Sunday, December 26, 2010

Tahniah Pasukan Harimau Malaya


Hari ini saya cukup gembira sepanjang berada di Kota Jakarta. Terutamanya dengan kemenangan pasukan Malaysia dalam perlawanan pertama dengan pasukan Indonesia.

3 gol berbalas 0 ke atas Indonesia menunjukkan kualiti bola sepak Malaysia bukan sembarangan. Moga diteruskan kecemerlangan dalam perlawanan kedua pada 29 Disember 2011.

Saya dan mahasiswa Malaysia di sini akan menyambut mereka di Airport Soekarno-Hatta jam 10 pagi, Isnin 27 Disember 2011. InsyaAllah akan mengambil kesempatan untuk bergambar dengan mereka.

Cuma akan sekali lagi menonton di Malaysia pula kerana akan pulang ke Malaysia jam 3 petang esok juga.

Moga pasukan Malaysia terus maju dan cemerlang.

Sunday, December 12, 2010

Ambil Peluang Tingkatkan Taraf Pendidikan


Dunia kemahasiswaan adalah berkisar tentang pembelajaran dan penguasaan ilmu sepanjang berada di menara gading. Selain itu mereka turut berusaha untuk meningkatkan kemampuan intelek, daya saing dan kebolehpasaran dalam persaingan untuk menempatkan diri dalam pasaran kerja tempatan mahupun antarabangsa.

Proses menjadi mahasiswa yang cemerlang tidak boleh bergantung kepada ilmu pengetahuan yang diperolehi dalam bilik kuliah semata-mata. Malah keterlibatan dalam aktiviti sosial dan kesukarelawanan di medan masyarakat merupakan salah satu pembelajaran tidak langsung dalam membina kekuatan sahsiah diri mahasiswa.

~Kerjaya~

Sejak 6 bulan yang lepas, telah ramai rakan-rakan saya bergraduasi mendapat kerjaya yang dicita-citakan. Dengan gaji serta pendapatan yang berpatutan, mereka terus melakar kehidupan sebagai ahli masyarakat dan memenuhi impian ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka berjaya sebagai seorang manusia. Akan tetapi tidak semua rakan saya memilih untuk terjun ke alam pekerjaan. Sesetengah daripada mereka memilih untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Dan kebanyakan mereka mengambil keputusan ini atas dasar minat dan keinginan untuk belajar yang tinggi.

~Pendidikan vs Pendapatan~

Selain daripada itu, tindakan mereka untuk menyambung pengajian juga atas dasar tidak yakin dengan peluang pekerjaan yang tidak menentu dan pembayaran upah yang tidak sepadan dengan kelulusan. Pembayaran upah yang lebih baik menuntut mahasiswa memiliki kelayakan akademik yang lebih tinggi termasuk penguasaan ilmu yang lebih mendalam dalam sesuatu bidang, terutamanya bidang kejuruteraan berteknologi tinggi.

Mahasiswa perlu menguasai kemahiran khusus dan mampu menjana ilmu pengetahuan dalam menghadapi suasana ekonomi konvensional yang tepu dan kurang menjanjikan peluang pekerjaan. Kita perlu secara bersama membina keupayaan menerokai ilmu baru melalui penyelidikan, mempatenkan penemuan ilmiah, menghasilkan idea kreatif dan melakukan inovasi pada idea yang sedia ada. Output ini boleh diterjemahkan dalam bentuk produktiviti berasaskan teknologi mahupun perkhidmatan, yang akhirnya mampu membuka era baru dalam peluang kerjaya.

~Model Baru Ekonomi vs Modal Insan~

Model baru ekonomi yang diketengahkan di Malaysia memerlukan kepada modal insan berkualiti serta mempunyai daya intelektual yang lebih ampuh. Untuk mempunyai sumber manusia sebegini, kita perlu memastikan agar lebih ramai rakyat Malaysia mempunyai taraf pendidikan yang lebih tinggi. Untuk menyokong hasrat ini, saya amat menggalakkan mahasiswa di peringkat Ijazah Sarjana Muda untuk meneruskan pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi iaitu Master dan PhD.

~MyBrain15~

Apabila KPT mengumumkan tiga program baru MyBrain15, pada pendapat saya ini merupakan langkah yang tepat dalam menjayakan Model Baru Ekonomi. MyBrain15 mensasarkan Malaysia mempunyai 24,300 pemegang PhD (MyPhd dan PhD Industri) dan 40,000 pemegang Ijazah Sarjana (MyMaster) dalam tempoh 5 tahun.

Saya dapat melihat bahawa KPT mendengar suara kami dan memahami keperluan mahasiswa apabila mengumumkan pembiayaan RM24,000 untuk program PhD dan RM10,000 untuk Ijazah Sarjana, yang menelan belanja RM2.68 billion dalam RMKe-10. Saya percaya pembiayaan ini dapat memudahkan lagi pengajian mereka yang terlibat dan mengurangkan beban kewangan yang perlu difikirkan oleh mereka.

Pada fikiran saya, KPT mengambil langkah yang tepat dengan membuka program MyPhD kepada graduan serta kakitangan swasta, dan tidak menumpukan kakitangan akademik IPT semata-mata. Dan satu langkah bijak juga apabila MyMaster turut dibuka kepada orang awam dan kakitangan swasta di samping mahasiswa turut diberi keutamaan. Langkah ini cukup baik dalam menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat serta membantu orang awam dan kakitangan swasta dalam menguasai ilmu baru seterusnya meningkatkan lagi prestasi kerja mereka.

~Mengatasi Halangan~

Oleh kerana program ini masih baru diumumkan pelaksanaannya, saya menjangkakan beberapa kekangan di peringkat awal yang perlu diberi perhatian. Saya amat mengharapkan agar pelaksanaan MyBrain15 ini berjalan lancar kerana faedahnya amat besar kepada ekonomi Malaysia dan meminta pihak IPT dapat menyediakan program-program PhD dan Master yang mencukupi. Amatlah penting kepada IPT untuk memastikan penyeliaan akademik oleh para pensyarah mencukupi dalam menampung kemasukan lebih 10,000 mahasiswa PhD dan Master setahun.

Selain itu, urusan pengesahan pendaftaran dan kemasukan perlu dilaksanakan sebaik mungkin agar urusan pembiayaan pengajian tidak tertangguh dengan agak lama dan menyukarkan urusan pembayaran yuran pengajian. Bagi mahasiswa yang mengambil pinjaman PTPTN dan kemudiaannya mengikuti program ini, sewajarnya diberi kelonggaran untuk menangguhkan pembayaran pinjaman sehingga tamat pengajian MyMaster atau MyPhD mereka. Jika penyelarasan maklumat tidak berlaku, kemungkinan besar mahasiswa ini akan menerima surat amaran dan arahan pembayaran pinjaman PTPTN yang berulang-ulang kali.

~Matlamat Dan Aspirasi~

Setelah meneliti rangka kerja dan sasaran yang ingin diraih melalui MyBrain15, saya percaya hasrat Malaysia negara maju 2020 akan dapat dicapai melalui pertambahan jumlah intelektual negara. Kita masih perlu meningkatkan nisbah jumlah doktor, jurutera, pensyarah, akauntan dan lain-lain kerjaya profesional dalam perbandingan setiap 10,000 orang rakyat Malaysia. Dalam hal ini, pelbagai strategi masih perlu dirangka dan disusun agar kualiti hidup rakyat Malaysia menjadi seiring mahupun lebih baik berbanding negara-negara rantau Asia seperti Singapura, Korea Selatan, Taiwan dan Jepun.