Sunday, December 26, 2010

Tahniah Pasukan Harimau Malaya


Hari ini saya cukup gembira sepanjang berada di Kota Jakarta. Terutamanya dengan kemenangan pasukan Malaysia dalam perlawanan pertama dengan pasukan Indonesia.

3 gol berbalas 0 ke atas Indonesia menunjukkan kualiti bola sepak Malaysia bukan sembarangan. Moga diteruskan kecemerlangan dalam perlawanan kedua pada 29 Disember 2011.

Saya dan mahasiswa Malaysia di sini akan menyambut mereka di Airport Soekarno-Hatta jam 10 pagi, Isnin 27 Disember 2011. InsyaAllah akan mengambil kesempatan untuk bergambar dengan mereka.

Cuma akan sekali lagi menonton di Malaysia pula kerana akan pulang ke Malaysia jam 3 petang esok juga.

Moga pasukan Malaysia terus maju dan cemerlang.

Sunday, December 12, 2010

Ambil Peluang Tingkatkan Taraf Pendidikan


Dunia kemahasiswaan adalah berkisar tentang pembelajaran dan penguasaan ilmu sepanjang berada di menara gading. Selain itu mereka turut berusaha untuk meningkatkan kemampuan intelek, daya saing dan kebolehpasaran dalam persaingan untuk menempatkan diri dalam pasaran kerja tempatan mahupun antarabangsa.

Proses menjadi mahasiswa yang cemerlang tidak boleh bergantung kepada ilmu pengetahuan yang diperolehi dalam bilik kuliah semata-mata. Malah keterlibatan dalam aktiviti sosial dan kesukarelawanan di medan masyarakat merupakan salah satu pembelajaran tidak langsung dalam membina kekuatan sahsiah diri mahasiswa.

~Kerjaya~

Sejak 6 bulan yang lepas, telah ramai rakan-rakan saya bergraduasi mendapat kerjaya yang dicita-citakan. Dengan gaji serta pendapatan yang berpatutan, mereka terus melakar kehidupan sebagai ahli masyarakat dan memenuhi impian ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka berjaya sebagai seorang manusia. Akan tetapi tidak semua rakan saya memilih untuk terjun ke alam pekerjaan. Sesetengah daripada mereka memilih untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Dan kebanyakan mereka mengambil keputusan ini atas dasar minat dan keinginan untuk belajar yang tinggi.

~Pendidikan vs Pendapatan~

Selain daripada itu, tindakan mereka untuk menyambung pengajian juga atas dasar tidak yakin dengan peluang pekerjaan yang tidak menentu dan pembayaran upah yang tidak sepadan dengan kelulusan. Pembayaran upah yang lebih baik menuntut mahasiswa memiliki kelayakan akademik yang lebih tinggi termasuk penguasaan ilmu yang lebih mendalam dalam sesuatu bidang, terutamanya bidang kejuruteraan berteknologi tinggi.

Mahasiswa perlu menguasai kemahiran khusus dan mampu menjana ilmu pengetahuan dalam menghadapi suasana ekonomi konvensional yang tepu dan kurang menjanjikan peluang pekerjaan. Kita perlu secara bersama membina keupayaan menerokai ilmu baru melalui penyelidikan, mempatenkan penemuan ilmiah, menghasilkan idea kreatif dan melakukan inovasi pada idea yang sedia ada. Output ini boleh diterjemahkan dalam bentuk produktiviti berasaskan teknologi mahupun perkhidmatan, yang akhirnya mampu membuka era baru dalam peluang kerjaya.

~Model Baru Ekonomi vs Modal Insan~

Model baru ekonomi yang diketengahkan di Malaysia memerlukan kepada modal insan berkualiti serta mempunyai daya intelektual yang lebih ampuh. Untuk mempunyai sumber manusia sebegini, kita perlu memastikan agar lebih ramai rakyat Malaysia mempunyai taraf pendidikan yang lebih tinggi. Untuk menyokong hasrat ini, saya amat menggalakkan mahasiswa di peringkat Ijazah Sarjana Muda untuk meneruskan pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi iaitu Master dan PhD.

~MyBrain15~

Apabila KPT mengumumkan tiga program baru MyBrain15, pada pendapat saya ini merupakan langkah yang tepat dalam menjayakan Model Baru Ekonomi. MyBrain15 mensasarkan Malaysia mempunyai 24,300 pemegang PhD (MyPhd dan PhD Industri) dan 40,000 pemegang Ijazah Sarjana (MyMaster) dalam tempoh 5 tahun.

Saya dapat melihat bahawa KPT mendengar suara kami dan memahami keperluan mahasiswa apabila mengumumkan pembiayaan RM24,000 untuk program PhD dan RM10,000 untuk Ijazah Sarjana, yang menelan belanja RM2.68 billion dalam RMKe-10. Saya percaya pembiayaan ini dapat memudahkan lagi pengajian mereka yang terlibat dan mengurangkan beban kewangan yang perlu difikirkan oleh mereka.

Pada fikiran saya, KPT mengambil langkah yang tepat dengan membuka program MyPhD kepada graduan serta kakitangan swasta, dan tidak menumpukan kakitangan akademik IPT semata-mata. Dan satu langkah bijak juga apabila MyMaster turut dibuka kepada orang awam dan kakitangan swasta di samping mahasiswa turut diberi keutamaan. Langkah ini cukup baik dalam menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat serta membantu orang awam dan kakitangan swasta dalam menguasai ilmu baru seterusnya meningkatkan lagi prestasi kerja mereka.

~Mengatasi Halangan~

Oleh kerana program ini masih baru diumumkan pelaksanaannya, saya menjangkakan beberapa kekangan di peringkat awal yang perlu diberi perhatian. Saya amat mengharapkan agar pelaksanaan MyBrain15 ini berjalan lancar kerana faedahnya amat besar kepada ekonomi Malaysia dan meminta pihak IPT dapat menyediakan program-program PhD dan Master yang mencukupi. Amatlah penting kepada IPT untuk memastikan penyeliaan akademik oleh para pensyarah mencukupi dalam menampung kemasukan lebih 10,000 mahasiswa PhD dan Master setahun.

