Tuesday, July 28, 2009

Silap : Sengaja atau Tidak...?


Salam wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Kenapa perlu buat silap? Perlukah kita memilih kesilapan sebagai salah satu cara untuk meningkatkan diri? Tapi wujudkah manusia yang berpandangan begini? Persoalan yang saya ingin kongsi bersama.

Saya terfikirkan perkara ini kerana ada pihak berpandangan tidak mengapa mahasiswa berbuat silap asalkan mereka belajar daripada kesilapan. Pada saya 'tidak salah' jika tidak sengaja buat silap..kerana orang yang sedang belajar sukar untuk terlepas daripada membuat silap.

Tapi..bagaimanakah pula jika mahasiswa sengaja memilih untuk membuat silap? Kenapa tidak memilih untuk buat sesuatu yang betul berbanding mengambil risiko untuk berlakunya kesilapan. Saya percaya ada ruang untuk menganalisis semua kemungkinan, mendapatkan pandangan pakar dan merujuk kepada pihak yang berpengalaman dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Dalam bereksperimen sekalipun, tidak pernah berlaku satu percubaan membuahkan hasil yang diinginkan sebagaimana teori yang dibina. Dan beberapa percubaan dan ujian terpaksa dijalankan untuk membuktikan teori dan mencapai hasil yang diinginkan. Oleh itu dalam memperjuangkan idea dan pemikiran, manusia bukan subjek untuk diuji akan ke'relevan'an sesuatu pendapat. Manusia tidak boleh sewenang-wenangnya diguna untuk membuktikan kesilapan yang cuba dilakukan.

Apa yang berlaku dalam situasi 'darah muda' golongan mahasiswa, mereka seakan-akan tergesa-gesa dalam memutuskan sesuatu yang dirasakan 'betul' pada pandangan mereka. Sehingga bertentangan dengan norma dan bentuk pemikiran masyarakat yang merupakan mad'u (golongan yang perlu dibimbing) mereka.

Sesuatu yang bertentangan dengan arus semasa disebut sebagai anti-establishment. Jika golongan mahasiswa memperjuangkan sesuatu yang anti kepada situasi semasa, pastinya apa yang diperjuangkan sukar untuk pergi jauh. Situasi di Iran banyak memberikan contoh

Dalam dialog saya dengan seorang yang berpangkat pegawai, dia masih terngiang-ngiang dengan ungkapan 'Bangkang Dahulu, Bincang Kemudian' hinggakan dalam tindakan beliau sekarang ini pun seakan-akan terkesan dengan pengalaman lalu yang beliau hadapi. Dia sentiasa berhati-hati dengan setiap langkah mahasiswa agar golongan yang berprinsip seperti di atas tidak diberi banyak ruang untuk bergerak.

Jika benar wujud kumpulan mahasiswa yang berprinsip 'Bangkang Dahulu, Bincang Kemudian' sebagaimana yang diutarakan beliau, pastinya sangat bertentangan dengan status ilmiah dan profesional yang digambarkan pada diri mahasiswa.

Saya pernah terjumpa situasi yang sangat menarik. Situasi di mana jika kita melakukan sesuatu yang betul pun belum tentu akan diterima sebagai betul. Ini kerana masyarakat masih belum menerima 'pembetulan' yang cuba dilakukan. Sebagaimana jika anda cuba membanteras rasuah tetapi anda dikelilingi perasuah, bagaimana tindakan anti-rasuah anda dapat diterima. Sang penerima rasuah pasti tidak suka aktiviti 'makannya' diganggu.

Dalam membangunkan minda masyarakat Melayu supaya berada di atas landasan ilmu dan iman kepada Allah. Anda adalah betul bila cuba kembalikan masyarakat Islam kepada Islam yang sebenar. Kerana Islam sentiasa memandu manusia ke arah yang lurus menuju Allah. Akan tetapi apabila tindakan anda ditafsirkan sebagai sesuatu yang anti-establishment, anda akan ditolak ke tepi. Situasi ini lebih jelas apabila anda membaca Seteguh Tekad yang ditulis Prof. Dr Sidek Baba dalam proses mendidik masyarakat ketika beliau menjadi guru.

