Tuesday, June 15, 2010

Mahasiswa UTM Matang Dan Tidak Berminat Dengan Aktiviti Yang Mengancam Keselamatan Negara

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Sejak tiga hari lepas, banyak laporan media menyatakan wujudnya gerakan bawah tanah yang dilakukan secara tersembunyi yang berbentuk penyebaran ideologi dan galakkan aktiviti bersifat mengancam keselamatan negara dan orang awam.

Dalam laporan akhbar Berita Harian, Utusan Malaysia dan lain-lain akhbar, banyak dinyatakan secara umum akan penglibatan mahasiswa IPT dalam perkara ini. Di pihak saya, saya tidak ingin membuat penafian atau mengesahkan sebarang laporan memandangkan tiada laporan dan bukti penglibatan disampaikan kepada saya oleh mana-mana pihak.

Walabagaimanapun perkara ini berada dalam perhatian saya dan rakan-rakan Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM jika sebarang kerjasama diperlukan oleh pihak berkuasa.

Pada pengamatan saya, isu ini masih di peringkat BELUM MEMBIMBANGKAN memandangkan perkara ini pernah diingatkan oleh bekas Menteri Kementerian Dalam Negeri, YB Datuk Noh Omar, jika tidak silap saya 3 tahun yang lepas iaitu di akhir tahun 2007.

Suka untuk saya memberi ingatan kepada mahasiswa UTM agar tidak terlibat dengan sebarang bentuk aktiviti yang mencurigakan, menjauhi sebarang penglibatan dengan badan atau kumpulan yang tidak berdaftar dengan pihak universiti, atau elakkan terlibat dengan sebarang organisasi yang diragui struktur pengurusannya seperti tidak dibenarkan mengetahui siapa ketua atau pemimpinnya.

Suka untuk saya nyatakan bahawa kami mahasiswa UTM tak berminat dengan sebarang gerakan bawah tanah atau underground. Tidak berminat untuk sertai gerakan yang bakal mewujudkan situasi huru-hara dan tidak tenteram. Tidak berminat untuk terlibat dengan sebarang aktiviti yang mengancam keselamatan negara. Tidak berminat dengan aktiviti yang disifatkan sebagai aktiviti keganasan dan ancaman keselamatan.

Kami mahasiswa UTM menginginkan suasana yang aman damai dan harmoni. Dan kami turut mahukan kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat dengan tindakan yang membawa manfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Seruan ini turut saya sampaikan kepada mahasiswa IPTA dan IPTS seluruh Malaysia agar kita sama-sama mempromosikan keamanan dan menjauhi sebarang aktiviti yang boleh membahayakan masyarakat dan negara Malaysia tercinta.

Thursday, June 10, 2010

Universiti Penyelidikan: Tahniah UTM!


Bagi pihak Majlis Perwakilan Mahasiswa, saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak pengurusan UTM, staf dan mahasiswa di atas usaha dan sokongan semua, UTM diiktiraf sebagai Universiti Penyelidikan.

Pengiktirafan ini merupakan satu perakuan bahawa UTM telah mencapai tahap kualiti pengajaran dan penyelidikan yang membanggakan serta mendapat kepercayaan penuh untuk mengangkasakan lagi pengajian tinggi di Malaysia.

Slogan keramat menjana minda kreatif dan inovatif berjaya melonjakkan motivasi seluruh warga UTM untuk berani berubah, bersatu menjayakan transformasi UTM untuk menyemarakkan lagi budaya ilmu dan budaya inovasi ke arah menghasilkan modal insan berkualiti tinggi berminda kelas pertama.

Semoga pengiktirafan ini dapat menginsafi diri kita untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT seterusnya memelihara amanah sebagai khalifah yang mentadbir dunia untuk kesejahteraan manusia.

Perutusan Naib Canselor sempena pengiktirafan UTM sebagai Universiti Penyelidikan