Wednesday, March 31, 2010

Program Kebajikan Mahasiswa



(klik untuk besarkan)

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Alhamdulillah di atas keizinanNya dapat juga diusahakan Program Kebajikan Mahasiswa UTM yang melibatkan usahasama antara Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM dan Pos Laju Courier.

Setiap sesi semester 2 yang melibatkan cuti panjang, ramai mahasiswa akan berusaha untuk membuat penghantaran pos motosikal dan barangan ke kampung halaman. Untuk itu, mereka terpaksa ke Pos Laju Larkin untuk membuat penghantaran. Ini amat menyusahkan mahasiswa kerana melibatkan jarak yang jauh, terpaksa tumpang kawan, balik naik teksi dan bas, mengambil masa berjam-jam serta meletihkan.


Zaki dalam satu pertemuan bersama pegawai Pos Laju Larkin. Puan Rofidah dan Encik Rafaei.

Untuk mengurangkan beban mahasiswa, MPMUTM telah mengatur beberapa pertemuan dengan Pos Laju dan telah mencapai kata sepakat untuk mengadakan perkhidmatan ini di dalam UTM. Urusan ini akan dilaksanakan oleh Jabatan Inovasi dan Keusahawanan berdasarkan jadual yang telah dikeluarkan.

Khidmat ini turut mendapat promosi istimewa daripada Pos laju yang mana penghantaran motosikal mendapat potongan harga 20%. Dan harga selepas diskaun adalah RM130 untuk penghantaran dalam SEMENANJUNG MALAYSIA. Bagi barangan, diskaun 30% diberikan mengikut berat barangan.

Diharapkan mahasiswa dapat menggunakan perkhidmatan sebaiknya. Semoga usaha yang tidak seberapa ini mendapat ganjaran setimpal di sisi Allah S.W.T. Doakan MPMUTM terus kukuh dan teguh untuk kami terus berkhidmat kepada mahasiswa UTM.

KEBAJIKAN ANDA, KEUTAMAAN KAMI

Examplery, Energetic, Action-Oriented

Muhammad Zaki bin Omar
Presiden,
Majlis Perwakilan Pelajar UTM 2009/2010
Bangunan Persatuan Pelajar (SUB),
Universiti Teknologi Malaysia
81310 Skudai, Johor
013-7011828

Thursday, March 25, 2010

Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM Sesi 2009/2010




(klik pada gambar untuk besarkan)

Monday, March 22, 2010

Jgn Islam dpolitikn!!!

Satu petang yang hening di bilik MPM. Pada masa ini saya sedang baring-baring dalam ruang pejabat lama SUA yang sedang di ubah suai. Saya bercadang untuk melelapkan mata buat seketika untuk memulihkan sedikit keletihan diri menguruskan kertas kerja dan urusan bidding program MPM.

Tiba-tiba masuk satu sms daripada rakan lama.

"Slm...Knp mpp senyap seribu bahasa tidak m'berikn apa2 ketika satu karikatun m'hina nabi muhammad saw dsweden minggu lepas. ### cbr mpp lakukn protes yg sama sepertimana isu kalimah Allah. Jgn Islam dpolitikkn!!!"

SMS ini adalah sms original tanpa sebarang perubahan kecuali pada bahasa diri beliau '###'. Saya turut ubah perkataan Islam yang mana huruf 'i' tidak dibesarkan.

Sekali imbas saya baca sms ini, saya boleh menjangka apa yang beliau harapkan daripada MPM. Cuma pernyataan "Jgn Islam dpolitikkn!!!" memberi gambaran seperti kami (atau saya) menjadikan Islam sebagai bahan politik. Ini kerana kami pernah membuat protes terhadap isu kalimah Allah.

Pembaca sekalian.. Apa pendapat anda dan apa yang anda semua fikir MPMUTM perlu lakukan terhadap isu ini..

Sunday, March 21, 2010

Taklimat Biasiswa dan Pertukaran Pelajar 22 Mac 2010 di Dewan Senat




Jangan tanya saya apa-apa tentang biasiswa dan program pertukaran pelajar ini kerana saya tidak tahu apa-apa tentangnya. Sila datang dan dengar penerangan daripada Dr. James Coffman.

Sekian, terima kasih.

