Wednesday, July 15, 2009

Saya Sedang Dalam Latihan Mengajar


Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Apa khabar pembaca semua? Hari ini saya mengambil kesempatan untuk menulis setelah 4 hari berada di Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru untuk menjalani Latihan Mengajar.

Alhamdulillah pihak sekolah sudi menerima kami bertiga pelajar UTM untuk menjalani latihan praktik, mengajar pelajar tingkatan 4 dan 5. Saya di sini mengkhusus dalam subjek Kejuruteraan Elektrik, memang minat saya.



Saya mendapat penginapan di dalam sekolah sebagai pembantu warden dan diminta oleh pengurusan sekolah untuk sama-sama mengambil berat keadaan pelajar di asrama.

Pada fikiran saya, terdetik juga untuk menangguhkan dulu Latihan Mengajar ini untuk memastikan tugas sebagai MPPUTM tidak terganggu. Tapi selepas berbincang dengan pensyarah dan mengumpul pandangan rakan-rakan MPP, saya meneruskan juga LM ini.

Saya memilih sekolah yang paling dekat dengan UTM supaya saya boleh pulang bila-bila masa jika terdapat sebarang urusan rasmi MPP. Tugas dan tanggungjawab tidak terlerai hanya kerana berada di luar kampus. Ya Allah, bantulah hambaMu yang kerdil dan lemah ini..

Keutamaan mengajar saya hanya di sekolah teknik sahaja memandangkan kursus kejuruteraan dan pendidikan yang diambil bertujuan untuk mengisi tenaga kerja di sektor ini. Dan insyaAllah akan bersedia untuk berkhidmat di mana saja.

SMT Johor Bahru merupakan sekolah yang menarik dengan pencapaian terbaik di seluruh Malaysia. Menurut pemerhatian saya, pengetuanya yang baru setahun ditukarkan ke sini merupakan kekuatan utamanya. Sebelum ditukarkan ke sini beliau merupakan pengetua SMT Cheras dan selama 2 tahun beliau di sana, SMT Cheras telah mendapat taraf Sekolah Cluster. Dan selepas setahun di sini, SMT JB telah menjadi SMT no.1 di Malaysia.



Kesimpulan mudah yang dapat dibuat ialah kekuatan pengurusan, pengalaman dan tekad untuk cemerlang yang dimiliki beliau telah diterjemahkan melalui peningkatan prestasi mendadak SMTJB. Amalan pengurusan beliau yang berdisiplin tinggi tetapi mudah dan ringkas banyak memotivasikan guru-guru untuk berkhidmat lebih baik. Sikap beliau yang positif dan banyak bertindak sebagai penyelesai masalah menjadikan SMTJB terus proaktif untuk lebih progresif.

Pengurusan yang cemerlang dan berstrategi banyak menentukan kecemerlangan sesuatu organisasi. Ketika beliau dipindahkan ke sini, beberapa transformasi pengurusan dilakukan seperti di UTM juga. Beberapa jawatankuasa ditubuhkan dan hanya guru yang bersesuaian dipilih untuk diberi tugas penting. Dalam melakukan transformasi, tidak semua dapat diterima dengan mudah kerana kita perlu keluar daripada zon yang kita 'biasa'kan sebelum ini.

Bagi seorang ketua yang melakukan transformasi, beliau pasti akan menghadapi cabaran untuk membuat keputusan yang pantas tapi tepat dengan situasi yang dihadapi, juga tentangan 'mesra' daripada kalangan ahli organisasi perkara biasa perlu dikendalikan dengan bijak. Kadang-kadang kuasa di tangan terpaksa juga digunakan. Yang penting, organisasi terus maju ke hadapan tanpa mengabaikan faktor-faktor kepuasan kerja dan soal kemanusiaan kerana kita masih lagi manusia, bukan robot.

Saya sukakan bentuk pengurusan beliau. InsyaAllah saya akan menggunakan kesempatan berada di sini untuk belajar lebih banyak daripada beliau untuk kebaikan diri saya dan MPPUTM.

Saya telah mengambil beberapa keping gambar tapi belum di'transfer' ke komputer lagi. Ada ruang masa saya kongsikan.

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..


No comments:

Post a Comment