Wednesday, August 18, 2010

Kuasai Ilmu, Nilai dan Kemahiran


Pelajar merupakan entiti penting dalam keluarga besar sesebuah universiti, selain ahli akademik atau pensyarah, pentadbir dan kakitangan sokongan. Memandangkan pelajar adalah kumpulan terbesar dan majoriti, mereka dianggap sebagai unit of analysis yang menjadi penentu kepada kejayaan sesebuah menara gading itu.

~KPI Pengajian Tinggi~

Tidak dinafikan bahawa kewibawaan universiti seringkali dikaitkan dengan mutu dan kualiti para graduan yang dihasilkannya. Oleh kerana itu juga, universiti dikehendaki mempertingkatkan kebolehpasaran graduan masing-masing.

Malah, elemen kebolehpasaran graduan merupakan petunjuk prestasi utama atau KPI paling baru untuk Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seperti mana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu pembentangan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), Jun lalu.

~Melahirkan Modal Insan Berkualiti~

Kepentingan melahirkan graduan yang berkualiti tidak semestinya sekadar memenuhi tuntutan pekerjaan semata-mata, sebaliknya dalam konteks yang lebih besar, graduan berkualiti akan menyumbang kepada kekuatan modal insan atau bakat yang diperlukan negara.

Kekuatan modal insan inilah yang akan dapat melestarikan pembangunan negara pada masa hadapan. Dalam hal ini, kita mesti menerima hakikat bahawa kekuatan sesebuah negara tidak lagi boleh bergantung kepada sumber bumi semata-mata, sebaliknya ia mesti bersandarkan kepada kekuatan modal insan yang unggul.

Ini kerana sumber bumi yang digunakan tidak akan kekal lama. Kita tidak pasti, sampai bilakah hasil kekayaan bumi ini boleh digunakan. Pendek kata, kekayaan hasil bumi bukanlah penentu kepada kejayaan sesebuah negara. Buktinya, rata-rata kumpulan negara maju di dunia adalah negara yang tidak memiliki hasil bumi yang mewah.

Lihat sahaja Jepun yang disenaraikan sebagai antara negara maju di dunia yang hakikatnya pembangunan mereka berasaskan kepada kehebatan modal insan atau lebih khususnya kepakaran anak tempatan atau indigenous.

Pelajar yang berkualiti akan menyumbang kepada penjanaan modal insan yang berkualiti. Justeru, kita percaya bahawa mereka perlu dibekalkan dengan kekuatan dan kelebihan-kelebihan tertentu supaya menjadi aset dan sumber kehebatan bagi negara.

~Ilmu Dalam Mencari Kebenaran~

Dalam hal ini, terdapat tiga elemen penting yang perlu dikuasai oleh golongan pelajar di universiti iaitu ilmu, nilai dan kemahiran. Seiring dengan tujuan pelajar datang ke universiti, pencarian ilmu adalah perkara pokok.

Penguasaan ilmu oleh pelajar amat penting kerana ilmu umpama senjata masa kini yang dapat menghasilkan kekuatan dan kelebihan. Bukan itu sahaja, ilmu yang dikuasai ibarat cahaya yang dapat menyuluh kehidupan dan 'pelita' kepada orang lain.

Melalui ilmu juga, mereka dapat mencari ketentuan dan kebenaran sekali gus menyumbang kepada pemikiran yang tepat terutama dalam membezakan sesuatu kebaikan dan keburukan. Bersesuaian dengan hakikat ilmu itu bersifat benar dan tepat, ilmu akan memandu mereka menentukan sikap dan pendirian sesuatu perkara dengan adil.

Ilmu tanpa penghayatan tidak membawa sebarang makna. Umpama pepatah mengatakan bahawa ilmu tanpa amal seperti pokok yang tidak berbuah. Maka di sinilah letaknya kepentingan nilai dan pengamalannya yang bertunjangkan kepada ketinggian ilmu.

~Mendaulatkan Nilai dan Keluhuran Budi~

Nilai-nilai seperti etika dan kerohanian amat penting untuk dijiwai oleh para pelajar kerana nilai-nilai inilah akan menyerlahkan kewibawaan mereka sebagai seorang manusia yang berperibadian tinggi.

Nilai-nilai etika seperti bertanggungjawab, berintegriti dan amanah mesti dijadikan 'pakaian' oleh para pelajar supaya di akhir nanti, mereka berupaya menjadi ikon dan ikutan golongan muda yang lain.

Pelajar yang beretika akan peduli terhadap persoalan-persoalan seperti pahala dan dosa, betul dan salah, benar dan palsu, tepat dan silap serta baik dan buruk.

