Tuesday, December 29, 2009

Retorik Syarikat Minyak?


Apakah itu syarikat minyak? Jawapan bagi soalan ini masih lagi diperdebatkan oleh syarikat minyak. Ini kerana bagi mereka jawapannya tidak semudah yang disangka. Dan mereka semakin banyak menggunakan kempen pengiklanan untuk menyatakan mereka lebih daripada sekadar syarikat minyak.

Chevron telah mendapatkan satu mukasurat penuh iklan dalam Washington Post bulan ini yang mempromosikan syarikat minyak sedang berusaha membantu perniagaan dan sekolah dalam mengurangkan penggunaan tenaga.

Iklan mereka menunjukkan gambar kanak-kanak lelaki memakai gogal. Iklan itu menyebut "setiap dollar dilaburkan dalam penggunaan tenaga yang efisyen hari ini, boleh memberi pulangan dua dollar dalam penjimatan tenaga."

Naib Presiden Chevron, Peter Robertson menggambarkan usaha pelestarian ini sebagai "sumber tenaga baru terbaik di dunia dan perkara terbaik kami dapat lakukan untuk pelepasan karbon."

BP (British Petroleum) mengiklankan gambar matahari, kincir angin dan ladang tanaman di samping ikon untuk gas dan minyak. "Daripada bumi ke matahari dan semua benda di antaranya...BP telah melaburkan lebih $40 billion sejak 5 tahun lepas dalam minyak dan gas,untuk alternatif seperti angin, solar dan minyak-bio," ditulis dalam iklan tersebut. Syarikat itu mewar-warkan pelaburan jangka-panjangnya dalam tenaga yang boleh diperbaharui.

Syarikat Exxon Mobil juga beriklan "Minyak Untuk Difikirkan", yang terkandung dalam iklan New York Times dan Wall Street Journal tentang permintaan minyak yang meningkat dan betapa perlunya kepada keberkesanan penggunaan tenaga, pelestarian dan pelaburan untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Syarikat ini membuat pelaburan besar dalam sektor bukan petroleum. Dua minggu lepas Exxon Mobil mengumumkan $41 billion pembelian syarikat pengeluar gas asli XTO Energy, satu tindakan yang dianalisis sebagai 'pertaruhan bermakna' yang perlu mereka bayar untuk perniagaan mereka dalam pelepasan karbon dan penghasilan pembakaran gas bersih supaya lebih menguntungkan pada masa depan.

Keputusan pelaburan itu dibuat 5 bulan selepas Exxon Mobil mengumumkan $600 juta pelaburan dalam pemprosesan bio-fuel berasaskan alga, tindakan yang menjadi Exxon pendominasi dalam pasaran ini.

Pembelian $41 billion XTO Energy membuktikan pelaburan Exxon melebihi jangkaan $25-30 billion pelaburan yang sepatutnya dibuat. Dan mereka sangat yakin dengan keuntungan yang bakal diterima.

Ini adalah asas atau dasar perniagaan bagi semua syarikat petroleum untuk terus maju dan mereka sanggup mengambil tindakan drastik selepas melihat permintaan tenaga yang semakin meningkat, begitu juga dengan kos penggunaan karbon. Faedah untuk pasaran mereka sangat jelas, dengan syarikat-syarikat ini perlu memujuk pihak Kongres dan pengguna untuk menerima bahawa halatuju tenaga yang mereka tawarkan adalah pelbagai.

"Syarikat-syarikat ini pastinya cuba melihat situasi menang-menang untuk mereka," kata Ken Green, penerima biasiswa di American Enterprise Institut.

"Mereka akan menggilap kepercayaan terhadap imej 'hijau' mereka, meminta kerajaan untuk memberi tumpuan terhadap mereka dan mereka akan membina persepsi umum bahawa gas asli (natural gas) adalah jawapannya." "Ini adalah tindakan bijak yang akan melindungi beberapa tapak (perniagaan) untuk mereka," ujar Green lagi.

Sekarang ini, industri petroleum secara keseluruhannya memberi isyarat untuk merubah cara mereka melihat pasaran. Kumpulan syarikat pedagang minyak dan gas, American Petroleum Institut(API), baru sahaja memberhentikan 15% tenaga kerja mereka.

Presidennya, Jack Gerard menyatakan ini sebahagian daripada tindakan tangkas dan agresif pengorganisasian semula syarikat . "API tidak cukup fokus", ujar Gerard ketika mengulas kepentingan pelaburan yang dibuat dalam membangunkan tenaga boleh diperbaharui dan rendah karbon, sebagaimana pentingnya gas asli untuk dihasilkan.

"Kita tidak cukup efektif seperti yang sepatutnya dalam mendidik orang ramai tentang betapa kritikalnya peranan minyak dan gas terhadap ekonomi kita," kata Gerard. API juga melancarkan iklan kempen yang mengaitkan syarikat minyak dan gas kepada 9.2 juta peluang pekerjaan kepada rakyat Amerika.

Salah satu daripada flyer API menegaskan, "Setiap orang mempunyai hubungan dengan industri minyak dan gas Amerika... Peladang juga menggunakan gas asli dalam pertanian mereka... Jika kamu membeli sebuku roti, membeli peralatan elektronik terkini atau memandu kereta, pertimbangkan bahawa kamu adalah sebahagian daripada industri minyak dan gas asli ."

Iklan Chevron mensasarkan supaya orang ramai berfikir tentang kelestarian tenaga apabila meluaskan pandangan terhadap syarikat mereka, kata Helen Clark, Pengurus Pemasaran Korporat Chevron.

