Thursday, May 21, 2009

Konvensyen Kebangsaan MPP IPTA Ke-3 : Satu Perkongsian

Assalamualaikum wbt..

Selamat Sejahtera..

Salam Perpaduan..

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas nikmat diperpanjangkan umur dan rezeki yang dikurniakanNya selama ini. Sesungguhnya kita insan yang lemah dan tiada upaya atas diri dan perbuatan kita melainkan ianya kurniaan Allah jua.

Alhamdulillah Konvensyen Kebangsaan Majlis Perwakilan Pelajar IPTA Kali Ke-3 telah berlangsung dan berakhir dengan jayanya. MPPUTM juga telah berjaya membentangkan kertas kerja ’Pelapis Kepimpinan Mahasiswa : Satu Perspektif’ sebagaimana yang dirancangkan bersama-sama dengan UMP, UM dan UiTM dalam bidang KEPIMPINAN.

Kertas kerja UTM agak berbeza berbanding universiti lain kerana keutamaan diberikan kepada usaha memastikan keberlangsungan kepimpinan MPP disertai kualiti yang dikehendaki. Melihat kepada universiti lain seperti Universiti Malaysia Pahang, kertas kerja mereka menumpukan aspek Peranan Dan Cabaran Dalam Memperkasakan Kepimpinan Mahasiswa.

UiTM melalui kertas kerjanya, ‘Burnout Among Student Leader In Mara University Of Technology (UiTM)’ pula mengupas persoalan bagaimana TEKANAN atau stress (mohon izin) boleh wujud di kalangan pemimpin mahasiswa. Manakala, aspek transformasi peranan mahasiswa di IPT dan politik negara menjadi fokus UM dalam kertas kerjanya yang bertajuk ‘Revolusi Mahasiswa Dan Politik Baru Malaysia’. Menurut pendapat saya, hampir semua kertas kerja menampilkan kualiti yang tinggi dari segi akademik dan inilah yang ditunggu-tunggu kepimpinan negara agar pengganti mereka merupakan orang yang benar-benar mempunyai kelayakan.

Semua kertas kerja di atas adalah dalam bidang kepimpinan. Ada 3 lagi bidang yang turut dibentangkan iaitu Sahsiah, Akademik dan Keusahawanan.

Kertas kerja MPPUTM

Pada pendapat saya, konvensyen ini merupakan satu anjakan terhadap peranan mahasiswa dan titik tolak ke arah keterbukaan kerajaan dalam mengurusi hak dan kepentingan mahasiswa. Kekuatan utama konvensyen ini pada penelitian saya terletak pada sesi dialog bersama YB Dato’ Saifudin Abdullah, Timbalan Menteri KPT yang baru.

Dalam ucapan beliau sebelum sesi dialog dimulakan, beliau menyatakan bahawa mahasiswa berhak untuk mengkritik kerajaan dan mereka tidak sepatutnya dihalang berbuat demikian. Beliau juga menyatakan bahawa, mahasiswa tidak boleh dilabelkan dengan gelaran yang tertentu oleh mana-mana pihak. Tambahan lagi, beliau mengalu-alukan wacana isu politik dikupas di dalam kampus melibatkan wakil pihak kerajaan dan pembangkang. Terdengarkan kenyataan ini, kami MPPUTM mendapat satu idea....(^_^)

Kesediaan pihak kerajaan dalam mendengar dan membuka peluang untuk mahasiswa bersuara amat dihargai kerana inilah yang diharapkan mereka selama ini. Mungkin tidak perlu saya nyatakan betapa pentingnya suara mahasiswa di ruangan ini kerana sudah banyak penulisan mengenainya.

Alhamdulillah saya berpeluang untuk menanyakan 3 soalan dalam sesi dialog tersebut. Saya cuba untuk menulis sebaik mungkin soalan saya dan jawapan YB Dato’ memandangkan buku catatan kecil saya miss in action atau terhilang dalam kemeriahan konvensyen ini. Amat mendukacitakan..(i_i)

Soalan pertama saya berbunyi, mengapakah masih ada permintaan untuk memansuhkan AUKU daripada mahasiswa sedangkan KPT sudah berusaha meminda untuk memberi lebih peluang kepada mahasiswa. Mengapakah KPT masih belum dapat meyakinkan mahasiswa akan keikhlasannya.

Menurut YB Dato’, KPT telah berusaha sebaik yang boleh dan mungkin kerana dinafikan hak bersuara dalam tempoh yang agak panjang maka mahasiswa telah hilang keyakinan. Bagaimanapun beliau menyatakan keikhlasan KPT akan diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan masa akan menentukan proses pemulihan kepercayaan mahasiswa.