Selain itu, urusan pengesahan pendaftaran dan kemasukan perlu dilaksanakan sebaik mungkin agar urusan pembiayaan pengajian tidak tertangguh dengan agak lama dan menyukarkan urusan pembayaran yuran pengajian. Bagi mahasiswa yang mengambil pinjaman PTPTN dan kemudiaannya mengikuti program ini, sewajarnya diberi kelonggaran untuk menangguhkan pembayaran pinjaman sehingga tamat pengajian MyMaster atau MyPhD mereka. Jika penyelarasan maklumat tidak berlaku, kemungkinan besar mahasiswa ini akan menerima surat amaran dan arahan pembayaran pinjaman PTPTN yang berulang-ulang kali.

~Matlamat Dan Aspirasi~

Setelah meneliti rangka kerja dan sasaran yang ingin diraih melalui MyBrain15, saya percaya hasrat Malaysia negara maju 2020 akan dapat dicapai melalui pertambahan jumlah intelektual negara. Kita masih perlu meningkatkan nisbah jumlah doktor, jurutera, pensyarah, akauntan dan lain-lain kerjaya profesional dalam perbandingan setiap 10,000 orang rakyat Malaysia. Dalam hal ini, pelbagai strategi masih perlu dirangka dan disusun agar kualiti hidup rakyat Malaysia menjadi seiring mahupun lebih baik berbanding negara-negara rantau Asia seperti Singapura, Korea Selatan, Taiwan dan Jepun.

Friday, October 22, 2010

Islamic Fashion Festival: Kecuaian Datin Rosmah Amat Dikesali

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam 1Malaysia..

Pada 9 Ogos 2010, satu acara yang dinamakan Islamic Fashion Festival (IFF) Gala Dinner and Fashion Show telah dianjurkan di Monaco Sporting Club di Monte Carlo, Las Vegas. IFF ini dirasmikan oleh Datin Rosmah yang merupakan isteri kepada YAB Perdana Menteri.

Dalam acara ini, pertunjukan fesyen yang kononnya mencerminkan fesyen Islam telah ditonjolkan dengan harapan untuk mengkomersialkan fesyen busana muslimah.

Akan tetapi amat dikesalkan kerana pihak penganjur seakan-akan amat tidak berhati-hati dengan fesyen yang dipamerkan dan menimbulkan fitnah terhadap amalan berpakaian dalam Islam itu sendiri.

Saya fikir dalam festival ini, Datin Rosmah hanyalah seorang perasmi sahaja dan keseluruhan acara festival ini dikendalikan pihak lain seperti Dubai French Fashion daripada University Esmod dan lain-lain yang terlibat.

Sebagai pihak yang prihatin untuk memperkembangkan bidang perniagaan berkaitan busana muslim, Datin Rosmah sepatutnya lebih berhati-hati dan cakna dengan fesyen 'Islamic' yang cuba beliau tonjolkan. Lebih-lebih lagi beliau merupakan wanita pertama Malaysia yang beragama Islam.

Persoalan tatacara berpakaian dalam Islam mempunyai disiplinnya yang tersendiri, tidak sekadar mengenakan kain ke tubuh badan sahaja. Disiplin dan pendefinisian aurat dalam bentuk tampak kulit, bentuk badan dan bertudung menutup rambut merupakan perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam mengembangkan fesyen 'Islamic'.

Kecuaian dalam persoalan aurat boleh menimbulkan fitnah terhadap fesyen dan tatacara berpakaian dalam Islam.

Oleh itu, saya Muhammad Zaki bin Omar, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM, mewakili Mahasiswa UTM menyatakan kekesalan di atas pencemaran fesyen berpakaian atas nama Islam yang berlaku dalam Islamic Fashion Festival yang baru sahaja berlangsung di Monte Carlo.

Datin Seri Rosmah Mansor sebagai perasmi majlis IFF perlulah tampil ke media untuk memberi penjelasan kepada umat Islam di Malaysia, mengenai pencemaran imej berpakaian wanita Islam dalam IFF. Penjelasan ini amat wajar kerana beliau membawa imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam dalam acara tersebut.

Sekali lagi saya menyatakan kekesalan dan kekecewaan kami di atas tindakan pemimpin kami yang tidak berhati-hati dalam melakukan sesuatu atas nama agama Islam, yang juga merupakan agama rasmi di Malaysia.



Friday, October 15, 2010

Bajet 2011: Kenyataan Akhbar Presiden MPMUTM




Bajet 2011 Meningkatkan Kebolehpasaran Mahasiswa

SKUDAI, 15 Oktober - Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyambut baik pembentangan Bajet 2011 oleh YAB Perdana Menteri hari ini yang memperlihatkan keprihatinan pihak kerajaan untuk membangunkan graduan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan pasaran negara.

Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPMUTM) Muhammad Zaki Omar berkata, sebagai aset negara pada masa akan datang modal insan yang dilahirkan diharap dapat membantu menjayakan Model Baru Ekonomi yang berasaskan kekuatan ilmu dan penciptaan harta intelek melalui hasil penyelidikan.

Kejayaan melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi membolehkan mereka berdikari dan membolehkan mereka mencari pekerjaan di peringkat global tanpa bergantung kepada kerajaan.

Rancangan kerajaan untuk melahirkan graduan seperti ini boleh dicapai menerusi usaha meningkatkan bilangan pensyarah yang berkelulusan ijazah Doktor Falsafah kepada 75% di universiti penyelidikan dan sebanyak 60% di IPTA.


####

Oleh:

Muhammad Zaki Omar

Presiden,

Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM

013-7011828

Thursday, October 14, 2010

Saya Menantikan Bajet 2011

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Hari ini tepat jam 4 petang, YAB Perdana Menteri akan membentangkan Bajet 2011. Jika dilihat dalam akhbar hari ini, telah banyak penulisan yang mewar-warkan pembentangan ini.

Bajet ini akan memperlihatkan sejauhmana usaha pihak kerajaan memperbaiki kesilapan-kesilapan lepas dan mengutamakan kepentingan rakyat selaras dengan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

Slogan ini pada saya cukup penting untuk mentransformasikan halatuju berfikir kakitangan kerajaan dalam berkhidmat. Pihak kerajaan Malaysia juga telah memperkenalkan KPI, NKRA NKEA dalam memperbaiki prestasi perkhidmatan mereka kepada rakyat.

