Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..
Mahasiswa UTM sekarang ini sedang mengalami era transformasi dalam segenap segi terutamanya dalam usaha mengembalikan budaya ilmiah yang semakin luntur. Perkara ini dikuatkan lagi dengan luahan hati, hasil daripada pemerhatian Naib Canselor UTM, Prof. Ir. Dato. Dr. Zaini bin Ujang terhadap budaya mahasiswa dan ianya dilontarkan dalam tulisan beliau, “Outcome Bukan Output, Budaya Bukan Sijil” yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian, Jumaat, 8 Mei 2009.
Aspek menjurus kepada pembinaan minda kelas pertama dan pembudayaan ilmu seperti wacana, diskusi, ‘kegilaan membaca dan menulis’ dan persekitaran mesra intelektualisme tidak lagi menjadi keasyikan, trend dan aset penting. Bahkan personaliti sedemikian tidak lagi menyerlah di kampus, malah nampaknya semakin pupus melawan arus masa.
Tidak ada lagi debat atau diskusi ilmiah mengenai isu pokok membabitkan perkembangan semasa dalam arena politik, ekonomi, sosial, sains atau teknologi. Kalaupun ada, jarang sekali dianjurkan dengan segala macam syarat dan perkiraan supaya tidak bersifat sensasi dan sensitif. Akhirnya aktiviti kampus yang sepatutnya meriah ilmu menjadi hambar dan lesu sehingga menyebabkan apa saja yang dianjurkan atas nama semarak ilmu dan budaya ilmu dilihat daripada perspektif ‘output’ jangka pendek, umpamanya keperluan kredit dan memenuhi waktu CPD.
Budaya pada hakikatnya bukan sesuatu yang mudah untuk diwujudkan. Tanpa kehendak dan keinginan yang kuat disertakan dengan keazaman yang tinggi, penciptaan sesuatu budaya amat sukar dilakukan. Kewujudan budaya juga bertujuan untuk menunjukkan identiti sesuatu kelompok agar lebih mudah dikenali. Malah ketinggian nilai budaya yang dimiliki juga meninggikan taraf dan penghormatan yang diterima oleh kelompok tersebut.
Budaya ilmu sememangnya salah satu daripada kebudayaan yang dimiliki oleh mahasiswa, cuma ianya dilihat semakin men’jauh’ daripada bahagian diri mereka. Jika diperhatikan, dunia mahasiswa secara keseluruhannya memperlihatkan penolakan terhadap budaya ini. Jika anda kurang percaya, cuba kirakan berapa banyak bentuk aktiviti ilmiah yang disebutkan dalam petikan tulisan Dato’ Zaini di atas dan tanyakan kepada diri kita, berapa banyak yang telah kita hadiri jika aktiviti tersebut ada dalam kampus UTM. Jika tiada dianjurkan, bagaimana untuk kita hadiri? Maka, siapakah pula yang mahu menganjurkannya?
Arus modenisasi dan proses globalisasi sepatutnya lebih membantu mengukuhkan budaya ini. Istilah dunia tanpa sempadan dengan capaian internet meluas yang kita nikmati secara logiknya tidak akan menyebabkan budaya ini luntur. Walaupun internet masih belum diterima sebagai sumber ilmiah tapi sudah semakin banyak isi kandungan buku, tesis dimuatnaik supaya mudah dicapai oleh semua pihak. Oleh itu, kebudayaan ilmu tidak mungkin luntur melainkan kita telah kehilangan arah dan matlamat dalam menuntut ilmu. Duduk letaknya nilai ilmu dalam diri banyak mempengaruhi penilaian kita terhadapnya, jika tinggi akan terjulanglah ia, jika me’lantai’ maka rapuhlah ia. Dan saya amat menyanjungi penulisan Imam Al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumiddin, Jilid 1, Bab 1 tentang ketinggian nilai ilmu. Rasanya saya perlu mengulang baca sekali lagi. Moga akan mendapat pemahaman baru yang mungkin saya terlepas.
Pada pandangan saya, jika kebudayaan ini ingin diperkasakan semula, ianya tidak terlalu sukar cuma pastinya akan mengambil masa. Berapa lama tempohnya bergantung kepada kesungguhan pecinta ilmu dan kehendak mahasiswa itu sendiri.
Saturday Night Event yang dicadangkan oleh Dato’ Zaini merupakan salah satu platform untuk mewujudkan budaya ilmu di kalangan mahasiswa. Kali pertama mendengarnya, ramai menjangkakan ianya berbentuk aktiviti hiburan hujung minggu, diisi dengan nyanyian, lakonan dan pementasan. Ya! Anda sangat betul dan tidak salah jika berfikiran begitu tapi hiburan yang bagaimana anda fahami?