Apabila kita memperdalamkan pemerhatian dan pengamatan,sebenarnya tidak mudah untuk buat silap dan juga sebenarnya tidak sukar untuk buat sesuatu yang betul.

Sebenarnya saya ingin memperluaskan contoh tindakan mahasiswa dalam perbincangan di atas, akan tetapi rupanya tidak mudah untuk memperkatakan sesuatu yang betul.


Sunday, July 19, 2009

Membudayakan budaya ilmu

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Mahasiswa UTM sekarang ini sedang mengalami era transformasi dalam segenap segi terutamanya dalam usaha mengembalikan budaya ilmiah yang semakin luntur. Perkara ini dikuatkan lagi dengan luahan hati, hasil daripada pemerhatian Naib Canselor UTM, Prof. Ir. Dato. Dr. Zaini bin Ujang terhadap budaya mahasiswa dan ianya dilontarkan dalam tulisan beliau, “Outcome Bukan Output, Budaya Bukan Sijil” yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian, Jumaat, 8 Mei 2009.

Aspek menjurus kepada pembinaan minda kelas pertama dan pembudayaan ilmu seperti wacana, diskusi, ‘kegilaan membaca dan menulis’ dan persekitaran mesra intelektualisme tidak lagi menjadi keasyikan, trend dan aset penting. Bahkan personaliti sedemikian tidak lagi menyerlah di kampus, malah nampaknya semakin pupus melawan arus masa.

Tidak ada lagi debat atau diskusi ilmiah mengenai isu pokok membabitkan perkembangan semasa dalam arena politik, ekonomi, sosial, sains atau teknologi. Kalaupun ada, jarang sekali dianjurkan dengan segala macam syarat dan perkiraan supaya tidak bersifat sensasi dan sensitif. Akhirnya aktiviti kampus yang sepatutnya meriah ilmu menjadi hambar dan lesu sehingga menyebabkan apa saja yang dianjurkan atas nama semarak ilmu dan budaya ilmu dilihat daripada perspektif ‘output’ jangka pendek, umpamanya keperluan kredit dan memenuhi waktu CPD.

Budaya pada hakikatnya bukan sesuatu yang mudah untuk diwujudkan. Tanpa kehendak dan keinginan yang kuat disertakan dengan keazaman yang tinggi, penciptaan sesuatu budaya amat sukar dilakukan. Kewujudan budaya juga bertujuan untuk menunjukkan identiti sesuatu kelompok agar lebih mudah dikenali. Malah ketinggian nilai budaya yang dimiliki juga meninggikan taraf dan penghormatan yang diterima oleh kelompok tersebut.

Budaya ilmu sememangnya salah satu daripada kebudayaan yang dimiliki oleh mahasiswa, cuma ianya dilihat semakin men’jauh’ daripada bahagian diri mereka. Jika diperhatikan, dunia mahasiswa secara keseluruhannya memperlihatkan penolakan terhadap budaya ini. Jika anda kurang percaya, cuba kirakan berapa banyak bentuk aktiviti ilmiah yang disebutkan dalam petikan tulisan Dato’ Zaini di atas dan tanyakan kepada diri kita, berapa banyak yang telah kita hadiri jika aktiviti tersebut ada dalam kampus UTM. Jika tiada dianjurkan, bagaimana untuk kita hadiri? Maka, siapakah pula yang mahu menganjurkannya?

Arus modenisasi dan proses globalisasi sepatutnya lebih membantu mengukuhkan budaya ini. Istilah dunia tanpa sempadan dengan capaian internet meluas yang kita nikmati secara logiknya tidak akan menyebabkan budaya ini luntur. Walaupun internet masih belum diterima sebagai sumber ilmiah tapi sudah semakin banyak isi kandungan buku, tesis dimuatnaik supaya mudah dicapai oleh semua pihak. Oleh itu, kebudayaan ilmu tidak mungkin luntur melainkan kita telah kehilangan arah dan matlamat dalam menuntut ilmu. Duduk letaknya nilai ilmu dalam diri banyak mempengaruhi penilaian kita terhadapnya, jika tinggi akan terjulanglah ia, jika me’lantai’ maka rapuhlah ia. Dan saya amat menyanjungi penulisan Imam Al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumiddin, Jilid 1, Bab 1 tentang ketinggian nilai ilmu. Rasanya saya perlu mengulang baca sekali lagi. Moga akan mendapat pemahaman baru yang mungkin saya terlepas.