Saturday, March 20, 2010

Tugas Menanti MPMUTM



Alhamdulillah Seminar Model Ekonomi Baru Mahasiswa berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Cabaran melaksanakannya agak berliku dengan jam masa yang terpaksa dihabiskan untuk menjawab persoalan kontroversi yang timbul daripada tajuk ceramah yang ingin disampaikan.

Saya mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua MPMUTM yang menjayakan dan komitmen para peserta yang hadir sekalipun pagi tersebut diiringi hujan yang sedikit sebanyak mempengaruhi pergerakan peserta.

Tahniah kepada peserta yang hadir dan mendapat input yang saya fikir adalah yang terbaik, yang mampu MPMUTM kongsikan bersama mahasiswa UTM. Kumpulan mahasiswa yang masih mengikuti ijazah dan master ini akan diletakkan di bawah pemantauan saya untuk memastikan mereka berjaya dalam arena online business yang dicadangkan.

Seminar ini turut mendapat perhatian Timbalan Menteri II, Kementerian Pengajian Tinggi, Dato' Saifuddin Abdullah. Beliau meminta agar resolusi yang dicapai melalui seminar ini dapat diserahkan kepada beliau.

Semoga MPMUTM dapat terus menyumbang kepada pembangunan dan kebajikan mahasiswa.

Sunday, March 14, 2010

Seminar Model Ekonomi Baru Mahasiswa

Program : Seminar Model Ekonomi Baru Mahasiswa

Tajuk : 'Aplikasi Online Business Dalam Menjana Ekonomi Mahasiswa dan Berpendapatan Tinggi'


Sesi 1 : Foreign Exchange Trading, FOREX (www.forexexcel.com)

Sesi 2 : Pendapatan Melalui Online Blogging (www.hasbulaqill.com)

Sesi 3 : Penjanaan Pendapatan Melalui Internet Marketing (www.majalahim.com)


Tarikh : Sabtu, 20 Mac 2010

Masa : 8 pagi - 5 petang

Tempat : Dewan Sultan Iskandar, UTM

Perniagaan Online bukan bentuk perniagaan yang asing dalam era teknologi maklumat. Bentuk perniagaan sebegini telah wujud sejak 40 tahun yang lepas setelah internet dibuka untuk kegunaan ramai. Oleh kerana sukar untuk mengenali seseorang dalam perantaraan internet, ramai yang telah tertipu ketika cuba menyertai bentuk perniagaan seperti ini.

Bentuk perniagaan yang ingin diperkenalkan MPMUTM bukanlah berbentuk pelaburan yang mana peserta dikehendaki memberikan sejumlah wang kepada satu-satu pihak. Perniagaan yang digagaskan adalah berdasarkan produk yang dipunyai oleh peserta itu sendiri dan dipasarkan dengan menggunakan platform internet. Jika peserta tidak mempunyai produk sendiri, mereka boleh memasarkan produk sedia ada milik syarikat-syarikat yang telah bertapak kukuh dan mendapatkan komisyen daripada hasil jualan. Produk tersebut wujud dalam bentuk digital dan fizikal.

Selain itu, mahasiswa atau staf boleh mendapat pendapatan sampingan melalui kaedah pengiklanan di mana mereka hanya perlu mengiklankan sahaja produk milik sesuatu syarikat dan mendapat komisyen daripada setiap lawatan 'visit' ataupun pembelian produk oleh pelanggan. Sebagai contoh; konsep Google Adsense (www.jana-wang-adsense.com)

Tenaga pengajar internet marketing dan online business blogging didatangkan daripada Team Flarebiz yang bernaung di bawah Syarikat Virtual Asset Group/VAG. Mereka adalah FACEBOOK Adly Mukhtar (www.majalahim.com) dan FACEBOOK Hasbul 'Aqill bin Hasan Zaki (www.hasbulaqill.com).

Kaedah perniagaan matawang dan pertukaran matawang sering disalah anggap oleh sebahagian besar masyarakat. Ditambah lagi dengan publisiti negatif dalam media masa oleh pihak yang tidak mengenali foreign exchange trading (forex) dengan sepenuhnya. Forex yang sebenar mengikut Bank Negara Malaysia perlulah dijalankan oleh individu dan tidak boleh dijalankan dalam bentuk pelaburan wang kepada sesetengah individu lain. Ini mengakibatkan banyak penipuan berlaku dan pihak yang menanggung kerugian pasti tidak berani membuat laporan kerana turut melakukan kesalahan.

