Monday, December 28, 2009

Kemajuan Yang Sebenar..

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Kemajuan dan pembangunan yang sebenar mesti memberi kesan yang baik kepada manusia, kesejahteraan dan kebahagiaannya, tidak merendahkan martabat manusia dan menjadikannya sebagai alat bagi industri dan negara.

Kerana itu, perubahan perlu dilakukan daripada penumpuan terhadap industri dan negara kepada individu dan institusi pendidikan. Penekanan terhadap pembangunan insan dan pemerkasaan institusi pendidikan perlu diutamakan daripada pembangunan material dan pertumbuhan ekonomi.



Perkara ini telah dihuraikan oleh Prof. Wan Mohd Nor dalam bukunya PEMBANGUNAN DI MALAYSIA. Beliau juga menyatakan dengan tegas melalui sebuah puisi yang termaktub dalam buku beliau, DALAM TERANG:

Negara maju sebenarnya kawanku bukan diukur:
Pada betapa panjang umurnya
Pada berapa keping ijazah dirangkul
Pada banyak pendapatan terkumpul.

Negara juga dianggap maju bukan:
Pada bangunan gagah tinggi menombak awan
Pada lebuhraya raksasa menggelepar menikan gunung
Pada panggung, gelanggang hiburan, permainan agung.

Negara maju, baldah tayyibah tujuan orang beriman
Dipacak pada budi pekerti rakyat pelbagai lapisan
Tapi, bagaimana rakyat bisa berbudi tinggi
Jika pemimpin dalam kabinet dan keluarga, rendah pekerti?
Siapa yang mendidik, mengadap pemimpin bangsa
Jika tidak institusi pengajian tinggi mahkota pendidikan kita?

Universiti taman abadi medan penta'diban tertinggi insan
Jika dinodai, ucaplah selamat tinggal pada kemanusiaan
Dan selamat datang pada kehaiwanan.

No comments:

Post a Comment