Model Baru Ekonomi (MBE) juga diperkenalkan sebagai satu usaha transformasi ekonomi. Satu transformasi ekonomi yang kini berasaskan produktiviti industri, ke arah ekonomi berasaskan kekuatan ilmu dan kemahiran melalui harta intelek dan tenaga kerja mahir. Atas sebab itu, pelaburan dalam Research And Development (R&D), pemantapan institusi pengajian tinggi, penerapan kemahiran vokasional dan budaya keusahawanan di kalangan rakyat adalah satu keperluan mendesak.

Ekonomi tradisional berasaskan pertanian dan perindustrian bukan lagi menjadi kekuatan Malaysia. Pertanian telah mula diambilalih oleh Thailand, Indonesia, Kemboja. Pelaburan perindustrian telah beralih ke China, India dan Korea Selatan. Walaubagaimanapun, Malaysia masih diberi peluang dalam perindustrian berteknologi tinggi, akan tetapi ketidakmampuan memberi jaminan tenaga kerja mahir menyebabkan syarikat-syarikat sebegini terpaksa memilih negara lain.

Bajet ini juga akan menjadi penanda aras kepada kemampuan YAB PM yang juga Presiden UMNO dalam mengembalikan sokongan rakyat kepada parti pemerintah selepas isyarat getir yang disampaikan melalui PRU ke 12, tahun 2008. Jika UMNO masih belum berubah, jangan salahkan rakyat apabila tidak lagi ber'terima kasih' kepada mereka.

Apabila kita berada dalam keadaan terdesak, tertekan dan terancam barulah kita terfikir untuk berbuat sesuatu bagi mengekalkan situasi selesa yang diperolehi sebelum ni. Zon selesa juga merupakan satu 'silent threat' yang tidak boleh diabaikan. Apabila terlalu selesa, manusia akan kurang berjaga-jaga.

Keselesaan ini juga menjadi pengajaran kepada PAS apabila kalah di Terengganu dalam PRU ke 11, tahun 2003. Jika dibangkitkan akan penipuan dan penyelewengan dalam pilihanraya, mereka perlu pertimbangkan kenapa solat hajat sempena PRU 11 di stadium Kuala Terengganu tidak mendapat sambutan rakyat berbanding PRU 10, tahun 1999.

Situasi 9 negeri BN dan 4 negeri PR ada kebaikannya juga. Kita dapat melihat bahawa Barisan Nasional berpeluang untuk bermuhasabah serta memperbaiki diri; dan kita juga dapat melihat sejauhmana Pakatan Rakyat mampu mentadbir sesebuah kerajaan seperti yang dinyatakan.

Bajet 2011 sememangnya bajet politik. Kerana politik adalah 'mentadbir' dan 'pentadbiran. Di sini rakyat boleh melihat sejauhmana sesebuah kerajaan yang dipilih untuk memimpin, berfikir untuk kepentingan rakyat yang dipimpin.

Pembangkang pula sewajarnya menjadi pihak pencadang alternatif kepada kerajaan, jika tidak dalam semua perkara, memadai dengan sesetengah isu. Ini lebih baik berbanding berusaha keras ke Putrajaya dengan segala sumber yang ada. Jika rakyat telah memberikan mandat, silakan memimpin mereka dengan aspirasi yang baru dan tunaikan manifesto yang diwar-warkan.

Dalam membangunkan negara Malaysia yang makmur untuk rakyat, usaha semua pihak amat perlu. Segala tanggungjawab tidak boleh diletakkan kepada bahu pihak kerajaan sahaja. Malah rakyat terbanyak juga perlu memainkan peranan mereka. Kerana itu, saya sangat kecewa dengan sikap rakyat Malaysia yang cuba mempermain-mainkan pihak Polis apabila ditahan dalam kesalahan trafik. Jika begitu, jangan cari polis apabila rumah anda dipecah masuk perompak.

Saya Menantikan Bajet 2011

Sunday, September 19, 2010

Sudut Pidato: Mahasiswa masih belum bersedia?

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan 1Malaysia..

Sudut pidato telah dibenarkan semula sejak hampir setahun lalu dan ramai berpendapat bahawa kerajaan makin terbuka untuk melihat aktivis mahasiswa kembali segar berpencak kata dan minda secara aktif dalam kelompok masayarakat.

Saya dapat melihat dan mengesan sedikit perubahan dalam luahan rasa rata-rata masyarakat dan para graduan yang telah bergraduasi sejak 20 tahun lepas. Di mana nada suara mereka menampakkan sedikit kelegaan dan rasa puas apabila hak mahasiswa untuk bersuara dibuka satu 'anak tangga' lagi.

Sejak berlakunya gerakan mahasiswa pada tahun 70-an, suara gerakan mahasiswa yang terlalu aktif menimbulkan sedikit 'kegerunan' pihak kerajaan terhadap mereka. Isu kemiskinan di Baling antara yang menjadi titik tolak kebangkitan mahasiswa. Gerakan mereka dihadkan dan berlaku penangkapan dan pemenjaraan aktivis mahasiswa apabila kestabilan sosial, keselamatan, aktiviti ekonomi dan kestabilan pentadbiran negara menjadi perkiraan.

Akan tetapi kontra turut berlaku di sesetengah universiti apabila pencapaian akademik sesetengah mahasiswa merudum teruk dan aktivisme mereka dalam bersuara bagi pihak masyarakat dikaitkan. Malah ada juga suara yang mempersoalkan kenapa hanya pencapaian akademik mahasiswa bumiputera merudum teruk dan mahasiswa bukan bumiputera kekal dengan kecemerlangan mereka? Adakah pensyarah bukan bumiputera melakukan sabotaj terhadap mahasiswa bumiputera?

Saya mengetahui sedikit sebanyak persoalan yang berlegar dalam perkara di atas. Akan tetapi, oleh kerana belum menemui sumber rujukan yang sahih maka saya tidak bercadang menulis panjang dan hanya menganggap itu semua telah menjadi lipatan sejarah. Tapi kita masih perlu belajar daripada sejarah agar pisang tidak berbuah 2 kali. Seorang Muslim juga tidak wajar dipatuk ular 2 kali dalam lubang yang sama.

Kenapa mahasiswa masih belum sepenuhnya menggunakan sudut pidato? Apa yang membuatkan mereka tidak merasa mahu berdiri di khalayak ramai dan memberikan pidato mereka terhadap masyarakat intelek di kampus? Adakah mereka takut dikritik? Atau mereka tiada sesuatu apa pun untuk disampaikan kepada warga kampus? Prosedur menjadi halangan?