Pihak MPMUTM melalui Muhammad Zaki bin Omar telah menjalankan kaji selidik secara tidak formal sejak 6 bulan yang lepas dan telah mengenalpasti pihak yang dapat menjelaskan bentuk forex yang sebenar kepada orang awam. Mereka adalah Team Forex Excel dibawah Syarikat Excel Trade Resources merupakan salah satu anak syarikat Virtual Asset Group/VAG.

Ia diuruskan oleh Cikgu Idris bin Husin dan FACEBOOK Hasbul Ariff bin Hasan Zaki (www.forexexcel.com) yang merupakan trader dan trainer forex sepenuh masa. Mereka juga telah menubuhkan membentuk satu Komuniti Trader Forex merangkumi Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan Thailand. Melalui Excel Trade Resources, mereka menawarkan pembelajaran forex secara personal coaching dan sokongan pembelajaran seumur hidup.

Internet Marketing dan Online Business Blogging merupakan perniagaan yang murah dan tidak sukar dilakukan oleh mahasiswa. Pada masa yang sama menjanjikan pulangan yang lumayan. Foreign Exchange Trading turut menawarkan pulangan yang lumayan dan jumlah modal permulaan bergantung kepada individu yang berminat untuk melakukannya. Forex merupakan perniagaan yang berisiko kerana tiada perniagaan yang tidak berisiko untuk rugi. Dan Pihak Team Forex Excel telah bersedia dengan modul khas yang boleh membantu pelajar mereka untuk mengawal risiko seterusnya menghasilkan keuntungan menerusi forex.

Tenaga pengajar yang MPMUTM pilih merupakan mereka yang bersedia membantu mahasiswa dan staf UTM untuk bebas daripada kekangan kewangan. Mereka adalah pihak yang telus dan tidak merahsiakan identiti. Mereka boleh dihubungi pada bila-bila masa antara jam 8 pagi hingga 12 tengah malam oleh para pelajar yang memilih mereka sebagai guru.

Bentuk pendapatan ekonomi seperti ini telah lama dijalankan sesetengah mahasiswa secara senyap dan memberikan pulangan lumayan kepada yang menyertainya. Seminar ini dianjurkan pihak MPMUTM supaya ianya tidak lagi menjadi rahsia sesetengah pihak dan kami mahu setiap mahasiswa dan staf mengetahuinya.

Semoga dengan pendedahan dalam Seminar Model Ekonomi Baru Mahasiswa ini dan penglibatan mahasiswa serta staf UTM dalam program Internet Marketing dan Forex, mereka mampu menjana pendapatan tambahan, membiayai pengajian mereka, menyertai Global Outreach Programme (GOP) dan sama-sama menyumbang untuk Tabung Endowment Merdeka UTM.

Bagi yang ingin bernikah lebih awal boleh pertimbangkan Model Ekonomi Baru Mahasiswa ini..(^_^).. Jangan couple lama-lama..

Friday, March 12, 2010

Mahasiswa Mohon Turut Bantu MPP

Assalamualaikum wbt...
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Hari ini ketika membaca akhbar online Berita Harian, saya terbaca kenyataan YB Dato Saifuddin Abdullah mengenai mahasiswa yang mengalami kesusahan hidup di IPTA. Saya sangat bersetuju dengan YB Dato. Beliau memberi tempoh sehingga pertengahan April ini untuk pengurusan IPTA untuk menyediakan laporan lengkap berkenaan mahasiswa/i yang mengikat perut. Malah ahli Majlis Perwakilan Pelajar yang dilantik turut diminta untuk membantu mengenalpasti pelajar yang 'mengikat perut' ini.

Kami di pihak MPPUTM bersedia untuk membantu usaha ini dan semua ahli MPP diminta untuk menggerakkannya. Kami seramai 46 orang di UTM JB dan 5 orang UTM IC tidak sempat untuk turun ke setiap fakulti dan kolej sepenuh masa. Oleh itu kami mohon bantuan mahasiswa sekalian untuk menyampaikan sebarang maklumat berkenaan rakan-rakan anda yang berada dalam kesusahan.