"Minyak dan gas adalah perniagaan kami yang utama, tetapi masih ada banyak lagi perkara penting yang boleh kami lakukan," katanya lagi. "Kami mahu orang ramai tidak melihat retorik syarikat minyak sebelum ini sepertimana pandangan tentang Big Oil," tambah beliau. "Kami mahu memastikan usaha ini membentuk pandangan ramai dalam semua sisi perusahaan ini"

[
Big Oil merupakan istilah yang digunakan untuk menggambarkan individu dan kumpulan pengeluar minyak dan gas yang mempunyai kuasa untuk mempengaruhi politik khususnya di Amerika Syarikat. Big Oil umumnya dikatakan sebagai pelobi tenaga.]

Monday, December 28, 2009

Kemajuan Yang Sebenar..

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Kemajuan dan pembangunan yang sebenar mesti memberi kesan yang baik kepada manusia, kesejahteraan dan kebahagiaannya, tidak merendahkan martabat manusia dan menjadikannya sebagai alat bagi industri dan negara.

Kerana itu, perubahan perlu dilakukan daripada penumpuan terhadap industri dan negara kepada individu dan institusi pendidikan. Penekanan terhadap pembangunan insan dan pemerkasaan institusi pendidikan perlu diutamakan daripada pembangunan material dan pertumbuhan ekonomi.



Perkara ini telah dihuraikan oleh Prof. Wan Mohd Nor dalam bukunya PEMBANGUNAN DI MALAYSIA. Beliau juga menyatakan dengan tegas melalui sebuah puisi yang termaktub dalam buku beliau, DALAM TERANG:

Negara maju sebenarnya kawanku bukan diukur:
Pada betapa panjang umurnya
Pada berapa keping ijazah dirangkul
Pada banyak pendapatan terkumpul.

Negara juga dianggap maju bukan:
Pada bangunan gagah tinggi menombak awan
Pada lebuhraya raksasa menggelepar menikan gunung
Pada panggung, gelanggang hiburan, permainan agung.

Negara maju, baldah tayyibah tujuan orang beriman
Dipacak pada budi pekerti rakyat pelbagai lapisan
Tapi, bagaimana rakyat bisa berbudi tinggi
Jika pemimpin dalam kabinet dan keluarga, rendah pekerti?
Siapa yang mendidik, mengadap pemimpin bangsa
Jika tidak institusi pengajian tinggi mahkota pendidikan kita?

Universiti taman abadi medan penta'diban tertinggi insan
Jika dinodai, ucaplah selamat tinggal pada kemanusiaan
Dan selamat datang pada kehaiwanan.

PRK Makin Dekat...

Asslamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

PRK makin dekat, itu yang saya sangat pasti. Mungkin 2 minggu daripada sekarang..siapa tahu. Keputusan daripada KPT masih belum diketahui dan rakan-rakan saya masih belum mendapat signal bilakah tarikhnya.

Dalam menghampiri tarikh keramat ini, politk kampus UTM telah mula diwarnai peristiwa yang disifatkan sebagai politik kampus. Edaran flyers secara meluas telah mula tersebar ke segenap fakulti di bilik-bilik kuliah. Flyers yang dikaitkan antara kumpulan-kumpulan tertentu; Pro-Mahasiswa dan Evolusi Mahasiswa.



Sesetengah antara isinya penuh dengan dakwaan 'masing-masing' tentang program yang dianjurkan. Dibalas pula dengan kritikan 'tahap kerosakan minda' melalui flyers yang lain. 'Baling batu sembunyi tangan', pada saya inilah istilah yang paling tepat untuk menggambarkan situasi sekarang.

Mungkin semua catatan, tuduhan yang dibuat bukan merupakan tesis yang pasti memberi markah, jika tidak, pasti masing-masing berlumba-lumba untuk meletakkan nama sendiri sebagai pihak yang bertanggungjawab menulis.

Dalam situasi pilihanraya, semua ini disebut sebgai provokasi untuk mendapat kelebihan moral dengan usaha membentuk imej negatif pada pihak lawan. Dengan menuduh pihak lain ataupun menuduh terhadap 'diri sendiri'. Siapa tahu...?

Dalam era minda mahasiswa cuba dibangkitkan dengan nilai ilmu dan akhlak yang tinggi, perkara ini masih berlaku. Saya percaya perkara seperti ini tidak berlaku dalam pilihanraya memilih perwakilan pelajar/mahasiswa di Oxford, Cambridge dan mahupun di Harvard!

Tapi ianya berlaku di universiti tempatan di Malaysia! Dan mungkin juga di negara-negara kelas ketiga yang lain (kut...) tapi yang pasti ianya berlaku di sini, di universiti tempatan yang lokasinya berada di bawah langit, di atas bumi Malaysia.

Pedulikan Indonesia. Hanya kerana tarian pun mahasiswa mahu berdemonstrasi, wajarkan idea dan pemikiran mereka diambil pakai? Nampaknya belum tiba masanya lagi untuk kita mengambil contoh daripada mereka. Itu pendapat saya..ok?

Perlukah mahasiswa kita menghasilkan kertas-kertas bodoh ini?!
Perlukah mereka mengutuk dan mengata sesama sendiri?!
Adakah ini persediaan untuk menghadapi pilihanraya umum setiap 5 tahun sekali?!

Anda jawab sendiri. Dan turunkan jawapan anda dalam kertas undi akan datang. Ok..?





