Saturday, May 29, 2010

Hanya Malaysia Bermasalah Potongan Bajet?


Satu usaha berjimat cermat telah melanda seluruh Eropah di mana kebanyakan negara sedang berusaha keras membuat potongan bajet untuk mengurangkan bajet defisit (lebihan belanja melebihi pendapatan) dan 16 negara Eropah tersebut turut berusaha menghapuskan pandangan skeptism dalam pasaran.

Bantahan terbesar dilihat berlaku di Greece tetapi mogok masih lagi menjadi berita utama di lain-lain tempat juga. Apakah tindakan yang akan digunakan oleh negara-negara Eropah dalam menghadapi perkara yang mencengkam ini?

Mungkin sedikit sorotan di bawah boleh kita perhati dan nilaikan untuk kita buat perbandingan dengan situasi di Malaysia yang mana sektor kerajaan dan perkhidmatan awam menghadapi potongan bajet 25%-30%.

GREECE

Kerajaan Greek telah berjanji melaksanakan potongan bajet yang drastik dan meningkatkan penghasilan cukai sebagai usaha untuk mendapat kepercayaan bail-out sebanyak 110 billion Euro daripada Kesatuan EU dan Dana Kewangan Antarabangsa.

* Bail-Out adalah bantuan untuk mengelakkan sesebuah organisasi jatuh bangkrup

Greece telah mula mendapatkan wang bail-out tersebut berikutan pemotongan mendadak peratus faedah pinjaman untuk menggalakkan pasaran akan tetapi akan menjadikan kos pinjaman meningkat.

*Sistem ekonomi Eropah menjadikan proses hutang sebagai kaedah untuk mendapatkan keuntungan. Ini diharamkan oleh Islam.

Sasaran mereka untuk mengurangkan bajet defisit sebanyak 13.6% daripada Pendapatan Kasar Negara (GDP) kepada bawah 3% menjelang 2014. Dalam Pakatan Kesatuan EU, mereka menetapkan 3% adalah kadar maksimum untuk bajet defisit di kalangan mereka.

Greece juga telah mula melaksanakan operasi kutipan cukai kepada mereka yang mengelak membayarnya, menghapuskan rasuah dalan pengurusan cukai dan dalam perkhidmatan awam. Ia juga turut mengurangkan skim saraan awal yang mana diwar-warkan sebelum ini. Kadar purata umur bersara ditingkatkan kepada 61.4 kepada 63.5 tahun agar kurang pengambilan pekerja baru.

Dalam pelan memotong bajet defisit sehingga 30 Billion Euro bersamaan £26 Billion (Pound) dalam tempoh sasaran tiga tahun; Greece mensasarkan untuk mengurangkan bonus kepada pekerja sektor awam, membekukan kenaikan gaji dan skim saraan sektor awam sekurang-kurangnya untuk 3 tahun, meningkatkan cukai jualan daripada 19% kepada 23%, meningkatkan cukai petrol dan diesel, alkohol dan rokok sebanyak 10%.

Langkah keras kerajaan Greece ini telah menimbulkan gelombang bantahan dalam sektor awam dan keganasan jalanan di Athens.

ITALY

Kerajaan Itali telah meluluskan potongan bajet bersederhana bernilai 34 Billion Euro untuk tahun 2011-2012. Potongan ini melibatkan 1.6% daripada GDP Itali dan mensasarkan defisit kurang 3% seperti yang digariskan Eropah.

Kerajaan Itali mensasarkan untuk memotong gaji sektor awam dan membekukan pengambilan pekerja baru. Skim saraan sektor awam dan perbelanjaan kerajaan tempatan turut menjadi sasaran. Rancangan untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang mengelak cukai turut menjadi pilihan.

Dana untuk perbandaran dan daerah dijangka akan menghadapi potongan lebih daripada 13 Billion Euro.

Untuk 3 tahun akan datang, kenaikan gaji sektor awam akan menghadapi pembekuan dan pengambilan pekerja baru akan dihentikan buat sementara waktu. Bagi 5 orang pekerja yang berhenti, hanya seorang akan diambil bekerja untuk menggantikan mereka.

*Tindakan ini saya lihat akan meningkatkan beban kerja dalam keadaan gaji tidak bertambah.

Potongan gaji akan ditingkatkan sehingga 10% dirancang untuk sektor awam yang melibatkan pembayaran yang tinggi dan potongan ini turut melibatkan Menteri dan Ahli Parlimen.

Saraan pekerja sektor awam akan ditangguhkan sehingga 6 bulan kepada sesiapa yang akan bersara dalam 2011.

Kerajaan wilayah yang menguruskan penduduk yang kurang daripada 220,000 orang akan dirombak dan distrukturkan semula dengan pembentukan badan profesional awam.

SEPANYOL

Bajet sederhana Sepanyol akan memasukkkan 5% potongan pembayaran gaji sektor awam bermula Jun ini. Kenaikan gaji akan mengalami pembekuan sehingga 2011.

Lebih daripada 6 Billion Euro akan dipotong daripada pelaburan awam dan Skim Saraan akan turut dibekukan. Secara keseluruhan, potongan perbelanjaan akan mencapai jumlah 15 Billion Euro dalam 2010-2011.