Kebanyakan mahasiswa tidak mudah untuk menceritakan kesusahan sendiri. Suatu peristiwa pernah disampaikan kepada saya oleh seorang rakan; seorang mahasiswa pernah ke Pusat Islam (sebelum ini Masjid Sultan Ismail) untuk memohon bantuan zakat. Setibanya di Pusat Islam, mahasiswa tersebut berlegar-legar beberapa ketika di hadapan masjid dan kemudiannya membatalkan niat beliau. Apabila ditanya mengapa beliau tidak meneruskan niat tersebut; jawapan diberikan adalah malu. Dan dengan sebab malu tersebut beliau membatalkan niat beliau dan terus membuat kerja-kerja sampingan bagi mencari pendapatan untuk membiayai pengajian beliau. Tindakan sebegini boleh menyebabkan akademik beliau terjejas dan menyukarkan beliau mencari pekerjaan pada masa akan datang.

Kami memohon rakan-rakan daripada JKM, Persatuan dan Kelab yang mengetahui kesusahan rakan-rakan lain untuk melaporkan terus kepada mana-mana MPPUTM untuk diambil tindakan. Perkara ini akan diusahakan bersama-sama pihak HEP, Pusat Islam dan Pengetua-pengetua Kolej Mahasiswa bagi memastikan kebajikan mahasiswa keseluruhannya dijaga dengan lebih baik.


IPTA diarah lapor graduan 'ikat perut'

Oleh Azrina Ahzan

bhnews@bharian.com.my

2010/03/13

Pelajar kerja sambilan tampung kos hidup

SEPANG: Semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) diarah menyediakan laporan lengkap berhubung masalah beban kewangan yang dihadapi pelajar masing-masing, sehingga ada yang terpaksa ‘mengikat perut’ kerana ia boleh menjejaskan pencapaian akademik mereka.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata arahan itu dibuat selepas beliau menerima maklumat ada segelintir pelajar IPTA terpaksa ‘mengikat perut' atau bekerja sambilan untuk menampung kos hidup sepanjang mengikuti pengajian di kampus. “Berdasarkan maklumat yang saya terima ada pelajar yang terpaksa bekerja sambilan untuk mendapatkan wang tambahan, malah ada yang terpaksa meminjam daripada pensyarah kerana ketiadaan wang.

“Walaupun perkara ini tidak serius namun kita perlu menanganinya dengan mengenalpasti jumlah sebenar pelajar yang berhadapan dengan masalah itu supaya langkah sewajarnya diambil bagi membantu mereka,” katanya kepada media selepas melancarkan bengkel ‘Training of Trainers’, Kokurikulum Berkredit Institusi Pengajian Tinggi di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau memberi tempoh selama sebulan iaitu sehingga pertengahan April ini kepada semua IPTA untuk menyerahkan laporan terbabit antara lain mengandungi cadangan yang perlu dilakukan oleh kementerian untuk mengatasi masalah itu. “Masalah ini perlu ditangani bersama oleh IPTA dan kementerian kerana kita khuatir akan berlakunya fenomena kemiskinan kampus hingga boleh menjejaskan kualiti serta kebolehpasaran graduan IPTA.

“Pada masa yang sama, kita perlu mengenalpasti punca masalah ini sama ada ia disebabkan latar keluarga, jumlah pinjaman yang diterima atau dasar yang ditetapkan oleh kementerian," katanya. Mengenai usaha yang dilakukan pihak IPTA untuk menangani masalah ini, Saifuddin berkata, semua IPTA mempunyai mekanisme masing-masing untuk membantu pelajar yang menghadapi masalah kewangan namun jumlahnya adalah terhad.

Oleh itu, beliau meminta semua ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang baru dilantik membantu mengenalpasti pelajar terbabit, bagi memudahkan urusan pemberian bantuan.

Mesyuarat Khas HEP, MPP dan CICT

Lokasi : Bilik Mesyuarat Utama CICT
Tarikh : 8 Mac 2010
Masa : 2.30 petang

Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi atas keizinanNya dapat juga hasrat kami untuk mengadakan mesyuarat bersama pihak CICT. Mesyuarat ini dihadiri oleh Zaki, Miqdad, Umi Kalsom dan Wei Bin. Mesyuarat ini minta disegerakan untuk update terbaru sebelum Mesyuarat Kebajikan Mahasiswa pada 10 Mac 2010. Hasil mesyuarat amat memberangsangkan dan perkongsian CICT banyak menjawab persoalan mahasiswa.

