Tuesday, May 26, 2009

Berdua lebih baik?

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Apa khabar sahabat dalam alam percutian ini? Saya baru sahaja tiba di kampung halaman 7 pagi ini. Demam kerinduan agaknya kerana sepanjang berada di bilik MPP, semua benda tak menjadi. Kesimpulannya kena balik hometown juga.

Ada sedikit perkara yang ingin dikongsi sebenarnya. Dalam Konvensyen MPP IPTA yang lepas, kami delegasi UTM ada diajukan pertanyaan tentang wujudkah dua gerakan mahasiswa di UTM. Dan jawapan kami, ada.

Ini kerana, beberapa MPP yang menanyakan soalan tersebut ada mengikuti perkembangan UTM di persada politik kampus mereka. Mereka agak kagum dengan situasi gerakan di UTM yang mana Evolusi Mahasiswa(ProAspirasi) dan ProMahasiswa yang hidup bersama bak sebuah keluarga. Tiada krisis dan kontroversi.

Apabila diperlihatkan pendapat orang luar, barulah saya agak perasan situasi ini. Ya..agak menarik. Kerana kami tidak 'bergaduh' dan berkrisis menegakkan agenda perjuangan masing-masing. Secara umumnya, kami melihat kepentingan mahasiswa lebih daripada kepentingan memperjuangkan ideologi masing-masing.

Kerana itu, dalam MPPUTM, semua pihak mendapat peluang samarata untuk menjalankan fungsi mereka setelah mendapat kepercayaan para pengundi. Tidak kira Evolusi atau ProM, masing-masing diberi tempat dalam MPP dan kami menghormati pilihan para pengundi.

Apabila kami memperdalamkan lagi pemerhatian dan melakukan sedikit kajian, Pemilihan Perwakilan Pelajar 2008/09, 13 Januari 2009 yang lepas mencipta sejarahnya yang tersendiri.

Pertama dalam sejarah UTM, jumlah keluar mengundi mencatat peratusan tertinggi iaitu 90.57%.

2008/09 - 90.57% (meningkat 5%)
2007/08 - 85.xx% (meningkat 15%)
2006/07 - 70.xx%

2009 - Penampilan rasmi ProMahasiswa di samping Evolusi Mahasiswa(ProAspirasi)
2008 - Kemunculan ramai calon bebas di samping ProAspirasi yang mendominasi kampus.
2007 - ProAspirasi (8 daripada 10 fakulti menang tanpa bertanding)
2006 - ProAspirasi
2005 - ProAspirasi

Adakah kewujudan 2 gerakan memberi kesan kepada politik kampus? Data peratusan keluar mengundi mencatatkan peningkatan memberangsangkan dan kemuncaknya pada 2009. Jika data ini diambil kira, dapat dilihat mahasiswa telah menunjukkan MINAT yang tinggi terhadap PRK apabila wujud 2 gerakan idealisme yang bersaing untuk mendapatkan kepercayaan mahasiswa.

Dalam sudut lain, Prof Dato` Ir Dr Alias Mohd Nor (Mantan TNC HEPA) juga menyatakan tiada langsung laporan salah laku semasa proses kempen dan PRK sedang berlangsung berbanding PRK sebelum ini. Tiada poster koyak, dibakar, gunting dan sebagainya. Unsur-unsur provokasi juga tidak wujud.

Adakah perkembangan ini adalah disebabkan wujudnya 2 blok yang bertanding, dan masing-masing menunjukkan sahsiah yang baik supaya mahasiswa mengundi calon-calon mereka?

Atau sesuatu gerakan itu wujud dalam keadaan lebih berdisiplin apabila mereka mendapat peluang menampilkan diri dalam keadaan tidak diberikan tekanan? Saya tidak pasti. Saya juga tidak mengatakan mana-mana pihak cuba membuat provokasi.

Berdasarkan situasi menarik ini, kami MPPUTM telah menubuhkan satu Jawatankuasa Kajian PRK 2009 bagi menjalankan kajian terhadap 'Kesan Kewujudan Pelbagai Idealisme Gerakan Mahasiswa Terhadap Kestabilan Politik Kampus dan Minat Mahasiswa Terhadap Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar'. Kajian ini dicadangkan untuk mengambilkira tempoh 5 kali PRK dari 2005-2009.


