Monday, August 3, 2009

Sahabatku Pergi Jua..


Saya baru mengalami peristiwa yang agak menyayat hati. Pada jumaat yang lepas, satu kemalangan melibatkan seorang pelajar tingkatan 5 berlaku selepas tamat waktu persekolahan. Mohd Shakir namanya. Dia menunggang motosikal sahabat karib beliau untuk pulang ke rumah buat sementara waktu bagi menukar pakaian sebelum ke sekolah semula untuk kelas tuisyen.






















Dalam selang waktu tersebut itulah beliau terlibat dengan kemalangan. Beliau terbabas ketika mengambil selekoh yang agak berpasir dan terjatuh di atas jalanraya. Menurut staf sekolah yang kebetulan lalu dan membantu beliau, kecederaan luaran tidaklah seteruk mana melainkan sedikit torehan dibahagian dagu.

Kemalangan yang hanya beberapa saat tersebut tidak tamat di situ. Kesannya dirasai beberapa jam kemudian. Rupanya beliau mengalami pendarahan dalaman di mana paru-paru dan perut beliau cedera dari dalam dan mengakibatkan takungan darah dalam badan.

Daripada dimasukkan ke bahagian rawatan luar, beliau dipindahkan ke ICU dan seterusnya bilik pembedahan untuk mengeluarkan darah yang terkumpul. Keadaan beliau semakin kritikal kerana sebelah paru-paru beliau tidak berfungsi dan darah yang terkumpul mengakibatkan keracunan. Pendarahan dalam perut beliau masih tidak berhenti.






















Wad ICU Selatan

Petang jumaat, 31 Julai, saya dan Elias yang turut sama menjalani Latihan Mengajar di SMTJB diminta oleh pihak sekolah untuk mengiringi lawatan pelajar yang sekelas dengan beliau. Kami tiba di hospital Sultanah Aminah jam 5 petang dan terus ke wad ICU Selatan. Rupanya di sana sudah agak ramai sahabat beliau turut menanti untuk melawat. Saya dan Elias mendahulukan sahabat beliau.

Dalam waktu menunggu giliran, saya sempat mengenali ibu beliau. Si ibu tidak kering air mata mengenangkan nasib anak yang sedang bertarung dengan maut. Malah sanak saudara lain turut berkongsi kesedihan dengan genangan air mata yang mengalir.






















(Sahabat-sahabat arwah yang menanti peluang untuk melawat)

Mohd Shakir merupakan anak yang baik dan disenangi ahli keluarga walaupun agak pendiam. Minatnya terhadap fotografi dapat dilihat melalui kamera persendirian yang bukan murah harganya. Saya juga sempat mengajar Pendidikan Jasmani untuk kelas beliau dan turut sama bermain futsal. Beliau memang pemain yang baik.

Apabila tiba giliran, saya dan Elias masuk melawat. Beliau dalam keadaan koma pada waktu tersebut dan memerlukan pemerhatian 24 jam. Bapanya sedang mengusap lembut ubun-ubun anaknya sambil tidak putus-putus berdoa. Matanya merah. Saya tidak pasti samada si bapa baru lepas menangis atau menahan sebak yang amat sangat. Hati saya tersentuh dengan keadaan tersebut. Saya cuba untuk stabilkan emosi sendiri..






















(Sahabat-sahabat arwah yang menanti peluang untuk melawat)

Jururawat yang bertugas sedang sibuk menggantikan beg darah yang sudah penuh. Jururawat menjelaskan keadaan beliau stabil tapi masih kritikal berdasarkan pendarahan yang masih belum berhenti dan mesin sokongan pernafasan terpaksa disediakan memandangkan keadaan paru-paru yang separuh berfungsi.

Perlahan-lahan saya bergerak memperkenalkan diri dan berbual dengan si bapa untuk memberikan semangat dan menenangkan beliau. Ternyata si bapa dalam keadaan sangat sedih dan entah berapa kali airmata mengalir. Si bapa cuba mengawal suaranya tapi kesedihannya tidak mampu disembunyikan.

Kemudian saya beralih ke arah beliau yang sedang terbaring. Masih koma. Disedekahkan Fatihah dan perlahan-lahan dahinya saya kucupi seraya berdoa, 'as-syifa an biiznillah'. Barisan doa terakhir yang diajar ustaz jika mendoakan orang yang sedang sakit. Dahi beliau saya rasakan agak panas. Menurut jururawat, beliau dalam keadaan demam.

Saya beransur keluar dari billik ICU untuk memberikan peluang untuk ahli keluarga dan sahabat-sahabat beliau melawat. Si bapa meminta saya agar disampai hajat supaya doa rakan-rakan beliau dipanjatkan untuk memohon keselamatan dan kesembuhan beliau. InsyaAllah janji saya .

Lawatan saya tamatkan kerana sudah lewat petang. Keesokkannya tahlil dibuat oleh semua pelajar untuk memohon kesembuhan dan diperpanjangkan umur beliau.

Rupa perancangan Allah lebih besar. Umur beliau tidak panjang dan telah dipanggil Ilahi pada Ahad, waktu tengahari yang cerah. Saya dan Elias bersama 4 orang pelajar bergegas ke rumah mayat Hospital Sultanah Aminah kerana diberitakan mayat arwah masih di sana.






















Dua orang guru di hujung barisan. Ustaz Sofian dan Cikgu Mazlan (bersongkok), Elias disebelah ustaz dan saya. Kami sedang menantikan mayat dihantar untuk dimandikan.

Di sana hati saya tersentuh melihatkan seorang kanak-kanak dalam lingkungan 9-10 tahun tidak henti-henti menangis. Rupanya si adik tersebut merupakan adik si arwah dan mereka hanya dua beradik sahaja. Tidak dapat saya bayangkan kesedihan seorang adik yang kehilangan seorang abang untuk bermanja dan bergurau senda. Hati saya sebak dan mata mula bergenangan air..

Sambil menunggu, saya berlegar-legar di hadapan pintu bilik mayat untuk melihat kelibat mayat arwah Mohd Shakir. Seketika kemudian sebuah troli ditolak masuk dan tanpa membuang masa saya melangkah masuk ke bilik mayat tersebut. Memang tidak silap agakan saya, itu memang mayat arwah. Satu peluang saya dapat berada dalam bilik mayat tersebut kerana dapat membantu memindahkan mayat untuk dimandikan. Dapat mengangkat walaupun seketika tidak mengapa asalkan wajah arwah Mohd Shakir, salah seorang pelajar saya dapat saya tatapi. Tenang sekali wajahnya. Saya keluar seketika kerana mayat akan dimandikan.

Selesai proses mandi dan kafankan, kami bersama ahli keluarga dan sahabat arwah sama-sama melakukan solat jenazah sebelum di bawa pulang ke rumah. Si adik saya lihat memandang mayat si abang dan memalingkan muka, menangis lagi sambil memeluk si bapa saudara. Satu keadaan yang tidak sanggup saya lihat..






















Arwah sedang dibawa keluar dari bilik mayat. Si adik berbaju hitam sedang ditenangkan oleh bapa saudara



Mayat arwah sedang dimasukkan dalam van jenazah untuk dibawa pulang

Mayat kemudian dipindahkan ke dalam van jenazah untuk di bawa ke rumah dan kami semua mengekori ke rumah beliau. Tidak lama mayat dipindahkan ke dalam rumah, kumpulan lelaki terus ke surau kawasan perumahan beliau di Taman Sutera Biru 2, Bandar Baru Uda. Di rumah sudah ramai sanak saudara kaum wanita berkumpul.

Di surau sudah ramai sahabat arwah berkumpul, kebanyakan mereka memang pelajar SMTJB dan juga pelajar saya. Mereka saya perhatikan berbual tentang si arwah tak kurang juga yang berbual kosong. Untuk mengubah keadaan, dalam keadaan masih berwuduk dan memegang Al-Quran, saya memanggil kumpulan pelajar yang saya kenali untuk sama-sama membaca surah Yasin sambil menunggu mayat arwah untuk disolatkan disurau.

Ketika Yasin dibacakan hingga ayat ke 5, tiba-tiba datang perasaan menjadi sayu dan sebak yang amat sangat.. Air mata tidak dapat ditahan dan saya menangis ketika dalam bacaan Yasin. Saya cuba teruskan bacaan tapi penglihatan agak kabur dan suara tidak teratur. Pelajar saya di sebelah menyedari keadaan tersebut. Saya cuba menggagahkan diri untuk mengawal perasaan tetapi tetap tidak berjaya.. Akhirnya saya teruskan menangis dalam bacaan Yasin tersebut sambil memperlahankan suara yang memang tersekat-sekat..

Sesungguhnya pemergian arwah Mohd. Shakir membawa kesan pada diri saya. Walaupun pertemuan agak singkat, sempat bermain bersama-sama di padang futsal tapi saya merasakan kami sudah lama kenal. Panggilan cikgu daripada beliau masih saya ingat dan tidak dapat saya lupakan..

Tahniah Shakir..kamu berjaya membuatkan cikgu menangis untuk dirimu..

Sahabatku Munir, temanku ketika darjah dua. Pemergian mu aku tangisi..
Sahabatku Fazwan, temanku di tingkatan 5 Beta. Pemergian mu aku tangisi..
Sahabatku Aizal, temanku diploma UTMKL. Pemergian mu aku tangisi..
Sahabatku Shakir, pelajarku di SMTJB. Pemergian mu turut aku tangisi..

Sahabat-sahabatku yang telah pergi menemui Ilahi.. Ku doakan dikau bahagia di sana.. Doaku sentiasa untukmu.. Kerana daku akan menyusul jua..

Al-Fatihah..

4 comments:

  1. ~kematian itu adalah suatu yang pasti~
    salam takziah

    ReplyDelete
  2. takziah...semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh nya...amin

    ReplyDelete
  3. we miss you akie.....

    ReplyDelete