CICT dalam pelaksanaan Fasa 3 pembangunan wifi UTM dan dijangka siap mengikut jadual pada Julai 2010. Dalam fasa ini, 500 AP akan dipasang dalam tempoh 4 bulan.

MPP juga (atas permintaan), turut dijemput untuk hadiri mesyuarat teknikal CICT yang diadakan setiap 2 minggu mulai minggu hadapan. Mesyuarat ini akan dihadiri 2 orang wakil MPP dari Jabatan Kebajikan dan Pelestarian Kampus. Mesyuarat ini turut terbuka untuk semua MPP yang berminat untuk mendapatkan maklumat terbaru.

MPPUTM amat menghargai komitmen CICT dalam membangunkan wifi UTM dan saya menawarkan diri untuk mebuat Latihan Industri bersama mereka untuk membolehkan MPPUTM sentiasa mendapat update terbaru berkenaan proses pembangunan Fasa ke 3.

Tujuan Wifi UTM:
1. Menambah kaedah kebolehcapaian Internet serta keboleharapan.
2. Memastikan semua pengguna di authenticate apabila mengguna perkhidmatan.
3. Memastikan ada paiawaian keselamatan apabila wireless network dilaksanakan
4. Pelaksanaan aplikasi mobile pada masa akan datang.

Cabaran Menyediakan Perkhidmatan Internet di Kolej
1. Bekalan elektrik yang belum stabil
2. Keselamatan fizikal - vandalisme pelajar
3. Pencerobohan Fizikal dan Digital oleh individu
4. Konfigurasi Alatan
5. Alatan/Perkhidmatan Bukan Disediakan Universiti

UTM menggunakan access point jenis tint client yang dipesan khas daripada 3com US. AP ini boleh mengawal sehingga 35 pengguna, radius signal boleh dikawal dan dibesarkan. AP ini tidak boleh digunakan selain daripada UTM sahaja dan ianya tidak memberi makna kepada pencuri (jika dicuri).

Golongan Murabbi Utamakan Peluasan Ilmiah, Ketepi Budaya Kecincaian

Bersama Prof. Dato' Ir. Dr. Zaini Ujang ( zaini@utm.my)

Berita Harian - Rencana (Minda Lestari), Jumaat 12 Mac 2010


UNIVERSITI sinonim dengan pembangunan modal insan. Justeru, hampir setiap kali Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyebut mengenai agenda nasional bagi merealisasikan matlamat Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi, maka universiti menjadi keutamaan. Ini bersesuaian dengan peranan universiti iaitu pengajian tinggi yang mempunyai kaitan langsung dengan pemikiran masyarakat, model ekonomi dan kemahiran tinggi dalam segala bidang.


Ketika berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kesebelas (Mappa XI) Selasa lalu, Najib menggunakan istilah ‘murabbi’ yakni tenaga pengajar dan penyelidik terbaik dan bermotivasi merujuk kepada pensyarah universiti. Dalam konteks pendidikan, murabbi adalah guru berwawasan, berhemah tinggi, bijaksana, berpendidikan tinggi dan mempunyai kemahiran sesuai dengan keperluan zaman.

Murabbi juga adalah pendidik abadi dan insan berakhlak mulia menjadi teladan bukan saja kepada khalayak pelajarnya bahkan kepada seluruh lapisan masyarakat. Tugas murabbi dalam konteks universiti moden semakin luas dan mencabar. Tugas itu tidak lagi sekadar mendidik secara berkuliah dan tutorial, malah meliputi juga tugas kesarjanaan lebih menyeluruh seperti mengemudi wacana ilmiah, memacu penyelidikan, mengembang penulisan dan menjana harta intelek.

Pada Syarahan Anugerah Merdeka 9 Februari lalu di UTM Kampus Antarabangsa Kuala Lumpur, saya mengusulkan cadangan untuk mendorong mewujudkan ‘keghairahan’ ilmiah di kalangan warga akademia. Antara faktor pendorong itu ialah kemantapan misi ilmiah, sama ada menggunakan paradigma Max Weber (pengasas konsep universiti penyelidikan moden berfahaman utilitarian) atau Imam Shafie (sekadar contoh mewakili konsep pendidikan pemikiran idealis).