Saya berpeluang untuk duduk semeja bersama Dato Saifuddin Abdullah ketika makan tengahari selepas tamat sesi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan 2010 (MPPK 2010). Isu sebuah universiti yang menetapkan berbagai pra-syarat untuk mahasiswa berpidato dibangkitkan oleh seorang pegawai KPT. Dato Saifuddin yang berportfolio Timb. Menteri 2 (Hal Ehwal Pelajar) secara spontan meminta Prof. Azali, Pengarah HEP KPT agar menegur IPTA tersebut supaya mengurangkan karenah birokrasi dan memudahkan proses mahasiswa berpidato.

Tidak perlu teks awal dan tidak perlu menetapkan samada dwi bahasa ataupun tidak. Terpulang kepada mahasiswa yang mahu berpidato. Jika terlalu banyak birokrasi terlibat, mahasiswa yang berminat pasti akan hilang mood untuk berpidato dan akhirnya pentas yang dibina akan terbengkalai begitu sahaja.

Suka untuk saya ingatkan kepada mahasiswa bahawa sudut pidato bertujuan untuk memberi peluang kepada mahasiswa untuk bersuara kepada masyarakat kampus. Jika mahu bersuara kepada masyarakat Malaysia, kolum-kolum akhbar banyak tersedia seperti Varsiti Berita Harian, Helo Kampus Utusan Malaysia, Suara Siswa Harian Metro dan lain-lain. Dunia maya juga tidak terhad dengan ruang untuk bersuara dalam blog, facebook, twitter, myspace dan banyak lagi. Oleh itu saya ingin menafikan bahawa mahasiswa tidak diberi peluang untuk bersuara.

Jika ingin menyentuh isu-isu sensitif, saya menyarankan anda benar-benar mendalami isu dan tidak sekadar menulis dan bersuara atas dasar rasa mahupun agak-agakan semata-mata. Perkara sebegini perlu diperhalusi dan diolah sebaik mungkin untuk mengelakkan ketegangan yang tidak sepatutnya berlaku. Juga jika ingin menyentuh isu-isu melibatkan sesetengah pihak atau individu tertentu kerana anda perlu bertanggungjawab terhadap apa yang anda tulis atau suarakan. Saya bukan ingin menakut-nakutkan akan tetapi ini realiti dunia hari ini bahawa kita tidak boleh dengan mudah menghentam orang dan kemudian berjalan seperti orang yang tidak bersalah.

Kepada yang menyatakan mahasiswa disekat, ingin saya nyatakan bahawa anda perlu menyahbuangkan sekatan minda yang masih ada dalam kepala saudara mahupun saudari. Dunia telah berubah dan begitu juga sepatutnya anda. AUKU pindaan 2009 telah melibatkan banyak perubahan dan sesetengah perkataan diganti agar maksudnya lebih murni, jelas dan memberi banyak peluang kepada mahasiswa.

Hak-hak mahasiswa dalam AUKU dijamin oleh YAB Menteri KPT, Dato Seri Mohamed Khaled bin Nordin dan mahasiswa boleh menterjemah dan melaksanakan idealisme, aktivisme dan inteletualisme mereka dengan bebas dalam ruang yang telah disediakan. Tidak perlu untuk kita mencipta berbagai-bagai alasan bahawa mahasiswa masih disekat. Pertimbangkan juga bahawa MUNGKIN kita yang menyekat diri sendiri. Fikir-fikirkanlah..


Selamat Hari Raya Kepada Semua Sahabat ^_^



Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan 1Malaysia..

Di kesempatan ini ingin saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh warga UTM. Terutamanya kumpulan Pentadbiran UTM yang telah banyak menyumbang tenaga menguruskan UTM sebaik mungkin. Juga kepada staf-staf pejabat Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni (HEMA) yang banyak memberi kerjasama dalam menyediakan pengurusan kebajikan mahasiswa.

Penghargaan Aidilfitri ku yang tak terhingga kepada rakan-rakan MPMUTM dan mahasiswa UTM yang sentiasa menjadi tulang belakang dan menyokong perjuangan untuk kebajikan dan kepimpinan mahasiswa di peringkat UTM mahupun di peringkat kebangsaan.

Saya ingin mohon maaf Zahir dan Batin di atas segala kekurangan dan kelemahan sepanjang saya memegang amanah ini. Dan teguran serta tunjuk ajar amat saya harapkan agar aspirasi (harapan) mahasiswa UTM dalam kepimpinan ini tercapai dan terlaksana dengan sebaik mungkin.

Aidilfitri merupakan hari perayaan kemenangan bagi umat Islam dan sewajarnya perayaan ini dapat menambahkan tawadhuk kita kepada Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Tuhan Yang Berkuasa Menghidup dan Mematikan, Yang Menentukan Rezeki dan Umur kita, manusia yang lemah dan sentiasa perlukan pertolonganNya.

Semoga tarbiyyah Ramadhan dapat membantu memperbaiki diri kita agar lebih bersedia untuk menyambut Ramadhan yang akan datang. Semoga kita semua diperpanjangkan umur hendakNya agar masih berpeluang menggali nikmat Iman dan Islam dalam bulan yang penuh rahmat dan dalam malam yang lebih baik daripada 1000 bulan.

Semoga kita semua dapat bertemu dan beramah mesra dalam sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat UTM pada 21 Sept 2010 ini. Wal billahi taufik wal hidayah.

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan 1Malaysia

Wednesday, August 18, 2010

Kuasai Ilmu, Nilai dan Kemahiran


Pelajar merupakan entiti penting dalam keluarga besar sesebuah universiti, selain ahli akademik atau pensyarah, pentadbir dan kakitangan sokongan. Memandangkan pelajar adalah kumpulan terbesar dan majoriti, mereka dianggap sebagai unit of analysis yang menjadi penentu kepada kejayaan sesebuah menara gading itu.

~KPI Pengajian Tinggi~

Tidak dinafikan bahawa kewibawaan universiti seringkali dikaitkan dengan mutu dan kualiti para graduan yang dihasilkannya. Oleh kerana itu juga, universiti dikehendaki mempertingkatkan kebolehpasaran graduan masing-masing.

