Sunday, November 1, 2009

Kenapa Jadi Begini?

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Saya masih belum berpuashati dengan apa yang berlaku di Malaysia di mana hasil usaha rakyat Malaysia masih tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Malah rakyat negara lain merasai terlebih dahulu sedangkan kitalah yang menghasilkannya.

Ini merupakan kerugian kepada negara. Jika boleh, saya nak applykan kat Kolej Datuk Onn Jaafar(KDOJ) aka K16/17 yang sejak 2 tahun saya duduk tapi memang susah nak dapat internet kecuali kat pintu lif tingkat 4 dan 8.





Berita Harian 05 April 2004

10 jurutera kita cipta alat layari internet guna litar elektrik
Oleh Sazarina Shahrim
Disunting Genie

KUALA LUMPUR: Sekumpulan 10 jurutera tempatan mencipta sejarah apabila berjaya menghasilkan teknologi Komunikasi Melalui Litar Elektrik (PLC) yang membolehkan internet dilayari menerusi litar elektrik tanpa menggunakan talian telefon.

Teknologi itu yang mampu mengalirkan data menerusi transformer dalam litar elektrik, sebelum ini cuba dihasilkan saintis di beberapa negara Barat termasuk Amerika Syarikat (AS) tetapi semuanya gagal.

Setakat ini, PLC yang dicipta kumpulan jurutera dari Afzid Research Sdn Bhd (ARSB) yang diketuai Ketua Eksekutifnya, Mohammad Abdul Zahib Mohd Zaid, sudah dipasarkan di beberapa negara termasuk AS, Hungary dan Sweden menerusi kerjasama ARSB dan sebuah syarikat dari Washington, Satius Inc.

Minggu lalu, ARSB dan Satius Inc turut mengadakan demonstrasi di China bagi memperkenalkan teknologi berkenaan di satu kawasan di negara itu. Mohammad Abdul Zahib berkata, di Malaysia ujian penggunaan teknologi itu sudah dijalankan di Pusat Beli-belah Amcorp, Petaling Jaya.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam peringkat perbincangan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memperluaskan teknologi itu ke seluruh negara. “Satu ujian juga akan dijalankan bulan ini di sebuah pencawang TNB,” katanya kepada Berita Harian di sini.

Mohammad Abdul Zahib yakin PLC mampu dikomersialkan berikutan kemampuannya menggunakan sistem rangkaian meluas (WAN) yang membolehkan pengguna melayari internet tanpa menggunakan talian telefon dengan kelajuan lebih tiga Gigabait sesaat (Gbps).

“Ini bermakna jika ia digunakan di negara ini, teknologi PLC mampu mengembangkan industri telekomunikasi dengan liputan yang lebih besar. Ini kerana ketika ini lebih 90 peratus penduduk sudah menikmati bekalan elektrik berbanding hanya kira-kira 40 peratus yang mempunyai talian telefon.

“Malah, PLC tidak memerlukan perbelanjaan yang besar seperti teknologi komunikasi lain kerana infrastruktur litar elektrik sudah pun wujud,” katanya. PLC ialah sistem penghantaran data, audio dan video melalui rangkaian litar elektrik yang mengalirkan bekalan cas elektrik ke setiap rumah.

Kajian mengenainya sudah dibuat sejak awal abad ke-19 oleh makmal Bell di AS, Siemens (Jerman) dan NTT (Jepun). Bagaimanapun, Mohammad Abdul Zahib berkata, banyak kajian mengenai teknologi itu yang dilakukan saintis dunia, tidak dapat dikomersialkan kerana menghadapi beberapa masalah tertentu.

Antara masalah yang dihadapi ialah tidak mampu merentasi komponen dalam litar elektrik seperti transformer dan bank kapasitor, hanya menggunakan sistem rangkaian setempat (LAN) dengan kelajuan yang tidak memuaskan, jarak penghantaran yang rendah, maklumat yang dihantar mempunyai kerosakan, mengeluarkan pancaran yang membahayakan serta gangguan oleh peralatan elektrik yang terdapat di rumah.

Beliau berkata, kumpulan jurutera ARSB yang diketuainya memulakan kajian bagi menyempurnakan teknologi sejak lima tahun lalu dan menerima sokongan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.


---------------------------------------------------------------------------------------------------
sebulan kemudian..
Berita Harian 30 April 2004

Surat Pilihan: Pencipta teknologi hanya dapat ‘sokongan air liur’


SAYA antara pelopor pembangunan teknologi Komunikasi Melalui Litar Elektrik (KMLE) di Malaysia yang mendapat liputan meluas awal bulan ini.