Wednesday, December 2, 2009

SIMPOSIUM KEBANGSAAN FIQH SAINS DAN TEKNOLOGI (FST'09)



TARIKH

10 - 11 Disember 2009

TEMPAT

HOTEL GRAND PARAGON, Jalan Harimau, Taman Century, Johor Bahru

TAJUK PEMBENTANGAN

  • Peranan penyelidikan dalam penyelesaian masalah Fiqh Sains dan Teknologi
  • Isu-isu semasa dalam Fiqh Sains dan Teknologi (Halal sains)
  • Peranan CFiRST dalam menangani isu-isu Fiqh Sains dan Teknologi
  • Cabaran mengeluarkan fatwa dalam era sains dan teknologi
  • Fiqh Malaysia: isu sains dan teknologi
  • Cabaran dalam kajian sains berteraskan fiqh
  • Ekonomi halal dalam pasaran global
  • Kaedah dan perlaksanaan hub halal di Malaysia

Sekali imbas terlihatkan iklan program ini, saya membuat keputusan yang lebih pantas daripada cahaya untuk terus menyertai simposium ini. Melihatkan tajuk dan pembentang sudah cukup untuk saya membuat keputusan segera.

RM100 terus di bank-in dalam akaun bendahari, salinan transaksi segera dibuat dan dihantar ke CTL tingkat 3, bahagian Penyelidikan dan Pembangunan bagi memastikan ruang kosong untuk saya masih tersedia.

Jadual saya pada 10-11 Disember 2009 nampaknya sudah terisi (^_^)

Banner Program


Laman web simposium

Seminar Sehari Pengukuhan Pandangan Alam Islam




Sekian lama hati ingin bertemu dengan tokoh ilmuan Islam, Prof. Dr. Naquib Al-Attas dan alhamdulillah mendapat peluang mendengar syarahan beliau secara live.

Kupasan ilmiah sebegini amat digalakkan kepada mahasiswa untuk dihadiri. Walaupun melibatkan sedikit kos, akan tetapi pelaburan ini amat bernilai untuk keintelektualan mahasiswa.

Walaupun sehari sebelum semester bermula, pasti agak sedikit menekan untuk persiapan awal tapi sudah cukup untuk membentuk fokus saya pada semester kali ini.

Details program

Sunday, November 1, 2009

Software Untuk Laptop Anda..Free..


Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Komputer memang minat saya lebih-lebih lagi berkaitan teknologinya. Minat ni tak pernah hilang sejak semester pertama Diploma Elektrik/Elektronik di UTMKL 2004. Macam-macam yang saya belajar dengan otai komputer hinggalah menghasilkan virus yang merosakkan windows sendiri.. Lepas format tu semula dengan windows XP pirate. Almaklumlah student yang kurang kewangan ni tak berapa gemar nak dapatkan yang original.

Cuma software original yang pertama saya adalah Kaspersky Internet Security 2010 yang baru saya guna sejak sebulan lepas, itu pun sangat murah iaitu RM30 setahun berbanding yang dijual di kedai RM89.90. Macam mana nak dapat murah? Ada caranya hehe..

Hari ini saya nak berkongsi beberapa software yang berguna untuk pelajar yang mempunyai laptop. Sebenarnya ada banyak tapi hari ini saya kongsikan 4 je.


BatteryCare
Software ini dihasilkan untuk meningkatkan prestasi penggunaan bateri laptop yang moden(dalam 4 tahun yang terkini). Ia memantau tahap kitaran kehilangan cas bateri dan membantu meningkatkan kawalan kuasa dan jangka hayatnya.

Software ini memaparkan antaramuka yang ringkas tetapi menarik dengan ciri-ciri maklumat yang ringkas tetapi cukup untuk mengenali bateri kita dengan lebih dekat.


>>Download BatteryCare

Maklumat tambahan tentang BatteryCare dan nasihat-nasihat terbaik dalam menjaga bateri laptop anda boleh didapati DI SINI.


AMD PowerMonitor
Software ini adalah untuk pengguna laptop AMD sahaja. Software ini berguna untuk memantau jenis kuasa yang digunakan sama Power Saver, Balance atau Performance. Anda boleh memantau tahap voltan, frekuensi dan core mana yang beroperasi dominan.


Ramai pengguna AMD atau INTEL tidak sedar bahawa komputer mereka berada dalam keadaan Power Saver, oleh sebab itu komputer mereka dirasakan perlahan atau tidak laju. sejak dari awal beli lagi..ish3.. Sedangkan voltan processor telah diturunkan kepada 0.8V supaya frekuensi komputer dapat diturunkan kepada ~900MHz untuk menjimatkan penggunaan tenaga.



Dengan software ini anda boleh menukarkan pelan kuasa kepada jenis yang anda suka. Bagi pengguna AMD dan INTEL, Windows Vista atau Windows 7 telah mempunyai sistem kuasa yang terbina dalamnya cuma penggunaan agak tidak mesra pengguna(pada pendapat saya la).

>>DOWNLOAD AMD PowerMonitor (Windows 7/Vista/XP)



Mengoptimumkan Prestasi Processor AMD
>>Download AMD Processor Driver (Vista/XP)
>>Download AMD Dual-Core Optimizer (Vista/XP)

Vista mempunyai banyak versi dan sesetengah versi yang menyokong software di atas biasanya akan menolak proses installation yang dilakukan. Jangan risau, hanya download je, tak dapat install tak rugi pun. Kalau dapat amat bagus untuk komputer anda.


Memantau Suhu Prosessor
Komputer sememangnya akan menjadi panas apabila pengendaliannya tidak betul. Ramai rakan saya suka menggunakan komputer di atas katil atau bantal mereka. Biasanya kipas yang di bawah laptop akan tertutup aliran udaranya dan menyebabkan haba yang terkumpul tidak dapat dikeluarkan. Hasilnya, motherboard rosak dan memakan lebih RM800 untuk dibaiki hanya kerana kesilapan kecil.



