era baru dalam peluang kerjaya.

~Model Baru Ekonomi vs Modal Insan~

Model baru ekonomi yang diketengahkan di Malaysia memerlukan kepada modal insan berkualiti serta mempunyai daya intelektual yang lebih ampuh. Untuk mempunyai sumber manusia sebegini, kita perlu memastikan agar lebih ramai rakyat Malaysia mempunyai taraf pendidikan yang lebih tinggi. Untuk menyokong hasrat ini, saya amat menggalakkan mahasiswa di peringkat Ijazah Sarjana Muda untuk meneruskan pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi iaitu Master dan PhD.

~MyBrain15~

Apabila KPT mengumumkan tiga program baru MyBrain15, pada pendapat saya ini merupakan langkah yang tepat dalam menjayakan Model Baru Ekonomi. MyBrain15 mensasarkan Malaysia mempunyai 24,300 pemegang PhD (MyPhd dan PhD Industri) dan 40,000 pemegang Ijazah Sarjana (MyMaster) dalam tempoh 5 tahun.

Saya dapat melihat bahawa KPT mendengar suara kami dan memahami keperluan mahasiswa apabila mengumumkan pembiayaan RM24,000 untuk program PhD dan RM10,000 untuk Ijazah Sarjana, yang menelan belanja RM2.68 billion dalam RMKe-10. Saya percaya pembiayaan ini dapat memudahkan lagi pengajian mereka yang terlibat dan mengurangkan beban kewangan yang perlu difikirkan oleh mereka.

Pada fikiran saya, KPT mengambil langkah yang tepat dengan membuka program MyPhD kepada graduan serta kakitangan swasta, dan tidak menumpukan kakitangan akademik IPT semata-mata. Dan satu langkah bijak juga apabila MyMaster turut dibuka kepada orang awam dan kakitangan swasta di samping mahasiswa turut diberi keutamaan. Langkah ini cukup baik dalam menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat serta membantu orang awam dan kakitangan swasta dalam menguasai ilmu baru seterusnya meningkatkan lagi prestasi kerja mereka.

~Mengatasi Halangan~

Oleh kerana program ini masih baru diumumkan pelaksanaannya, saya menjangkakan beberapa kekangan di peringkat awal yang perlu diberi perhatian. Saya amat mengharapkan agar pelaksanaan MyBrain15 ini berjalan lancar kerana faedahnya amat besar kepada ekonomi Malaysia dan meminta pihak IPT dapat menyediakan program-program PhD dan Master yang mencukupi. Amatlah penting kepada IPT untuk memastikan penyeliaan akademik oleh para pensyarah mencukupi dalam menampung kemasukan lebih 10,000 mahasiswa PhD dan Master setahun.

Selain itu, urusan pengesahan pendaftaran dan kemasukan perlu dilaksanakan sebaik mungkin agar urusan pembiayaan pengajian tidak tertangguh dengan agak lama dan menyukarkan urusan pembayaran yuran pengajian. Bagi mahasiswa yang mengambil pinjaman PTPTN dan kemudiaannya mengikuti program ini, sewajarnya diberi kelonggaran untuk menangguhkan pembayaran pinjaman sehingga tamat pengajian MyMaster atau MyPhD mereka. Jika penyelarasan maklumat tidak berlaku, kemungkinan besar mahasiswa ini akan menerima surat amaran dan arahan pembayaran pinjaman PTPTN yang berulang-ulang kali.

~Matlamat Dan Aspirasi~

Setelah meneliti rangka kerja dan sasaran yang ingin diraih melalui MyBrain15, saya percaya hasrat Malaysia negara maju 2020 akan dapat dicapai melalui pertambahan jumlah intelektual negara. Kita masih perlu meningkatkan nisbah jumlah doktor, jurutera, pensyarah, akauntan dan lain-lain kerjaya profesional dalam perbandingan setiap 10,000 orang rakyat Malaysia. Dalam hal ini, pelbagai strategi masih perlu dirangka dan disusun agar kualiti hidup rakyat Malaysia menjadi seiring mahupun lebih baik berbanding negara-negara rantau Asia seperti Singapura, Korea Selatan, Taiwan dan Jepun.