Dua pola ini penting untuk kita fahami bagi menjelaskan pelbagai aliran pemikiran mengenai pengajian tinggi. Memang sukar untuk seseorang pensyarah ketika ini hanya menumpu kepada sesuatu pola sepenuhnya. Dengan pelbagai keperluan dan petunjuk prestasi utama (KPI) dirangka peringkat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan institusi, maka kedua-dua pola berkenaan perlu digabung-jalin.

Dengan peranan lebih mencabar sebagai murabbi, maka memang wajar saranan Najib supaya kerajaan mengkaji skim perkhidmatan pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan pensyarah institut perguruan. Dalam konteks ini, tumpuan tidak sepatutnya menjurus kepada aspek gaji dan skim perkhidmatan saja.

Saya tidak bersetuju jika hanya gaji diberi penekanan. Seseorang pensyarah yang cemerlang – begitu juga dalam semua kerjaya – tidak terlalu memikirkan soal imbuhan sepanjang berkhidmat. Hal ini lebih ketara bagi seseorang murabbi yang mementingkan keikhlasan, kejayaan hakiki dan kejujuran ilmiah. Mereka memilih sesuatu kerjaya disebabkan idealisme dan khidmat yang perlu disumbangkan.

Selain peningkatan gaji, tumpuan juga perlu diberikan kepada kemudahan dan prasarana yang membolehkan warga akademia memberi perkhidmatan terbaik. Ketika ini memang isu gaji mendapat perhatian kerana skim gaji pensyarah di Malaysia sudah tidak lagi setara dengan negara jiran, khususnya Singapura dan Brunei. Secara purata, profesor di Singapura, sebagai contoh, mendapat gaji sekurang-kurangnya tiga kali lebih tinggi berbanding IPTA Malaysia.

Selain itu, profesor turut ditawarkan pakej perkhidmatan merangkumi kemudahan geran penyelidikan, peralatan makmal, biaya, pembantu penyelidik dan bidang kepakaran yang perlu dimajukan. Hal ini bukan saja amalan di Singapura. Sejak kebelakangan ini, beberapa universiti awam di Indonesia dan Thailand juga berbuat demikian.

Sehubungan itu, KPT menubuhkan jawatankuasa khas mengkaji semula peranan, skim dan pengiktirafan ahli akademik. Secara kebetulan saya mengetuai jawatankuasa berkenaan. Antara lain, perbincangan banyak tertumpu kepada imbuhan kewangan kepada pensyarah universiti (awam dan swasta) agar setanding dengan kepakaran mereka dan setara dengan negara maju, atau sekurang-kurangnya jiran terdekat.

Memang kenyataan Najib untuk membenarkan skim profesor meningkat sehingga peringkat tertinggi Turus tanpa perlu memegang sebarang jawatan pentadbiran di IPTA mendapat sambutan hangat yang diharap menghangatkan juga iltizam dan menyegarkan lagi sumbangan akademia.

Namun, dalam keghairahan untuk mendapatkan skim gaji lebih menarik, kita jangan sekali-kali alpa bahawa tujuannya adalah untuk memastikan meritokrasi membudaya, sekali gus mengangkasa pengajian tinggi. Mediokriti atau budaya kecincaian adalah barah kepada tradisi ilmu. Pokok pangkalnya, sebagaimana kata Najib, kita mahukan IPTA di Malaysia menjadi paragon of excellence.

Prof Datuk Zaini Ujang ialah penulis buku Mengangkasa Pengajian Tingg (2008) dan Universiti, Kreativiti dan Inovasi (2009)

Thursday, March 11, 2010

HARAPAN PMIUTM TERHADAP MPPUTM 2009/2010

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Kepimpinan mahasiswa merupakan satu tahap pembinaan sahsiah diri dalam membentuk modal insan berkualiti tinggi selaras dengan hasrat universiti dan juga negara Malaysia. Ternyata harapan dan hasrat ini turut dipunyai oleh mahasiswa terbanyak. Iaitu harapan untuk melihat kepimpinan yang mereka pilih dapat mendepani agenda pembangunan dan kebajikan mereka.

Di sini saya kongsikan tulisan yang saya ambil daripada blog Saudara Hafizuddin Misbah (dengan izin), Naib Presiden 1 PMIUTM.