Untuk menyiapkan kajian ini, kami perlu mendapatkan beberapa data penting daripada HEP, SPR UTM dan Unit Keselamatan UTM. Diharapkan penemuan daripada kajian ini yang akan diterjemahkan dalam bentuk kertas kerja, dapat diaplikasikan bagi meningkatkan lagi keberkesanan PRK akan datang.

Akhir kata, doakan kami berjaya.

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Thursday, May 21, 2009

Konvensyen Kebangsaan MPP IPTA Ke-3 : Satu Perkongsian

Assalamualaikum wbt..

Selamat Sejahtera..

Salam Perpaduan..

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas nikmat diperpanjangkan umur dan rezeki yang dikurniakanNya selama ini. Sesungguhnya kita insan yang lemah dan tiada upaya atas diri dan perbuatan kita melainkan ianya kurniaan Allah jua.

Alhamdulillah Konvensyen Kebangsaan Majlis Perwakilan Pelajar IPTA Kali Ke-3 telah berlangsung dan berakhir dengan jayanya. MPPUTM juga telah berjaya membentangkan kertas kerja ’Pelapis Kepimpinan Mahasiswa : Satu Perspektif’ sebagaimana yang dirancangkan bersama-sama dengan UMP, UM dan UiTM dalam bidang KEPIMPINAN.

Kertas kerja UTM agak berbeza berbanding universiti lain kerana keutamaan diberikan kepada usaha memastikan keberlangsungan kepimpinan MPP disertai kualiti yang dikehendaki. Melihat kepada universiti lain seperti Universiti Malaysia Pahang, kertas kerja mereka menumpukan aspek Peranan Dan Cabaran Dalam Memperkasakan Kepimpinan Mahasiswa.

UiTM melalui kertas kerjanya, ‘Burnout Among Student Leader In Mara University Of Technology (UiTM)’ pula mengupas persoalan bagaimana TEKANAN atau stress (mohon izin) boleh wujud di kalangan pemimpin mahasiswa. Manakala, aspek transformasi peranan mahasiswa di IPT dan politik negara menjadi fokus UM dalam kertas kerjanya yang bertajuk ‘Revolusi Mahasiswa Dan Politik Baru Malaysia’. Menurut pendapat saya, hampir semua kertas kerja menampilkan kualiti yang tinggi dari segi akademik dan inilah yang ditunggu-tunggu kepimpinan negara agar pengganti mereka merupakan orang yang benar-benar mempunyai kelayakan.

Semua kertas kerja di atas adalah dalam bidang kepimpinan. Ada 3 lagi bidang yang turut dibentangkan iaitu Sahsiah, Akademik dan Keusahawanan.

Kertas kerja MPPUTM

Pada pendapat saya, konvensyen ini merupakan satu anjakan terhadap peranan mahasiswa dan titik tolak ke arah keterbukaan kerajaan dalam mengurusi hak dan kepentingan mahasiswa. Kekuatan utama konvensyen ini pada penelitian saya terletak pada sesi dialog bersama YB Dato’ Saifudin Abdullah, Timbalan Menteri KPT yang baru.

Dalam ucapan beliau sebelum sesi dialog dimulakan, beliau menyatakan bahawa mahasiswa berhak untuk mengkritik kerajaan dan mereka tidak sepatutnya dihalang berbuat demikian. Beliau juga menyatakan bahawa, mahasiswa tidak boleh dilabelkan dengan gelaran yang tertentu oleh mana-mana pihak. Tambahan lagi, beliau mengalu-alukan wacana isu politik dikupas di dalam kampus melibatkan wakil pihak kerajaan dan pembangkang. Terdengarkan kenyataan ini, kami MPPUTM mendapat satu idea....(^_^)

Kesediaan pihak kerajaan dalam mendengar dan membuka peluang untuk mahasiswa bersuara amat dihargai kerana inilah yang diharapkan mereka selama ini. Mungkin tidak perlu saya nyatakan betapa pentingnya suara mahasiswa di ruangan ini kerana sudah banyak penulisan mengenainya.