Sepatutnya saya gembira dengan ciptaan dan penemuan itu serta menanti ganjaran berbentuk kontrak bagi menjelmakan teknologi itu sebagai peralatan untuk dikomersialkan.

Tetapi perkara yang berlaku amat menyedihkan membuat saya terkilan mengenangkan nasib pakar teknologi Melayu di tanah air sendiri. Pada mulanya saya yakin dan bangga kerana ingin menjadikan Malaysia negara contoh yang menerajui dunia dalam penggunaan teknologi PLC.

Tidak mungkin teknologi yang mampu menjadikan seluruh negara sebagai MSC di samping menjimatkan wang dengan begitu banyak tidak mendapat perhatian kerajaan ataupun sektor swasta.

Selepas menjaja ciptaan baru kami kepada pihak yang dianggap berpotensi membantu mengkomersialkannya, sambutan diterima sungguh sedih dan dingin.

Inilah nasib yang diterima ramai lagi jurutera dan pencipta lain. Contohnya, ada yang mempunyai teknologi membuat roket dan melancarkan satelit tetapi akhirnya ia ‘basi dan berkarat’ dalam stor kilang mereka.

Sedang Malaysia tergila-gila mengejar gelaran dan nama di mata dunia dengan terbinanya bangunan dan menara tertinggi, bendera terbesar, kek terbesar, tepuk tangan paling lama, popiah terpanjang di samping berlumba-lumba mencipta rekod lumba basikal, mendaki gunung dan berenang tetapi sebenarnya semua itu tidak tidak membawa erti kepada kemajuan negara.

Namun, kejayaan itu mendapat banyak sokongan kewangan dan moral walaupun ia umpama ‘ribut dalam secawan kopi’, kocaknya hebat tetapi hanya dalam bekas yang sempit.

Untuk makluman semua, bantuan permulaan yang kami perlukan bagi memajukan dan mengkomersialkan ciptaan KMLE itu kurang 10 peratus daripada perbelanjaan Datuk Azhar Mansor berlayar mengelilingi dunia ataupun mungkin 15 peratus daripada gaji jurulatih Datuk Malik Maidin apatah lagi dibandingkan perbelanjaan Le Tour de Langkawi.

Tetapi, ingin saya tekankan penerokaan bidang sains dan teknologi jauh lebih berfaedah kerana ia tonggak kemajuan tamadun manusia, lebih-lebih lagi bagi orang Melayu yang sering diperkotak-katikkan, malah dilabelkan sebagai pemalas dan tidak berdaya saing.

Selepas lebih empat tahun teknologi KMLE ciptaan kami terumbang-ambing di Malaysia, tempat kami berjumpa, membuat perbincangan dan demonstrasi dengan beberapa badan korporat dan kementerian kerajaan antaranya Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad, Malaysian Capital Venture Management Berhad, Malaysia Debt Venture Berhad dan Kementerian Tenaga Telekomunikasi termasuk Jabatan Perdana Menteri sendiri dan beberapa badan lain, mereka mengakui dan kagum kehebatan serta mengakui pentingnya teknologi ini kepada negara.

Namun, tiada langsung sokongan dan bantuan kewangan untuk membantu usahawan Melayu merealisasikan teknologi ini. Hanya yang mampu mereka berikan adalah ucapan tahniah dan ‘sokongan air liur’ tanpa satu sen pun dikeluarkan.

Hanya Pengerusi TNB, Datuk Leo Moggie dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Pian Sukro berani mengeluarkan surat sokongan untuk membantu kami mendapat pembiayaan daripada agensi kewangan kerajaan seperti Mavcap yang melaungkan kononnya dana mereka tidak gunakan sepenuhnya kerana tidak banyak permohonan untuk membangunkan teknologi.

Yang peliknya walaupun kami mengemukakan permohonan dan demonstrasi berserta sokongan daripada TNB, Mavcap mengklasifikasikan teknologi ini sebagai No business case.

Pada masa yang sama mereka bersetuju membiayai pemohon lain yang tidak tahu pun hujung pangkal teknologi ini tetapi meniru sedikit kemampuan teknologi kami dalam rancangan menghasilkan produknya.

Sedangkan kami pengasas teknologi LC di Malaysia ditolak mentah-mentah oleh Mavcap. Adakah teknologi yang dikatakan sebagai ada kepentingan nasional oleh beberapa badan kerajaan dan korporat diklasifikasikan sebagai No business case?