Tabungan sebanyak 2,500 Euro tunai yang dibayarkan kepada ibu muda yang dikenali 'Cek Bayi' akan ditamatkan.

Kemelesetan ekonomi yang panjang telah meningkat bajet defisit, lebih daripada 11% dan mengatasi had 3% yang ditetapkan EU.

Sektor kewangan Sepanyol telah menghadapi kawalan ketat sejak Greek mendapat Bail-Out, menimbulkan kerisauan bahawa Sepanyol akan menjadi 'garis lemah' yang seterusnya selepas Greek dalam Zon Eropah.

UK

Kerajaan campuran baru UK telah mengumumkan £6.2bn (7.2bn euros) sasaran 'simpanan' dalam tahun 2010-2011, menjadikan situasi cukup jelas bahawa ini adalah tindakan pertama dalam potongan besar bajet defisit sebanyak £156bn, iaitu 11% daripada GDP.

Potongan tertinggi daripada Kementerian adalah melibatkan Kementerian Perniagaan, Inovasi dan Kemahiran mencapai jumlah £836m.

Kerajaan baru David Cameron ini berharap untuk menbuat penjimatan yang besar dengan menangguhkan atau menghentikan kontrak dan projek melalui pemotongan kos konsultansi dan kos perjalanan dan menyerapkannya di bawah agensi sektor awam yang dikenali sebagai quangos

REPUBLIK IRELAND

Kerajaan Irish atau Republik Ireland telah membentangkan 3 bajet sederhana sejak setahun yang lepas.

Pada Disember yang lepas, bajet 2010 menunjukkan potongan perbelanjaan sebanyak 4 Billion Euro, dan pemotongan gaji semua pegawai awam sebanyak 5% dan pengurangan perbelanjaan Kebajikan Sosial. Tindakan ini meliputi potongan 760 juta Euro dalam peruntukan Kebajikan Sosial dan 960 juta Euro dalam projek pelaburan.

Faedah untuk kanak-kanak dipotong 16 Euro sebulan menjadikan kadarnya turun kepada 150 Euro sebulan dan kadar tertinggi 187 Euro sebulan.*Perbezaan nilai ini mungkin mengambilkira peringkat umur.

Cukai pelepasan karbon telah ditingkatkan kepada 15 Euro satu tan CO2.

Defisit Republik Ireland sekarang ini berada pada 12% daripada GDP dan kerajaannya mensasarkan untuk mengurangkan sehingga 2.9% menjelang 2014.

PORTUGIS

Negara Sosialis Portugis/Portugal yang dipimpin Jose Socrates telah mengumumkan bajet sederhana yang mensasarkan potongan bajet defisit sehingga 7.3% pada 2010 dan 4.6% pada 2011.

Penerimaan pembayaran gaji terbanyak di sektor awam, turut melibatkan ahli politik akan menghadapi potongan gaji 5%.

Cukai jualan akan ditingkatkan kepada 1% dan kenaikan cukai pendapatan akan melibatkan rakyat berpendapatan melebihi 150,000 Euro. Menjelang 2013 rakyat berpendapatan tinggi akan menghadapi kadar cukai sehingga 45%.

Menjelang 2013 perbelanjaan untuk ketenteraan juga akan menyaksikan potongan sehingga 40% dan kerajaan menangguhkan pelancaran dua laluan keretapi laju di antara Lisbon-Porto and Porto-Vigo.

Komen Saya

Kekangan ekonomi yang berlaku bukan sahaja melibatkan Malaysia sahaja malah turut melibatkan gergasi ekonomi dan negara-negara Eropah yang berpendapatan besar. Pemotongan bajet, perbelanjaan berhemah, peningkatan kos sara hidup, pemotongan gaji, penangguhan skim saraan, pengurangan peruntukan, peningkatan kos bahan api berlaku di mana-mana.

Saya cukup pasti bahawa kemelesetan yang berlaku bukan semata-mata melibatkan kerajaan yang memerintah malah pergerakan ekonomi dunia turut perlu diambilkira.

Keamanan dunia perlu digagaskan di semua peringkat bagi mengelakkan krisis kemanusiaan akibat peperangan berlaku kerana ia akan mempengaruhi harga bahan api yang merupakan faktor kritikal dalam menjamin kestabilan ekonomi dunia seperti kesan daripada peperangan di Iraq dan Afghanistan. Fokus kerajaan Greece dalam membasmi rasuah dan ketirisan dalam pendapatan negara merupakan fokus yang tepat untuk mewujudkan kestabilan.

Saya melihat Malaysia masih berada dalam situasi tidak selamat dari sudut ekonomi dan beban terhadap rakyat. Saya percaya analisis yang dibuat Makmal Rasionaliti Subsidi adalah tepat dan bukan angka yang dibesar-besarkan akan tetapi pelaksanaannya tidak sesuai untuk 3 tahun akan datang.

Fokus Model Ekonomi Baru berasaskan inovasi dan kreativiti dilihat akan banyak memanfaatkan golongan berpendidikan tinggi semata-mata; melainkan produk cadangan daripada Intelektual Property itu dikomersialkan oleh sektor industri dan membuka banyak ruang dan peluang pekerjaan kepada rakyat.

No comments:

Post a Comment