*****************************************************************************

Assalamualaikum w.b.t

Setinggi-tinggi tahniah dan takziah ditujukan khas kepada Majlis Perwakilan Pelajar UTM sesi 2009/2010 yang telah diberikan kepercayaan dan mandat oleh seluruh warga mahasiswa/i dan pihak pengurusan Universiti Teknologi Malaysia dalam memimpin gerakan mahasiswa di UTM khususnya.

Memetik bait kata bekas Hakim Mahkamah Agung Malaysia, Al-Marhum Tan Sri Dato' Harun M. Hashim dalam bukunya "The Benchmark", beliau menyatakan bahawa "varsity education is more than just getting a degree". Peluang keemasan untuk menduduki tempat dalam Majlis Perwakilan Pelajar hendaklah dianggap sebagai suatu cabaran dan kewajipan, bukannya keistimewaan atauprivilege. Kewajipan menuntut ketelusan dan akauntibiliti. Justeru, melalui platform MPPUTM, anda sekalian belajar untuk menjadi lebih bertanggungjawab terhadap amanah dan pada masa yang sama mempelajari selok-belok kepimpinan dalam erti kata yang sebenarnya.

Memahami "World View" Perjuangan Mahasiswa

Idealisme, aktivisme dan intelektualisme merupakan tiga konsep utama yang memberi nilai kepada mahasiswa. MPPUTM selaku entiti utama mahasiswa kampus dalam menyuarakan pandangan, perlulah mempunyai world viewperjuangan yang jelas dan holistik. Ia akan memberikan perspektif yang tepat terhadap makna dan cara perjuangan yang sebenarnya. Ia penting bagi memastikan semboyan perjuangan tidak dilaungkan sebagai retorik semata-mata, tetapi menunjukkan komitmen yang tinggi dari hati yang ikhlas, agar perjuangan dapat dipacu dengan momentum yang padu.

Segunung Harapan, Merealisasikan Impian

Gagasan yang ingin dibawa oleh MPPUTM hendaklah disinergikan dan diberi nafas baru agar ia dapat menjadi pentas baru kepada mahasiswa UTM untuk melukis citra baru terutamanya dalam pembinaan kesarjanaan dalam institusi kemahasiswaan Islam serta menyatakan kebersamaan dalam memastikan inspirasi UTM tercapai. MPPUTM perlu memastikan seluruh pihak berperanan dan beriltizam merakyatkan gagasan berkenaan kepada seluruh masyarakat kampus.

Selaras dengan harapan Naib Cancelor UTM, Professor Dato’ Ir. Dr. Zaini Ujangdalam karya beliau, "Mengangkasa Pengajian Tinggi" yang menjelaskan bahawa pengajian tinggi bukan sahaja menyediakan proses pengijazahan malah menyediakan modal insan dalam perspektif yang holistik yakni aspek kemahiran insaniah serta pembangunan intelektual dan rohani.

MPPUTM memainkan peranan utama sebagai medan penghubung antara pihak pengurusan universiti dengan mahasiswa/i di kampus. Maka, ia perlu bergerak secara profesional dalam kerangka perancangan yang terarah secara strategik dan sistematik.

Oleh yang demikian, gabungan profesionalisme gerak kerja, kematangan tindakan dan strategis perancangan, mampu merealisasikan kepercayaan dan mandat yang telah diberikan ini. Cabaran yang terbesar bagi anda adalah untuk melakukan yang terbaik berbanding kepimpinan sebelumnya, bukan sekadar meneruskan apa yang telah sedia ada.

Buah fikiran dan gagasan idea yang dinamik diperlukan untuk membawa UTM ke arah kecemerlangan. Sebagai pimpinan mahasiswa, anda sekalian perlulah berupaya mengemukakan cadangan dan pandangan yang konstruktif, bernas,viable dan presentable kepada kementerian mahupun pihak pengurusan universiti dalam membawa suara dan menjaga kebajikan mahasiswa.

