Saturday, June 13, 2009

Hakikat keMahasiswaan : Perjuangan Untuk Hidup..

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Sudah agak lama saya menulis tentang perkara berkaitan tugas dan aktiviti yang dilakukan dalam post-post sebelum ini. Hinggakan idealisme mahasiswa yang sepatutnya saya kongsikan bersama ter’penjara’ dalam kotak minda.

Saya terfikirkan sesuatu tentang dunia keMahasiswaan sekarang ini. Apakah yang sebenarnya cuba dicapai oleh saya dan mereka. Saya melihat dunia keMahasiswaan sekarang tidak lebih sekadar Perjuangan Untuk Hidup. Perjuangan untuk mendapatkan pengiktirafan supaya hidup dapat diteruskan.

Segulung ijazah yang diperjuangkan supaya kelak hidup mereka dapat dijamin oleh dunia kerjaya yang menjanjikan pendapatan dan pekerjaan yang baik. Saya tidak mengatakan ini secara total melibatkan mahasiswa seluruhnya, akan tetapi dunia keMahasiswaan sekarang dilihat hanya berkisar dalam dua perkara ini sahaja; kerjaya dan pendapatan.

Perkara ini berlaku hasil daripada perancangan kita jua yang mana menggesa dan menakut-nakutkan mahasiswa akan dunia yang akan menanti selepas mereka bergraduasi. Ditakut-takutkan akan kesan buruk yang bakal diterima jika segulung ijazah tiada dalam genggaman atau pada kualiti yang rendah.

Mahasiswa sudah semakin hilang minat dalam aktiviti kemasyarakatan contohnya dalam aktiviti baktisiswa, anak angkat, mengambil berat tentang golongan kurang bernasib baik, dengan kata lain perkara yang berkaitan dengan aktiviti berunsur Tanggungjawab Sosial.




Mahasiswa semakin selesa menguruskan hidup mereka sendiri berbanding hidup secara kolektif atau bersama-sama. Sebahagian besar merasakan mengejar prestasi akademik setinggi mungkin adalah perkara utama berbanding hal-hal lain yang akan menjejaskan CGPA mereka.



Sesi semester banyak dihabiskan untuk pembelajaran dan tugasan. Jika letih belajar, katil sedia menemani. Jika bosan, filem dan dan drama yang sudah lama terkumpul menjadi santapan minda. Jika mempunyai kenderaan, boleh meronda di sekitar universiti atau bandar berdekatan. Jika lapar, kafe dan gerai sedia berkhidmat di samping wang PTPTN yang sedia membantu.

Menganggotai Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) bukan lagi satu pilihan melainkan ajakan rakan, pujukan pengetua, sudah biasa terlibat aktiviti ko-kurikulum di sekolah atau untuk mendapat kuota pengetua bagi penginapan semester hadapan. Sebahagian besar lagi menolak beralasankan tidak mahu jadi sibuk daripada tumpuan terhadap akademik. Jika bukan kerana syarat aktif ko-kurikulum, pasti aktiviti kolej semakin sepi.

Begitu juga halnya situasi persatuan Akademik, Bukan Akademik dan Kelab. Hanya minat, kesedaran untuk berpersatuan dan perjuangan kebajikan pelajar mengikut kursus menjadi penyambung hayat organisasi mereka.

Kebanyakan mahasiswa yang saya temui amat kurang minat dalam aktiviti ko-kurikulum dan kemasyarakatan melainkan mereka yang pernah aktif di sekolah. Jika bukan kerana 2 kredit ko-kurikulum yang diwajibkan, saya menjangkakan universiti akan semakin pasif daripada kegiatan pelajar dalam 2 perkara di atas.



Oleh sebab itu, pentadbiran universiti terpaksa mewajibkan 2 kredit bagi ko-kurikulum, UTM juga merancang mewujudkan Service Learning yang menggalakkan mahasiswa menyertai aktiviti kebajikan masyarakat. KPT juga mewujudkan USR iaitu University Social Responsibility dengan sejumlah peruntukan supaya aktiviti kemasyarakatan dan mahasiswa lebih ‘hidup’.



Akan tetapi, persepsi golongan mahasiswa yang pasif terhadap persekitaran, ko-kurikulum dan aktiviti kemasyarakatan ternyata merupakan suatu kesilapan besar dalam menempuhi dunia keMahasiswaan. Kerana dunia kerjaya yang menanti mereka bukan hanya menilai pencapaian akademik semata-mata.

Fikir-fikirkan.

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

4 comments:

  1. salam. walaupun tahu hakikat itu, tidak semua mahasiswa mahu melibatkan diri dengan aktiviti selain akademik beralasankan 'takut pointer jatuh'. sama-sama kita fikirkan jalan untuk mengubah minda mahasiswa supaya lebih terbuka dalam hal seperti ini.

    ReplyDelete
  2. apa kaitan join aktiviti selain akademik dengan konsep perjuangan utk hidup?

    sekadar perkongsian..

    konsep perjuangan untuk hidup adalah konsep bawaan teori Darwinisime..perlu diingat konsep ini didokong oleh golongan Marxis, Leninisme, Nazisme, Komunisme dll untuk menghalalkan pembunuhan kejam ke atas golongan tertindas.

    atau ada usaha untuk menyuntik konsep ini ke dalam perjuangan mahasiswa? mahasiswisme?

    mohon respon

    ReplyDelete
  3. salam..sape2 nk berlatih jadi motivator, moderator, mc majlis leh roger abe im...huuh..inyaallah abe im ajo..kite same2 kongsi n belajo k. dh lame tak trun field nih. stil in learning proses.

    ReplyDelete
  4. To Hasunah,
    Saya mencadangkan sama2 brainstorm untuk menyelesaikan ini, sekurang2nya meningkatkan 10% penyertaan pelajar.


    To Hafizul,
    Maaf, tak sempat nak respond lagi. Tajuk berat kena analyze lama skit huhu..


    To Perancang,
    Softskill memang penting. Mybe anda boleh buka consultant untuk melatih pelajar..(^_^)

    ReplyDelete