Sebagai langkah berhati-hati, install program ini. Bersaiz kecil, mudah digunakan serta boleh memantau frekuensi prosessor juga. 'Settings'nya boleh rujuk gambar di bawah.




Untuk OverHeat Protection anda boleh pilih angka yang lebih rendah jika mahu. Processor
mampu ber'tahan' sehingga 100 darjah celcius tapi lebih baik jangan ambil risiko.


>>Download CoreTemp 0.99.5. Pilih jenis 32bit

Kalau laptop rosak susah nak buat assignment, main facebook dan berchatting.. Mencegah lebih baik.. Selamat menggunakannya..(^_^)

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Kenapa Jadi Begini?

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Saya masih belum berpuashati dengan apa yang berlaku di Malaysia di mana hasil usaha rakyat Malaysia masih tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Malah rakyat negara lain merasai terlebih dahulu sedangkan kitalah yang menghasilkannya.

Ini merupakan kerugian kepada negara. Jika boleh, saya nak applykan kat Kolej Datuk Onn Jaafar(KDOJ) aka K16/17 yang sejak 2 tahun saya duduk tapi memang susah nak dapat internet kecuali kat pintu lif tingkat 4 dan 8.





Berita Harian 05 April 2004

10 jurutera kita cipta alat layari internet guna litar elektrik
Oleh Sazarina Shahrim
Disunting Genie

KUALA LUMPUR: Sekumpulan 10 jurutera tempatan mencipta sejarah apabila berjaya menghasilkan teknologi Komunikasi Melalui Litar Elektrik (PLC) yang membolehkan internet dilayari menerusi litar elektrik tanpa menggunakan talian telefon.

Teknologi itu yang mampu mengalirkan data menerusi transformer dalam litar elektrik, sebelum ini cuba dihasilkan saintis di beberapa negara Barat termasuk Amerika Syarikat (AS) tetapi semuanya gagal.

Setakat ini, PLC yang dicipta kumpulan jurutera dari Afzid Research Sdn Bhd (ARSB) yang diketuai Ketua Eksekutifnya, Mohammad Abdul Zahib Mohd Zaid, sudah dipasarkan di beberapa negara termasuk AS, Hungary dan Sweden menerusi kerjasama ARSB dan sebuah syarikat dari Washington, Satius Inc.

Minggu lalu, ARSB dan Satius Inc turut mengadakan demonstrasi di China bagi memperkenalkan teknologi berkenaan di satu kawasan di negara itu. Mohammad Abdul Zahib berkata, di Malaysia ujian penggunaan teknologi itu sudah dijalankan di Pusat Beli-belah Amcorp, Petaling Jaya.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam peringkat perbincangan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memperluaskan teknologi itu ke seluruh negara. “Satu ujian juga akan dijalankan bulan ini di sebuah pencawang TNB,” katanya kepada Berita Harian di sini.

Mohammad Abdul Zahib yakin PLC mampu dikomersialkan berikutan kemampuannya menggunakan sistem rangkaian meluas (WAN) yang membolehkan pengguna melayari internet tanpa menggunakan talian telefon dengan kelajuan lebih tiga Gigabait sesaat (Gbps).

“Ini bermakna jika ia digunakan di negara ini, teknologi PLC mampu mengembangkan industri telekomunikasi dengan liputan yang lebih besar. Ini kerana ketika ini lebih 90 peratus penduduk sudah menikmati bekalan elektrik berbanding hanya kira-kira 40 peratus yang mempunyai talian telefon.

“Malah, PLC tidak memerlukan perbelanjaan yang besar seperti teknologi komunikasi lain kerana infrastruktur litar elektrik sudah pun wujud,” katanya. PLC ialah sistem penghantaran data, audio dan video melalui rangkaian litar elektrik yang mengalirkan bekalan cas elektrik ke setiap rumah.

Kajian mengenainya sudah dibuat sejak awal abad ke-19 oleh makmal Bell di AS, Siemens (Jerman) dan NTT (Jepun). Bagaimanapun, Mohammad Abdul Zahib berkata, banyak kajian mengenai teknologi itu yang dilakukan saintis dunia, tidak dapat dikomersialkan kerana menghadapi beberapa masalah tertentu.

Antara masalah yang dihadapi ialah tidak mampu merentasi komponen dalam litar elektrik seperti transformer dan bank kapasitor, hanya menggunakan sistem rangkaian setempat (LAN) dengan kelajuan yang tidak memuaskan, jarak penghantaran yang rendah, maklumat yang dihantar mempunyai kerosakan, mengeluarkan pancaran yang membahayakan serta gangguan oleh peralatan elektrik yang terdapat di rumah.

Beliau berkata, kumpulan jurutera ARSB yang diketuainya memulakan kajian bagi menyempurnakan teknologi sejak lima tahun lalu dan menerima sokongan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.


---------------------------------------------------------------------------------------------------
sebulan kemudian..
Berita Harian 30 April 2004

Surat Pilihan: Pencipta teknologi hanya dapat ‘sokongan air liur’


SAYA antara pelopor pembangunan teknologi Komunikasi Melalui Litar Elektrik (KMLE) di Malaysia yang mendapat liputan meluas awal bulan ini.

Sepatutnya saya gembira dengan ciptaan dan penemuan itu serta menanti ganjaran berbentuk kontrak bagi menjelmakan teknologi itu sebagai peralatan untuk dikomersialkan.