Dalam ucapan awal, YB Dato’ menyatakan beliau berpendapat AUKU sememangnya mengongkong dan menyekat idealisme. Dalam soalan kedua, saya menyatakan pendapat saya bahawa AUKU juga merupakan akta yang DRAKONIAN dan JUMUD. Menyekat suara mahasiswa ibarat menikam hang tuah berkeriskan lidi kelapa.

Dalam soalan saya meminta pendapat tentang kesudian KPT membuka fail-fail lama tentang pesalah AUKU dan jika perlu, diberi keadilan semula(perbicaraan semula) jika hukuman yang dijatuhkan sebelum ini berunsurkan ketidakadilan [masih ada juga kes yang belum selesai hingga 6-7 tahun dan mereka tidak dibenarkan mengikuti pengajian hinggalah perbicaraan diselesaikan dan mereka belum dibuktikan bersalah]. Tindakan ini pastinya dapat menarik kepercayaan pelajar dan membuktikan keikhlasan KPT. Dicadangkan juga, jika mahasiswa didapati teraniaya dan tidak mendapat keadilan yang sepatutnya, mungkinkah KPT dapat memberikan pampasan kepada mereka.

Menurut Dato’ Saifudin, beliau juga berpendapat bahawa ketidakadilan ada berlaku, malah hukuman yang dijatuhkan agak berat berbanding kesalahan yang dilakukan. Beliau akan mempertimbangkan perbicaraan semula jika ada permintaan MPP sendiri [Maka MPP, laksanakan tugas anda memperjuangkan keadilan untuk mahasiswa]. Tentang pampasan, mungkin boleh diletakkan dalam agenda ke-10 atau ke-11 maksud beliau, tidak perlu diberi keutamaan untuk pampasan.

Soalan ketiga. Adakah wujud tangan-tangan hitam golongan politik yang berusaha untuk menentukan ideologi yang sepatutnya diterapkan dalam minda mahasiswa di universiti? Kerana pada pendapat saya, biarlah mahasiswa menentukan ideologi mereka sendiri tanpa perlu dipengaruhi. [Jika pihak memerintah menggunakan universiti untuk menerapkan ideologi mereka, maka jangan dipersoalkan jika tertubuh kerajaan baru dan mereka melakukan perkara yang sama]. Jika mahasiswa ingin dibebaskan dari kekangan minda (menghapuskan kelesuan), maka mereka perlu dibebaskan sebebas-bebasnya (dalam konteks pemikiran, idealisme, intelektualisme).

Pada beliau walau apa jenis tangan pun, campur tangan politik tidak sepatutnya berlaku di universiti. Dan beliau setuju supaya politik tidak mempengaruhi perjalanan universiti.

Berdasarkan jawapan di atas, saya merasakan persoalan saya telah terjawab dengan baik. YB Dato’ Saifudin telah menyatakan dengan jelas kebebasan pelajar yang beliau maksudkan dan AUKU akan masih dalam bentuk Pindaan 2008, tiada cadangan untuk memansuhkan. Pandangan beliau, AUKU Pindaan 2008 memadai buat masa ini.

Kami MPPUTM sepanjang dalam konvensyen ini merasakan sesi dialog yang diaturkan amat bermakna, dan banyak kekeliruan, ketidakpastian tentang pendirian KPT terhadap kebebasan suara mahasiswa telah diperjelaskan. Kami amat berpuashati.

Sedikit mencelah, jika ditanya pada saya tentang pemansuhan AUKU, saya MUNGKIN akan bersetuju kerana sebelum 1970-an, akta ini tidak wujud pun..(^_^)

3 comments:

  1. pada saya auku tidak patut dimansuhkan..
    hanya wajar dipinda..
    kerana sebelum 1972 an menunjukkan kata ungku aziz ramai pelajar melayu yg failed (dengan izin)kerana memuaskan nafsu politik masing2..
    auku harus dipinda..
    tidak patut dimansuhkan..
    boleh saya tahu apa yang jabatan saudara(naib presiden fakulti) telah lakukan sepanjang 1 semester ini di UTM ini?terima kasih.

    ReplyDelete
  2. erk..naib presiden fakulti tu satu jabatan ke??

    ReplyDelete
  3. Naib presiden ada 4 orang(secara individu)
    Kolej, Fakulti, Pengurusan, Aktiviti
    Bukan satu bentuk jabatan.

    www.mpputm0809.blogspot.com

    ReplyDelete