Pada pandangan saya, jika kebudayaan ini ingin diperkasakan semula, ianya tidak terlalu sukar cuma pastinya akan mengambil masa. Berapa lama tempohnya bergantung kepada kesungguhan pecinta ilmu dan kehendak mahasiswa itu sendiri.

Saturday Night Event yang dicadangkan oleh Dato’ Zaini merupakan salah satu platform untuk mewujudkan budaya ilmu di kalangan mahasiswa. Kali pertama mendengarnya, ramai menjangkakan ianya berbentuk aktiviti hiburan hujung minggu, diisi dengan nyanyian, lakonan dan pementasan. Ya! Anda sangat betul dan tidak salah jika berfikiran begitu tapi hiburan yang bagaimana anda fahami?

Hiburan dalam SNE yang digagaskan bukanlah bersifat picisan dan murahan sebagaimana yang boleh kita cari dalam majalah dan siaran TV. Motif yang mendasari SNE adalah hiburannya mestilah mempunyai nilai yang tinggi yang juga merupakan input baru kepada mahasiswa. Untuk mengetahui lebih jelas tentang SNE, anda digalakkan untuk membaca buku Dato’ yang bertajuk Memperkasa Budaya Ilmu.

Dalam SNE lepas (Sabtu, 11 Julai’09) yang melibatkan persembahan kumpulan Kopratasa, Din atau Sani Sudin, ketua kumpulan Kopratasa telah mengungkapkan ayat ‘power’ untuk membandingkan suasana di Rumah Tropika yang bersifat taman/kebun. Beliau juga menyatakan turut memiliki kebun tetapi kebunnya adalah ‘kebun-kebun karya’. Itulah kebun yang mendatangkan kenyamanan dan kedamaian kepada beliau, dinikmati hanya apabila beliau berkarya. Unsur falsafah dan sastera yang dilontarkan membuatkan saya rasa SNE yang dianjurkan amat bermakna sekali.

Andai kata SNE hanya sekadar untuk meredakan tekanan semata-mata dan kita memerlukan hiburan yang bersifat ‘bodohan’ untuk memudahkan kita ketawa, teruja, ‘terangsang’ kemudian letih, balik kolej, tidur dan kemudian bangun untuk mencari lagi hiburan. Maka pada fikiran saya, kita masih belum mencapai kemajuan minda kelas pertama sebagaimana yang diinginkan oleh Tun Abdullah. Walaupun kehadiran penontonnya sangat memuaskan hati penganjur.

Dalam usaha membudayakan budaya ilmu, MPPUTM juga telah berusaha menganjurkan forum Bicara Mahasiswa UTM yang telah dimulakan semasa Minggu Haluan Mahasiswa dan dicadangkan kelestariannya sebagai salah satu bentuk aktiviti ilmiah kampus. MPP akan bertindak sebagai moderator forum dan pemimpin mahasiswa di peringkat kolej, fakulti dan persatuan mahasiswa dalam kampus sebagai ahli panelnya. Pelaksanaan forum ini adalah mirip program Suara Siswa dalam RTM 1, setiap selasa jam 9.00 malam. Jika berkesempatan, forum ini akan dimasukkan sebagai salah satu slot dalam SNE. InsyaAllah.

Oleh itu, dalam membudayakan budaya ilmu di kalangan mahasiswa, ianya mestilah dimulakan di kalangan pemimpin mereka. Dan ahli panel yang saya nyatakan tadi merupakan figure pemimpin di kalangan mahasiswa. Forum ini juga merupakan sebahagian hasrat MPPUTM yang mahukan pemimpin mahasiswa bukan sekadar boleh bertindak sebagai penganjur program dan aktiviti fizikal, malah merupakan seorang pemikir dan boleh melontarkan idea di tengah-tengah kelompok mahasiswa.

