Friday, March 12, 2010

Mahasiswa Mohon Turut Bantu MPP

Assalamualaikum wbt...
Selamat Sejahtera..
Salam Perpaduan..

Hari ini ketika membaca akhbar online Berita Harian, saya terbaca kenyataan YB Dato Saifuddin Abdullah mengenai mahasiswa yang mengalami kesusahan hidup di IPTA. Saya sangat bersetuju dengan YB Dato. Beliau memberi tempoh sehingga pertengahan April ini untuk pengurusan IPTA untuk menyediakan laporan lengkap berkenaan mahasiswa/i yang mengikat perut. Malah ahli Majlis Perwakilan Pelajar yang dilantik turut diminta untuk membantu mengenalpasti pelajar yang 'mengikat perut' ini.

Kami di pihak MPPUTM bersedia untuk membantu usaha ini dan semua ahli MPP diminta untuk menggerakkannya. Kami seramai 46 orang di UTM JB dan 5 orang UTM IC tidak sempat untuk turun ke setiap fakulti dan kolej sepenuh masa. Oleh itu kami mohon bantuan mahasiswa sekalian untuk menyampaikan sebarang maklumat berkenaan rakan-rakan anda yang berada dalam kesusahan.

Kebanyakan mahasiswa tidak mudah untuk menceritakan kesusahan sendiri. Suatu peristiwa pernah disampaikan kepada saya oleh seorang rakan; seorang mahasiswa pernah ke Pusat Islam (sebelum ini Masjid Sultan Ismail) untuk memohon bantuan zakat. Setibanya di Pusat Islam, mahasiswa tersebut berlegar-legar beberapa ketika di hadapan masjid dan kemudiannya membatalkan niat beliau. Apabila ditanya mengapa beliau tidak meneruskan niat tersebut; jawapan diberikan adalah malu. Dan dengan sebab malu tersebut beliau membatalkan niat beliau dan terus membuat kerja-kerja sampingan bagi mencari pendapatan untuk membiayai pengajian beliau. Tindakan sebegini boleh menyebabkan akademik beliau terjejas dan menyukarkan beliau mencari pekerjaan pada masa akan datang.

Kami memohon rakan-rakan daripada JKM, Persatuan dan Kelab yang mengetahui kesusahan rakan-rakan lain untuk melaporkan terus kepada mana-mana MPPUTM untuk diambil tindakan. Perkara ini akan diusahakan bersama-sama pihak HEP, Pusat Islam dan Pengetua-pengetua Kolej Mahasiswa bagi memastikan kebajikan mahasiswa keseluruhannya dijaga dengan lebih baik.


IPTA diarah lapor graduan 'ikat perut'

Oleh Azrina Ahzan

bhnews@bharian.com.my

2010/03/13

Pelajar kerja sambilan tampung kos hidup

SEPANG: Semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) diarah menyediakan laporan lengkap berhubung masalah beban kewangan yang dihadapi pelajar masing-masing, sehingga ada yang terpaksa ‘mengikat perut’ kerana ia boleh menjejaskan pencapaian akademik mereka.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata arahan itu dibuat selepas beliau menerima maklumat ada segelintir pelajar IPTA terpaksa ‘mengikat perut' atau bekerja sambilan untuk menampung kos hidup sepanjang mengikuti pengajian di kampus. “Berdasarkan maklumat yang saya terima ada pelajar yang terpaksa bekerja sambilan untuk mendapatkan wang tambahan, malah ada yang terpaksa meminjam daripada pensyarah kerana ketiadaan wang.

“Walaupun perkara ini tidak serius namun kita perlu menanganinya dengan mengenalpasti jumlah sebenar pelajar yang berhadapan dengan masalah itu supaya langkah sewajarnya diambil bagi membantu mereka,” katanya kepada media selepas melancarkan bengkel ‘Training of Trainers’, Kokurikulum Berkredit Institusi Pengajian Tinggi di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau memberi tempoh selama sebulan iaitu sehingga pertengahan April ini kepada semua IPTA untuk menyerahkan laporan terbabit antara lain mengandungi cadangan yang perlu dilakukan oleh kementerian untuk mengatasi masalah itu. “Masalah ini perlu ditangani bersama oleh IPTA dan kementerian kerana kita khuatir akan berlakunya fenomena kemiskinan kampus hingga boleh menjejaskan kualiti serta kebolehpasaran graduan IPTA.

“Pada masa yang sama, kita perlu mengenalpasti punca masalah ini sama ada ia disebabkan latar keluarga, jumlah pinjaman yang diterima atau dasar yang ditetapkan oleh kementerian," katanya. Mengenai usaha yang dilakukan pihak IPTA untuk menangani masalah ini, Saifuddin berkata, semua IPTA mempunyai mekanisme masing-masing untuk membantu pelajar yang menghadapi masalah kewangan namun jumlahnya adalah terhad.

Oleh itu, beliau meminta semua ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang baru dilantik membantu mengenalpasti pelajar terbabit, bagi memudahkan urusan pemberian bantuan.

2 comments: