Sunday, August 16, 2009

Evolusi Kepimpinan Mahasiswa UTM


Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Ketika saya mengambil keputusan menyertai MPP dalam pilihanraya yang lepas, saya telah berazam untuk cuba membantu sahabat-sahabat yang berada di atas landasan ilmu dengan sebaik mungkin. Saya telah berjanji kepada mahasiswa UTM untuk berusaha sedaya yang termampu untuk menunaikan amanah kepimpinan ini.

Akan tetapi sejauhmana ianya telah ditunaikan, hanya mahasiswa UTM yang berhak menilainya. Malah mahasiswa di luar UTM juga berhak menilainya.

MPPUTM telah berjaya meyakinkan HEP dan pentadbiran UTM untuk menggunakan perkataan 'MAHASISWA' bagi menggantikan perkataan 'PELAJAR' yang telah digunakan sekian lama. Transformasi nama ini bukan perkara yang remeh kerana ungkapan MAHASISWA sebenarnya berat untuk dipikul. Besar tanggungjawab dan peranannya.

Pelajar hanya merujuk kepada golongan yang belajar dan menuntut ilmu (bukan definisi sebenar) akan tetapi mahasiswa memerlukan kepada penekunan dan pendalaman ilmu serta menterjemahkannya untuk kebaikan manusia sejagat.

Kepimpinan mahasiswa di UTM dilihat dengan penuh hormat dan kagum oleh kepimpinan mahasiswa lain-lain universiti di Malaysia kerana kami tidak rigid dengan kumpulan 'politik' yang dibentuk. Kumpulan 'politik' ini perlu wujud untuk mengukuhkan struktur kepimpinan, meramaikan pelapis, mengembangkan ideologi kemahasiswaan dan BUKAN untuk mencambahkan permusuhan.

Disebabkan pendirian politik yang begini, MPPUTM tidak menghadapi masalah dalaman untuk diselesaikan berbanding sesetengah kampus lain. Hinggakan untuk menetapkan kabinet dan portfolio MPP yang memenangi PRK sudah cukup membebankan.

MPPUTM sedang berevolusi ke arah politik yang lebih matang dan telah mengorak langkah untuk keluar daripada kepompong yang menyempitkan peranannya selama ini. Dan evolusi ini menginspirasikan sesetengah kampus lain untuk turut sama melakukan perubahan.



Kekangan AUKU yang mencengkam telah disuarakan MPPUTM dengan jelas supaya ianya diberi perhatian oleh pak menteri. Dan AUKU juga sedang berevolusi untuk kebaikan mahasiswa berikutan dengan beberapa pindaan telah dan sedang dibuat.

Nasib mahasiswa yang terhalang menduduki bilik kuliah kerana masih dalam perbicaraan juga diutarakan. Perbicaraan yang memakan masa 7-8 tahun tanpa keputusan menghalang aktiviti keilmuan mahasiswa (walaupun ilmu sebenarnya tidak terhad di bilik kuliah).

Ilmu adalah milik semua dan mahasiswa tidak boleh dihalang mendapatkannya di bilik-bilik kuliah dan kampus universiti. Gesaan yang diutarakan kepada Dato' Saifuddin Abdullah dalam Konvensyen Kebangsaan MPP IPTA Mei 2009 menampakkan hasil apabila perbicaraan Mahkamah Majistret pada 21 Jun 2009 telah membuahkan keputusan terhadap kes mahasiswa Jun 2001.

Saya amat gembira dengan apa yang berlaku walaupun saya tidak mengenali mereka. Apa yang saya tahu, salah seorang daripada mereka adalah dari UTM. Jika perkara ini diuruskan dengan baik, saya rasa tidak perlu tunggu hingga 8 tahun. 8 tahun terhalang untuk ke bilik kuliah sedangkan hukuman yang diputuskan adalah denda RM 3,900 atau tiga(3) bulan penjara. Saya tidak mempertikaikan proses perbicaraan mahkamah cuma mungkin ada yang perlu diperbaiki sama ada prosiding perbicaraan atau peruntukan AUKU itu sendiri.

Nyatalah bahawa kepimpinan negara juga sedang berevolusi dengan tuntutan mahasiswa. Inilah kebajikan yang kami maksudkan. Bukan hanya dalam ruang lingkup pagar kampus, bilik kediaman kolej dan fakulti malahan mengakar ke sanubari masyarakat Malaysia.

Pada kami, politik kampus mahasiswa UTM telah mencapai tahap kematangan yang agak tinggi. Oleh itu kami berani untuk mengutarakan kepada Menteri KPT, Dato' Mohamed Khalid Nordin supaya kumpulan mahasiswa yang bertanding diisytiharkan sebagai 'Parti' (atau nama lain yang bersesuaian). Contohnya, Parti Evolusi Mahasiswa. Malah kami juga memohon dibenarkan lambang atau bendera digunakan dalam kertas undi supaya mahasiswa mengenali kumpulan mahasiswa yang bertanding.

Kami sempat mengenalpasti pola pengundian mahasiswa yang hanya bergantung kepada wajah dan penampilan yang diminati. Ini menyebabkan calon yang benar-benar berkualiti tidak terpilih. Dengan pengenalan parti dan lambang, mahasiswa diharapkan dapat menilai calon yang benar-benar berkaliber dan menilai parti mempunyai manifesto yang relevan serta kukuh sahaja untuk diundi.

Pemilihan calon yang kurang berkualiti merupakan satu kerugian kepada MPPUTM dan mahasiswa. Disebabkan pengundian yang kurang berkesan, peranan MPP tidak dapat dioptimumkan dan hasrat mahasiswa tidak dapat dicapai sepenuhnya.

Evolusi dalam kepimpinan mahasiswa yang digagaskan adalah sesuai dengan tahap kematangan mahasiswa sekarang ini. Jika tidak, kami sendiri pun tidak sanggup mencadangkan perubahan sebegini kepada kepimpinan negara. Mewujudkan parti (kumpulan mahasiswa berdaftar untuk pilihanraya kampus) diharap tidak melahirkan mahasiswa yang singkat akal dan berpuak-puak dengan partinya sendiri.

Perkataan Evolusi bermaksud perubahan secara beransur-ansur dari satu generasi ke satu generasi atau dari satu bentuk ke satu bentuk yang lebih kompleks. Dan perubahan yang kami gagaskan bukan sesuatu yang drastik kerana kebiasaannya tidak semua mampu mengadaptasi perubahan yang mengejut.

Apabila akal semakin matang, apabila pendekatan semakin bijak dan berhemah, apabila keupayaan menyelesaikan masalah semakin mantap, maka kita akan mengalami evolusi samada sedar atau tidak, supaya harapan yang diinginkan dapat dicapai dengan sebaik mungkin.

Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

1 comment:

  1. Salam. Harap dpt dilaksanakan utk next election

    ReplyDelete