Tetapi perkara yang berlaku amat menyedihkan membuat saya terkilan mengenangkan nasib pakar teknologi Melayu di tanah air sendiri. Pada mulanya saya yakin dan bangga kerana ingin menjadikan Malaysia negara contoh yang menerajui dunia dalam penggunaan teknologi PLC.

Tidak mungkin teknologi yang mampu menjadikan seluruh negara sebagai MSC di samping menjimatkan wang dengan begitu banyak tidak mendapat perhatian kerajaan ataupun sektor swasta.

Selepas menjaja ciptaan baru kami kepada pihak yang dianggap berpotensi membantu mengkomersialkannya, sambutan diterima sungguh sedih dan dingin.

Inilah nasib yang diterima ramai lagi jurutera dan pencipta lain. Contohnya, ada yang mempunyai teknologi membuat roket dan melancarkan satelit tetapi akhirnya ia ‘basi dan berkarat’ dalam stor kilang mereka.

Sedang Malaysia tergila-gila mengejar gelaran dan nama di mata dunia dengan terbinanya bangunan dan menara tertinggi, bendera terbesar, kek terbesar, tepuk tangan paling lama, popiah terpanjang di samping berlumba-lumba mencipta rekod lumba basikal, mendaki gunung dan berenang tetapi sebenarnya semua itu tidak tidak membawa erti kepada kemajuan negara.

Namun, kejayaan itu mendapat banyak sokongan kewangan dan moral walaupun ia umpama ‘ribut dalam secawan kopi’, kocaknya hebat tetapi hanya dalam bekas yang sempit.

Untuk makluman semua, bantuan permulaan yang kami perlukan bagi memajukan dan mengkomersialkan ciptaan KMLE itu kurang 10 peratus daripada perbelanjaan Datuk Azhar Mansor berlayar mengelilingi dunia ataupun mungkin 15 peratus daripada gaji jurulatih Datuk Malik Maidin apatah lagi dibandingkan perbelanjaan Le Tour de Langkawi.

Tetapi, ingin saya tekankan penerokaan bidang sains dan teknologi jauh lebih berfaedah kerana ia tonggak kemajuan tamadun manusia, lebih-lebih lagi bagi orang Melayu yang sering diperkotak-katikkan, malah dilabelkan sebagai pemalas dan tidak berdaya saing.

Selepas lebih empat tahun teknologi KMLE ciptaan kami terumbang-ambing di Malaysia, tempat kami berjumpa, membuat perbincangan dan demonstrasi dengan beberapa badan korporat dan kementerian kerajaan antaranya Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad, Malaysian Capital Venture Management Berhad, Malaysia Debt Venture Berhad dan Kementerian Tenaga Telekomunikasi termasuk Jabatan Perdana Menteri sendiri dan beberapa badan lain, mereka mengakui dan kagum kehebatan serta mengakui pentingnya teknologi ini kepada negara.

Namun, tiada langsung sokongan dan bantuan kewangan untuk membantu usahawan Melayu merealisasikan teknologi ini. Hanya yang mampu mereka berikan adalah ucapan tahniah dan ‘sokongan air liur’ tanpa satu sen pun dikeluarkan.

Hanya Pengerusi TNB, Datuk Leo Moggie dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Pian Sukro berani mengeluarkan surat sokongan untuk membantu kami mendapat pembiayaan daripada agensi kewangan kerajaan seperti Mavcap yang melaungkan kononnya dana mereka tidak gunakan sepenuhnya kerana tidak banyak permohonan untuk membangunkan teknologi.

Yang peliknya walaupun kami mengemukakan permohonan dan demonstrasi berserta sokongan daripada TNB, Mavcap mengklasifikasikan teknologi ini sebagai No business case.

Pada masa yang sama mereka bersetuju membiayai pemohon lain yang tidak tahu pun hujung pangkal teknologi ini tetapi meniru sedikit kemampuan teknologi kami dalam rancangan menghasilkan produknya.

Sedangkan kami pengasas teknologi LC di Malaysia ditolak mentah-mentah oleh Mavcap. Adakah teknologi yang dikatakan sebagai ada kepentingan nasional oleh beberapa badan kerajaan dan korporat diklasifikasikan sebagai No business case?

Saya juga ingin menyentuh beberapa badan korporat yang menjadi tunjang pembangunan negara begitu mudah mengeluarkan sumbangan untuk aktiviti dan pesta hiburan seperti anugerah hiburan, pertandingan nyanyian dan lumba basikal tetapi begitu payah menghulur sumbangan kepada pembangunan hasil daripada penyelidikan sains dan teknologi sebegini.

Ingin saya maklumkan tajaan pesta hiburan yang dikeluarkan tidak membina langsung dari segi pembentukan nilai murni dan jati diri masyarakat, malah lebih cenderung kepada pembentukan masyarakat yang lemah dan bermasalah seperti terbabit dengan masalah rokok, dadah, perbuatan sumbang dan pelbagai keburukan lain.

Inikah generasi yang ingin dibentuk untuk menjaga negara? Ataupun kepada generasi yang berkarisma, kreatif, cintakan ilmu, mempraktikkan ajaran agama, berminat dalam penciptaan dan penerokaan sains dan teknologi?

Oleh kerana tiadanya minat yang ditunjukkan oleh negara kita, rakan teknologi saya mencadangkan saya berpindah ke negaranya seterusnya memulakan pembangunan teknologi ini di sana dan mungkin juga di China.

Saya ingin memetik pendapat Datuk Arif Nun yang menekankan bahan teknologi ciptaan kami mampu menjadikan seluruh Malaysia termasuk kawasan pedalaman sebagai MSC.

