Assalamualaikum wbt..
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..
Kepimpinan mahasiswa merupakan satu tahap pembinaan sahsiah diri dalam membentuk modal insan berkualiti tinggi selaras dengan hasrat universiti dan juga negara Malaysia. Ternyata harapan dan hasrat ini turut dipunyai oleh mahasiswa terbanyak. Iaitu harapan untuk melihat kepimpinan yang mereka pilih dapat mendepani agenda pembangunan dan kebajikan mereka.
Di sini saya kongsikan tulisan yang saya ambil daripada blog Saudara Hafizuddin Misbah (dengan izin), Naib Presiden 1 PMIUTM.
*****************************************************************************
Assalamualaikum w.b.t
Setinggi-tinggi tahniah dan takziah ditujukan khas kepada Majlis Perwakilan Pelajar UTM sesi 2009/2010 yang telah diberikan kepercayaan dan mandat oleh seluruh warga mahasiswa/i dan pihak pengurusan Universiti Teknologi Malaysia dalam memimpin gerakan mahasiswa di UTM khususnya.
Memetik bait kata bekas Hakim Mahkamah Agung Malaysia, Al-Marhum Tan Sri Dato' Harun M. Hashim dalam bukunya "The Benchmark", beliau menyatakan bahawa "varsity education is more than just getting a degree". Peluang keemasan untuk menduduki tempat dalam Majlis Perwakilan Pelajar hendaklah dianggap sebagai suatu cabaran dan kewajipan, bukannya keistimewaan atauprivilege. Kewajipan menuntut ketelusan dan akauntibiliti. Justeru, melalui platform MPPUTM, anda sekalian belajar untuk menjadi lebih bertanggungjawab terhadap amanah dan pada masa yang sama mempelajari selok-belok kepimpinan dalam erti kata yang sebenarnya.
Memahami "World View" Perjuangan Mahasiswa
Idealisme, aktivisme dan intelektualisme merupakan tiga konsep utama yang memberi nilai kepada mahasiswa. MPPUTM selaku entiti utama mahasiswa kampus dalam menyuarakan pandangan, perlulah mempunyai world viewperjuangan yang jelas dan holistik. Ia akan memberikan perspektif yang tepat terhadap makna dan cara perjuangan yang sebenarnya. Ia penting bagi memastikan semboyan perjuangan tidak dilaungkan sebagai retorik semata-mata, tetapi menunjukkan komitmen yang tinggi dari hati yang ikhlas, agar perjuangan dapat dipacu dengan momentum yang padu.
Segunung Harapan, Merealisasikan Impian
Gagasan yang ingin dibawa oleh MPPUTM hendaklah disinergikan dan diberi nafas baru agar ia dapat menjadi pentas baru kepada mahasiswa UTM untuk melukis citra baru terutamanya dalam pembinaan kesarjanaan dalam institusi kemahasiswaan Islam serta menyatakan kebersamaan dalam memastikan inspirasi UTM tercapai. MPPUTM perlu memastikan seluruh pihak berperanan dan beriltizam merakyatkan gagasan berkenaan kepada seluruh masyarakat kampus.
Selaras dengan harapan Naib Cancelor UTM, Professor Dato’ Ir. Dr. Zaini Ujangdalam karya beliau, "Mengangkasa Pengajian Tinggi" yang menjelaskan bahawa pengajian tinggi bukan sahaja menyediakan proses pengijazahan malah menyediakan modal insan dalam perspektif yang holistik yakni aspek kemahiran insaniah serta pembangunan intelektual dan rohani.
MPPUTM memainkan peranan utama sebagai medan penghubung antara pihak pengurusan universiti dengan mahasiswa/i di kampus. Maka, ia perlu bergerak secara profesional dalam kerangka perancangan yang terarah secara strategik dan sistematik.
Oleh yang demikian, gabungan profesionalisme gerak kerja, kematangan tindakan dan strategis perancangan, mampu merealisasikan kepercayaan dan mandat yang telah diberikan ini. Cabaran yang terbesar bagi anda adalah untuk melakukan yang terbaik berbanding kepimpinan sebelumnya, bukan sekadar meneruskan apa yang telah sedia ada.
Buah fikiran dan gagasan idea yang dinamik diperlukan untuk membawa UTM ke arah kecemerlangan. Sebagai pimpinan mahasiswa, anda sekalian perlulah berupaya mengemukakan cadangan dan pandangan yang konstruktif, bernas,viable dan presentable kepada kementerian mahupun pihak pengurusan universiti dalam membawa suara dan menjaga kebajikan mahasiswa.
Kepimpinan yang disandarkan kepada keutamaan atau priorities akan menatijahkan perancangan, pengurusan dan output yang berkesan. Sebagai medium penghubung antara mahasiswa/i dengan pihak pengurusan universiti, MPP hendaklah mengambil perhatian yang serius terhadap kerangka yang menetapkan perimeter peranan dan fungsinya, terutamanya dalam memacu pemerkasaan kebajikan mahasiswa secara lebih aggresif. Sehubungan dengan itu, sesuai dengan falsafah UTM, yang dapat diungkapkan seperti berikut:
"Hukum Allah adalah dasar kepada sains dan teknologi,Maka UTM berusaha secara menyeluruh dan bersepadu memperkembangkan kecemerlangan sains dan teknologi untuk kesejahteraan dan kemakmuran sejagat sesuai dengan kehendak-NYA"
MPPUTM mempunyai peranan yang besar, khususnya dalam membantu dan menyokong usaha universiti merealisasikan gagasannya. Tambahan pula,Timbalan Menteri Kementerian Pengajian Tinggi, YB Dato’ Saifuddin Abdullah dalam karyanya, "Kalau Saya Mahasiswa" menyatakan bahawa;
"Sebenarnya, mahasiswa mampu menjadi “rakan pembangunan” yang berkesan. Tetapi, mahasiswa, selalunya dilihat lebih sebagai“penerima manfaat pembangunan” (beneficiaries of development). mahasiswa, amat jarang diberi peluang dan hakupaya untuk terlibat secara aktif sebagai “rakan tulin” pembangunan, terutamanya dalam struktur dan proses membuat keputusan"
Maka, MPPUTM harus mencari ruang dan peluang untuk melibatkan diri dalam perancangan dan pelaksanaan dasar-dasar dan perancangan universiti, khususnya yang menyentuh kepentingan mahasiswa/i secara umumnya bagi mendapatkan output yang lebih berkesan.
Musyawwarah atau consultation MPPUTM bersama mahasiswa/i perlu dijalankan dari semasa ke semasa bagi mendapatkan maklum balas langsung daripada mahasiswa dan suasana dunia hari ini memerlukan kita mengiktiraf dan dan meraikan peranan MPP sebagai elemen penting dalam sesebuah universiti.
Akhir kata, segunung harapan buat MPPUTM sesi 2009/2010 agar perlaksanaan manifesto dilakukan secara total oleh semua pihak, bukan retorik kata-kata sahaja yang akhirnya golongan intelektual muda ini, menjadi mangsa dan dilupakan. MPPUTM perlu lebih artikulatif dalam menyuarakan pendapat mereka dalam isu-isu kebajikan mahasiswa/i.
Muhammad Hafidzuddin Bin Misbah
Penulis merupakan Naib Presiden 1 PMIUTM bagi sesi 2009/2010
No comments:
Post a Comment