Alhamdulillah saya berpeluang untuk menanyakan 3 soalan dalam sesi dialog tersebut. Saya cuba untuk menulis sebaik mungkin soalan saya dan jawapan YB Dato’ memandangkan buku catatan kecil saya miss in action atau terhilang dalam kemeriahan konvensyen ini. Amat mendukacitakan..(i_i)

Soalan pertama saya berbunyi, mengapakah masih ada permintaan untuk memansuhkan AUKU daripada mahasiswa sedangkan KPT sudah berusaha meminda untuk memberi lebih peluang kepada mahasiswa. Mengapakah KPT masih belum dapat meyakinkan mahasiswa akan keikhlasannya.

Menurut YB Dato’, KPT telah berusaha sebaik yang boleh dan mungkin kerana dinafikan hak bersuara dalam tempoh yang agak panjang maka mahasiswa telah hilang keyakinan. Bagaimanapun beliau menyatakan keikhlasan KPT akan diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan masa akan menentukan proses pemulihan kepercayaan mahasiswa.

Dalam ucapan awal, YB Dato’ menyatakan beliau berpendapat AUKU sememangnya mengongkong dan menyekat idealisme. Dalam soalan kedua, saya menyatakan pendapat saya bahawa AUKU juga merupakan akta yang DRAKONIAN dan JUMUD. Menyekat suara mahasiswa ibarat menikam hang tuah berkeriskan lidi kelapa.

Dalam soalan saya meminta pendapat tentang kesudian KPT membuka fail-fail lama tentang pesalah AUKU dan jika perlu, diberi keadilan semula(perbicaraan semula) jika hukuman yang dijatuhkan sebelum ini berunsurkan ketidakadilan [masih ada juga kes yang belum selesai hingga 6-7 tahun dan mereka tidak dibenarkan mengikuti pengajian hinggalah perbicaraan diselesaikan dan mereka belum dibuktikan bersalah]. Tindakan ini pastinya dapat menarik kepercayaan pelajar dan membuktikan keikhlasan KPT. Dicadangkan juga, jika mahasiswa didapati teraniaya dan tidak mendapat keadilan yang sepatutnya, mungkinkah KPT dapat memberikan pampasan kepada mereka.

Menurut Dato’ Saifudin, beliau juga berpendapat bahawa ketidakadilan ada berlaku, malah hukuman yang dijatuhkan agak berat berbanding kesalahan yang dilakukan. Beliau akan mempertimbangkan perbicaraan semula jika ada permintaan MPP sendiri [Maka MPP, laksanakan tugas anda memperjuangkan keadilan untuk mahasiswa]. Tentang pampasan, mungkin boleh diletakkan dalam agenda ke-10 atau ke-11 maksud beliau, tidak perlu diberi keutamaan untuk pampasan.

Soalan ketiga. Adakah wujud tangan-tangan hitam golongan politik yang berusaha untuk menentukan ideologi yang sepatutnya diterapkan dalam minda mahasiswa di universiti? Kerana pada pendapat saya, biarlah mahasiswa menentukan ideologi mereka sendiri tanpa perlu dipengaruhi. [Jika pihak memerintah menggunakan universiti untuk menerapkan ideologi mereka, maka jangan dipersoalkan jika tertubuh kerajaan baru dan mereka melakukan perkara yang sama]. Jika mahasiswa ingin dibebaskan dari kekangan minda (menghapuskan kelesuan), maka mereka perlu dibebaskan sebebas-bebasnya (dalam konteks pemikiran, idealisme, intelektualisme).

Pada beliau walau apa jenis tangan pun, campur tangan politik tidak sepatutnya berlaku di universiti. Dan beliau setuju supaya politik tidak mempengaruhi perjalanan universiti.

Berdasarkan jawapan di atas, saya merasakan persoalan saya telah terjawab dengan baik. YB Dato’ Saifudin telah menyatakan dengan jelas kebebasan pelajar yang beliau maksudkan dan AUKU akan masih dalam bentuk Pindaan 2008, tiada cadangan untuk memansuhkan. Pandangan beliau, AUKU Pindaan 2008 memadai buat masa ini.