Leo Moggie berkata: “Walaupun teknologi ini belum lagi dijalankan secara meluas sejajar kemampuannya, usaha ke arah itu mesti diteruskan demi masa depan kita”. Tetapi apakah ciptaan yang tidak diberikan sokongan dan tajaan sebagaimana pesta hiburan mampu dimajukan demi kepentingan pengguna.

Mohammad Abdul Zahib Mohd Zaid
Afzid Research Sdn Bhd (ARSB)

---------------------------------------------------------------------------------------------------

Persoalannya. Berapa banyak lagi hasil ciptaan kita akan jadi seperti ini? Mampukah idea Dato' Seri Najib untuk menjana ekonomi berasaskan idea kreatif dan inovatif menjadi kenyataan jika masalah sebegini berterusan?


Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Saturday, October 24, 2009

Bajet 2010 dan Mahasiswa


Assalamualaikum wbt..
Selamat sejahtera..
Salam Perpaduan..

Sepanjang malam tadi saya mengambil peluang untuk meneliti ucapan Bajet 2010 yang dibentangkan oleh Y.A.B Perdana Menteri. Sepanjang penelitian saya, ada beberapa isi penting yang saya temui dan berkaitan dengan kebaikan yang diterima institusi pengajian tinggi dan mahasiswa secara amnya.




Maaf saya hulurkan jika anda menjangka ada ulasan panjang daripada saya. Meneliti ucapan saja sudah mengambil banyak 1 jam daripada masa saya. Walaubagaimanapun saya ada sertakan potongan daripada ucapan beliau yang saya rasakan bagus untuk diberi perhatian.

Walaupun ucapan itu turut melibatkan pertanian, sektor pembinaan, analisis ekonomi semasa, penguatkuasaan undang, kehakiman yang sememangnya menarik perhatian saya, terpaksa saya tangguhkan dahulu ulasannya.

Cuma sebagai bakal guru, perubahan di sektor pendidikan dengan peruntukan besar sebanyak RM30 billion pasti membawa banyak kebaikan kepada 5.5 juta pelajar di Malaysia. Cuma saya mengharapkan peruntukan yang besar ini dipantau sebaiknya kerana akan ada banyak 'jerung' kelaparan sedia membaham jumlah ini.

Saya telah hidup dengan dikelilingi insan-insan yang sering mengejar projek pembangunan sebagai sumber kehidupan dan saya tahu luar dan dalamnya. Mendapatkan projek, men'cilok' untuk untung lebih, duit bawah meja, kronisme dan rasuah yang berleluasa. Oleh itu, untuk jumlah yang besar ini jika tiada pengurusan yang sebaiknya, maka tiada manfaat untuk rakyat terbanyak.

Begitu juga dengan RM6 billion bagi sektor pertanian yang setiap tahun diperuntukkan bajet yang besar akan tetapi nasib para petani masih tidak berubah. Ini kerana pegawai yang diamanahkan untuk menyampaikan kepada yang berhak, secara 'tak sengaja terbocorkan' kantung yang dibawa dalam perjalanan menunaikan amanahnya.

Cukup celoteh saya.

Di sini ada keratan ucapan yang saya rasa sesuai untuk ditatap bersama.



MEMPERGIAT PENYELIDIKAN, PEMBANGUNAN DAN PENGKOMERSIALAN

34. Pada masa kini, perbelanjaan ke atas aktiviti R&D adalah jauh lebih rendah, sebanyak 0.6 peratus daripada KDNK berbanding 3 peratus di Amerika Syarikat, 3.5 peratus di Republik Korea dan 2.4 peratus di Taiwan. Justeru, untuk melonjak menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, kita memerlukan asas aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan atau R&D&C yang kukuh dengan mengambil langkah-langkah berikut:

Pertama: Merasionalisasikan semua dana juga geran penyelidikan supaya lebih efektif dan mencapai sasaran yang ditetapkan;

Kedua: Menubuhkan sebuah Pusat Inovasi Negara yang dilengkapi dengan satu rangkaian Pusat Kecemerlangan Inovasi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, diselaraskan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi;

Ketiga: Mengintegrasi aktiviti R&D dengan pendaftaran paten, hak cipta dan cap dagangan supaya proses R&D&C dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Kerjasama antara agensi paten dan institusi penyelidikan dapat mempercepatkan pengkomersialan hasil penyelidikan; dan

Keempat: Memberi galakan potongan cukai ke atas perbelanjaan bagi pendaftaran paten dan cap dagangan dalam negara kepada perusahaan kecil dan sederhana.


Memantapkan Industri ICT

39. Dalam memantapkan bidang ICT, Kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan High Speed Broadband dengan jumlah kos sebanyak 11.3 bilion ringgit. Sejumlah 2.4 bilion ringgit datangnya daripada pihak Kerajaan dan 8.9 bilion ringgit lagi daripada Telekom Malaysia. Sebagai permulaan, perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan 10 megabit sesaat akan disediakan di kawasan terpilih di Kuala Lumpur dan Selangor menjelang akhir bulan Mac 2010. Seterusnya, perkhidmatan ini akan diperluaskan ke kawasan terpilih di seluruh negara dalam tempoh 2010 hingga 2012.

40. Untuk pengetahuan ramai, kadar penembusan jalur lebar terkini hanyalah 25 peratus. Ia jauh lebih rendah berbanding 95 peratus di Republik Korea, 88 peratus di Singapura, 64 peratus di Jepun dan 60 peratus di Amerika Syarikat. Melihat situasi ini, pada hemah saya, dalam era menuju negara maju, mahu tidak mahu kadar pemilikan komputer dan penembusan jalur lebar harus ditingkatkan. Barulah nanti masyarakat negara ini celik IT, setanding dengan rakyat di negara maju yang lain. Sebagai tanda galakan kepada rakyat dan komitmen yang bersungguh, Kerajaan dengan ini mencadangkan agar pembayar cukai individu diberi pelepasan cukai ke atas yuran langganan jalur lebar sehingga 500 ringgit setahun mulai tahun 2010 sehingga 2012.