Malah, elemen kebolehpasaran graduan merupakan petunjuk prestasi utama atau KPI paling baru untuk Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seperti mana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu pembentangan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), Jun lalu.

~Melahirkan Modal Insan Berkualiti~

Kepentingan melahirkan graduan yang berkualiti tidak semestinya sekadar memenuhi tuntutan pekerjaan semata-mata, sebaliknya dalam konteks yang lebih besar, graduan berkualiti akan menyumbang kepada kekuatan modal insan atau bakat yang diperlukan negara.

Kekuatan modal insan inilah yang akan dapat melestarikan pembangunan negara pada masa hadapan. Dalam hal ini, kita mesti menerima hakikat bahawa kekuatan sesebuah negara tidak lagi boleh bergantung kepada sumber bumi semata-mata, sebaliknya ia mesti bersandarkan kepada kekuatan modal insan yang unggul.

Ini kerana sumber bumi yang digunakan tidak akan kekal lama. Kita tidak pasti, sampai bilakah hasil kekayaan bumi ini boleh digunakan. Pendek kata, kekayaan hasil bumi bukanlah penentu kepada kejayaan sesebuah negara. Buktinya, rata-rata kumpulan negara maju di dunia adalah negara yang tidak memiliki hasil bumi yang mewah.

Lihat sahaja Jepun yang disenaraikan sebagai antara negara maju di dunia yang hakikatnya pembangunan mereka berasaskan kepada kehebatan modal insan atau lebih khususnya kepakaran anak tempatan atau indigenous.

Pelajar yang berkualiti akan menyumbang kepada penjanaan modal insan yang berkualiti. Justeru, kita percaya bahawa mereka perlu dibekalkan dengan kekuatan dan kelebihan-kelebihan tertentu supaya menjadi aset dan sumber kehebatan bagi negara.

~Ilmu Dalam Mencari Kebenaran~

Dalam hal ini, terdapat tiga elemen penting yang perlu dikuasai oleh golongan pelajar di universiti iaitu ilmu, nilai dan kemahiran. Seiring dengan tujuan pelajar datang ke universiti, pencarian ilmu adalah perkara pokok.

Penguasaan ilmu oleh pelajar amat penting kerana ilmu umpama senjata masa kini yang dapat menghasilkan kekuatan dan kelebihan. Bukan itu sahaja, ilmu yang dikuasai ibarat cahaya yang dapat menyuluh kehidupan dan 'pelita' kepada orang lain.

Melalui ilmu juga, mereka dapat mencari ketentuan dan kebenaran sekali gus menyumbang kepada pemikiran yang tepat terutama dalam membezakan sesuatu kebaikan dan keburukan. Bersesuaian dengan hakikat ilmu itu bersifat benar dan tepat, ilmu akan memandu mereka menentukan sikap dan pendirian sesuatu perkara dengan adil.

Ilmu tanpa penghayatan tidak membawa sebarang makna. Umpama pepatah mengatakan bahawa ilmu tanpa amal seperti pokok yang tidak berbuah. Maka di sinilah letaknya kepentingan nilai dan pengamalannya yang bertunjangkan kepada ketinggian ilmu.

~Mendaulatkan Nilai dan Keluhuran Budi~

Nilai-nilai seperti etika dan kerohanian amat penting untuk dijiwai oleh para pelajar kerana nilai-nilai inilah akan menyerlahkan kewibawaan mereka sebagai seorang manusia yang berperibadian tinggi.

Nilai-nilai etika seperti bertanggungjawab, berintegriti dan amanah mesti dijadikan 'pakaian' oleh para pelajar supaya di akhir nanti, mereka berupaya menjadi ikon dan ikutan golongan muda yang lain.

Pelajar yang beretika akan peduli terhadap persoalan-persoalan seperti pahala dan dosa, betul dan salah, benar dan palsu, tepat dan silap serta baik dan buruk.

Biarpun ia dianggap remeh oleh sesetengah pihak, tetapi persoalan-persoalan itulah yang banyak mempengaruhi kehidupan mereka sebagai golongan muda yang sentiasa berhadapan dengan dugaan dan persimpangan.

Nilai-nilai kerohanian yang menuntut golongan pelajar mendaulatkan sifat kemanusiaan yang tinggi juga penting. Sifat kemanusiaan ini termasuklah pemaaf, sabar, berkasih sayang, tolong menolong, toleransi dan prihatin. Pelajar yang kaya dengan nilai-nilai ini akan melahirkan manusia yang berjiwa besar yang bukan sahaja berilmu tetapi tinggi dengan keluhuran budi.

~Kemahiran Sebagai Aset~

Selain ilmu dan nilai, mereka juga perlu menguasai kemahiran selaras dengan tuntutan dan cabaran semasa. Kemahiran insaniah atau soft skills yang cukup ditekankan di universiti sememangnya bermatlamat melahirkan graduan yang kompeten dan mampu mendepani masa depan dengan baik.

Kemahiran-kemahiran tersebut seperti pemikiran kritis, kerja berpasukan, berkemahiran kepimpinan, etika dan moral profesional, keusahawanan dan pembelajaran sepanjang hayat sememangnya memberi bekalan yang ampuh untuk mereka menjadi aset kepada sesiapa sahaja.

Kita percaya, seseorang pelajar yang menguasai ketiga-tiga perkara iaitu ilmu, nilai dan kemahiran itu akan menjadikan mereka seorang yang bijaksana dan memiliki kebolehan berfikir dan bertindak.

Kelebihan ini pastinya amat penting terutama bagi mereka memahami isu-isu penting dan ini termasuklah pemahaman terhadap negaranya sendiri.

~Memahami Masyarakat Malaysia~

Sebagai golongan muda dan terpelajar, mereka perlu bersedia untuk memahami negaranya dengan penuh minat dengan cara mengetahui, menyiasat dan meneroka termasuk persoalan yang kritikal dan tiada jawapan yang tepat atau jelas.

Hal ini penting terutama bagi kita yang tinggal dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia. Universiti mesti menjadi tempat yang terbaik untuk menimba pengalaman dan melakukan percubaan serta kajian khususnya berkaitan gagasan 1Malaysia.

Ini kerana agak sukar untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran kepelbagaian atau menganjurkan masyarakat untuk menerima kepelbagaian, melainkan golongan pelajar itu sendiri mengamalkan kepelbagaian dalam persekitaran mereka.