Hiburan dalam SNE yang digagaskan bukanlah bersifat picisan dan murahan sebagaimana yang boleh kita cari dalam majalah dan siaran TV. Motif yang mendasari SNE adalah hiburannya mestilah mempunyai nilai yang tinggi yang juga merupakan input baru kepada mahasiswa. Untuk mengetahui lebih jelas tentang SNE, anda digalakkan untuk membaca buku Dato’ yang bertajuk Memperkasa Budaya Ilmu.
Dalam SNE lepas (Sabtu, 11 Julai’09) yang melibatkan persembahan kumpulan Kopratasa, Din atau Sani Sudin, ketua kumpulan Kopratasa telah mengungkapkan ayat ‘power’ untuk membandingkan suasana di Rumah Tropika yang bersifat taman/kebun. Beliau juga menyatakan turut memiliki kebun tetapi kebunnya adalah ‘kebun-kebun karya’. Itulah kebun yang mendatangkan kenyamanan dan kedamaian kepada beliau, dinikmati hanya apabila beliau berkarya. Unsur falsafah dan sastera yang dilontarkan membuatkan saya rasa SNE yang dianjurkan amat bermakna sekali.
Andai kata SNE hanya sekadar untuk meredakan tekanan semata-mata dan kita memerlukan hiburan yang bersifat ‘bodohan’ untuk memudahkan kita ketawa, teruja, ‘terangsang’ kemudian letih, balik kolej, tidur dan kemudian bangun untuk mencari lagi hiburan. Maka pada fikiran saya, kita masih belum mencapai kemajuan minda kelas pertama sebagaimana yang diinginkan oleh Tun Abdullah. Walaupun kehadiran penontonnya sangat memuaskan hati penganjur.
Dalam usaha membudayakan budaya ilmu, MPPUTM juga telah berusaha menganjurkan forum Bicara Mahasiswa UTM yang telah dimulakan semasa Minggu Haluan Mahasiswa dan dicadangkan kelestariannya sebagai salah satu bentuk aktiviti ilmiah kampus. MPP akan bertindak sebagai moderator forum dan pemimpin mahasiswa di peringkat kolej, fakulti dan persatuan mahasiswa dalam kampus sebagai ahli panelnya. Pelaksanaan forum ini adalah mirip program Suara Siswa dalam RTM 1, setiap selasa jam 9.00 malam. Jika berkesempatan, forum ini akan dimasukkan sebagai salah satu slot dalam SNE. InsyaAllah.
Oleh itu, dalam membudayakan budaya ilmu di kalangan mahasiswa, ianya mestilah dimulakan di kalangan pemimpin mereka. Dan ahli panel yang saya nyatakan tadi merupakan figure pemimpin di kalangan mahasiswa. Forum ini juga merupakan sebahagian hasrat MPPUTM yang mahukan pemimpin mahasiswa bukan sekadar boleh bertindak sebagai penganjur program dan aktiviti fizikal, malah merupakan seorang pemikir dan boleh melontarkan idea di tengah-tengah kelompok mahasiswa.
Akhir kalam, kebudayaan ilmu yang ingin dicapai tidak boleh sekadar menjadi impian semata-mata. Usaha untuk merealisasikannya mestilah di'realiti'kan agar budaya yang membuahkan penghormatan tinggi masyarakat terhadap mahasiswa terus kekal.
Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..
Memang penting isu yang dibicarakan, pembudayaan ilmu. Malah ia juga dijadikan salah satu elemen tunggak dalam syarahan perdana NC kita dalam perancangan tahunan (Strategi, struktur dan budaya). Mungkin dilihat dalam syarahan tersebut, beliau membicarakan lebih kepada pembudayaan ilmu di kalangan penyarah dan kakitangan UTM.
ReplyDeleteAkan tetapi, mahasiswa juga perlu dan harus memainkan peranan dalam pembudayaan ilmu. Saban hari, apabila dilihat secara sepintas lalu, ramai yang hanya belajar untuk lulus dalam ujian atau peperiksaan. Dan yang teruknya, ilmu yang diperoleh terus dilupakan pada semesta yang berikutnya.
Perkara ini adalah sangat memalukan untuk seorang mahasiswa yang bertauliah. Sepatutnya ilmu itu disimpan dan diaplikasikan di latihan atau kerja praktikal yang harus diinisiatifkan sendiri.
Salah seorang pensyarah saya pernah berkata 'Jika anda ingin menilai sesebuah universiti, lihatlah apakah yang dibicarakan oleh pelajar di kafeterianya' Jika perbicaraan adalah berkaitan dengan 'anime', 'dota', 'games', 'shopping', maka gagallah tempat itu digelar sebuah universiti yang terbilang.
Sebaliknya, perkara yang dibicarakan oleh kalangan pelajar adalah berbentuk ilmiah, maka ia mencerminkan sebuah universiti yang berkualiti. Perkara inilah yang sepatutnya terjadi di UTM.
Sesungguhnya, pembudayaan ilmu inilah patut dijadikan keutamaan semua pelajar di UTM.