Akhir kalam, kebudayaan ilmu yang ingin dicapai tidak boleh sekadar menjadi impian semata-mata. Usaha untuk merealisasikannya mestilah di'realiti'kan agar budaya yang membuahkan penghormatan tinggi masyarakat terhadap mahasiswa terus kekal.

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Wednesday, July 15, 2009

Tahniah Pelajar K10

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Hari ni saya secara tidak sengaja baca akhbar Kosmo! di bilik guru. Ketika tiba ke muka surat 15 saya terpandang tajuk ini, "50 Murid UPSR Jadi Mentee UTM".

Saya meluangkan masa untuk membacanya sehingga habis. Tahniah saya ucapkan kepada 15 Fasilitator yang terlibat sebagai mentor kepada 50 orang murid SK Taman Sri Pulai.



Program kemasyarakatan inilah yang dikehendaki daripada pelajar UTM sebagai suatu bentuk sumbangan kepada masyarakat. Kita sebagai pelajar kebanyakannya tidak memilik wang yang banyak atau sebarang bentuk materi yang berharga untuk disumbangkan. Akan tetapi ilmu dan bimbingan yang boleh kita kongsikan amat bernilai untuk masyarakat.

Saya amat menyokong program sebegini dan seboleh-bolehnya turut dilaksanakan oleh pelajar UTM yang lain mungkin terhadap golongan sasaran yang berbeza. Jika masih ada lagi sekolah rendah yang berhampiran, apa salahnya..

Mungkin ada lagi program lain yang telah dilaksanakan oleh pelajar UTM dan mungkin saya tidak ketahui, tahniah juga saya ucapkan kepada mereka.

Saya pernah ditanya sebulan yang lepas, "tiada lagikah program kemasyarakatan untuk orang asli?" Ini kerana tahun 2008 yang lepas, terhadap kumpulan pelajar daripada Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) yang membuat program kebajikan di Mersing dan tinggal bersama mereka selama beberapa hari. Juga tahniah kepada mereka. Jika boleh, adakan lagi.. Masyarakat perlukan anda.

Tahniah! Teruskan menyumbang untuk kelestarian pembangunan minda masyarakat Malaysia.

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Saya Sedang Dalam Latihan Mengajar


Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Apa khabar pembaca semua? Hari ini saya mengambil kesempatan untuk menulis setelah 4 hari berada di Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru untuk menjalani Latihan Mengajar.

Alhamdulillah pihak sekolah sudi menerima kami bertiga pelajar UTM untuk menjalani latihan praktik, mengajar pelajar tingkatan 4 dan 5. Saya di sini mengkhusus dalam subjek Kejuruteraan Elektrik, memang minat saya.



Saya mendapat penginapan di dalam sekolah sebagai pembantu warden dan diminta oleh pengurusan sekolah untuk sama-sama mengambil berat keadaan pelajar di asrama.

Pada fikiran saya, terdetik juga untuk menangguhkan dulu Latihan Mengajar ini untuk memastikan tugas sebagai MPPUTM tidak terganggu. Tapi selepas berbincang dengan pensyarah dan mengumpul pandangan rakan-rakan MPP, saya meneruskan juga LM ini.

Saya memilih sekolah yang paling dekat dengan UTM supaya saya boleh pulang bila-bila masa jika terdapat sebarang urusan rasmi MPP. Tugas dan tanggungjawab tidak terlerai hanya kerana berada di luar kampus. Ya Allah, bantulah hambaMu yang kerdil dan lemah ini..

Keutamaan mengajar saya hanya di sekolah teknik sahaja memandangkan kursus kejuruteraan dan pendidikan yang diambil bertujuan untuk mengisi tenaga kerja di sektor ini. Dan insyaAllah akan bersedia untuk berkhidmat di mana saja.

SMT Johor Bahru merupakan sekolah yang menarik dengan pencapaian terbaik di seluruh Malaysia. Menurut pemerhatian saya, pengetuanya yang baru setahun ditukarkan ke sini merupakan kekuatan utamanya. Sebelum ditukarkan ke sini beliau merupakan pengetua SMT Cheras dan selama 2 tahun beliau di sana, SMT Cheras telah mendapat taraf Sekolah Cluster. Dan selepas setahun di sini, SMT JB telah menjadi SMT no.1 di Malaysia.