Biarpun ia dianggap remeh oleh sesetengah pihak, tetapi persoalan-persoalan itulah yang banyak mempengaruhi kehidupan mereka sebagai golongan muda yang sentiasa berhadapan dengan dugaan dan persimpangan.

Nilai-nilai kerohanian yang menuntut golongan pelajar mendaulatkan sifat kemanusiaan yang tinggi juga penting. Sifat kemanusiaan ini termasuklah pemaaf, sabar, berkasih sayang, tolong menolong, toleransi dan prihatin. Pelajar yang kaya dengan nilai-nilai ini akan melahirkan manusia yang berjiwa besar yang bukan sahaja berilmu tetapi tinggi dengan keluhuran budi.

~Kemahiran Sebagai Aset~

Selain ilmu dan nilai, mereka juga perlu menguasai kemahiran selaras dengan tuntutan dan cabaran semasa. Kemahiran insaniah atau soft skills yang cukup ditekankan di universiti sememangnya bermatlamat melahirkan graduan yang kompeten dan mampu mendepani masa depan dengan baik.

Kemahiran-kemahiran tersebut seperti pemikiran kritis, kerja berpasukan, berkemahiran kepimpinan, etika dan moral profesional, keusahawanan dan pembelajaran sepanjang hayat sememangnya memberi bekalan yang ampuh untuk mereka menjadi aset kepada sesiapa sahaja.

Kita percaya, seseorang pelajar yang menguasai ketiga-tiga perkara iaitu ilmu, nilai dan kemahiran itu akan menjadikan mereka seorang yang bijaksana dan memiliki kebolehan berfikir dan bertindak.

Kelebihan ini pastinya amat penting terutama bagi mereka memahami isu-isu penting dan ini termasuklah pemahaman terhadap negaranya sendiri.

~Memahami Masyarakat Malaysia~

Sebagai golongan muda dan terpelajar, mereka perlu bersedia untuk memahami negaranya dengan penuh minat dengan cara mengetahui, menyiasat dan meneroka termasuk persoalan yang kritikal dan tiada jawapan yang tepat atau jelas.

Hal ini penting terutama bagi kita yang tinggal dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia. Universiti mesti menjadi tempat yang terbaik untuk menimba pengalaman dan melakukan percubaan serta kajian khususnya berkaitan gagasan 1Malaysia.

Ini kerana agak sukar untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran kepelbagaian atau menganjurkan masyarakat untuk menerima kepelbagaian, melainkan golongan pelajar itu sendiri mengamalkan kepelbagaian dalam persekitaran mereka.

Universiti sebagai sebahagian daripada persekitaran masyarakat dan dalam masa yang sama mempunyai masyarakatnya yang sendiri, perlu dipersiapkan dengan hakikat kepelbagaian Malaysia dan kaedah terbaik menguruskan perbezaan dengan penuh bijaksana.

Kita percaya dengan peranan yang boleh dimainkan oleh golongan pelajar dalam hal ini yang bertunjangkan ilmu, nilai dan kemahiran, ia akan meletakkan mereka bukan sahaja sekadar penerima nikmat sebaliknya pemain dan penyumbang utama kepada kesejahteraan rakyat dan negara.

~Politik Sebagai Wasilah Untuk Berbakti~

Sesungguhnya, tempoh tiga atau empat tahun dalam konteks pengajian ijazah pertama misalnya amat pendek. Justeru, dalam tempoh sesingkat itu, golongan pelajar perlu membina keupayaan yang tinggi sebelum melangkah ke pangkuan masyarakatnya. Hanya melalui ilmu, nilai dan kemahiran, mereka mampu mendepani masa hadapan dengan pertimbangan dan keputusan yang tepat.

Ini termasuklah dalam soal berpolitik. Politik memerlukan kepada kekuatan ilmu, nilai dan kemahiran. Politik tanpa ilmu, nilai dan kemahiran akan menjadikan politik itu sekadar komoditi atau bahan dagangan semata-mata untuk kepentingan tertentu.

Sebaliknya, politik wajar menjadi wasilah dan pegangan kepada kita untuk berbakti dan menyumbang. Bukan untuk kepentingan peribadi tetapi untuk kepentingan rakyat dan kesejahteraan agama dan juga negara.

Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin ialah Menteri Pengajian Tinggi. Beliau boleh dihubungi melalui e-mel mkhaled.mohe@gmail.com

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0818&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm&arc=hive

No comments:

Post a Comment