Sunday, April 10, 2011

Politik Bagaimana Yang Kita Mahu?



Assalamualaikum..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Politik dan kepimpinan merupakan sesuatu yang perlu ada dalam setiap kerajaan mahupun institusi pentadbiran. Tanpa politik, sesuatu urusan pentadbiran tidak dapat berjalan dengan lancar kerana politik itu sendiri bermaksud mentadbir.

Dalam mentadbir, keupayaan untuk memimpin amat perlu bagi seseorang pemimpin. Bagi seorang pemimpin yang baik; karismatik, gaya bercakap, daya intelektual, idea, halatuju kepimpinan, visi dan misi yang ingin digarap dan dicapai perlu dijelaskan kepada kumpulan yang ingin dipimpin.

Hari ini negara Malaysia menuju Hari Kemerdekaan Ke 54 pada 31 Ogos 2011 akan datang. Ini bermaksud Malaysia berdiri sebagai sebuah negara yang berdaulat hampir 54 tahun. Dan dalam tempoh 54 tahun inilah negara kita telah masak dengan pahit manis asam garam kepimpinan dan politik kepartian dalam sebuah negara berpelembagaan yang mendaulatkan Yang Dipertuan Agong sebagai Raja Berpelembagaan.

Malaysia mempunyai 13 negeri yang mana 11 negeri di semenanjung dan 2 negeri di tanah borneo. 9 negeri diperintah oleh Barisan Nasional dan 4 negeri diperintah Pakatan Rakyat. Pilihan untuk memilih pemerintah-pemerintah negeri masing-masing adalah melalui proses-proses demokrasi pilihanraya. Dan diharapkan rakyat yang membuat pilihan berpuashati dengan pilihan masing-masing sekalipun parti pemerintah yang diundi tidak memenangi pilihanraya tersebut.

Kita rakyat Malaysia hidup dalam negara demokrasi, pemimpin dipilih melalui suara majoriti. Walaupun keputusan telah diperolehi, suara-suara sumbang yang tidak mengiktiraf kepimpinan yang terpilih tetap kedengaran kerana sememangnya hati manusia sukar untuk dipenuhi kehendak mereka. Tidak kira daripada penyokong mana-mana parti sekalipun.

Mungkin inilah hakikat yang perlu diterima oleh mana-mana bakal pemimpin Malaysia pada masa akan datang. Bahawa anda pasti sukar untuk memuaskan hati semua orang, tidak kira kawan atau lawan. Anda pasti disukai sesetengah orang dan anda pasti juga dibenci oleh sesetengah orang; walaupun disukai atau dibenci tanpa apa-apa sebab sekalipun.

Menjadi pemimpin dan terlibat dengan politik memerlukan persediaan mental yang kuat. Jalan tidak semestinya mudah hanya kerana kita mempunyai niat yang ikhlas untuk membantu rakyat, anak bangsa, saudara seagama semata-mata. Niat yang baik belum tentu disukai oleh orang-orang yang berkepentingan kerana ianya mungkin menutup peluang untuk meraih kepentingan peribadi mereka. Yang pasti, orang-orang yang ikhlas dan berniat baik pasti dibantu oleh Allah SWT.

Sekarang ini mungkin kita belum menjadi Good tapi suatu hari nanti insyaAllah kita akan menjadi Great! Ameen ^_^

No comments:

Post a Comment