Kepimpinan yang disandarkan kepada keutamaan atau priorities akan menatijahkan perancangan, pengurusan dan output yang berkesan. Sebagai medium penghubung antara mahasiswa/i dengan pihak pengurusan universiti, MPP hendaklah mengambil perhatian yang serius terhadap kerangka yang menetapkan perimeter peranan dan fungsinya, terutamanya dalam memacu pemerkasaan kebajikan mahasiswa secara lebih aggresif. Sehubungan dengan itu, sesuai dengan falsafah UTM, yang dapat diungkapkan seperti berikut:

"Hukum Allah adalah dasar kepada sains dan teknologi,Maka UTM berusaha secara menyeluruh dan bersepadu memperkembangkan kecemerlangan sains dan teknologi untuk kesejahteraan dan kemakmuran sejagat sesuai dengan kehendak-NYA"

MPPUTM mempunyai peranan yang besar, khususnya dalam membantu dan menyokong usaha universiti merealisasikan gagasannya. Tambahan pula,Timbalan Menteri Kementerian Pengajian Tinggi, YB Dato’ Saifuddin Abdullah dalam karyanya, "Kalau Saya Mahasiswa" menyatakan bahawa;

"Sebenarnya, mahasiswa mampu menjadi “rakan pembangunan” yang berkesan. Tetapi, mahasiswa, selalunya dilihat lebih sebagai“penerima manfaat pembangunan” (beneficiaries of development). mahasiswa, amat jarang diberi peluang dan hakupaya untuk terlibat secara aktif sebagai “rakan tulin” pembangunan, terutamanya dalam struktur dan proses membuat keputusan"

Maka, MPPUTM harus mencari ruang dan peluang untuk melibatkan diri dalam perancangan dan pelaksanaan dasar-dasar dan perancangan universiti, khususnya yang menyentuh kepentingan mahasiswa/i secara umumnya bagi mendapatkan output yang lebih berkesan.

Musyawwarah atau consultation MPPUTM bersama mahasiswa/i perlu dijalankan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan maklum balas langsung daripada mahasiswa dan suasana dunia hari ini memerlukan kita mengiktiraf dan dan meraikan peranan MPP sebagai elemen penting dalam sesebuah universiti.

Akhir kata, segunung harapan buat MPPUTM sesi 2009/2010 agar perlaksanaan manifesto dilakukan secara total oleh semua pihak, bukan retorik kata-kata sahaja yang akhirnya golongan intelektual muda ini, menjadi mangsa dan dilupakan. MPPUTM perlu lebih artikulatif dalam menyuarakan pendapat mereka dalam isu-isu kebajikan mahasiswa/i.

Muhammad Hafidzuddin Bin Misbah
Penulis merupakan Naib Presiden 1 PMIUTM bagi sesi 2009/2010

Thursday, March 4, 2010

Tabloid ILUVISLAM di UTM


Dalam mempromosikan budaya ilmu dan keintelektualan Islam, pihak MPPUTM melihat majalah berbentuk akhbar keluaran terbaru Karangkraf sebagai medium terbaik untuk diperkenalkan kepada mahasiswa dan staf UTM.

ILUVISLAM yang bermottokan Ilmu, Iman dan Islam mempunyai 40 mukasurat yang penuh dengan informasi berguna kepada segenap lapisan golongan pembaca dan tidak terhad kepada pembaca beragama Islam sahaja.

ILUVISLAM akan ke pasaran setiap minggu dan MPPUTM menjadikan pejabatnya sebagai pusat edaran majalah akhbar ini; dan seterusnya sebagai destinasi untuk dilawati oleh mahasiswa dan staf UTM.

ILUVISLAM mempunyai 23 bahagian berita untuk dikongsi bersama pembaca dan anda pasti tidak bosan meneliti setiap mukasurat yang berwarna dan tidak lekangan daripada gambar-gambar yang menarik.

Pada harga RM 2.00, ILUVISLAM amat berbaloi untuk dimiliki sebagai koleksi bahan bacaan mingguan mahasiswa dan staf UTM.

Untuk permulaan, pihak MPPUTM telah menetapkan tarikh jualan pada:
1. Setiap Jumaat
2. Jam 11 pagi - 3 petang
3. Pejabat Majlis Perwakilan Pelajar

Sebanyak 100 naskhah akan diedarkan setiap minggu bergantung kepada permintaan mahasiswa dan staf UTM.

ILUVISLAM boleh dilawati di http://www.majalah.iluvislam.com/


Examplery, Energetic, Action-Oriented

Muhammad Zaki bin Omar
Presiden,
Majlis Perwakilan Pelajar UTM 2009/2010
Bangunan Persatuan Pelajar (SUB),
Universiti Teknologi Malaysia
81310 Skudai, Johor
013-7011828