Sebagai golongan pemimpin mahasiswa, kita perlu mencerna sehingga lumat pemahaman asas tentang konsep kepimpinan yang diperbincangkan. Ramai dalam kalangan mahasiswa mempunyai pemikiran yang sangat terhad. Rata-rata suara mahasiswa hanya menyatakan keterlibatan mahasiswa dalam MPP hanya untuk melaksanakan program, tidak ubah seperti persatuan-persatuan lain, malah hampir sama peranannya dengan persatuan anak negeri.
Jarang sekali kita dengar MPP mampu merubah paradigma mahasiswa terhadap erti hidup. Akhir-akhir ini MPP sudah tidak cakna untuk berbincang soal menggerakkan mahasiswa sebagai alternatif perdebatan isu-isu negara. Sedangkan mahasiswa merupakan suatu juzuk masyarakat yang dipinjamkan kepada universiti untuk dipenuhkan dadanya dengan ilmu.
Cabaran kepada pemimpin mahasiswa juga memerlukan kekuatan kepada kecerdasan emosi dan fizikal dalam membentuk pemimpin pelapis yang dinamik dan serba boleh pada masa depan. Masyarakat pelajar tidak hanya sekadar perlu mendapatkan ilmu dan meningkatkan keupayaan intelektual semata-mata tetapi mesti mempunyai kemahiran berinteraksi dan memimpin yang baik (Mohd Zulkifli, 2004)
Di samping berhadapan dengan pengalaman memimpin yang terhad, MPP juga berhadapan dengan pihak pentadbiran Universiti yang meletakan berbagai permintaan dan harapan yang menggunung tinggi terhadap MPP. Kami yakin, semua MPP di IPTA sentiasa berani dan sanggup menghadapi cabaran ini. Cuma, apa yang diharapkan dari pihak pentadbiran adalah peranan sebagai mentor dan fasilitator dalam membantu, mengajar dan mendidik kami menjadi pemimpin yang cemerlang dan dinamik.
Tempoh pengajian bagi setiap mahasiswa sekitar 3 hingga 5 tahun pula menjadi cabaran yang besar dalam mematangkan ciri-ciri kepimpinan mahasiswa yang dibangunkan. Ditambah lagi dengan bebanan akademik yang memerlukan daya juang yang tinggi. Kita perlu sedar matlamat utama datang ke IPT masing-masing.
Laluan kerjaya (career path) bagi seorang pemimpin mahasiswa seharusnya mampu memberikan mereka asas yang ampuh untuk memimpin pelajar kampus walaupun tempohnya singkat. Pemimpin mahasiswa tidak sepatutnya dipilih secara semberono ataupun ‘tangkap muat’, tetapi ia perlu melalui proses pembangunan yang disusun atur secara sistematik dan terancang.
Pemimpin mahasiswa harus arif tentang cabaran semasa yang melanda mahasiswa pada pasca mellenium sekaligus mendepani cabaran berserta jalan penyelesaiannya. Kemungkinan besar, beberapa cabaran sebeginilah seringkali menggigit mahasiswa agar mereka lesu dan tidak bermaya.
Hakikatnya zaman ini bukanlah zaman pemberontakan dan rusuhan. Malah ruang perbincangan yang terbuka pada masa kini mampu memberi peluang kepada kita sebagai pemimpin mahasiswa untuk memikirkan bagaimana untuk kita merubahcara mahasiswa kita berfikir, membentuk jati diri mahasiswa itu sendiri, sekaligus membantu universiti dalam melahirkan para graduan yang berkualiti.
*Daripada kertas kerja "Pelapis Kepimpinan Mahasiswa: Satu Perspektif" yang dibentangkan dalam Konvensyen MPP 2009 pada 15 – 20 Mei 2009 bertempat di Universiti Tun Husseien Onn Malaysia (UTHM).
Muat Turun Kertas Kerja Di Sini
No comments:
Post a Comment