** Sekumpulan 10 orang jurutera Elektrik negara telah berjaya menghasilkan teknologi komunikasi melalui talian eletrik yang dinamakan PLC 'Power Line Communication' pada 2003. Teknologi ini mampu mengalirkan data internet pada kadar 3Gbps dan mampu menembusi perkampungan yang tiada talian telefon asalkan ada talian elektrik. Bagaimanapun masih tidak dimanfaatkan oleh Malaysia.

**Boleh google '10 jurutera kita cipta alat layari internet guna litar elektrik '


Menjaga Kebajikan Golongan Pelajar

67. Selain itu sebagai galakan, Kerajaan berhasrat memberi ganjaran kepada pelajar yang cemerlang dalam pendidikan. Untuk ini, Kerajaan akan:

Pertama: Menganugerahkan Biasiswa Nasional kepada 30 pelajar terbaik di kalangan yang terbaik atau crème de la crème berasaskan kepada merit sepenuhnya. Penyandang Biasiswa Nasional ini akan melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia;

Kedua: Menukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa bagi pelajar yang berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama atau setaraf dengannya bermula tahun 2010;

Ketiga: Kerajaan prihatin terhadap kebajikan golongan pelajar terutamanya mereka yang datang daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah. Untuk itu kita akan memberi diskaun tambang 50 peratus bagi perkhidmatan kereta api KTMB jarak jauh kepada pelajar berumur 13 tahun sehingga mereka masih bertaraf pelajar. Kad diskaun pelajar 1Malaysia percuma boleh diperoleh dari KTMB.

Diskaun tambang ini bermula 1 Januari 2010; dan

Keempat: Menawarkan pakej netbook, termasuk perkhidmatan broadband percuma, kepada pelajar universiti dengan bayaran 50 ringgit sebulan untuk tempoh 2 tahun. Pakej ini adalah jauh lebih murah daripada harga semasa di pasaran dengan prioriti diberikan kepada pelajar tahun pertama dan dari keluarga berpendapatan rendah.

Sebagai permulaan, pakej ini akan ditawar oleh Telekom Malaysia kepada 100 ribu pelajar di semua universiti tempatan bermula 1 Januari 2010.

**Saya cadangkan tiap-tiap MPP IPTA ditaja satu netbook dan talian broadband oleh Telekom untuk kegunaan rasmi mereka selama 1 tahun bertugas.



Memperkasa Institusi Pengajian Tinggi Awam

71. Dalam usaha Kerajaan memperkasakan IPTA supaya lebih berdaya saing dan dapat meningkatkan ranking mereka berbanding universiti lain di dunia, maka Kerajaan akan menimbangkan untuk memberi lebih autonomi dalam pengurusan kewangan, sumber manusia, pentadbiran, kemasukan pelajar dan penjanaan pendapatan. Dengan autonomi yang bertambah ini, IPTA, misalnya akan dibenarkan untuk menjana hasil pendapatan melalui penubuhan anak syarikat.

72. Bagi mencapai objektif ini, Kerajaan sedia mempertimbangkan kelonggaran peraturan dan syarat yang menyekat IPTA menjana pendapatannya sendiri.

Langkah ini akan mengurangkan kebergantungan kewangan IPTA kepada Kerajaan. Walau bagaimanapun, Kerajaan akan memastikan bahawa usaha menjana pendapatan sendiri tidak akan menjejaskan fungsi teras IPTA sebagai gedung ilmu untuk melahirkan modal insan yang berkualiti demi pembangunan ekonomi negara.

Assalamualaikum wbt..
Selamat sejahtera..
Salam Perpaduan..

Thursday, October 22, 2009

Kepimpinan Bukan Warisan


Kepimpinan bukan warisan.
Kita perlu mengetahui teori-teori kepimpinan jika mahu menjadi seorang
yang pandai dalam kepimpinan. Teori memberi penjelasan dan panduan
kepada kita. tanpa teori kita teraba-raba dalam gelita mencari jalan,
makna dan penjelasan. Teori ialah konstruk manusia yang boleh berubah
dan bukannya mutlak.

- Intisari Kuliah John MacAuley, 1991 -

Menurut John, seorang Profesor Pembangunan Organisasi dari Sheffield Business School, United Kingdom, bahawa kemodenan yang berpaksikan teori Newton sudah tercabar. Fizik baharu sudah jauh meneroka teori kompleksiti. Kepastian kelmarin mungkin sahaja diragui pada hari ini. Pada abad ini, idea bahawa para pemimpin mengetahui segala realiti sudah menjadi kolot.

Geram..!


Assalamualaikum wbt..

Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Geram!

Itu yang dapat saya ungkapkan apabila terbaca akhbar Berita Harian semalam (Rabu, 21 Oktober 2009) tentang laporan audit negara berkaitan dengan perbelanjaan sekolah dalam mengindahkan lamannya. Satu keputusan perbelanjaan yang melampau, di luar pertimbangan moral dan sangat tidak beretika bagi pihak yang bertanggungjawab ke atas peruntukan yang diberikan.


Gari mereka! Perasuah dan Pemecah Amanah!

Puluhan ribu dihabiskan semata-mata untuk pokok hiasan berbanding membangunkan generasi yang akan datang. Jumlah RM57,493 bukan sedikit bagi sebuah sekolah sekalipun mereka mendapat jutaan ringgit bagi setiap tahun untuk perbelanjaan mengurus dan lain-lain.


