Wednesday, June 10, 2009

Lawatan Muhibbah Ke Pejabat TNC A&P

Assalamualaikum wbt..

Selamat Sejahtera..

Salam Perpaduan..

Alhamdullillah kami berempat (termasuk Hadi, Hazwani, Khairi) MPPUTM telah selamat sampai di UTM 11.50 malam tadi (9 Jun 2009), pulang dari Mesyuarat Perundingan Pelajar Kebangsaan bertempat di Seri Kembangan, Selangor. Dalam MPPK, MPP berpeluang untuk membentangkan kertas kerja dan berdialog secara terus dengan YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Mohd Yassin. (Akan update dalam post berasingan)

Bergambar sebelum mesyuarat bermula

Dan 9 pagi ini, kami 6 orang wakil daripada MPPUTM mengadakan Lawatan Muhibbah ke Pejabat TNC Akademik dan Pengantarabangsaan bagi tujuan ramah mesra dan sedikit perbincangan berkaitan isu akademik. Dalam mesyuarat ini, ada 6 agenda utama dibincangkan termasuk beberapa hal berbangkit.

Agenda yang dibincangkan dalam Lawatan Muhibbah

Isu yuran Latihan Industri dan Latihan Mengajar

Yuran ini dikenakan walaupun pelajar tidak berada dalam kampus dalam tempoh tersebut. Pelajar mempersoalkan jumlah Yuran Perkhidmatan RM110, melibatkan yuran komputer, perpustakaan, pengangkutan dan kesihatan.

Keputusannya, yuran Latihan Industri dikurangkan RM20 kepada RM90. Dan yuran Latihan Mengajar dikekalkan RM110. Bagi Latihan Mengajar, pelajar masih di bawah penyeliaan fakulti sepanjang berada di sekolah dan pemurnian perkataan Yuran Perkhidmatan akan dicadangkan kepada Pejabat Bendahari agar pelajar tidak keliru dengan nama kos yang dikenakan.

Penyelarasan Gred MataPelajaran

Permohonan penyelarasan gred matapelajaran bagi pelajar Tahun 1 , Semester 2 sesi 2006/2007. Pada Semester 2, 2006/2007 UTM mengambil keputusan untuk menurunkan takrif gred A daripada 85 kepada 80. Pelajar Tahun 1 sesi tersebut memohon takrif tersebut terpakai untuk Semester 1 2006/200 juga.

Menurut TNC, penakrifan gred A tersebut diputuskan oleh Pentadbiran Universiti untuk terpakai mulai Semester 2, 2006/2007. Mengambil konsep perundangan di mana tarikh sesuatu undang-undang diwartakan, maka sesuatu yang telah berlaku sebelum pewartaan tidak akan diubah dan dikekalkan.

Kami berpuashati dengan jawapan yang diberikan memandangkan dalam proses perbincangan mesyuarat, perkara ini diuruskan dengan baik oleh universiti dan tiada pelajar teraniaya dengan keputusan tersebut. Lebih-lebih lagi, tahap kesukaran kerja kursus dan soalan peperiksaan akhir mengambilkira tahap penggredan 85% bagi A sebelum Semester 2, 2006/2007. Tahap kesukaran kerja kursus dan peperiksaan akhir akan disesuaikan dengan penggredan 80% bagi A selepas pewartaan (Semester 2, 2006/2007)

Markah Senarai Tampal

Aduan daripada pelajar mengenai kelewatan pensyarah mengeluarkan markah pelajar. Hingga beberapa jam sebelum tarikh melihat senarai tampal ditutup barulah markah dimasukkan. Prof. TNC akan mengambil tindakan susulan akan perkara ini agar tidak lagi berulang untuk semester akan datang.

Dialog bersama Prof. Dr. Mohd Azraai bin Kassim, TNC Akademik dan Pengantarabangsaan semasa dalam Lawatan Muhibbah

Pensijilan Pendidikan Islam

Program pensijilan Pendidikan Islam dicadangkan oleh MPP untuk ditawarkan di UTM Skudai atas permintaan pelajar sendiri. Program ini banyak ditawarkan di UTMKL dan dicadangkan untuk dibawa ke Skudai. Pelajar yang mendapat sijil ini akan mendapat tauliah dan pengiktirafan kelayakan dalam bidang Pendidikan Islam yang diambil.

Program sedia ada adalah berbentuk kursus yang diberi sijil kehadiran dan tidak memadai kerana tiada modul yang berterusan. TNC akan berbincang dengan pihak SPACE supaya penawaran pensijilan dapat dibuat di UTM Skudai.

Program Wacana Ilmu

MPPUTM mencadangkan Pejabat TNC(A&P) menganjurkan program berbentuk ilmiah yang terbuka kepada staf dan pelajar.

Menurut TNC, bahagian Akademik dan Pengantarabangsaan mempunyai keutamaan lain berbanding menganjurkan program tersebut. Bukan bermaksud tidak berminat akan tetapi fokus pada masa ini adalah untuk perancangan yang sudah diatur.

Pejabat TNC(A&D) sedang melaksanakan program:

1. UTM Global Outreach Program bagi pelajar berminat melalui fakulti masing-masing yang dilaksanakan selama 2 minggu bagi negara-negara terpilih. Pelajar terlibat akan diberikan penajaan RM1,000 bagi tempoh tersebut. Urusan lanjut di fakulti masing-masing.

2. UTM Student Exchange Programme (3-6 bulan) dengan universiti luar negara.

3. Internship Abroad (3-6 bulan) bertempat di perindustrian luar negara.

Ujian Kemasukan Universiti

Perkara ini diajukan oleh pelajar antarabangsa yang belajar di UTM. Di mana mereka dikehendaki menduduki Placement Test. Walaupun telah lulus Placement Test, pelajar antarabangsa masih perlu mengambil 6 kredit Bahasa Inggeris dan mereka memohon diberi pengecualian seperti pengecualian kredit.

Berdasarkan perbincangan, ujian ini bertujuan menilai tahap penguasaan Bahasa Inggeris pelajar antarabangsa dan selepas itu keputusan memasuki universiti dikeluarkan. Ada permohonan pelajar antarabangsa terpaksa ditolak kerana penguasaan BI yang sangat lemah dan boleh mengganggu proses pembelajaran. Mereka yang lulus diwajibkan mengambil 6 kredit tersebut walaupun dari Amerika Syarikat, tiada pengecualian diberikan atas sebab akademik.

Ini 6 agenda utama yang dibincangkan dan isu-isu berbangkit akan dimasukkan dalam post berasingan.

Assalamualaikum wbt..

Selamat Sejahtera..

Salam Perpaduan..

** copy paste dibenarkan untuk perkongsian maklumat

2 comments:

  1. zaki..nape tjuk kurg sesuai ngan isi?? leh asingkan kot MPPK ngan meeting tuh..huhu

    ReplyDelete
  2. okeh..abaikn........haha.ngantuk la, bru bgun tido..

    ReplyDelete