Universiti sebagai sebahagian daripada persekitaran masyarakat dan dalam masa yang sama mempunyai masyarakatnya yang sendiri, perlu dipersiapkan dengan hakikat kepelbagaian Malaysia dan kaedah terbaik menguruskan perbezaan dengan penuh bijaksana.

Kita percaya dengan peranan yang boleh dimainkan oleh golongan pelajar dalam hal ini yang bertunjangkan ilmu, nilai dan kemahiran, ia akan meletakkan mereka bukan sahaja sekadar penerima nikmat sebaliknya pemain dan penyumbang utama kepada kesejahteraan rakyat dan negara.

~Politik Sebagai Wasilah Untuk Berbakti~

Sesungguhnya, tempoh tiga atau empat tahun dalam konteks pengajian ijazah pertama misalnya amat pendek. Justeru, dalam tempoh sesingkat itu, golongan pelajar perlu membina keupayaan yang tinggi sebelum melangkah ke pangkuan masyarakatnya. Hanya melalui ilmu, nilai dan kemahiran, mereka mampu mendepani masa hadapan dengan pertimbangan dan keputusan yang tepat.

Ini termasuklah dalam soal berpolitik. Politik memerlukan kepada kekuatan ilmu, nilai dan kemahiran. Politik tanpa ilmu, nilai dan kemahiran akan menjadikan politik itu sekadar komoditi atau bahan dagangan semata-mata untuk kepentingan tertentu.

Sebaliknya, politik wajar menjadi wasilah dan pegangan kepada kita untuk berbakti dan menyumbang. Bukan untuk kepentingan peribadi tetapi untuk kepentingan rakyat dan kesejahteraan agama dan juga negara.

Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin ialah Menteri Pengajian Tinggi. Beliau boleh dihubungi melalui e-mel mkhaled.mohe@gmail.com

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0818&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm&arc=hive

Monday, August 2, 2010

Mahasiswa Perlu Berpolitik?

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Mahasiswa adalah kelompok yang sedang diusahakan pembentukannya untuk menjadi golongan intelektual yang juga merupakan pelapis kepimpinan negara. Mahasiswa inilah yang kita harapkan untuk menjadi ahli politik, jurutera, teknokrat serta lain-lain bidang profesional yang memerlukan kepada modal insan yang tinggi kualiti dan sahsiahnya.

Baru-baru ini kita dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara bahawa mulai 1 Ogos 2010, guru DG41 dan DG48 sudah mula dibenarkan berpolitik dan wujud pula saranan supaya AUKU dipinda bagi membolehkan pensyarah serta mahasiswa turut dibenarkan untuk berpolitik. Walaupun wujud pelbagai pendapat bahawa politik tidak semestinya politik kepartian akan tetapi saya masih berpendapat bahawa keadaan masih belum sesuai untuk pindaan AUKU sebegini dibuat.

Saya bukan bermaksud untuk menentang arus dan hasrat sesetengah pihak lebih-lebih lagi hasrat YB Dato Saifuddin Abdullah untuk meningkatkan kematangan berpolitik masyarakat.

Politik bagaimana kita harapkan untuk golongan akademik ini terlibat? Menjadi calon pilihanraya, memegang jawatan dalam parti atau satu usaha untuk menggalakkan golongan akademik memberikan pendapat mereka?

Saya telah berpengalaman dalam dua kali pilihanraya kampus UTM dan turut berinteraksi dengan ramai rakan di kampus-kampus IPTA di seluruh Malaysia. Pilihanraya kampus masih menunjukkan kematangan dan kesedaran rendah di kalangan mahasiswa yang terlibat untuk memenangkan calon dan kumpulan yang disokong; samada aspirasi, bukan aspirasi serta bebas. Sekalipun dalam pilihanraya berskop kecil ini, masih berlaku provokasi, surat layang, gunting poster, bakar poster, spray pintu, rapat umum yang tegang dan kata mengata antara dua pihak. Sesetengahnya menganggap ini adalah strategi dalam memenangi pilihanraya. Semua ini berlaku di kalangan mahasiswa yang dikatakan matang dan mempunyai daya intelektual yang tinggi.

Unsur-unsur fanatik dengan kumpulan tidak dapat dielakkan sekalipun pilihanraya telah tamat hinggakan di sesetengah kampus; kabinet mahasiswa mengambil masa lebih daripada 3 bulan untuk dibentuk kerana melibatkan masalah dalaman dan ketidaksepakatan antara calon yang menang. Sedangkan mereka bukanlah kepimpinan yang akan menguruskan RM1-2billion dana apabila telah menang.

Saya bersetuju mahasiswa dan pensyarah tiada halangan untuk mengundi pihak yang mereka rasakan sesuai. Dan mereka boleh memberikan pendapat dan pandangan mereka tentang politik negara secara bebas tanpa sebarang kekangan atas dasar hak mereka dalam negara yang mengamalkan demokrasi berperlembagaan. Akan tetapi jika melibatkan politik kepartian, saya fikir ia bukanlah masa yang sesuai untuk dilaksanakan.

Saya lebih suka mahasiswa dan pensyarah berada dalam kelompok yang boleh menegur kedua-dua pihak; kerajaan mahupun pembangkang secara bebas; dalam platform mereka sebagai golongan akademik dan intelektual negara. Mereka boleh berbicara dalam seminar, forum, dialog, wacana, konferens, konvensyen dan simposium anjuran mana-mana pihak ataupun yang dianjurkan mereka sendiri di universiti masing-masing.

Tidak perlulah mereka ditarik untuk berbicara bagi pihak parti politik tertentu, atau menunjukkan mereka cenderung kepada sesetengah parti. Kita mungkin mengharapkan mereka matang berpolitik tapi adakah mereka akan lebih matang daripada jiran yang tidak bertegur sapa hanya kerana perbezaan ideologi dan parti? Yang bergaduh, bermasam muka, sindir menyindir antara satu sama lain hanya kerana perbezaan pegangan mazhab politik?