Gambar hiasan - Jika untuk keselesaan pelajar tidak mengapa. Elakkan pembaziran dan penyelewengan.

Pihak yang bertanggungjawab semestinya pihak tertinggi pengurusan sekolah, melibatkan pengetua dan jawatankuasa yang dilantik. Adakah mereka tidak mempunyai anak di sekolah hingga tergamak mengabaikan sudut moral dalam pertimbangan mereka? Atau adakah kerana anak mereka telah tamat persekolahan, maka sikap tidak peduli menyerlah kembali?

Jumlah tersebut mampu membiayai beberapa seminar, kem motivasi dan bengkel teknik belajar matapelajaran jika diuruskan sebaiknya. Malah turut mampu membiayai tuisyen percuma kepada pelajar yang kurang kemampuan kewangan/miskin.


Gambar Hiasan - Laman sekolah yang ringkas tetapi cantik dan sesuai untuk persekitaran antara blok bangunan

Tidak mengapa mengindahkan kawasan sekolah untuk menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif kepada pelajar. Itu yang sebaik-baiknya dilakukan. Suasana yang tidak selesa , suram, kusam dan panas agak mengganggu proses pembelajaran. Cuma yang menjadi persoalannya, mengapa kos yang dikeluarkan melebihi 500% berbanding kos sebenar? Siapakah yang mendapat lebihan tersebut? Inilah alasan untuk saya berasa geram yang amat sangat.

Jika terbukti terdapat penyelewengan, segerakan hadapkan mereka ke mahkamah. Pecat dari jawatan sedia ada, tiada gunanya untuk disimpan atau dipindahkan tempat kerja jika amanah dinodai. Sanggup memperjudikan pembangunan anak bangsa untuk sejumlah pulangan dunia yang tidak kekal selamanya.

Anti Rasuah!
Anti Pecah Amanah!

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..


Berita Harian

Sekolah beli pokok taman RM57,493

KUALA LUMPUR: Sebuah sekolah di Pasir Puteh, Kelantan membayar RM57,493 bagi membeli pokok dan tanaman seni taman secara pembelian terus daripada pembekal tempatan, termasuk bagi kerja menyelenggara, merawat dan menyiram tanaman berkenaan.

Laporan Ketua Audit Negara 2008 mendedahkan perbandingan harga dilakukan Audit dengan pembekal lain di Kota Bharu bagi perkhidmatan sama mendapati kos dikenakan itu lebih tinggi iaitu 470 peratus hingga 880 peratus, berbanding harga pasaran.

Sebagai contoh, pokok Pinang Raja setinggi enam kaki dijual dengan harga RM750 sebatang, sedangkan harga sebenarnya hanya RM85, bunga raya berharga RM350 (harga pasaran RM50) dan RM350 untuk sebatang pokok Kemboja berbanding harga pasaran RM45.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, penemuan itu adalah sebahagian hasil pengauditan dijalankan pihaknya bermula Ogos hingga Disember lalu membabitkan 80 sekolah di Sabah, Kelantan, Melaka, Kedah dan Selangor.

Beliau berkata, sebahagian besar sekolah yang diaudit juga gagal diselenggara dengan baik, menyebabkan bangunan sekolah atau infrastrukturnya tidak kondusif digunakan.

Katanya, keadaan itu berlaku akibat kurang pemantauan dan penyeliaan perunding daripada kementerian.

“Selain itu, peraturan kewangan berhubung perolehan kerja tidak dipatuhi sepenuhnya seperti bayaran dibuat bagi kerja yang gagal disiap atau tidak dibuat langsung, baucer bayaran tidak disokong dokumen berkaitan dan kos perolehan tinggi berbanding harga pasaran,” katanya.

Ambrin berkata, kementerian melantik 47 perunding swasta untuk menyedia skop kerja dan memantau kerja penyelenggaraan atau pembaikan dilakukan kontraktor sehingga Tamat Tempoh Tanggungan Kecacatan.

Katanya, perunding juga bertanggungjawab memperakukan kerja sebelum pembayaran dibuat kepada kontraktor bagi kerja diuruskan kementerian, manakala kerja penyelenggaraan dan pembaikan diuruskan sendiri Jabatan Pendidikan Negeri, daerah dan sekolah diperakukan pegawai pembangunan negeri, daerah, pengetua atau guru besar.

“Bagaimanapun, kita dapati kerja pembaikan atau penyelenggaraan di 14 sekolah bernilai RM940,000 tidak disiapkan sepenuhnya atau tidak berkualiti, tetapi semakan Audit menunjukkan bayaran sepenuhnya sudah dibuat berdasarkan perakuan perunding yang mengesahkan semua kerja disiapkan dengan sempurna.

“Selain itu, di 15 sekolah di Sabah, Kelantan, Melaka, Kedah dan Selangor, kerja bernilai RM111,533 tidak dilaksanakan langsung tetapi kontraktor sudah menerima bayaran penuh selepas perunding membuat perakuan kerja sudah disiapkan,” katanya.

Ambrin berkata, kementerian perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang memperakukan kerja yang belum disiapkan atau tidak berkualiti sebagai sudah disempurnakan kerana ia menyebabkan kerajaan terlebih membuat bayaran.

Beliau berkata, tindakan tatatertib perlu diambil jika perakuan dibuat pegawai awam, manakala syarikat perlu disenarai hitamkan jika kesalahan itu dilakukan perunding selain perlu dilapor kepada badan profesional yang mengawasinya.