Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..
Geram!
Itu yang dapat saya ungkapkan apabila terbaca akhbar Berita Harian semalam (Rabu, 21 Oktober 2009) tentang laporan audit negara berkaitan dengan perbelanjaan sekolah dalam mengindahkan lamannya. Satu keputusan perbelanjaan yang melampau, di luar pertimbangan moral dan sangat tidak beretika bagi pihak yang bertanggungjawab ke atas peruntukan yang diberikan.
Puluhan ribu dihabiskan semata-mata untuk pokok hiasan berbanding membangunkan generasi yang akan datang. Jumlah RM57,493 bukan sedikit bagi sebuah sekolah sekalipun mereka mendapat jutaan ringgit bagi setiap tahun untuk perbelanjaan mengurus dan lain-lain.
Pihak yang bertanggungjawab semestinya pihak tertinggi pengurusan sekolah, melibatkan pengetua dan jawatankuasa yang dilantik. Adakah mereka tidak mempunyai anak di sekolah hingga tergamak mengabaikan sudut moral dalam pertimbangan mereka? Atau adakah kerana anak mereka telah tamat persekolahan, maka sikap tidak peduli menyerlah kembali?
Jumlah tersebut mampu membiayai beberapa seminar, kem motivasi dan bengkel teknik belajar matapelajaran jika diuruskan sebaiknya. Malah turut mampu membiayai tuisyen percuma kepada pelajar yang kurang kemampuan kewangan/miskin.
Tidak mengapa mengindahkan kawasan sekolah untuk menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif kepada pelajar. Itu yang sebaik-baiknya dilakukan. Suasana yang tidak selesa , suram, kusam dan panas agak mengganggu proses pembelajaran. Cuma yang menjadi persoalannya, mengapa kos yang dikeluarkan melebihi 500% berbanding kos sebenar? Siapakah yang mendapat lebihan tersebut? Inilah alasan untuk saya berasa geram yang amat sangat.
Jika terbukti terdapat penyelewengan, segerakan hadapkan mereka ke mahkamah. Pecat dari jawatan sedia ada, tiada gunanya untuk disimpan atau dipindahkan tempat kerja jika amanah dinodai. Sanggup memperjudikan pembangunan anak bangsa untuk sejumlah pulangan dunia yang tidak kekal selamanya.
Anti Rasuah!
Anti Pecah Amanah!
Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..
Berita Harian
Sekolah beli pokok taman RM57,493
KUALA LUMPUR: Sebuah sekolah di Pasir Puteh, Kelantan membayar RM57,493 bagi membeli pokok dan tanaman seni taman secara pembelian terus daripada pembekal tempatan, termasuk bagi kerja menyelenggara, merawat dan menyiram tanaman berkenaan.
Laporan Ketua Audit Negara 2008 mendedahkan perbandingan harga dilakukan Audit dengan pembekal lain di Kota Bharu bagi perkhidmatan sama mendapati kos dikenakan itu lebih tinggi iaitu 470 peratus hingga 880 peratus, berbanding harga pasaran.
Sebagai contoh, pokok Pinang Raja setinggi enam kaki dijual dengan harga RM750 sebatang, sedangkan harga sebenarnya hanya RM85, bunga raya berharga RM350 (harga pasaran RM50) dan RM350 untuk sebatang pokok Kemboja berbanding harga pasaran RM45.
Beliau berkata, sebahagian besar sekolah yang diaudit juga gagal diselenggara dengan baik, menyebabkan bangunan sekolah atau infrastrukturnya tidak kondusif digunakan.
Katanya, keadaan itu berlaku akibat kurang pemantauan dan penyeliaan perunding daripada kementerian.
“Selain itu, peraturan kewangan berhubung perolehan kerja tidak dipatuhi sepenuhnya seperti bayaran dibuat bagi kerja yang gagal disiap atau tidak dibuat langsung, baucer bayaran tidak disokong dokumen berkaitan dan kos perolehan tinggi berbanding harga pasaran,” katanya.
Ambrin berkata, kementerian melantik 47 perunding swasta untuk menyedia skop kerja dan memantau kerja penyelenggaraan atau pembaikan dilakukan kontraktor sehingga Tamat Tempoh Tanggungan Kecacatan.
Katanya, perunding juga bertanggungjawab memperakukan kerja sebelum pembayaran dibuat kepada kontraktor bagi kerja diuruskan kementerian, manakala kerja penyelenggaraan dan pembaikan diuruskan sendiri Jabatan Pendidikan Negeri, daerah dan sekolah diperakukan pegawai pembangunan negeri, daerah, pengetua atau guru besar.
“Bagaimanapun, kita dapati kerja pembaikan atau penyelenggaraan di 14 sekolah bernilai RM940,000 tidak disiapkan sepenuhnya atau tidak berkualiti, tetapi semakan Audit menunjukkan bayaran sepenuhnya sudah dibuat berdasarkan perakuan perunding yang mengesahkan semua kerja disiapkan dengan sempurna.
“Selain itu, di 15 sekolah di Sabah, Kelantan, Melaka, Kedah dan Selangor, kerja bernilai RM111,533 tidak dilaksanakan langsung tetapi kontraktor sudah menerima bayaran penuh selepas perunding membuat perakuan kerja sudah disiapkan,” katanya.
Ambrin berkata, kementerian perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang memperakukan kerja yang belum disiapkan atau tidak berkualiti sebagai sudah disempurnakan kerana ia menyebabkan kerajaan terlebih membuat bayaran.
Beliau berkata, tindakan tatatertib perlu diambil jika perakuan dibuat pegawai awam, manakala syarikat perlu disenarai hitamkan jika kesalahan itu dilakukan perunding selain perlu dilapor kepada badan profesional yang mengawasinya.
minta share gambar landskap
ReplyDelete