Menjadi seorang mahasiswa hanyalah 3-4 tahun sahaja dan tempoh inilah merupakan tempoh kritikal untuk mereka membina idealisme mereka sendiri, tempoh untuk mereka mengkritik parti kerajaan yang memerintah mahupun parti pembangkang tanpa perlu dikekang oleh peraturan parti. Yang paling dikesali adalah jika mereka dikekang oleh ideologi parti dan mengalami keterikatan minda tanpa mampu membantah walaupun ada perkara yang tidak mereka persetujui.

Bagaimana dengan situasi pilihanraya umum dan pilihanraya kampus akan datang apabila politik kepartian dibenarkan menjengah dan mengisi ruang-ruang kampus. Saya cuba untuk membayangkan bendera-bendera parti TIDAK akan memasuki kampus walaupun sedar bahawa ada pihak akan membuktikan dominasi politik mereka di kebanyakan kampus.

Suka untuk saya mengingatkan bahawa pilihanraya kampus tidak boleh dijadikan kayu ukur kepada perkembangan politik di luar. Sesiapa sahaja yang memenangi kerusi, daripada kumpulan mana sekalipun tidak boleh menjadi pengukur populariti sesuatu ideologi politik kerana sebahagian besar mahasiswa masih mengundi berdasarkan paras rupa, penampilan dan agenda kebajikan; bukan berdasarkan kewibawaan, idea dan buah fikiran. Walaupun ada pendapat menyatakan mahasiswa mengundi berdasarkan persepsi bahawa calon kumpulan Aspirasi adalah Pro-Kerajaan dan calon Pro-Mahasiswa adalah Pro-Pembangkang, akan tetapi masih ramai mahasiswa tidak mengenali calon-calon tersebut secara langsung.

Lihat sahaja 13 negeri di Malaysia; 9 negeri dilabel sebagai negeri BN dan 4 negeri PR. Berapa buah universiti akan diberi label selepas ini? Saya amat BERHARAP agar universiti-universiti tidak dilabel sebagai universiti UMNO, MCA, MIC, PAS, PKR, DAP mahupun BN atau PR jika idea berpolitik ini direalisasikan kerana ianya tidak akan mencambahkan keintelektualan melainkan sekadar melariskan jualan akhbar semata-mata.

Saya berpendapat adalah WAJAR jika mahasiswa dibenarkan untuk berdaftar sebagai ahli parti jika mereka telah berumur 21 tahun ke atas dan layak untuk mengundi. Akan tetapi adalah tidak wajar untuk mereka membawa pengaruh ideologi politik ke dalam kampus dalam apa saja cara sekalipun.

Penglibatan aktif pensyarah dalam politik sebagai ahli parti yang memegang jawatan dilihat wajar kerana mereka antara insan yang terlibat secara langsung dengan masyarakat; akan tetapi masih perlu kepada pemerincian yang mendalam dan kesannya kepada aktiviti akademik, aktiviti penyelidikan serta iklim politik dalam kampus. Namun saya percaya pensyarah adalah cukup matang dan profesional untuk tidak membawa politik kepartian dalam kampus kerana dikhuatiri hanya akan menimbulkan pertelagahan di kalangan pihak yang tidak sependapat.

Saya memohon kepada semua pihak; hormatilah universiti sebagai gedung ilmu dan jangan cemari kegemilangannya dengan kepentingan survival politik masing-masing bagi pihak kerajaan mahupun pembangkang. Walaubagaimanapun, AUKU tidak menghalang untuk perbincangan politik diadakan dalam bentuk ilmiah bagi tujuan akademik dan pengetahuan am.

Politik Untuk Kesejahteraan Agama, Bangsa dan Negara.

Thursday, July 29, 2010

Bersama Perkasakan ALUMNI UTM

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan...

Semalam 28 Julai 2010, saya terlibat sebagai VIP dalam perasmian SUKAM kali ke 18 di Padang Kawad dan turut diadakan pertandingan kawad kaki antara kontijen-kontijen kolej. Tahniah kepada kolej KTF kerana menjadi juara kawad kaki buat kali ketiga berturut-turut. Untuk tahun hadapan kolej-kolej lain kena lebih berusaha lagi untuk kalahkan KTF huhu (^_^)'

Kehadiran saya dalam acara ini seperti biasa akan turut bersama-sama berada dengan pengetua kolej, cuma sedikit kelainan kerana dapat berbual panjang bersama Pengarah ALUMNI UTM, Dr. Othman Ibrahim. Beliau banyak menceritakan dan berkongsi kepentingan untuk memperkasakan kewujudan ALUMNI mengikut kolej dan fakulti masing-masing. Ini kerana mahasiswa mempunyai ikatan persahabatan yang lebih erat dalam kedua-dua platform ini. Malah tidak dilupakan platform kepimpinan mahasiswa iaitu MPM, JKM, Kelab dan Persatuan.

Mengikut model universiti terkemuka seperti Harvard, Oxford dan Cambridge; ketiga-tiga universiti ini mempunyai struktur dan keterlibatan ALUMNI yang kuat dalam setiap fakulti. Dan setiap ahli ALUMNI mempunyai kesetiaan dan kecintaan yang tinggi terhadap institusi ilmu mereka. Ahli ALUMNI ini juga yang banyak menyumbang kepada Tabung Endowment universiti sehingga mencecah billion dolar setiap tahun.

Dengan sumbangan ikhlas daripada ahli ALUMNI, universiti-universiti ini dapat memperkasakan lagi penyelidikan dan pembangunan untuk kepentingan masyarakat. Dan endowment ikhlas ini banyak membantu mahasiswa sehingga biasiswa sekarang ini diberikan oleh universiti, bukan lagi pihak kerajaan.

ALUMNI UTM juga tidak kurang hebatnya kerana ramai graduan UTM menjadi teknokrat, jurutera ulung dan pengarah serta eksekutif syarikat-syarikat besar minyak dan gas, kejuruteraan dan pembangunan sumber manusia. Mereka inilah apabila telah berjaya akan kembali terfikir untuk menyumbang kepada universiti yang banyak mencorakkan kejayaan mereka.

ALUMNI UTM sedang berusaha untuk menyediakan platform terbaik kepada setiap graduan UTM untuk mengukuhkan hubungan antara rakan-rakan sekuliah dan pada masa yang sama menyumbang kepada pembangunan universiti. Dan sehingga ketika ini ALUMNI UTM telah berjaya mengumpulkan sebanyak RM 1.5 juta dana endowment untuk UTM. Saya percaya Dato NC akan membuat pengumuman jumlah kutipan dana terkini dalam perhimpunan bulanan pada awal Ogos akan datang. InsyaAllah saya tidak akan melepaskan peluang mendengarnya. Maaf kepada pensyarah jika saya tak dapat hadir kelas, harapnya kelas dapat ditangguhkan ke waktu lain huhu..

