Saturday, June 13, 2009

Hakikat keMahasiswaan : Perjuangan Untuk Hidup..

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Sudah agak lama saya menulis tentang perkara berkaitan tugas dan aktiviti yang dilakukan dalam post-post sebelum ini. Hinggakan idealisme mahasiswa yang sepatutnya saya kongsikan bersama ter’penjara’ dalam kotak minda.

Saya terfikirkan sesuatu tentang dunia keMahasiswaan sekarang ini. Apakah yang sebenarnya cuba dicapai oleh saya dan mereka. Saya melihat dunia keMahasiswaan sekarang tidak lebih sekadar Perjuangan Untuk Hidup. Perjuangan untuk mendapatkan pengiktirafan supaya hidup dapat diteruskan.

Segulung ijazah yang diperjuangkan supaya kelak hidup mereka dapat dijamin oleh dunia kerjaya yang menjanjikan pendapatan dan pekerjaan yang baik. Saya tidak mengatakan ini secara total melibatkan mahasiswa seluruhnya, akan tetapi dunia keMahasiswaan sekarang dilihat hanya berkisar dalam dua perkara ini sahaja; kerjaya dan pendapatan.

Perkara ini berlaku hasil daripada perancangan kita jua yang mana menggesa dan menakut-nakutkan mahasiswa akan dunia yang akan menanti selepas mereka bergraduasi. Ditakut-takutkan akan kesan buruk yang bakal diterima jika segulung ijazah tiada dalam genggaman atau pada kualiti yang rendah.

Mahasiswa sudah semakin hilang minat dalam aktiviti kemasyarakatan contohnya dalam aktiviti baktisiswa, anak angkat, mengambil berat tentang golongan kurang bernasib baik, dengan kata lain perkara yang berkaitan dengan aktiviti berunsur Tanggungjawab Sosial.




Mahasiswa semakin selesa menguruskan hidup mereka sendiri berbanding hidup secara kolektif atau bersama-sama. Sebahagian besar merasakan mengejar prestasi akademik setinggi mungkin adalah perkara utama berbanding hal-hal lain yang akan menjejaskan CGPA mereka.



Sesi semester banyak dihabiskan untuk pembelajaran dan tugasan. Jika letih belajar, katil sedia menemani. Jika bosan, filem dan dan drama yang sudah lama terkumpul menjadi santapan minda. Jika mempunyai kenderaan, boleh meronda di sekitar universiti atau bandar berdekatan. Jika lapar, kafe dan gerai sedia berkhidmat di samping wang PTPTN yang sedia membantu.

Menganggotai Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) bukan lagi satu pilihan melainkan ajakan rakan, pujukan pengetua, sudah biasa terlibat aktiviti ko-kurikulum di sekolah atau untuk mendapat kuota pengetua bagi penginapan semester hadapan. Sebahagian besar lagi menolak beralasankan tidak mahu jadi sibuk daripada tumpuan terhadap akademik. Jika bukan kerana syarat aktif ko-kurikulum, pasti aktiviti kolej semakin sepi.

Begitu juga halnya situasi persatuan Akademik, Bukan Akademik dan Kelab. Hanya minat, kesedaran untuk berpersatuan dan perjuangan kebajikan pelajar mengikut kursus menjadi penyambung hayat organisasi mereka.

Kebanyakan mahasiswa yang saya temui amat kurang minat dalam aktiviti ko-kurikulum dan kemasyarakatan melainkan mereka yang pernah aktif di sekolah. Jika bukan kerana 2 kredit ko-kurikulum yang diwajibkan, saya menjangkakan universiti akan semakin pasif daripada kegiatan pelajar dalam 2 perkara di atas.



Oleh sebab itu, pentadbiran universiti terpaksa mewajibkan 2 kredit bagi ko-kurikulum, UTM juga merancang mewujudkan Service Learning yang menggalakkan mahasiswa menyertai aktiviti kebajikan masyarakat. KPT juga mewujudkan USR iaitu University Social Responsibility dengan sejumlah peruntukan supaya aktiviti kemasyarakatan dan mahasiswa lebih ‘hidup’.



Akan tetapi, persepsi golongan mahasiswa yang pasif terhadap persekitaran, ko-kurikulum dan aktiviti kemasyarakatan ternyata merupakan suatu kesilapan besar dalam menempuhi dunia keMahasiswaan. Kerana dunia kerjaya yang menanti mereka bukan hanya menilai pencapaian akademik semata-mata.

Fikir-fikirkan.