Saya juga ingin menyentuh beberapa badan korporat yang menjadi tunjang pembangunan negara begitu mudah mengeluarkan sumbangan untuk aktiviti dan pesta hiburan seperti anugerah hiburan, pertandingan nyanyian dan lumba basikal tetapi begitu payah menghulur sumbangan kepada pembangunan hasil daripada penyelidikan sains dan teknologi sebegini.

Ingin saya maklumkan tajaan pesta hiburan yang dikeluarkan tidak membina langsung dari segi pembentukan nilai murni dan jati diri masyarakat, malah lebih cenderung kepada pembentukan masyarakat yang lemah dan bermasalah seperti terbabit dengan masalah rokok, dadah, perbuatan sumbang dan pelbagai keburukan lain.

Inikah generasi yang ingin dibentuk untuk menjaga negara? Ataupun kepada generasi yang berkarisma, kreatif, cintakan ilmu, mempraktikkan ajaran agama, berminat dalam penciptaan dan penerokaan sains dan teknologi?

Oleh kerana tiadanya minat yang ditunjukkan oleh negara kita, rakan teknologi saya mencadangkan saya berpindah ke negaranya seterusnya memulakan pembangunan teknologi ini di sana dan mungkin juga di China.

Saya ingin memetik pendapat Datuk Arif Nun yang menekankan bahan teknologi ciptaan kami mampu menjadikan seluruh Malaysia termasuk kawasan pedalaman sebagai MSC.

Leo Moggie berkata: “Walaupun teknologi ini belum lagi dijalankan secara meluas sejajar kemampuannya, usaha ke arah itu mesti diteruskan demi masa depan kita”. Tetapi apakah ciptaan yang tidak diberikan sokongan dan tajaan sebagaimana pesta hiburan mampu dimajukan demi kepentingan pengguna.

Mohammad Abdul Zahib Mohd Zaid
Afzid Research Sdn Bhd (ARSB)

---------------------------------------------------------------------------------------------------

Persoalannya. Berapa banyak lagi hasil ciptaan kita akan jadi seperti ini? Mampukah idea Dato' Seri Najib untuk menjana ekonomi berasaskan idea kreatif dan inovatif menjadi kenyataan jika masalah sebegini berterusan?


Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

5 comments:

  1. salam wrt. wbt..
    sedihnya bila jadi begini..tidak melampau kiranya kalau saya berfikir bahawa teknologi2 baru seperti ini dikhuatiri akan menutup periuk nasi pihak yang masih menggunakan teknologi2 lama, maka usaha seperti ini hanya disokong dengan 'air liur' sahaja...samalah seperti mesin electronik yang boleh mengubati penyakit HIV/AIDS suatu ketika dulu, tiba2 'disenyapkan' kerana takut periuk nasi doktor2 tertutup disebabkan mesin elektronik yang dicipta sangat-sangat murah berbanding kos rawatan yang tidak menyembuhkan di hospital..

    bahkan, banyak lagi teknologi2 baru dalam bidang berkaitan oleh mahasiswa2 universiti, tetapi tidak dikomersialkan, hanya dibakulsampahkan atau terbiar sahaja di sudut2 makmal sedangkan rekaan2 tersebut berpotensi besar untuk pembangunan Malaysia..

    apa nak jadi?

    ReplyDelete
  2. mungkin MPP kena bawa terus kepada ayahanda YAB PM untuk perhatian dan tindakan yang serius. Tak gitu?
    Macam mana nak komersialkan lagi? Saya tak tahu samada diorang pernah cuba apply di unversiti untuk permulaan. teknologi baru paling mudah diaplikasi di universiti sebab kat sini tempat paling sesuai untuk diaplikasi.
    saya pernah jumpa pembantu felo KTHO en.azhari, dan dia akui pernah dibuat untuk 30 orang student di ktho dan keputusannya memang berjaya dilaksanakan. cuma takde orang nak pantau.

    yang guna pulak student international. dah la dapat free pastu tak jaga elok2 sampai converter yg digunakan retak dan pecah. kalau dapat paperwork ktho tu memang best. dia bagitau benda tu dibuat dengan inisiatif hartabina, cuma tak tau sapa pegawai hartabina yang terlibat. tahun 2006 dulu..

    ReplyDelete
  3. o, da pernah diimplement kat sini rupanya..betul jugak tu, kampus tempat yang paling sesuai untuk cuba apa2 teknologi baru..sayangnya tak ada yang pantau..

    berminat untuk bawa ke YAB PM? apa lagi...

    ReplyDelete
  4. Terima kasih dari saya

    -Amar Bukhari bin Mohammad Abdul Zahib

    Saya sedih sgt tengok kerajaan layan ayah saya. Takpe akhirat ade.

    ReplyDelete