Kesimpulan mudah yang dapat dibuat ialah kekuatan pengurusan, pengalaman dan tekad untuk cemerlang yang dimiliki beliau telah diterjemahkan melalui peningkatan prestasi mendadak SMTJB. Amalan pengurusan beliau yang berdisiplin tinggi tetapi mudah dan ringkas banyak memotivasikan guru-guru untuk berkhidmat lebih baik. Sikap beliau yang positif dan banyak bertindak sebagai penyelesai masalah menjadikan SMTJB terus proaktif untuk lebih progresif.

Pengurusan yang cemerlang dan berstrategi banyak menentukan kecemerlangan sesuatu organisasi. Ketika beliau dipindahkan ke sini, beberapa transformasi pengurusan dilakukan seperti di UTM juga. Beberapa jawatankuasa ditubuhkan dan hanya guru yang bersesuaian dipilih untuk diberi tugas penting. Dalam melakukan transformasi, tidak semua dapat diterima dengan mudah kerana kita perlu keluar daripada zon yang kita 'biasa'kan sebelum ini.

Bagi seorang ketua yang melakukan transformasi, beliau pasti akan menghadapi cabaran untuk membuat keputusan yang pantas tapi tepat dengan situasi yang dihadapi, juga tentangan 'mesra' daripada kalangan ahli organisasi perkara biasa perlu dikendalikan dengan bijak. Kadang-kadang kuasa di tangan terpaksa juga digunakan. Yang penting, organisasi terus maju ke hadapan tanpa mengabaikan faktor-faktor kepuasan kerja dan soal kemanusiaan kerana kita masih lagi manusia, bukan robot.

Saya sukakan bentuk pengurusan beliau. InsyaAllah saya akan menggunakan kesempatan berada di sini untuk belajar lebih banyak daripada beliau untuk kebaikan diri saya dan MPPUTM.

Saya telah mengambil beberapa keping gambar tapi belum di'transfer' ke komputer lagi. Ada ruang masa saya kongsikan.

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..


Friday, July 3, 2009

Perkhidmatan Bas Dari Sri Puteri Ke UTM

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Hari ini 4 Julai merupakan tarikh di mana mahasiswa UTM mula kembali ke kampus untuk meneruskan pengajian di semester ini.

Melihat kepada permasalahan mahasiswa UTM yang baru tiba dari kampung halaman untuk mendapatkan pengangkutan di Sri Puteri ke kampus UTM termasuklah terpaksa menghadapi karenah pengusaha teksi yang mengenakan caj melampau sehingga RM15 semata-mata untuk ke kampus yang hanya sejauh 3-4 kilometer.



Oleh itu, ,MPPUTM dengan kerjasama Pejabat HartaBina telah menyediakan perkhidmatan bas dari Hentian Sri Puteri ke kampus UTM secara percuma.

Jadual Bas Ke UTM dari Sri Puteri



MPPUTM juga telah menghubungi LPKP untuk memohon kerjasama bagi membanteras tesi-teksi haram yang mengenakan caj melampau sepanjang 2 hari tempoh pulang ke kampus iaitu 4 dan 5 Julai 2009.

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Thursday, July 2, 2009

To Anonymous..

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Syukur ke hadrat Ilahi atas limpahan rahmat dan kurniaannya kita masih menikmati anugerah nafas untuk terus hidup dan terus beribadah kepadanya.

Saya berharap untuk menulis tetapi berikutan kekangan masa dan keletihan mengurus MHS, hasrat menulis tertangguh untuk beberapa selang waktu.

Menulisnya saya pada hari ini disebabkan oleh manusia-manusia yang suka memberi pandangan tanpa memperkenalkan diri. Kemudian menulis sesuka hati tanpa berfikir. Hanya kerana orang mungkin tidak mengenali mereka maka mereka berasa bebas untuk menulis dan mengkritik.