Saya suka untuk melihat UTM terus berkembang maju untuk kebaikan dan kesejahteraan masyarakat. Bukan sahaja UTM malah IPTA-IPTA di Malaysia turut bertanggungjawab memikul tugas ini. Masyarakat sentiasa setia menantikan golongan intelektual beraksi di lapangan mereka, kerana ibu bapa telah meminjamkan anak-anak mereka untuk diasuh para ilmuan dan yang amat diharapkan adalah modal insan kelas pertama bakal lahir daripada institusi menara gading; yang seimbang rohani dan jasmaninya.

ALUMNI UTM juga boleh menjadi platform yang menawarkan peluang latihan industri kepada mahasiswa. Graduan UTM diharapkan dapat menawarkan peluang menjalani latihan industri yang berkualiti tinggi dalam setiap platform syarikat atau organisasi korporat yang mereka miliki. Mahasiswa tidak lagi perlu tercari-cari syarikat yang bersesuaian untuk mereka dan akhirnya tersilap pilih majikan yang langsung tidak membantu memberikan pengalaman dan latihan yang diperlukan. Dr. Othman menyatakan bahawa beliau turut mendapat permintaan daripada sesetengah ALUMNI agar mahasiswa yang perlukan latihan industri diserahkan kepada mereka. Saya fikir in adalah peluang baik untuk mahasiswa dan perbincangan lanjut perlu dilakukan.

Pada saya, UTM telah berusaha untuk melakukan yang terbaik untuk mahasiswa dan usaha ini tidak akan berhenti. Perkara-perkara seperti kebajikan dan kemudahan untuk mahasiswa akan sentiasa dipertingkatkan daripada masa ke semasa.

Pesanan kepada diri saya dan juga kepada mahasiswa UTM;

Jangan hanya fikirkan apa yang boleh UTM lakukan untuk kita,
fikirkan juga apa yang boleh kita lakukan untuk UTM.

Pesanan terpenting daripada saya;

Kembalilah untuk menyumbang kepada UTM apabila anda telah berjaya dan berkerjaya ^_^

Friday, July 16, 2010

Aktiviti Julai 2010


[1 Julai 2010] Hari terakhir induksi MTM di KTDI

[2 Julai 2010] Mesyuarat Penyelarasan MTM terakhir

[3-4 Julai 2010] Pendaftaran mahasiswa baru

[5-11 Julai 2010] Minggu Transformasi Mahasiswa

[5 Julai 2010] Ucapan Bulanan NC bersama staf dan mahasiswa

[8 Julai 2010]
1. Menjadi moderator forum 'Mengangkasa Mahasiswa: Isu dan Cabaran' di UTMIC, 2.30-4.30 petang.
2. Pelancaran Kelab 1Malaysia UTM, 10 malam, Dewan Sultan Iskandar

[12 Julai 2010] Semester 1 sesi 2010/2011 bermula

[14 Julai 2010]
1. Sesi penyelarasan projek Laptop DELL-MPMUTM bersama mahasiswa
2. Mesyuarat untuk Majlis Penghargaan Krew MTM, 5 petang, Pejabat MPM

[15 Julai 2010]
1. Berbasikal bersama NC sekitar kampus, 5.15 petang dari Bangunan Pentadbiran
2. Mesyuarat MPMUTM kali ke-4 di Pejabat MPMUTM

[16 Julai 2010]
1. Bertolak ke UiTM Shah Alam jam 6 petang untuk hadiri M
esyuarat YDP-YDP IPTA Malaysia.
2. Bengkel Pengenalan Ko-Kurikulum Berkredit (Teras Sukan), Port Dickson, diwakili oleh JASUKI.
3. National ICT Convention 2010, 3 hari di UTM. Rujuk www.mpmutm.com untuk senarai aktiviti

[17 Julai 2010]
Mesyuarat YDP-YDP IPTA Malaysia, UiTM Shah Alam, tuan rumah kampus Zon Tengah

[18 Julai 2010]
Malam Penutup Hari Terbuka Kolej 11 (Se'Blast), jam 8 malam.

[19 Julai 2010]
1. Sesi Focus Group untuk Wimax YTL, 10-12 tengahari
2. Majlis Ramah Mesra MPMUTM bersama TNC HEMA, 2.30 - 4.30 petang.

[20 Julai 2010]
Open session with International Student at DSI, 2.30 pm
with TNC Academic, HEMA, MPM, ISC, ISS, Security UTM.

[21 Julai 2010]
1. Dialog dan Ramah Mesra bersama Pengurusan PSZ, 2.30 petang.
2. Majlis pelancaran dan pengundian acara SUKAM ke-18, Bangunan Canseleri, 9 malam

[22 Julai 2010]
Iftar MPMUTM bersama mahasiswa KRP, 7 malam di surau KRP.

[23-25 Julai 2010] Kursus Pengurusan Kolej di UIA. Dihadiri MPM dan wakil kolej.

[24-25 Julai 2010] Bengkel Debat Piala TNC, Dewan Jamuan DSI. 50 orang peserta telah berdaftar.

[24 Julai 2010]
1. Seminar Pemantapan Aqidah (SPAQ), 8pagi-4petang, Dewan Senat UTM.
2. Larian Obor Sukan Kolej Mahasiswa (SUKAM). Dianjurkan oleh KDOJ dan KTF.

[25 Julai 2010] Seminar Kematangan Mahasiswa di USIM.

[26 Julai 2010] DYMM Sultan Johor mencemar Duli dalam lawatan ke UTM

[27 Julai 2010] Mesyuarat Eksekutif MPM dan Ketua Jabatan MPM.

[28 Julai 2010]
1. Mesyuarat Kebajikan Mahasiswa UTM, 2.30 petang di Dewan Senat UTM
2. Malam Perasmian SUKAM XVIII di Padang Kawad, 9 malam.

[29 Julai 2010] Mesyuarat MPM Kali Ke-5

[30 Julai 2010]
16th Youth ASEAN Conference, Kuala Lumpur