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Thursday, June 11, 2009

Berita Baik! Elaun Latihan Industri Dikembalikan!

Assalamualaikum wbt..

Selamat Sejahtera..

Salam Perpaduan..

Alhamdulillah 4 petang tadi ini saya berpeluang untuk bertemu dengan pegawai daripada Pejabat Bendahari UTM. Tujuannya adalah untuk mendapatkan penjelasan berhubung dengan yuran Latihan Industri yang dilaporkan mahal dan mengelirukan.

Hampir sejam perbincangan kami berkaitan perkara tersebut, beberapa persoalan telah terjawab. Yuran bagi LI dinamakan sebagai Yuran Semester Mei dan sebenarnya menggabungkan 2 yuran iaitu Yuran Khidmat UTM dan Yuran Kursus.


Yuran Perkhidmatan dikenakan sebanyak RM110. Akan tetapi telah dikurangkan RM20 kepada RM90 berdasarkan keputusan mesyuarat oleh TNC Akademik dan Pengantarabangsaan. Akaun pelajar yang dicaj RM110 akan didebitkan RM20 tidak lama lagi.

Yuran Kursus dikira berdasarkan kos RM45 bagi setiap kredit. Dan julat kredit yang diambil pelajar adalah antara 3-8 kredit. Oleh itu, pelajar diharapkan tidak terkejut apabila dikenakan Yuran Semester Mei sebanyak RM 470 kerana LI anda berjumlah 8 kredit.

Dalam pertemuan tersebut, telah dicadangkan kepada Pejabat Bendahari untuk memurnikan penggunaan kod nama Yuran Semester Mei kerana ianya boleh menyebabkan kekeliruan kepada pelajar.

BERITA BAIK! Elaun Latihan Industri telah dikembalikan!

Berdasarkan maklumat dan perangkaan yang ditunjukkan, UTM telah pun menerima sejumlah peruntukan elaun Latihan Industri bagi tahun 2009. Dan elaun ini sedang diproses untuk pelajar fakulti FKM, FKSG dan FAB. Pemprosesan elaun bagi pelajar fakulti lain akan menyusul.

Secara umumnya, pelajar akan menerima RM 15 + RM 5 bagi elaun Harian dan Pengangkutan Harian. Beberapa elaun lain adalah berdasarkan keadaan-keadan khas mengikut lokasi LI.


Wednesday, June 10, 2009

Lawatan Muhibbah Ke Pejabat TNC A&P

Assalamualaikum wbt..

Selamat Sejahtera..

Salam Perpaduan..

Alhamdullillah kami berempat (termasuk Hadi, Hazwani, Khairi) MPPUTM telah selamat sampai di UTM 11.50 malam tadi (9 Jun 2009), pulang dari Mesyuarat Perundingan Pelajar Kebangsaan bertempat di Seri Kembangan, Selangor. Dalam MPPK, MPP berpeluang untuk membentangkan kertas kerja dan berdialog secara terus dengan YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Mohd Yassin. (Akan update dalam post berasingan)

Bergambar sebelum mesyuarat bermula

Dan 9 pagi ini, kami 6 orang wakil daripada MPPUTM mengadakan Lawatan Muhibbah ke Pejabat TNC Akademik dan Pengantarabangsaan bagi tujuan ramah mesra dan sedikit perbincangan berkaitan isu akademik. Dalam mesyuarat ini, ada 6 agenda utama dibincangkan termasuk beberapa hal berbangkit.

Agenda yang dibincangkan dalam Lawatan Muhibbah

Isu yuran Latihan Industri dan Latihan Mengajar

Yuran ini dikenakan walaupun pelajar tidak berada dalam kampus dalam tempoh tersebut. Pelajar mempersoalkan jumlah Yuran Perkhidmatan RM110, melibatkan yuran komputer, perpustakaan, pengangkutan dan kesihatan.

Keputusannya, yuran Latihan Industri dikurangkan RM20 kepada RM90. Dan yuran Latihan Mengajar dikekalkan RM110. Bagi Latihan Mengajar, pelajar masih di bawah penyeliaan fakulti sepanjang berada di sekolah dan pemurnian perkataan Yuran Perkhidmatan akan dicadangkan kepada Pejabat Bendahari agar pelajar tidak keliru dengan nama kos yang dikenakan.

Penyelarasan Gred MataPelajaran

Permohonan penyelarasan gred matapelajaran bagi pelajar Tahun 1 , Semester 2 sesi 2006/2007. Pada Semester 2, 2006/2007 UTM mengambil keputusan untuk menurunkan takrif gred A daripada 85 kepada 80. Pelajar Tahun 1 sesi tersebut memohon takrif tersebut terpakai untuk Semester 1 2006/200 juga.