Kami MPPUTM sepanjang dalam konvensyen ini merasakan sesi dialog yang diaturkan amat bermakna, dan banyak kekeliruan, ketidakpastian tentang pendirian KPT terhadap kebebasan suara mahasiswa telah diperjelaskan. Kami amat berpuashati.

Sedikit mencelah, jika ditanya pada saya tentang pemansuhan AUKU, saya MUNGKIN akan bersetuju kerana sebelum 1970-an, akta ini tidak wujud pun..(^_^)

Friday, May 1, 2009

Mesyuarat Konvensyen Kepimpinan (Update)

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

3 Mei 2009

Kami tiba di Hotel Seri Malaysia, Bagan Lalang, Sepang jam 2 petang. Selepas check-in baru sedar rupa-rupanya saya sebilik dengan Ustaz Nasir. Mudah kerja kami nak berbincang tentang kertas kerja ni. Kalau ikut plan penganjur, MPP akan diletakkan sesama mereka. Nampaknya plan ini tak menjadi.

3.30 petang sesi pertama bermula. Penerangan daripada Dr. Mustafa sebagai pengendali untuk format dan pembentangan kertas kerja. Diikuti oleh En. Saffry (bekas senior Ustaz Nasir rupanya..) yang menceritakan format membuat jurnal dan prosiding untuk pembentangan.

Prosiding ni bukan proses pembentangan tapi nama bagi kertas kerja yang akan dibentangkan, jurnal pula adalah kerja kerja ilmiah yang akan dibukukan setelah mendapat tauliah sidang editorial jurnal. Harap kertas kerja MPPUTM diterima sebagai jurnal, InsyaAllah.

6 petang semua dah buat kerja sendiri dan sesi 2 disambung selepas makan malam. Dalam sesi 2 tak ada pembentangan pihak penganjur lagi. Semua continue buat kertas kerja. 10.30 malam mata tak dapat ditahan lagi, Ustaz Nasir pun dah angkat bendera putih seangkatan dengan saya. Letih tak hilang lagi..

Lepas sarapan 8 pagi ni, kami sambung 'touch up' akhir kertas kerja. Dan kami masih dalam sesi 3 sekarang.. Kertas kerja kami bertajuk Pelapis Kepimpinan Mahasiswa: Satu Perspektif. Walaupun pihak penganjur menetapkan minimum 5 muka surat tapi kami sudah menjangkau ke muka surat 20. Sekarang saya sedang buat Sorotan Literatur (Literature Review)..

2 Mei 2009

Hari ini dalam jam 8.30 pagi saya akan bertolak ke Sepang bersama Ustaz Nasir Masroom untuk Mesyuarat Konvensyen Kepimpinan yang akan berlangsung 23 Mei akan datang. Konvensyen ini dianjurkan oleh UTHM melibatkan semua pimpinan MPP universiti seluruh Malaysia.

MPPUTM diminta untuk membentangkan kertas kerja yang berkaitan dengan kepimpinan. Apa saja yang berkaitan kepimpinan yang menjadi fokus MPPUTM. Alhamdulillah kertas kerja yang diminta telah disiapkan 100% dengan kerjasama oleh team yang dibentuk.

Dalam tugasan ini, Ustaz Nasir dilantik sebagai pegawai pemantau untuk memastikan tahap kualiti dan kertas kerja disiapkan dalam masa yang ditetapkan. Team yang dibentuk bagi menyiapkan kertas kerja ini melibatkan saya, Abg Izuan, Hafizul Hilmi, Syikin dan Aimran. Hadi sebagai coordinator untuk menetapkan fokus utama kepimpinan dalam kertas kerja yang dibuat.

Dalam kertas kerja yang dah disiapkan, pembangunan kepimpinan, kepimpinan transformasi menjadi fokus kami sebagai satu cara untuk berkongsi dengan pimpinan pelajar universiti lain tentang pengurusan kepimpinan era transformasi UTM.

Perkongsian yang lebih detail akan akan menyusul dan kertas kerja yang dihasilkan akan turut dikongsi bersama pembaca. InsyaAllah.

Saya belum kemas barang lagi. Jam sudah 5 pagi huhu.. Jumpa lagi minggu depan.


Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..