Friday, May 28, 2010

Teguhkan Pendirian, Mahasiswa Jauhi Perjudian

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Masyarakat Malaysia terutamanya yang beragama Islam telah memberikan pelbagai reaksi dengan keputusan di pihak Kementerian Kewangan yang meluluskan lesen perjudian sementara kepada Kumpulan Berjaya Corporation bagi tujuan mengekang perjudian tidak terkawal untuk Piala Dunia 2010 yang akan datang.

Keputusan ini saya percaya bukanlah dibuat oleh Kementerian Kewangan semata-mata, malah pastinya melibatkan ramai pihak pembuat dasar. Cuma ianya diputuskan melalui platform Kementerian Kewangan sebagai pihak pengeluar lesen.

Lesen perjudian ini mendapat reaksi berbagai pihak. Rata-ratanya bersifat tentangan, tidak setuju dan memohon pertimbangan semula. Dan saya berpendapat pihak kerajaan perlu menimbangkan semula pemberian lesen judi tersebut untuk mewujudkan struktur masyarakat yang lebih baik dan tidak bergantung kepada tuah nasib semata-mata untuk mendapatkan keuntungan.

Perjudian adalah tindakan untuk mendapatkan untung tanpa usaha yang jelas dan berdasarkan kepada nasib semata-mata. Malah nasib milik seseorang manusia tidak mampu dikawal oleh mereka sendiri. Perjudian mewujudkan sikap bergantung harap kepada sesuatu yang tidak pasti walaupun mereka berjudi berdasarkan prestasi sesebuah pasukan bola sepak sebelum perjudian dibuat.

"Brazil akan menang ke atas Argentina malam ini. Aku bertaruh RM1,000".

"China akan kalah malam ni. Kalau dia kalah lebih daripada 3 gol, kau kena bayar aku RM1,000 atau aku yang bayar kau RM1,000 kalau China kalah kurang 3 gol. Yang penting China kalah. Setuju?"

Di atas adalah beberapa dialog yang digunakan oleh beberapa manusia yang berjudi dalam keadaan lesen judi belum diluluskan. Bagaimana pula generasi anak remaja juga adik-adik saya jika mereka mendapat tahu bahawa "JUDI TELAH DIHALALKAN BUAT SEMENTARA WAKTU.."

Adakah kita telah kelabu mata dengan angka jumlah perjudian yang menjangkau RM6 billion? Berapakah sasaran cukai untuk pihak Kementerian Kewangan kutip... 12.5%? 25%? Atau berapa..? Jika kita ikhlas untuk mengekang perjudian, sewajarnya tidak kutipan cukai dikenakan. Dan tiap-tiap manusia yang beragama Islam yang membuat urusniaga perjudian diberikan artikel ringkas pengharaman judi supaya mereka sedar tindakan mereka tidak diredhai Allah SWT. Mungkin sebelum ini mereka tidak mendapat pendidikan Islam yang sempurna dan tidak mengetahui pengharaman judi secara jelas. Di sini unsur-unsur pendidikan perlu dimasukkan walaupun hampir mustahil untuk dilaksanakan melainkan kaedah lebih praktikal difikirkan.

Kita perlu berfikir...Sejauhmana hasil cukai ini dapat mengekang pergaduhan rumah tangga bagi pihak yang kalah? Sejauhmana hasil cukai ini dapat menampung belanja makan pelajar sekolah yang mana ayah mereka telah kalah berjudi?

Jika hasil cukai judi ini cukup menguntungkan, adakah ia akan disatukan dalam kantung negara untuk diagih-agihkan bagi tujuan pendidikan, pembangunan, ekonomi dan keselamatan negara? Malaysia akan dibangunkan dengan hasil perjudian 'HALAL'?

Saya membayangkan kesan berantai (Domino) hasil daripada pemberian lesen ini. Menyoroti kesan kenaikan harga minyak, harga barangan masih belum turun sekalipun harga petrol dan diesel telah diturunkan sejak lebih 6 bulan yang lepas. Bagaimana pula dengan kesan kepada struktur masyarakat dari segi sosial dan kerohanian jika perjudian diberi nafas baru dan diwar-warkan melalui media secara terbuka.. Adakah ini satu kaedah promosi secara tidak langsung?

Mahasiswa perlu bersuara dalam hal ini dan penjelasan serta fakta perlu dikongsikan dengan pemimpin mahasiswa oleh Kementerian Kewangan untuk kita sama-sama mencari jalan penyelesaian yang lebih konkrit, bukan bersifat keuntungan sementara tapi akhirnya terseksa dan merana.

Oleh itu, saya mewakili rakan-rakan mahasiswa UTM bertegas meminta Kementerian Kewangan agar menimbangkan untuk menarik semula pemberian lesen judi kepada mana-mana syarikat yang telah diluluskan atau mana-mana syarikat dalam proses diluluskan lesen judi bersempena Bolesepak Piala Dunia 2010 akan datang.

Diharapkan permainan sukan bolasepak yang bertujuan untuk perpaduan dan semangat kesukanan tidak dicemari oleh kempen-kempen perjudian dan pelanggaran syariat secara berlesen oleh mana-mana pihak.

Juga seruan saya kepada mahasiswa seluruh IPTA dan IPTS; Jauhilah perjudian!

1 comment:

  1. salam..
    saya sokong dengan apa yang dikatakan oleh saudara..

    saya x dapat rasakan bahawa keputusan kerajaan ni benar-benar dapat mengurangkan kes perjudian haram di Malaysia.. sebabnye, perjudian boleh berlaku dimana-mana saja. even, klu berada di kedai mamak yang menayangkan perlawanan bola nanti pun boleh berlakunya perjudian di situ..

    perkara ini sebenarnya perlu di atasi dengan cara yang lain dan bukannya dengan cara meng'halal'kan perkara yang haram. mungkin kerajaan perlu meningkatkan pengawasan...dan kepada rakyat pula, kesedaran perlu ditingkatkan dan sama2 membantu kerajaan untuk membasmi perjudian ini daripada berleluasa..

    hidup bebas tanpa judi!

    ReplyDelete