Menurut TNC, penakrifan gred A tersebut diputuskan oleh Pentadbiran Universiti untuk terpakai mulai Semester 2, 2006/2007. Mengambil konsep perundangan di mana tarikh sesuatu undang-undang diwartakan, maka sesuatu yang telah berlaku sebelum pewartaan tidak akan diubah dan dikekalkan.

Kami berpuashati dengan jawapan yang diberikan memandangkan dalam proses perbincangan mesyuarat, perkara ini diuruskan dengan baik oleh universiti dan tiada pelajar teraniaya dengan keputusan tersebut. Lebih-lebih lagi, tahap kesukaran kerja kursus dan soalan peperiksaan akhir mengambilkira tahap penggredan 85% bagi A sebelum Semester 2, 2006/2007. Tahap kesukaran kerja kursus dan peperiksaan akhir akan disesuaikan dengan penggredan 80% bagi A selepas pewartaan (Semester 2, 2006/2007)

Markah Senarai Tampal

Aduan daripada pelajar mengenai kelewatan pensyarah mengeluarkan markah pelajar. Hingga beberapa jam sebelum tarikh melihat senarai tampal ditutup barulah markah dimasukkan. Prof. TNC akan mengambil tindakan susulan akan perkara ini agar tidak lagi berulang untuk semester akan datang.

Dialog bersama Prof. Dr. Mohd Azraai bin Kassim, TNC Akademik dan Pengantarabangsaan semasa dalam Lawatan Muhibbah

Pensijilan Pendidikan Islam

Program pensijilan Pendidikan Islam dicadangkan oleh MPP untuk ditawarkan di UTM Skudai atas permintaan pelajar sendiri. Program ini banyak ditawarkan di UTMKL dan dicadangkan untuk dibawa ke Skudai. Pelajar yang mendapat sijil ini akan mendapat tauliah dan pengiktirafan kelayakan dalam bidang Pendidikan Islam yang diambil.

Program sedia ada adalah berbentuk kursus yang diberi sijil kehadiran dan tidak memadai kerana tiada modul yang berterusan. TNC akan berbincang dengan pihak SPACE supaya penawaran pensijilan dapat dibuat di UTM Skudai.

Program Wacana Ilmu

MPPUTM mencadangkan Pejabat TNC(A&P) menganjurkan program berbentuk ilmiah yang terbuka kepada staf dan pelajar.

Menurut TNC, bahagian Akademik dan Pengantarabangsaan mempunyai keutamaan lain berbanding menganjurkan program tersebut. Bukan bermaksud tidak berminat akan tetapi fokus pada masa ini adalah untuk perancangan yang sudah diatur.

Pejabat TNC(A&D) sedang melaksanakan program:

1. UTM Global Outreach Program bagi pelajar berminat melalui fakulti masing-masing yang dilaksanakan selama 2 minggu bagi negara-negara terpilih. Pelajar terlibat akan diberikan penajaan RM1,000 bagi tempoh tersebut. Urusan lanjut di fakulti masing-masing.

2. UTM Student Exchange Programme (3-6 bulan) dengan universiti luar negara.

3. Internship Abroad (3-6 bulan) bertempat di perindustrian luar negara.

Ujian Kemasukan Universiti

Perkara ini diajukan oleh pelajar antarabangsa yang belajar di UTM. Di mana mereka dikehendaki menduduki Placement Test. Walaupun telah lulus Placement Test, pelajar antarabangsa masih perlu mengambil 6 kredit Bahasa Inggeris dan mereka memohon diberi pengecualian seperti pengecualian kredit.

Berdasarkan perbincangan, ujian ini bertujuan menilai tahap penguasaan Bahasa Inggeris pelajar antarabangsa dan selepas itu keputusan memasuki universiti dikeluarkan. Ada permohonan pelajar antarabangsa terpaksa ditolak kerana penguasaan BI yang sangat lemah dan boleh mengganggu proses pembelajaran. Mereka yang lulus diwajibkan mengambil 6 kredit tersebut walaupun dari Amerika Syarikat, tiada pengecualian diberikan atas sebab akademik.

Ini 6 agenda utama yang dibincangkan dan isu-isu berbangkit akan dimasukkan dalam post berasingan.

Assalamualaikum wbt..

Selamat Sejahtera..

Salam Perpaduan..

** copy paste dibenarkan untuk perkongsian maklumat