Dari sudut ilmiah dan adab, seseorang perlu memperkenalkan diri sebelum memulakan percakapan supaya perbincangan mudah untuk dirujuk kepada yang membangkitkan isu. Akan tetapi, manusia Anonymous ini kurang unsur ilmiah dan adab ini walaupun dia seorang mahasiswa (mungkin..)

Oleh itu, sepatutnya saya TIDAK melayan sebarang pandangan, kata-kata, teguran dan luahan yang tiada asal-usul dan sumber yang boleh saya kenal. Tapi saya layan juga..Hmm...

Ada yang suka mengguna nama Anonymous supaya mudah untuk membuat kenyataan me'negatif'kan atau mudah untuk mereka menghentam pihak yang dirasakan perlu dilayan secara kasar. Lemahnya mereka.. Tulislah sesuka hati anda kerana tiada penghormatan daripada saya untuk anda. Akan tetapi insyaAllah saya akan cuba menjawab sebaik mungkin persoalan yang ditimbulkan.

Apa yang terasa di hati insyaAllah tidak perlu saya luahkan. Kami MPP dan saya, sering diingatkan untuk mengikhlaskan hati dan teguhkan niat untuk membantu mahasiswa. Walaubagaimanapun, sebarang tuduhan, hentaman dan kecaman yang tidak benar, akan saya cuba lapangkan dada dan maafkan. Jika saya tidak mampu, maka silakan si Anonymous berjumpa Allah di padang mahsyar kelak dan pohonlah ampun daripadanya yang Maha Pengampun.

Waalhua'lam

Isu LI RM20.
Saya tidak tahu siapa si Anonymous yang berkata-kata dan daripada fakulti mana. Maka saya bagi contoh begini. Seorang MPP FKSG (sekarang ini) membuat LI di Kuala Lumpur dan yuran LI yang dikenakan sebanyak RM470. Elaun LI yang diterima adalah sebanyak RM500 (diputuskan oleh fakulti masing-masing). Ada MPP FAB mendapat elaun sebanyak RM9++.00 tapi saya belum tahu lagi jumlah yuran yang beliau bayar.

Secara logiknya, yuran yang dibayar RM470 telah dikembalikan termasuk lebihan RM30. Untuk penjelasan lanjut, elaun LI bukanlah untuk 'cover' yuran yang dikenakan akan tetapi imbuhan pihak KPT kepada anda atas sumbangan untuk menggerakkan perjalanan ekonomi negara. Sedarlah Mahasiswa.

Kerana itu, dalam post sebelum ini saya ada meminta rujuk kepada fakulti masing-masing tentang jumlah elaun yang diterima dan bagaimana pengiraan dibuat. Di UTM, ada 10 buah fakulti dan jika anda TIDAK MAMPU menanyakan hal ini kepada 1 buah fakulti anda sendiri, apatah lagi saya untuk pergi ke semua 10 buah fakulti; hanya semata-mata untuk tahu jumlah bayaran yang diterima.

MPPUTM telah memperjuangkan elaun LI sejak sekian lama dan Mahasiswa UTM merupakan penerima PERTAMA berbanding universiti lain. Saya tidak mahu sebut perkara ini dari awal untuk menjaga hati sahabat dari universiti lain. Tak mengapalah...kita terima sahaja apa yang akan berlaku selepas ini. Oleh itu, dapatkan penjelasan lanjut daripada fakulti anda. Penolong Pendaftar anda pasti bersedia menjawab sebarang persoalan.

Isu Bersyukur.
Hanya kerana saya meminta anda bersyukur dengan jumlah yang diterima, saya diisytiharkan telah masuk parti politik? Subhanallah... Saya hanya mampu tersenyum. Adakah setakat itu sahaja tahap pemikiran mahasiswa Anonymous ini?

Kalau begitu, Rasul S.A.W yang sejak dari dulu menganjurkan manusia untuk mensyukuri nikmat Allah telah masuk parti mana? Mungkin si Anonymous mahu memberi pandangan. Silakan..

Apabila si Anonymous berkata; "eleh rm 20 je dapat tu pun nak kecoh... pigila ko...". Saya dapat jangkakan dia tidak menyiasat dan merujuk pihak fakulti terlebih dahulu. Terpulanglah wahai mahasiswa...

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..