Bersama Prof. Dato' Ir. Dr. Zaini Ujang ( zaini@utm.my)
Berita Harian - Rencana (Minda Lestari), Jumaat 12 Mac 2010
UNIVERSITI sinonim dengan pembangunan modal insan. Justeru, hampir setiap kali Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyebut mengenai agenda nasional bagi merealisasikan matlamat Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi, maka universiti menjadi keutamaan. Ini bersesuaian dengan peranan universiti iaitu pengajian tinggi yang mempunyai kaitan langsung dengan pemikiran masyarakat, model ekonomi dan kemahiran tinggi dalam segala bidang.
Ketika berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kesebelas (Mappa XI) Selasa lalu, Najib menggunakan istilah ‘murabbi’ yakni tenaga pengajar dan penyelidik terbaik dan bermotivasi merujuk kepada pensyarah universiti. Dalam konteks pendidikan, murabbi adalah guru berwawasan, berhemah tinggi, bijaksana, berpendidikan tinggi dan mempunyai kemahiran sesuai dengan keperluan zaman.
Murabbi juga adalah pendidik abadi dan insan berakhlak mulia menjadi teladan bukan saja kepada khalayak pelajarnya bahkan kepada seluruh lapisan masyarakat. Tugas murabbi dalam konteks universiti moden semakin luas dan mencabar. Tugas itu tidak lagi sekadar mendidik secara berkuliah dan tutorial, malah meliputi juga tugas kesarjanaan lebih menyeluruh seperti mengemudi wacana ilmiah, memacu penyelidikan, mengembang penulisan dan menjana harta intelek.
Pada Syarahan Anugerah Merdeka 9 Februari lalu di UTM Kampus Antarabangsa Kuala Lumpur, saya mengusulkan cadangan untuk mendorong mewujudkan ‘keghairahan’ ilmiah di kalangan warga akademia. Antara faktor pendorong itu ialah kemantapan misi ilmiah, sama ada menggunakan paradigma Max Weber (pengasas konsep universiti penyelidikan moden berfahaman utilitarian) atau Imam Shafie (sekadar contoh mewakili konsep pendidikan pemikiran idealis).
Dua pola ini penting untuk kita fahami bagi menjelaskan pelbagai aliran pemikiran mengenai pengajian tinggi. Memang sukar untuk seseorang pensyarah ketika ini hanya menumpu kepada sesuatu pola sepenuhnya. Dengan pelbagai keperluan dan petunjuk prestasi utama (KPI) dirangka peringkat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan institusi, maka kedua-dua pola berkenaan perlu digabung-jalin.
Dengan peranan lebih mencabar sebagai murabbi, maka memang wajar saranan Najib supaya kerajaan mengkaji skim perkhidmatan pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan pensyarah institut perguruan. Dalam konteks ini, tumpuan tidak sepatutnya menjurus kepada aspek gaji dan skim perkhidmatan saja.
Saya tidak bersetuju jika hanya gaji diberi penekanan. Seseorang pensyarah yang cemerlang – begitu juga dalam semua kerjaya – tidak terlalu memikirkan soal imbuhan sepanjang berkhidmat. Hal ini lebih ketara bagi seseorang murabbi yang mementingkan keikhlasan, kejayaan hakiki dan kejujuran ilmiah. Mereka memilih sesuatu kerjaya disebabkan idealisme dan khidmat yang perlu disumbangkan.
Selain peningkatan gaji, tumpuan juga perlu diberikan kepada kemudahan dan prasarana yang membolehkan warga akademia memberi perkhidmatan terbaik. Ketika ini memang isu gaji mendapat perhatian kerana skim gaji pensyarah di Malaysia sudah tidak lagi setara dengan negara jiran, khususnya Singapura dan Brunei. Secara purata, profesor di Singapura, sebagai contoh, mendapat gaji sekurang-kurangnya tiga kali lebih tinggi berbanding IPTA Malaysia.
Selain itu, profesor turut ditawarkan pakej perkhidmatan merangkumi kemudahan geran penyelidikan, peralatan makmal, biaya, pembantu penyelidik dan bidang kepakaran yang perlu dimajukan. Hal ini bukan saja amalan di Singapura. Sejak kebelakangan ini, beberapa universiti awam di Indonesia dan Thailand juga berbuat demikian.
Sehubungan itu, KPT menubuhkan jawatankuasa khas mengkaji semula peranan, skim dan pengiktirafan ahli akademik. Secara kebetulan saya mengetuai jawatankuasa berkenaan. Antara lain, perbincangan banyak tertumpu kepada imbuhan kewangan kepada pensyarah universiti (awam dan swasta) agar setanding dengan kepakaran mereka dan setara dengan negara maju, atau sekurang-kurangnya jiran terdekat.
Memang kenyataan Najib untuk membenarkan skim profesor meningkat sehingga peringkat tertinggi Turus tanpa perlu memegang sebarang jawatan pentadbiran di IPTA mendapat sambutan hangat yang diharap menghangatkan juga iltizam dan menyegarkan lagi sumbangan akademia.
Namun, dalam keghairahan untuk mendapatkan skim gaji lebih menarik, kita jangan sekali-kali alpa bahawa tujuannya adalah untuk memastikan meritokrasi membudaya, sekali gus mengangkasa pengajian tinggi. Mediokriti atau budaya kecincaian adalah barah kepada tradisi ilmu. Pokok pangkalnya, sebagaimana kata Najib, kita mahukan IPTA di Malaysia menjadi paragon of excellence.
Prof Datuk Zaini Ujang ialah penulis buku Mengangkasa Pengajian Tingg (2008) dan Universiti, Kreativiti dan Inovasi (2009)
Sumber : Naib Canselor UTM
No comments:
Post a Comment